Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






31 October 2009

Membantu anak berkomunikasi

















Bermain boleh MERANGSANG MINDA kanak-kanak.

KITA mungkin pernah mendengar aduan dari rakan-rakan bahawa anak mereka agak lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusia mereka.
Ibu atau bapa tersebut melahirkan kerisauan kerana khuatir sesuatu berlaku mungkin pada sistem tumbesaran anak mereka yang menyebabkan proses tersebut tidak berlaku mengikut waktu yang sepatutnya.
Pengarah dan penasihat linguistik dari pusat peningkatan dan stimulasi bahasa, Urban Ethos Sdn. Bhd., Dr. Norizan Rajak berkongsi tentang apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa demi memastikan mereka menjadi ibu bapa yang proaktif terutama berkaitan dengan proses tumbesaran anak-anak.
"Ibu bapa yang proaktif perlu mengetahui tentang peringkat tumbesaran anak mereka.
Selain itu, ibu bapa yang proaktif juga perlu mengambil inisiatif untuk merangsang kebijaksanaan bayi mereka menerusi komunikasi dan tingkah laku.
Ibu bapa yang proaktif mestilah menjadi role model atau contoh terbaik bagi anak-anak mereka. Perlu mengambil tahu tentang apa informasi serta pengetahuan terkini yang ada di sekeliling dan jika tidak tahu jangan malu untuk bertanya.
Cara lain boleh dilakukan dengan menerusi pembacaan, berjumpa pakar kanak-kanak atau ahli psikologi, menghadiri bengkel atau berkongsi pengalaman dengan mereka yang terlibat secara langsung dengan dunia kanak-kanak, seperti pengasuh dan penjaga di taska dan sebagainya.
Secara umumnya, bayi mempelajari cara percakapan menerusi orang yang berada di sekeliling mereka. Sekiranya anda mendapati anak anda lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusianya maka anda tahu akan perkara ini; tumbesaran anak-anak adalah satu proses yang berterusan dan ia nya adalah mengikut turutan. Tetapi penilaian untuk setiap tumbesaran tersebut adalah pelbagai dan berbeza bagi setiap kanak-kanak.
Apa yang diperlukan untuk mendapatkan kanak-kanak yang membesar dengan baik secara holistik?
Ibu bapa perlu pastikan peluang untuk anak-anak berkembang mempelajari dan mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari. Persekitaran juga memainkan peranan penting, persekitaran ini merangkumi pemakanan yang betul dan keperluan nutrisi mengikut peringkat umur mereka.
Di bawah usia 12 bulan, bayi menggunakan suara mereka untuk mengaitkan dengan suasana. Pada usia di bawah lingkungan ini, ibu bapa boleh membantu bayi mereka dengan mencipta satu ikatan menerusi sentuhan, pelukan dan ciuman. Mimik muka juga boleh menjadi pengantara komunikasi antara anda dan bayi anda. Jika bayi menangis, ibu bapa boleh menggunakan suara dalam bentuk nyanyian lembut seterusnya memastikan bayi rasa selamat dan bahagia.
Bagi ibu bapa yang telah mempunyai pengalaman membesarkan bayi sebelum ini pasti perasan akan bunyi-bunyian yang dikeluarkan oleh bayi mereka pada setiap tahap pembesaran.
Sebagai contoh, peringkat pertama semua bayi yang lahir ke dunia ini akan menangis dan apabila memasuki peringkat kedua bayi akan mula pandai menghasilkan bunyi seperti "uhhh...ahh," kemudian mereka cuba meniru perkataan mudah seperti "mama, nak" dan peringkat keempat mereka akan mula bercakap dengan pertuturan yang kita tidak akan fahami.
"Seorang anak diajar menerusi bahasa dan anak-anak juga belajar dengan bahasa. Sebelum mereka pandai bertutur, mereka sebenarnya telah mula berkomunikasi sebagai contoh menangis memberitahu bahawa mereka lapar dan tersenyum apabila gembira," jelasnya.
Di peringkat anak berusia empat bulan, ibu bapa perlu banyak berinteraksi dengan bayi mereka.
"Pada tahap ini, tip yang boleh anda ibu bapa lakukan ialah dengan mengulang kembali apa yang disebutkan oleh anak. Sebagai contoh jika anak menyebut 'bah,' maka ibu atau bapa boleh menyebut perkataan yang betul seperti abah," ujarnya.
Menurut Norizan, ketika bayi memasuki usia enam ke tujuh bulan, penglibatan ibu bapa dalam interaksi bersama anak-anak menjadi semakin penting.
"Kita akan dapat perhatikan di tahap ini, bayi gemar mengulang sebut sesuatu perkataan sepanjang hari sebelum mencuba menyebut perkataan yang baru pula. Ibu bapa boleh mengambil inisiatif dengan mengajar anak menyebut 'mama' atau 'dada' kerana bayi di bawah usia setahun sebenarnya sudah boleh memahami kebanyakan maksud perkataan.
Awas jika anak masih tidak boleh meniru sebarang bunyi apabila usia mereka mencecah tujuh bulan.
"Jika anak yang memasuki usia tujuh bulan masih tidak boleh meniru apa-apa perkataan yang keluar dari mulut anda, anda perlulah pastikan bahawa tiada masalah lain pada anak sebagai contoh masalah pendengaran ataupun pada pertuturan mereka.
"Ini kerana bayi yang baru mempunyai masalah pendengaran boleh terkejut kerana mendengar bunyi bising atau namanya dipanggil tetapi mereka berhadapan dengan kesukaran untuk bertutur.
"Sepatutnya pada usia bayi enam hingga 12 bulan, mereka sudah boleh bereksperimen dengan pelbagai jenis bunyi, tetapi jika anak anda masih belum boleh maka lebih baik merujuk kepada pakar kanak-kanak untuk ujian selanjutnya," jelasnya.
Pada peringkat usia 18 bulan, ibu bapa perlu awasi perkara ini; sekiranya anak tidak memahami arahan mudah, tidak berminat untuk meneroka, tidak boleh menyebut sesuatu perkataan dan tidak boleh memberi respons kepada dunia. Itu merupakan petanda amaran bagi ibu bapa untuk mengenalpasti sekiranya ada kelainan pada proses tumbesaran anak mereka.
Pada usia kanak-kanak dua tahun, pula dia sepatutnya sudah boleh 200 hingga 300 patah perkataan. Selain itu mereka boleh menyebut dua gabungan perkataan seperti "baby nangis."
Menjelang usia tiga tahun pula, mereka boleh menguasai 900 hingga 1,000 perkataan dan boleh menyebut beberapa baris ayat ringkas. Mereka juga boleh bermain dengan bunyi dan perkataan dan boleh menerima arahan seperti "tolong ambilkan bola itu" atau "habiskan susu."


Read more...

Lukis peta dalam 30 minit


















MOHD. YUSRI menunjukkan lakaran kartun serta peta Semenanjung Malaysia yang dilukis di rumahnya di Hutan Kampong, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR - Jika remaja sebaya dengannya sekadar pandai melukis kartun, Mohd. Yusri Mohd. Yusof, 11, pula cekap melukis peta.

Kebolehannya melukis peta banyak negara di dunia mengagumkan guru-gurunya di Sekolah Kebangsaan (SK) Hutan Kampong di sini.

Dia bukan sahaja boleh melakar sempadan sesebuah negara tetapi juga rupa bentuk bumi dengan kehalusan menyamai paparan buku atlas.

Bakat Mohd. Yusri juga terserlah pada kemampuannya melukis banyak bangunan bangunan pencakar langit dunia dengan hanya menggunakan pensil 2B.

