Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






01 October 2009

Sebat untuk didik














Gambar Hiasan.

DARI dahulu lagi Islam dibenci, manakala umatnya dicerca. Malah, pada kaca mata Barat, orang Islam mempunyai keperibadian yang menakutkan, agresif dan ekstrem. Semuanya kerana perkataan Islam.

Belum pun pulih, imej Islam tercalar lagi dengan gambaran kononnya Islam mengamalkan kezaliman, penindasan dan tiada keadilan terhadap wanita seperti kes Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32.

Kes model yang dijatuhi hukuman maksimum denda RM5,000 dan enam kali sebatan rotan selepas disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 kerana mengambil minuman keras terus menjadi polemik.

Tindakan Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987 nyata tidak disenangi sesetengah pihak.

Jika melayari laman blog, pelbagai pandangan berbeza mengenai kes ini. Ada blogger menganggap kes ini tidak terlalu serius berbanding kes Mat Rempit.

Ada pula mempertikaikan kewajaran menjatuhkan hukuman sebat terhadap umat Islam yang meminum arak, malah mendakwa kemungkinan hakim tersilap menjatuhkan seksaan

Pendek kata banyak pihak berpendapat hukuman terbabit tidak adil, tidak saksama dan menindas wanita.

Tetapi, dalam masa yang sama, apakah campur tangan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu adil sedangkan urusan agama di bawah bidang kuasa negeri?

Kadangkala kita malu kerana orang Islam sendiri yang jiwa Islamnya masih kosong menyindir, menempelak, memperlekeh dan mempertikaikan hukum Islam.

Bagi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), isu Kartika menjadi besar kerana pesalahnya wanita sedangkan sebelum ini ada pesalah dihukum enam sebatan, tetapi tidak dipolemikkan kerana mereka lelaki.

Presidennya, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata masih ramai tidak faham mesej disampaikan hakim syarie itu.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu mampu membuka mata banyak pihak bahawa Islam serius mencegah kemungkaran.

"Prinsip hukuman dalam Islam adalah untuk memberikan pengajaran kepada pesalah dan masyarakat Islam membenci arak.

"Tetapi, tanpa disedari masyarakat diberikan kefahaman salah berkaitan pelaksanaan sebatan ke atas pesalah itu dengan menyamakan dengan pesalah jenayah sivil.

"Memang hukuman sebat bagi pesalah yang melakukan jenayah rogol, mengedar dadah dan liwat di mahkamah sivil amat menyakitkan kerana sebatan itu mengakibatkan luka luar dan dalam.

"Ia mengambil masa lebih sebulan untuk sembuh dan parutnya kekal selama-lamanya," katanya yang dipetik melalui portal persatuan terbabit.

Persoalannya, mengapa mahu membandingkan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil sedangkan kaedahnya berbeza?

"Inilah masalahnya, mereka tidak memahami undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah, tetapi mahu bercakap mengenai undang-undang Islam," katanya.

Sebatan mengikut undang-undang Islam dilakukan dengan kekuatan sederhana dan selepas melakukan satu sebatan, pelaksana hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya (melibas).

"Kebiasaannya sebatan hanya meninggalkan kesan merah dan tidak memudaratkan sehingga mampu memecahkan kulit," katanya.

Hukuman sebat terhadap pesalah wanita pernah dilaksanakan di Aceh yang menguatkuasakan undang-undang separa syariah pada 2001.

Hukuman sebat sebanyak tujuh kali dilaksanakan terhadap empat pesalah wanita di khalayak ramai buat pertama kali pada Jun 2005.

Mohamad Isa berkata, umat Islam patut menyokong langkah pihak berkuasa membanteras arak, bukannya sesuka hati mencampuri sebarang keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan Mahkamah Syariah bersandarkan kepada peruntukan yang dibenarkan Perlembagaan Malaysia di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984.

Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Datuk Mahmud Zuhdi Abd Majid, berkata umat Islam keliru mengenai isu berkenaan.

Menurutnya, golongan yang mendakwa keputusan dan hukuman terbabit tidak adil perlu mengemukakan bukti, bukannya berkata sesuka hati mengikut emosi kerana ia memberi implikasi negatif kepada undang-undang Islam.

"Orang yang berkata hukum itu tidak adil, dia kena buktikanlah di mana yang dikatakan tidak adil.

"Undang-undang ini kita sudah bincang, luluskan dan diberikan contoh pelaksanaan sebat iaitu bukan sebatan keterlaluan seperti mahu membunuh orang.

"Jadi, saya hairan mengapa riuh rendah di sana sini mengenai hukuman sebat ini apatah lagi ia di bawah kuasa pentadbiran negeri, mengapa mahu campur tangan?," katanya.

Menurutnya, hal ehwal agama Islam di bawah bidang kuasa sultan dan selagi pihak istana berdiam diri, selagi itulah banyak pihak cuba mencampuri urusan berkenaan.

Beliau percaya kegawatan yang berlaku sehari dua ini sehingga mengundang pelbagai komentar semuanya disebabkan prejudis.

"Kalau kita kata prejudis, kita cuba lihat banyak kes lain misalnya kes curi yang kecil di pasar raya, tetapi hukumannya tidak kurang juga beratnya, kena penjara dan tidakkah itu tidak adil.

"Saya cukup kecewa dengan apa yang berlaku hari ini. Tak munasabah juga tiada kepakaran untuk melakukan pelaksanaan hukuman itu kerana jika mahu, semuanya boleh dilakukan.

"Ini semua menggambarkan tiada rasa simpati kita terhadap pelaksanaan undang-undang Islam.

"Kes ini menimbulkan tanda tanya sama ada kita mahu melaksanakan undang-undang Islam atau sebaliknya," katanya.

Beliau menjelaskan hukuman sebat menggunakan rotan itu adalah takzir sebagai pengajaran, bukannya penderaan dan jauh sekali penindasan seperti dimomokkan barat.

Menurutnya, dunia barat sentiasa mengganggu wanita, tetapi masyarakat tidak pula mempertikaikan, malah langsung tidak timbul pun soal keadilan dan kezaliman.

Islam sebagai agama wahyu adalah lengkap dan jika apa yang dilakukan itu mengikut al-Quran dan Sunnah, sepatutnya tiada pihak boleh mempertikaikan hukuman berkenaan

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


1 comment:

muhammad raihan said...

eee,takut nye lihat polis tu sebat patung tu,macam tul lak...