Semuanya bermula apabila dia melihat watak kartun Naruto dalam komik dan di televisyen sejak berusia sembilan tahun.

"Mula-mula saya lukis kartun watak Naruto kerana terlalu minat dan kemudian mencari asal-usulnya di laman web interaktif Google Earth.

"Apabila saya tahu Naruto berasal dari Jepun, saya mula meminati hobi melukis peta dunia,'' katanya.

Mohd. Yusri mendakwa boleh melakar peta Malaysia dengan lengkap dalam masa 30 minit.

Read more...

30 October 2009

Pengalaman saintis teroka Artik




















BERUANG kutub mungkin pupus jika bongkah ais di Artik terus mencair

Saintis-saintis Malaysia yang pernah ke Artik untuk penyelidikan mereka tiga tahun lalu menyaksikan bongkah-bongkah ais di Artik semakin mengecil dan suhunya juga semakin panas.

SAAT melabuhkan punggung di tempat duduk kapal terbang, perasaan Profesor Madya Dr. Siti Aisah Alias bercampur baur.

Keterujaan saintis dari Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur itu tidak dapat digambarkan apabila buat pertama kalinya beliau menjejakkan kaki ke Lautan Artik. Lautan yang dipenuhi bongkah-bongkah ais dan beruang polar.

Biarpun kedatangannya ke lautan yang terkecil dan tercetek antara empat lautan di dunia iaitu Lautan Atlantik, Lautan Hindi, Lautan Pasifik dan Lautan Selatan itu atas urusan penyelidikan, namun Siti benar-benar tidak sabar.

Pensyarah Institut Biologikal Sains, Fakulti Sains UM itu sudah membuat persediaan rapi apatah lagi suhu di Artik dikatakan mencecah bawah 10 darjah Celsius.

Perjalanan yang mengambil masa 20 jam dari Malaysia itu memaksa beliau dan dua rakan saintis yang lain iaitu Profesor Madya Dr. Irene Tan Kit Ping dan Profesor Dr. Phang Siew Moi menempuh perjalanan ke Amsterdam, Belanda; Oslo, Norway; Longyearbyen dan Svalbard Arctic sebelum sampai ke Lautan Artik.


















SITI AISAH mengumpul beberapa sampel kulat untuk penyelidikan.

--------------------------------------------------------------------------------


Tiga saintis itu mencipta sejarah dalam kalangan penyelidik serantau apabila menjadi kumpulan pertama ke Artik bagi menjalankan kajian bakteria, alga dan kulat tiga tahun lalu.

Apabila kapal terbang merentasi Lautan Artik yang berkeluasan kira-kira 14,090,000 kilometer persegi iaitu 1.5 kecil sedikit berbanding saiz Amerika Syarikat (AS) itu, Siti segera merapatkan mukanya ke cermin kapal terbang untuk melihat pemandangan Lautan Artik dari atas.

Ternyata apa yang dilihatnya mengejutkan. Lautan yang disangkanya penuh dengan ais itu kini dipenuhi air. Bongkah-bongkah ais telah cair.

"Sebelum ini Artik dikenali sebagai sebuah lautan ais. Namun, pertama kali menjejakkan kaki ke sana pada 17 hingga 24 Julai 2006, ia berbeza dengan apa yang saya sangkakan.

"Banyak bongkah ais yang mula mengecil berikutan kesan pemanasan global. Paling mengejutkan saya ialah apabila suhu yang dijangka terlalu sejuk bertukar menjadi panas mencecah sehingga 18 darjah Celsius," katanya yang berasa panas ketika berada di Artik kerana memakai pakaian tebal.


Bercerita lanjut, Siti yang ditugaskan membuat kajian mengenai kulat di Artik terkejut kerana pertumbuhan kulatnya begitu subur.

Ketika itu, terdapat sebanyak 78 spesies kulat ditemui di Artik. Suhu adalah faktor penting dalam mempengaruhi pertumbuhan kulat.


"Disebabkan suhu di Artik semakin panas, pertumbuhan kulat menjadi sempurna. Jika tidak kulat tidak boleh tumbuh pada suhu yang begitu rendah," katanya yang menjalani sesi pertama kajian selama lapan hari dengan kerjasama Institut Penyelidikan Polar Korea (Kopri).

Habitat

Memikirkan kesan yang berlaku ke atas Lautan Artik, Siti mula memikirkan bagaimana nasib beruang polar yang hidupnya bergantung pada bongkah-bongkah ais tersebut.

Apabila suhu semakin panas, ais akan mula mencair. Ketika itu, habitat beruang polar dan lain-lain haiwan akan menerima kesan buruk sekali gus hidupan-hidupan di sana juga bakal terancam.

Agensi berita AFP baru-baru ini melaporkan bahawa ais di Artik dijangka cair sepenuhnya menjelang musim panas dalam tempoh dua hingga tiga dekad akan datang.


Itulah antara penemuan terbaru satu pasukan penyelidikan di kutub utara yang diketuai oleh pengembara, Pen Hadow. Hadow memberitahu, kemungkinan besar Kutub Utara tidak akan mempunyai ais semasa musim panas dalam tempoh sedekad.

Hadow dan dua lagi rakyat Britain yang menjelajah Kutub Utara selama 73 hari dalam musim bunga mengambil lebih 6,000 ukuran dan pemantauan ais di sana.

Data yang diperoleh dari Mac hingga Mei lalu memberikan ramalan mengenai keadaan bongkah ais.

"Liputan ais musim panas akan hilang sepenuhnya dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun. Tetapi dalam masa kurang dari itu, jumlah ais akan berkurangan dengan banyak.

"Dalam masa sedekad, kawasan Artik akan menjadi laut lepas," kata ketua kumpulan fizik lautan polar dari Universiti Cambridge, Profesor Peter Wadhams.

Krisis

Penemuan itu sangat menakutkan. Terdapat kemungkinan manusia akan berdepan dengan krisis bekalan makanan dan air bersih yang kronik. Malah, udara akan menjadi sangat panas dan kering, selain hidupan lain juga pasti terjejas.

Lautan Artik meliputi hidupan seperti oleh manusia, tumbuh-tumbuhan tundra Kutub Utara seperti rumput rampai, herba-herba dan sebagainya. Oleh kerana ia berada begitu jauh di utara, maka adalah terlalu sukar untuk pokok-pokok tumbuh.

Antara haiwan yang hidup di Artik terdiri daripada beruang kutub, wolverin (sebahagian daripada keluarga musang), rubah Artik, ptarmigan (sejenis burung yang membuat sarang dalam gunung-gunung bersalji) dan ikan paus beluga iaitu sejenis ikan paus berwarna putih.

"Apabila Artik pupus, paras air laut akan meningkat. Pada masa itu juga, iklim dunia akan menjadi tidak stabil. Hidupan di laut akan mati dan manusia akan berdepan dengan kekurangan sumber makanan dan air bersih," kata Wadhams.

Namun Siti memberitahu, banyak usaha telah dijalankan di Artik selain penyelidikan terperinci oleh Kanada, Amerika Syarikat (Alaska), Rusia dan lain-lain negara yang terletak berdekatan dengan Lautan Artik.

Sebenarnya, bukan mudah untuk Siti dan rakan-rakan saintis yang lain memasuki lautan tersebut. Mereka perlu mendapat permit atau mendapat jemputan khas untuk ke Artik. Itupun bukan semua kawasan dibenarkan untuk membuat penyelidikan.

Tujuannya agar kawasan tersebut dilindungi daripada ancaman manusia. Malah, kehadiran tiga saintis wanita itu juga dikawal ketat.

"Cabaran yang kami hadapi bukan sedikit. Bayangkan semasa membuat penyelidikan, kami dibawa dan dikawal oleh Pembantu Kerja Lapangan Artik bersenjata kerana bimbang kami terdedah dengan ancaman binatang buas.

"Malah, jika cuaca berubah buruk seperti angin kencang, penyelidikan juga perlu perlu dihentikan," katanya yang menjadi pensyarah sejak tujuh tahun lalu.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Irene Tan Kit Ping berkata, penyelidikan yang dijalankan di Artik itu bertujuan mengambil sampel-sampel tumbuhan yang terdapat di Artik untuk dibandingkan dengan sampel sedia ada dari Antartika.

"Kami ambil sampel seperti cendawan, air, lumut, rumpai laut, glasier dan beberapa sampel lain untuk dijadikan bahan kajian," katanya.

Hidupan liar

Jelas Irene, sepanjang berada di sana beliau berpeluang melihat pelbagai hidupan liar yang menarik seperti angsa teritip, burung camar artik, musang artik, rusa kutub Svalbard dan banyak lagi. Amat menyedihkan jika hidupan-hidupan itu pupus disebabkan ais di Artik mulai cair.

Irene berkongsi pengalaman memakai sut kering sebelum berdepan dengan ais yang cair.

"Sut kering itu akan memastikan kami terapung semasa keluar daripada bot membuat penyelidikan," katanya.

Ketiga-tiga saintis itu membuat penyelidikan di kawasan Artik menggunakan Stesen Dasan di Ny-Alesund, Norway, dengan kerjasama stesen penyelidikan dari Korea, China, Jepun dan India.


Sementara itu, menurut Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd. Nor, penyelidikannya di Artik bersama Ketua Jabatan Geografi, UM, Datuk Dr. Azizan Abu Samah empat tahun lalu menimbulkan rasa kesal dan sedih terhadap masalah kecairan ais di Artik.

"Pemanasan global menyebabkan jumlah air tawar di Laut Utara meningkat. Ini kerana air tawar lebih ringan daripada air laut.

"Kewujudan air tawar ini menyebabkan air laut yang sampai di daerah kutub diserap oleh kepanasan atmosfera. Penyerapan itu menyebabkan bongkah-bongkah ais menjadi cair," katanya.

Ujarnya, usaha bersama daripada semua pihak amat penting untuk menstabilkan cuaca dunia.

Ais sangat penting. Jika ais cair ia akan membahayakan kehidupan bukan sahaja di Artik tetapi juga di kawasan bumi yang lain. Ia turut mengakibatkan sumber pemakanan manusia mahupun binatang akan terjejas.

"Perairan Malaysia tidak terkecuali menerima ancaman kemusnahan. Sebahagian besarnya disebabkan manusia dan selebihnya oleh kesan semula jadi" katanya yang pernah memenangi anugerah Langkawi pada tahun 1957 berikutan usahanya memelihara alam sekitar.

Jelas Salleh, pengalaman berada di Artik menyuntik kesedaran pada dirinya. Hidup di dunia ibarat seperti sebuah keluarga.

Apa jua tindakan seperti pencemaran dan tidak menjaga alam sekitar dengan baik akan memberi implikasi kepada yang lain.

Kini, penduduk dunia sudah mula merasai kesan hasil daripada kerakusan sejak berpuluh tahun lamanya.

Paling malang kerosakan bukan hanya dirasakan oleh hidupan di darat, malah menjejaskan di laut.

Read more...

Bermukim di dua kota suci

















DUA kota suci, Mekah dan Madinah mula menerima tetamu dari seluruh pelosok dunia.

DUA kota suci, Mekah dan Madinah mula menerima tetamu dari seluruh pelosok dunia. Mereka mula memasuki kedua-dua kota suci itu sebagai persiapan untuk menunaikan ibadah haji tahun ini yang bermula pada bulan depan. Bagi jemaah Malaysia, mereka yang mendapat penerbangan awal akan singgah di Madinah untuk ziarah manakala selebihnya akan terus ke Mekah. Bagi jemaah yang singgah di Madinah, mereka akan tinggal di sana sekurang-kurangnya sembilan hari sebelum berangkat ke Mekah.

Bagi menyambut kedatangan jemaah haji yang dijangkakan kira-kira tiga juta orang tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi seperti pada tahun-tahun sebelumnya telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan ibadah haji pada musim ini berjalan lancar.

Setiap tahun, ada saja projek yang dilancarkan sama ada di Mekah atau Madinah.

Misalnya pada Oktober lalu, di kota Madinah, kerajaan melancarkan pelbagai projek pembangunan termasuk pembesaran kawasan Masjid Nabawi, projek bekalan elektrik, air, kesihatan dan sebagainya yang dianggarkan menelan kos 12 bilion Riyal Saudi. Dalam bidang kesihatan pula, jumlah katil di hospital juga akan ditambah. Begitu juga dengan pembesaran lapangan terbang di Madinah. Langkah ini bukan sahaja untuk keperluan penduduk tempatan tetapi juga bagi menjaga kebajikan para jemaah setiap tahun yang semakin meningkat. Walaupun projek- projek ini akan mengambil masa yang panjang tetapi matlamatnya adalah untuk kemudahan umat Islam dari seluruh dunia yang setiap tahun berebut-rebut mahu menunaikan haji di Mekah sambil melakukan ziarah di kota Madinah.

Di Mekah pula, pelan komprehensif sentiasa dilakukan bagi menjaga kebajikan, keselesaan dan keselamatan para jemaah setiap kali tiba musim haji. Tidak ketinggalan kemudahan pengangkutan awam, penginapan serta kemudahan asas lain termasuk bekalan air bersih. Sejak awal tahun ini, kerja-kerja pembesaran kawasan Masjidil Haram dilakukan di samping menaik taraf kemudahan di Padang Arafah dan Mina.

Menurut satu laporan media, pihak berkuasa juga mengedarkan risalah pelbagai bahasa kepada jemaah mengenai ibadat haji. Beberapa orang ulama juga dipilih untuk memberi kuliah selepas solat Subuh dan Asar sehinggalah waktu Isyak di Masjidil Haram. Mereka akan menyampaikan ceramah dalam pelbagai bahasa termasuk Arab, Urdu, Indonesia dan Inggeris bagi membimbing jemaah mengenai ibadat haji.

Maklumat berkaitan haji juga disediakan melalui perkhidmatan telefon.

Sementara itu, tenaga kerja bagi membantu jemaah turut ditingkatkan. Misalnya di Masjidil Haram sahaja, sebanyak 3,000 petugas dilantik bagi memastikan kebersihan di sekitar masjid terpelihara. Para pekerja ini akan dibekalkan dengan alat pencuci elektrik dan kenderaan kecil bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan dilakukan dan sampah sarap dibawa keluar daripada masjid. Bagi yang pernah mengerjakan umrah, mereka dapat melihat ketangkasan serta kecekapan para pekerja ini membersihkan lantai di sekitar Baitullah tanpa mengganggu umat Islam melakukan tawaf atau solat.

Sejuk dan panas

Para pekerja ini juga akan bertanggungjawab memastikan 18,000 termos air zamzam di dalam Masjidil Haram sama ada sejuk dan panas sentiasa diisi penuh.

Bagi kemudahan tawaf dan sai pula, sebanyak 10,000 kerusi roda akan disediakan untuk memudahkan pergerakan mereka yang kurang berupaya. Kerusi-kerusi roda ini boleh didapati di kawasan luar masjid dan di tingkat pertama pintu masuk Safa. Kerusi roda ini bagaimanapun hanya boleh digunakan di tingkat pertama yang menyediakan ruang khusus untuk jemaah berkerusi roda melakukan tawaf dan sai.

Bagi mengelakkan kes-kes jenayah, pasukan penguat kuasa juga dikerah untuk memastikan kejadian ragut tidak berlaku dan kamera litar diletakkan di semua tingkat masjid untuk memastikan keselamatan para jemaah.

Jumlah petugas yang mengawal masjid juga ditingkatkan. Jika sebelum ini, hanya 300 orang yang bertugas mengawal di 139 pintu masjid tetapi pada musim haji ini, jumlah itu meningkat kepada 700 orang. Bagi memudahkan jemaah juga, lapan tangga elektronik di dua pintu masuk masjid akan beroperasi 24 jam. Sebuah jambatan juga dibina bagi menyambung kawasan masjid dengan Hospital Ajyad.

Dalam soal kesihatan juga, Kementerian Kesihatan mengambil pelbagai langkah bagi memastikan kesihatan jemaah haji terkawal. Sebanyak 10,000 pekerja kesihatan dilantik termasuk melibatkan 40 doktor dan 147 jururawat dari luar negara. Pasukan perubatan yang terdiri daripada pelajar-pelajar perubatan juga akan digunakan untuk membantu melicinkan perkhidmatan kesihatan.

Terdapat 138 pusat kesihatan di Mekah, 28 di Mina, enam di Muzdalifah, 46 di Arafah dan 19 Madinah.

Jumlah katil di semua hospital di dua kota suci juga ditingkatkan kepada hampir 4,000 katil. Terdapat tujuh buah hospital di Mekah, tiga di Muzdalifah, empat di Mina dan 10 di Madinah. Langkah-langkah keselamatan juga diambil di kawasan melontar dengan menempatkan pasukan doktor dan jururawat serta ambulans. Pada masa yang sama sebagai program pendidikan kesihatan, kementerian berkenaan juga mengedarkan 1.75 juta risalah dalam tujuh bahasa bagi memberi mesej kesihatan kepada jemaah.

Secara keseluruhannya, Arab Saudi sudah bersedia menerima kedatangan tetamu-tetamu Allah dari seluruh dunia tanpa mengira kaum, kedudukan, pangkat atau darjat. Mereka ke situ dengan satu tujuan iaitu untuk beribadat.

OLEH Hassan Mohd Noor

Read more...

29 October 2009

Sungai sejarah















PADA tanggal 24 Ogos 1511, Afonso de Albuquerque dengan armada 17 atau 18 kapal dan lebih 1,000 soldadu menakluk Melaka, sekali gus menandakan permulaan episod baru kepada pelabuhan utama dari kampung nelayan kecil yang diasaskan Parameswara

PADA tanggal 24 Ogos 1511, Afonso de Albuquerque dengan armada 17 atau 18 kapal dan lebih 1,000 soldadu menakluk Melaka, sekali gus menandakan permulaan episod baru kepada pelabuhan utama dari kampung nelayan kecil yang diasaskan Parameswara.

Kini, selepas hampir 500 tahun, apa yang tinggal adalah runtuhan kota, monumen agama dan bangunan bersejarah kesan penjajahan kuasa besar Portugis, Belanda dan British.

Tidak perlu menyemak lembaran manuskrip lama, sejarah panjangnya dapat dihayati jika menyusuri Sungai Melaka dengan pakej Malacca River Cruise.

Kampung dinamakan sempena nama Pesuruhjaya Inggeris, Frederick Joseph Morten umpamanya menawarkan pemandangan rumah kampung dengan reka bentuk tradisional Melayu lama.

Asalnya, kampung itu dibuka Allahyarham Othman Mohd Noh pada 1920-an.

Keluasan tangga dan jenis jubin hiasan menjadi lambang kepada status pemilik rumah.

Seperti kata pemandu pelancong, Bernard: "Hanya penduduk yang kaya boleh membeli jubin import dari Itali."

Penghuninya gemar bersantai dengan membuka tingkap untuk menghirup udara dari luar.















Salah satu rumah di sini adalah Villa Sentosa. Muzium milik persendirian itu diwarisi sembilan generasi menghimpunkan pelbagai artifak termasuk gong berusia 200 tahun, almari antik berusia 100 tahun, tembikar dan arca lama, senaskhah al-Quran berusia 80 tahun serta kamus Inggeris-Arab terbitan 1926.

Villa ini juga menyajikan pengunjung dengan himpunan piring hitam era 50-an selain pameran senjata tradisional seperti tekpi yang berusia 100 tahun, pinggan mangkuk berusia 100 tahun dari China, England, Itali dan Perancis.

Di ruang tengah villa, ditempatkan sebuah pelamin tradisional Melayu yang dihiasi warna kuning.

Menghampiri tengah bandar, pengunjung dapat keindahan Hotel Majestic, hotel butik milik YTL yang pernah menjadi kediaman kepada ahli perniagaan berasal dari Guangzhao yagn dibina pada 1929.

Bangunan hotel yang asal dengan 24 bilik ini pernah menghimpunkan golongan ternama di Melaka.

Bekas pawagam lama Cathay, kata Bernard, menyimpan zaman kegemilangan wayang hitam putih studio Jalan Ampas. "Kelas pertama dikenakan bayaran RM1.77, kedua RM1.40 dan ketiga hanya 65 sen. Berhampirannya ialah Dewan Hang Tuah yang pernah menjadi Dewan Undangan Negeri Melaka," katanya.

Legasi British di Melaka pada 1800 dapat disaksikan pada binaan tangga lingkaran di belakang rumah kedai, manakala sesetengahnya masih memiliki cerobong asap.

Selang seminit kemudian, bot menyusuri rumah kedai berhampiran Jambatan Pasar yang pernah diabadikan dalam filem Hollywood lakonan Catherine Zeta-Jones dan Sean Connery pada 1999 menerusi filem Entrapment.

Tarikan utama pakej ini ialah Kota A'Famosa. Ia dibina Portugis selepas menakluk Melaka 1511.

Kota sepanjang satu kilometer ini memiliki lapan rumah kubu atau bastion, selain empat pintu gerbang untuk keluar masuk penduduk.

Namun, ia mula diruntuhkan pada 1807 selepas British mengambil alih pentadbiran Melaka dan prosesnya dikatakan mengambil masa tiga bulan dengan menggunakan bom. Apa yang tinggal hari ini adalah salah satu pintu utama, dengan runtuhan Gereja St Paul dibina pada 1521 oleh kapten Portugis, Duarte Coelho di puncak bukit.

Sambil mendengar fakta sejarah ratusan tahun Melaka, mata menangkap pemandangan sekumpulan burung merpati sering berlegar di satu dinding belakang rumah kedai. Burung itu mematuk batu merah untuk mendapatkan mineral dan kalsium.

Stadthuys, yang dibina Belanda, menjadi tarikan utama di kawasan yang kini dikenali sebagai Red Square atau Dataran Merah.

Dibina pada 1650, ia adalah bangunan tertua milik Kompeni India Timur Belanda atau VOC dan terletak berdekatan dengan gereja protestan tertua negara, Christ Church yang didirikan pada 1753.

Bastion Middleburgh, kubu di tepi sungai Melaka antara Bangunan Stadhuys atau lebih sinonim disebut Rumah Merah dan Quayside atau replika Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka yang ditemui pada 2006 kini dibina semula menggunakan batu laterit diimport khas dari Thailand untuk tujuan pelancongan.

Kubu menjadi sebahagian dari Kota A''Famosa, dihiasi lapan laras meriam yang beratnya dianggarkan 1,500 kilogram.

Sebelum bot berlabuh di Quayside Heritage Centre, Bernard, anak jati Melaka, mengejutkan kami dengan mengucapkan selamat tinggal dalam lebih 80 bahasa asing.

Ini seakan mengajak kami merentas masa kerana menurut pemandu pelancong berdarah kacukan itu: "Melaka pada zaman kegemilangannya menyaksikan lebih 80 bahasa dipertuturkan di muara sungai ini."












>>INFO



Bot akan melayari jambatan utama di Melaka termasuk Jambatan Tan Boon Seng, Ghostbridge of Malacca, Jambatan Pasar dan Jambatan Hang Tuah. Selain itu, bot akan melalui pokok Melaka, yang menjadi permulaan kepada empayar Melaka.


Ada dua jenis pakej utama - rakaman komentar atau terus dari pemandu pelancong. Pakej boleh dimulakan dari Taman Rempah, Pangkalan Rama dan Pusat Warisan Quayside yang mengambil masa kurang sejam.


Bot gentian kaca digunakan dinamakan sempena tokoh utama dalam sejarah Kesultanan Melayu Melaka seperti Hang Tuah, Hang Jebat, Munshi Abdullah dan Tun Perak. Pakej malam meliputi persembahan lagu tradisional dari penyanyi tempatan.


Perkhidmatan disediakan antara 9 pagi dan 11.30 malam. Tempahan dibuka untuk kumpulan dan acara khas. Maklumat lanjut hubungi Malacca River Cruise di talian 06-2814322.



Read more...

Flora dan fauna di Silam























RAMA-RAMA antara spesies serangga yang ditemui di Silam.

Para penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membongkar kepelbagaian bio hutan simpan Sabah yang mempunyai potensi pelancong.

ABDUL LAHIL SARAIL kagum melihat pelbagai spesies serangga, amfibia dan reptilia pada poster-poster yang dipamerkan pada pameran di Dewan Sri Kunak, Kunak, Sabah baru-baru ini.

Anak kelahiran Kunak yang berusia 42 tahun itu belum pernah melihat pelbagai jenis binatang seumpama itu meskipun gambar-gambar tersebut dirakamkan oleh para penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di hutan simpan yang berhampiran Lembah Danum, Tabin dan Madai itu.

Antara gambar serangga yang dipamerkan ialah serangga kayu, rama-rama, labah-labah dan banyak lagi yang begitu asing kepada kebanyakan pengunjung.

Pameran itu dianjurkan bersama oleh UKM dan wakil kawasan Parlimen Silam dan kawasan Dewan Undangan Negeri Kunak.

Menurut seorang daripada anggota kumpulan penyelidik berkenaan, Prof. Madya Dr. Norhayati Ahmad, terdapat kemungkinan lebih banyak spesies reptilia, amfibia dan serangga di hutan simpanan Sabah yang masih belum ditemui dan mungkin tidak boleh didapati di Semenanjung Malaysia.

"Terima kasih kepada UKM kerana mengendalikan aktiviti (penyelidikan) yang sebegitu baik di Silam. Saya belum pernah melihat atau terlintas dengan kewujudan kebanyakan serangga, reptilia dan amfibia yang dipaparkan dalam gambar pada pameran itu.

"Semuanya cantik-cantik dan menarik," kata Abdul Lahil seorang petugas di Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Abdul Lahil adalah antara beratus-ratus penduduk Kunak yang berada di dewan pameran itu bagi menyaksikan majlis pelancaran Kerjasama Penyelidikan UKM-Silam.

Obkjektif

Objektif penyelidikan berkenaan ialah untuk mengenal pasti potensi berasaskan ekonomi Silam dalam pelbagai sektor termasuk pertanian dan pelancongan di samping pembangunan sumber manusia dan kesihatan.

Data yang dikumpulkan itu pula mungkin berfaedah untuk kegunaan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan bagi tujuan merangka pembangunan masa depan Silam untuk faedah penduduk tempatan.

"Silam mempunyai potensi ekonomi dan pelancongan yang masih belum diterokai dan dibangunkan dengan sebaik mungkin. Lembah Danum dan Hutan Simpanan Tabin yang kaya dengan biodiversiti juga ada di sini.

"Gua Madai yang dikenali dengan sarang burung juga terdapat di sini. Dipercayai terdapat kawasan tinggalan ketamadunan awal manusia di Silam berdasarkan kepada hasil kajian Muzium Sabah manakala Islam di Sabah dipercayai disebarkan dari Silam," kata Saleh.

Silam juga kaya dengan sumber marin yang mempunyai potensi besar untuk diterokai dan dimajukan melalui industri akuakultur untuk faedah ekonomi kepada rakyat.

"Saya dimaklumkan oleh seorang penyelidik UKM bahawa hidupan marin di Teluk Darvel seperti terumbu karang adalah lebih cantik berbanding di Pulau Sipadan," katanya.
















ADA penyelidik berpendapat hidupan marin di Teluk Darvel lebih cantik berbanding Pulau Sipadan.

--------------------------------------------------------------------------------


Pasukan penyelidik

Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof. Dr. Salmijah Surif yang mengetuai misi universiti itu berkata, penyelidikan itu akan dikendalikan secara holistik berasaskan sumber yang terdapat di kawasan Parlimen Silam yang merangkumi daerah Kunak dan Lahad Datu dan daerah kecil Tungku.

"Kami mempunyai pasukan penyelidik dalam kesihatan, pendidikan, pasukan yang menjaga flora dan fauna di Silam dan yang menjaga sektor pelancongan. Kami turut membawa satu pasukan dari Fakulti Pengajian Islam dari UKM untuk menjalankan penyelidikan bagaimana Islam berkembang di Silam kerana ada sesetengah percaya bahawa Silam adalah antara tempat yang terawal menerima kedatangan Islam di Sabah.

Salmijah berkata, UKM akan menerbitkan sebuah buku berjudul Glimpses of Silam (Sekilas Silam) yang mengandungi koleksi gambar dan data semasa pasukan penyelidikan berkenaan melakukan lawatan pertama dan kedua ke Silam.

Beliau berkata, buku berkenaan kini sudah 80 peratus siap.

Dana

Mengenai langkah seterusnya bagi penyelidikan itu, Salmijah berkata, pasukan berkenaan telah merangka satu cadangan penyelidikan.

"Dalam sebarang penyelidikan, dana amat penting. Untuk mendapatkan dana untuk penyelidikan, kita perlu tampil dengan satu cadangan yang komprehensif dan menyakinkan untuk dikemukakan kepada pihak yang berminat bagi mendapatkan dana penyelidikan," kata beliau.

"Saya perhatikan pelancongan adalah satu aspek yang perlu diberi penekanan dalam projek kami. Bahan (sumber) telah sedia ada. Apa yang perlu dilakukan hanyalah bagaimana untuk menggunakannya. Jadi dengan berbekalkan kepakaran, kami akan membantu sedaya yang mungkin," katanya.





Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkongsian Universiti-Komuniti UKM, Prof Dr. Ismail Bahari berkata, sebuah kawasan air panas dan kawasan kolam lumpur di Kunak mempunyai potensi besar dalam tarikan pelancongan.

Beliau yang juga salah seorang daripada anggota pasukan penyelidikan berkata :

"Kita mungkin rugi sekiranya kawasan air panas berkenaan tidak dipulihara dan kolam lumpur berkenaan tidak dimajukan sebagai satu tarikan pelancongan. Inilah keistimewaan Kunak," kata Ismail yang merupakan salah seorang daripada anggota penyelidikan terbabit.


Read more...

28 October 2009

Sekolah bestari pemangkin modal insan
















Sekolah Bestari menjana modal insan berkualiti.

''JANGAN salah sangka,.. kami bukan mengajar murid melayari Internet…," kata Dr. Norrizan Razali ketika ditanya wartawan, apakah sasaran pembestarian 10,000 buah sekolah, dan faedahnya kepada pelajar dan murid.

Jadi, apakah sekolah bestari? Apakah pula pembestarian sekolah? Apa implikasinya? Apakah yang menjadikan sekolah bestari itu bestari?

Memang abstrak dan sukar difahami, sehingga ada wartawan daripada luar negara yang bertanya, apakah sudah ada petunjuk keberkesanan kepada pembangunan sumber manusia, khususnya melihat impak program kepada lepasan sekolah yang melalui program sekolah bestari - program yang akan menyambut ulang tahunnya ke-10 pada tahun depan.

Bagi Dr. Norrizan, sekolah bestari bukan sekadar jargon i-kit, papan putih interaktif, layar multimedia atau perisian akses kendiri atau rangkaian wayar yang berselirat di sana dan sini yang menghubungi satu komputer dengan komputer yang lain.

Sudah tentulah soalan sebegitu akan ditanya apabila Malaysia mahu mendepani dan seterusnya menjuarai program pembangunan modal insannya.

''Faktor manusiawi yang penting untuk dibestarikan, bukan perkakasan," tambah Pengurus Kanan Perbadanan Pembangunan Multimedia Sdn. Bhd. (MDeC) itu dalam satu pertemuan makan tengah hari dengan wartawan tempatan dan asing di ibu negara baru-baru ini.

Ternyatalah sudah terdapat petunjuk perubahan paradigma dalam pemikiran dan menentukan arah tuju serta matlamat pembestarian sekolah. Yang penting, satu rumus tidak akan menyelesaikan semua masalah. Pelbagai pemikiran perlu diterima dan dicuba.

Impian besar MDeC - sebagai fasilitator dan penasihat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) - ialah mengikis rutin sekolah sebagai institusi talk and chalk, atau pendeta (guru) berleter di depan kelas.

Pembestarian sekolah bukan lagi tentang membeli peralatan berbilion ringgit, tetapi ia perlu bermula dengan mengurus perubahan dan sikap, budaya kerja dan akhirnya menjadikan pembestarian sekolah sebagai pertaruhan maruah kepada pencapaian indeks prestasi sesebuah sekolah.

Sungguh berat tugas MDeC. Namun Dr. Norrizan, sebagai mantan pemikir Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), sudah cukup lama menelusuri rimba sains pemikiran dalam perubahan pendidikan.

Isu kecil dan besar perlu difikirkan oleh wanita besi ini. Daripada isu pedagogi, penyampaian, kurikulum, latihan sehingga faktor logistik dan penerimaan guru, pentadbir, penyelaras teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta ibu bapa perlu ditangani secara serentak dan berkesan.

''Murid dan pelajar bukan isu dalam pelaksanaan pembestarian sekolah kerana yang penting ialah guru," tegasnya.

Memang betul kata beliau kerana kalau melihat apa yang berlaku kepada kegagalan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), maka ketidakcekapan guru menjadi dalang atau punca utama kepada penentangan massa terhadap program berkenaan, bukan faktor perubahan positif (sedikit sebanyak berlaku) kepada murid.

Justeru, pembestarian sekolah dan program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) akan menerima padah yang sama kalau kesilapan yang sama diulang.

Inisiatif Sekolah Bestari dilancarkan pada Julai 1997, sebagai satu daripada tujuh mercu Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia.

Sepanjang tempoh program rintis, peranan MDeC adalah sebagai fasilitator dan penasihat projek. Pada Persidangan IT Kebangsaan pada April 2006, MDeC diberi mandat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai pemandu dalam usaha menaik taraf 88 sekolah bestari sedia ada sebagai penanda aras atau sekolah model kepada 10,000 buah sekolah lain dalam program pembestarian semua sekolah.

Tanggungjawab itu ditambah apabila pada 2009 dan 2010, perbadanan itu diminta mempercepatkan proses pembestarian semua sekolah sebagai sekolah bestari, dengan fokus permulaan kepada 50 buah sekolah luar bandar. Program pembestarian kini dikembangkan ke luar bandar di seluruh negara, meliputi 10,000 buah sekolah.

Fokus pada 2009 sehingga 2010 adalah untuk mensaksamakan ekuiti pendidikan bestari di semua sekolah - bandar dan luar bandar. Peranan MDeC pada 2009 sehingga 2010 itu adalah berdasarkan kepada keputusan mesyuarat antara Menteri Pelajaran dengan pengurusan tertinggi kementerian pada 23 September 2008 lalu.

Mesyuarat bersetuju untuk MDeC memastikan pelaksanaan sekolah bestari dapat dilaksanakan dengan fokus kepada 50 sekolah luar bandar secara berperingkat. Buat permulaan, 15 buah sekolah luar bandar dipilih untuk menjalani program pembestarian.

Menurut Dr. Norrizan, pendekatan pelaksanaan 1 size fits all tidak boleh diguna pakai di semua sekolah khususnya jika program itu mahu dilaksanakan di sekolah luar bandar. Sebagai maklumat latar, 45 peratus sekolah di negara ini adalah dalam kategori luar bandar.

Ujar Dr. Norrizan lagi, pelaksanaan model yang khusus untuk jenis-jenis sekolah yang berbeza diperlukan dalam usaha pembestarian sekolah. Program akan meliputi Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Sekolah Kebangsaan meliputi sekolah pendidikan khas, sekolah agama, sekolah Felda dan sekolah Orang Asli dan Penan.

Bagi Sekolah Menengah Kebangsaan - Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Menengah Kebangsaan Harian. Sekolah Jenis Kebangsaan pula meliputi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Kata beliau, model pelaksanaan pemantapan 88 sekolah bestari penanda aras akan mengambil kira enam langkah iaitu model pelaksanaan, Piawaian Kelayakan Sekolah Bestari (SSQS), meja khidmat berpusat, modul pembangunan profesional, alat inovatif untuk pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta amalan terbaik mengintegrasi bahan berasaskan ICT untuk P&P.

''Semua senarai semak atau perkara tersebut akan dipantau hasilnya sama ada berdasarkan peningkatan dari segi prestasi dan kecekapan pembelajaran atau peningkatan dalam penggunaan dan penerimaan," katanya.

Setakat apa yang telah dilaksanakan sekarang, kata beliau, MDeC dan gabungan lapan syarikat ICT tempatan dan syarikat ICT global membekalkan infrastruktur, perisian dan latihan tambah nilai.

Beliau optimis dengan usaha yang diusahakan sekarang akan membuahkan hasilnya melalui beberapa program seperti sekolah showcase, sistem pasangan (buddy system), Briged Bestari dan sebagainya.

''Program bestari boleh dilaksanakan dengan jayanya untuk masyarakat luar bandar,' kata Dr. Norrizan menutup pertemuan.

Oleh WAHID HASHIM
pengarang@utusan.com.my

Read more...

Beradab dalam berbahasa



















BULAN Bahasa Kebangsaan sepanjang bulan ini bukan sahaja menuntut kita menggunakan dan mengutamakan bahasa Melayu malah membudayakan bahasa milik Satu Malaysia itu dengan beradab dan sopan.

Adakah kita tertib dalam berbahasa atau kena pada masa dan tempatnya?

Paling mudah, kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS). Tidak patut berlaku SMS yang menggunakan bahasa caca-marba. Kita akui tujuan SMS adalah untuk menghantar pesanan ringkas tetapi hairannya mengapa ada pihak boleh pula menaip 'kenapa' sebagai napew tidak nape atau 'mana' sebagai maner? Bukankah ejaan sedemikian hanya memanjangkan kata berkenaan?

Selain itu, ada pula kakitangan yang mewakili jabatan buat pertama kali menelefon pegawai jabatan lain dengan membahasakan dirinya dan orang lain sebagai "abang", 'adik", "Kak Ti" atau "awak" atas urusan rasmi.

Hal ini turut 'berjangkit' dalam kalangan pelajar universiti. Apabila mereka berhubung dengan agensi atau syarikat atas keperluan kursus pengajian atau memohon peruntukan ada antara mereka sekadar menghantar SMS.

Mesejnya pula menggunakan bahasa yang sukar difahami. Jika menelefon pula, selepas memberi salam kerap dimulakan dengan "En. Ali, ke ni?". Sepatutnya, lebih elok jika memperkenalkan diri dan meminta maaf terlebih dahulu jika mengganggu kemudian barulah menyatakan tujuan menelefon.

Hakikatnya, panggilan formal seperti "encik" dan "saya" lebih sesuai jika berhubung atas urusan rasmi melainkan mungkin kenalan rapat atau umur sebaya. Berkomunikasi perlu mengambil kira faktor kesesuaian usia, masa, tempat dan kedudukan sosial.

Jika tidak, wujudlah keadaan gagal membezakan mana situasi yang memerlukan kita serius dan mana yang tidak perlu. Kerja tidak profesional juga berlaku akibat bercakap pun sambil lewa. Status pelajar universiti pula akan turun apabila bercakap masih kebudak-budakan.

Begitu juga semasa berbual. Timbul gejala apabila bercakap dengan bukan Melayu, orang Melayu akan bercakap menggunakan bahasa Inggeris. Walhal, apabila dua orang bukan Melayu bercakap dan dalam masa yang sama ada seorang Melayu, perbualan sesama bukan Melayu itu adalah dalam bahasa mereka bukannya pun dalam bahasa Inggeris!

Seharusnya, bulan Oktober ini dijadikan sebagai pencetus azam seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira warna kulit dan status sosial untuk membudayakan bahasa kebangsaan yang beradab dalam setiap urusan seharian sama ada secara bertulis mahupun lisan.


Read more...

27 October 2009

Buku Braille -Jendela kepada dunia ilmu dan pengetahuan.
























BUKU Braille sangat diperlukan golongan cacat penglihatan.

Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) menyediakan pelbagai bahan bacaan daripada novel hingga buku ilmiah untuk golongan itu yang terletak di Brickfields, Kuala Lumpur.

BAGI manusia sempurna, buku Braille hanyalah sekeping kertas yang penuh dengan titik-titik kecil. Namun, kepada golongan cacat penglihatan, ia umpama jendela kepada dunia ilmu dan pengetahuan.

Jika teks novel atau artikel biasa perlu melalui proses penterjemahan kepada titik-titik Braille di atas kertas, bagaimana pula dengan buku teks sekolah yang mengandungi pelbagai gambar rajah?

Sudah tentu bahan teks sahaja tidak mencukupi untuk menerangkan sesuatu yang kompleks. Jadi gambar rajah juga perlu diterjemahkan


Bagaimanapun, proses menghasilkan diagram Braille tidaklah semudah yang disangka. Ia perlu dilakukan secara manual seperti kita melakukan seni kolaj iaitu potong dan tampal.

Menurut pustakawan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Maswirda Morad, 28, proses membuat master copy gambar rajah memakan masa yang agak lama iaitu di antara satu hingga dua hari untuk satu muka surat.

"Individu terbabit perlu kreatif dalam menentukan bahan yang digunakan untuk menimbulkan gambar rajah yang ada. Antara bahan yang kami guna adalah benang, dawai, manik, kertas pasir dan kad manila.

"Sebelum dicetak di atas kertas khas iaitu braillon, master copy itu perlu diperiksa oleh orang cacat penglihatan bagi menentukan sama ada gambar rajah itu difahami atau tidak. Jika ia tidak mampu menyampaikan mesej yang sepatutnya, diagram itu perlu dibuat semula," kata Maswirda, pemegang Sarjana Muda Pengurusan Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Setelah gambar rajah itu sempurna, ia akan dicetak menggunakan mesin Thermoform yang menggunakan haba bagi menekapkan kolaj tersebut kepada kertas braillon. Mesin tersebut berharga RM14,255 sebuah.


Namun, kata Maswirda, jika ada kecacatan walaupun sedikit pada kertas braillon iaitu seperti terlipat atau tergaris, ia tidak akan digunakan.

Ini kerana pembaca cacat penglihatan bergantung kepada deria hujung jari untuk membaca. Jika ada sebarang kecacatan pada muka surat, ia akan mengganggu pembacaan mereka.

Buku Braille bukan saja mengambil masa yang lama, bahkan ia juga melibatkan kos yang tinggi untuk dihasilkan. Sehelai kertas braillon berharga RM1. Sehubungan itu, kata Maswirda, harga buku Braille boleh mencecah tiga kali ganda daripada buku biasa.















MESIN embosser boleh mencetak kedua-dua bahagian depan dan belakang kertas.

--------------------------------------------------------------------------------
Mesin pencetak Braille pula iaitu mesin embosser Everest keluaran Index bernilai RM16,425. Mesin ini berfungsi seperti mesin pencetak biasa, bezanya ia adalah untuk kod Braille.

Mesin ini menggantikan mesin taip Braille konvensional dan mampu mencetak buku Braille dengan lebih cepat. Ia digunakan bergandingan dengan perisian JAWS yang dilengkapi suara dan mampu menterjemahkan tulisan rumi kepada Braille.

Setiap buku akan diimbas ke dalam perisian JAWS atau ditaip ke dalam Microsoft Words. Setelah disunting bagi memastikan tiada kesalahan ejaan, ia akan dicetak. Keistimewaan embosser ini adalah ia mampu mencetak kedua-dua bahagian kertas tersebut.

"Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana titik Braille dicetak di atas kertas yang sama depan dan belakang. Sebenarnya, mesin ini telah diprogramkan untuk mencetak titik Braille berbeza baris.

"Muka hadapan akan dicetak di atas manakala muka belakang akan dicetak sedikit ke bawah. Ia tidak akan mengelirukan kerana pembaca akan membaca titik yang timbul sahaja," kata kerani Unit Penerbitan Braille MAB, Abian Jambot, 33.
















BUKU Braille jauh lebih tebal berbanding buku konvensional.

--------------------------------------------------------------------------------


Menurut Abian, walaupun buku-buku tersebut telah diimbas, mereka tetap akan meminta sukarelawan atau staf yang celik untuk menyunting semula setiap perkataan yang ada bagi mengelakkan kesilapan.

Bagi produksi yang lebih besar, MAB mempunyai sebuah lagi mesin iaitu Four Wave yang mampu mencetak 16 helai pada satu masa.

Penerbitan buku Braille yang dilakukan di Perpustakaan MAB adalah untuk kegunaan perpustakaan itu ataupun dijual mengikut tempahan penerbitan buku-buku tertentu.



MESIN embosser yang berharga RM16,425 seunit.

--------------------------------------------------------------------------------



"Setakat ini, perpustakaan MAB mempunyai 526 ahli berdaftar. Masih ramai sebenarnya yang tidak mengetahui bahawa di sini ada menawarkan pelbagai kemudahan seperti pinjaman bahan bacaan dan juga tempahan buku Braille.

"Dengan penerbitan-penerbitan buku baru setiap bulan, secara langsung ia menambahkan bahan bacaan di perpustakaan ini. Kami juga ada membuat promosi di sekolah-sekolah dan juga perpustakaan lain untuk mempromosikan perkhidmatan dan produk yang kami tawarkan," kata Maswirda.

MAB menerima tempahan daripada pelbagai organisasi untuk menghasilkan buku Braille, termasuk agensi kerajaan seperti Kementerian Pelajaran, organisasi seperti Bank Negara Malaysia dan individu yang ingin melakukan khidmat masyarakat atau untuk kegunaan sendiri.

Namun, hasil buku Braille tidak akan sama dengan buku teks biasa kerana ruang Braille berbeza daripada ruang cetakan biasa. Bagi sebuah buku teks dengan jumlah purata 350 muka surat akan menghasilkan 12 jilid buku dengan kod dan diagram Braille.

Kerana itu ramai yang datang ke perpustakaan MAB lebih cenderung meminjam buku audio iaitu bacaan buku yang direkod ke dalam cakera padat (CD) kerana ia lebih mudah untuk dibawa.

Bagi proses penerbitan buku audio pula, pihak perpustakaan MAB menggunakan khidmat sukarelawan bagi membaca buku di dalam studio khas untuk direkodkan. Dengan ini, orang kurang upaya (OKU) boleh mendengar kandungan buku dengan hanya meminjam sekeping CD.

Tiada bayaran dikenakan untuk setiap pinjaman bahan di perpustakaan cuma akan didenda sekiranya lewat memulangkan bahan-bahan tersebut.

Kini, perpustakaan MAB mempunyai 900 buku audio dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Buku Braille pula sebanyak 1,652 dalam bahasa Inggeris dan Melayu sesuai untuk bacaan dewasa dan kanak-kanak.


SEORANG pekerja MAB, Rosnah Tahar, memeriksa buku Braille yang telah siap.

--------------------------------------------------------------------------------


Sukarelawan-sukarelawan akan datang ke MAB untuk menjalankan kerja-kerja rakaman audio, membaca buku kepada petugas (yang cacat penglihatan) untuk ditaip atau membuat kolaj gambar rajah.

Menurut seorang sukarelawan Uma Thevendran, 64, yang baru empat bulan menawarkan khidmatnya di MAB, niat untuk melakukan amal telah disimpan sejak dulu lagi cuma tidak mempunyai peluang.

"Selepas pencen saya tidak ada banyak aktiviti untuk dilakukan. Saya akan ke MAB setiap minggu untuk membaca selama lebih kurang sejam.

"Saya telah lama tahu mengenai program sukarelawan ini cuma tidak berkesempatan menyertainya. Ini adalah cara terbaik membantu mereka yang memerlukan," katanya ketika ditemui dalam bilik audio MAB.

Setakat ini, MAB mempunyai kira-kira 30 sukarelawan yang aktif menawarkan suara atau tenaga untuk produksi buku-buku Braille.

Pihak MAB mengalu-alukan pihak yang ingin menjadi sukarelawan. Mereka yang berminat boleh menghubungi MAB di talian 03-2272 2677.

Read more...

Haji sempurnakan Islam Muslim
















Sempurnanya Islam seseorang Muslim hanya apabila mereka telah menunaikan rukun Islam yang kelima, menunaikan haji di Baitullah.

Pendahuluan

Ibadat haji adalah satu kefarduan ke atas setiap individu Muslim yang mukalaf dan berkemampuan. Sempurnanya Islam seseorang Muslim hanya apabila mereka telah menunaikan rukun Islam yang kelima, menunaikan haji di Baitullah.

Sememangnya setiap umat Islam yang memenuhi syarat hendaklah menunaikan rukun Islam yang kelima itu. Junjungan besar Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan kita melalui sabdanya yang bermaksud: "Sesiapa yang memiliki bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitul Haram, tetapi tidak menunaikan hajinya maka kematiannya pasti sebagai seorang Yahudi atau Nasrani". (riwayat At-Tirmizi)

Kaifiat melangkah ke Baitullah

Alangkah baiknya jika fardu haji ini dapat kita tunaikan dalam keadaan tubuh badan yang sihat dan cergas. Kesihatan kita pasti sentiasa berubah, lazimnya uzur apabila usia semakin meningkat dan dibejati oleh pelbagai penyakit serta permasalahan lain.

Oleh itu, apabila berkemampuan menunaikannya, kita tidak perlu menunggu sehingga usia tua lantaran maut tidak memilih usia seseorang.

Alangkah sedihnya mereka yang meninggal dunia dalam keadaan kaya-raya, mewah dan berupaya menunaikan haji tetapi tidak sempat menunaikan haji tanpa sebarang uzur syarie.

Tuntutan haji merupakan satu perintah yang mesti ditunaikan apabila cukup kemampuan. Jangan pula ada yang tidak mahu menunaikannya dengan alasan "belum sampai seru" sedangkan seruan Allah dan rasul sentiasa disampaikan kepada kita.

Malangnya kesedaran untuk menyempurnakan rukun Islam kelima ini dilihat seperti bermusim. Kesedaran hanya akan timbul bila musim haji tiba saban tahun. Pastinya ramai yang menanam azam untuk membuka akaun dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) apabila terdengar radio memainkan nasyid tanda tibanya bulan haji.

Bagaimanapun tidak ramai yang berjaya menyempurnakan azam tersebut. Semangat untuk menjadi tetamu Allah bagaikan melayang apabila mendengar teman yang telah mendaftar terpaksa menunggu 10 tahun lagi untuk menunaikan ibadat haji.

Ingatlah! Kejayaan sesuatu misi itu bermula dengan langkah pertama. Dalam konteks ini, membuka akaun dan berdaftar dengan LTH adalah langkah permulaan anda.

Fadilat menunaikan haji

Fadilat menunaikan haji amat banyak. Antaranya sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW dari Abu Hurairah yang bermaksud:

l"Sesiapa yang menunaikan haji ke Baitullah sedang dia tidak mengeluarkan kata-kata keji dan melakukan perbuatan yang kurang sopan juga tidak membuat fasiq (caci memaki) maka dia akan terlepas dari dosa-dosanya sebagaimana anak-anak kecil yang baru lahir dari perut ibunya".

l"Tiap-tiap muslim yang keluar dari rumahnya menuju jihad fisabillah, kemudian jatuh dari kenderaan dan dipijak oleh binatang atau mati dengan apa cara sekali pun, maka ia dikira mati syahid. Dan tiap-tiap muslim yang keluar dari rumahnya dengan niat mengerjakan haji ke Baitullah kemudian ia mati sebelum menyempurnakan hajatnya, maka Allah mewajibkan untuknya syurga".

Abu Al-Laith As-Samarkandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Abdullah b. Ibad r.a berkata: Kami di Mina bersama Nabi Muhammad SAW tiba-tiba datang rombongan dari Yaman, lalu mereka berkata, "Beritakan kepada kami fadilat haji ya Rasulullah". Jawab nabi SAW: "Baiklah, tiap-tiap orang yang keluar dari rumahnya dengan niat haji atau umrah, maka tiap langkahnya gugurlah dosa-dosanya dari badannya sebagaimana gugurnya daun kering dari pohon. Maka apabila telah sampai ke Madinah dan memberi salam lalu berjabat tangan kepada ku, dijabat tangan oleh malaikat. Maka apabila telah sampai di Zulhulaifah lalu mandi sunat ihram maka Allah SWT menyucikan dari semua dosanya. Kemudian jika ia memakai pakaian baru untuk ihram, Allah membaharui baginya kebajikan dan bila mengucapkan Labbai kallahumma labbaik langsung dijawab oleh Allah SWT (Asma' kalaamaka wanzur ilaik) yakni aku mendengar kata-katamu dan melihat padamu, maka apabila telah sampai di Mekah dan Tawaf serta Saie di antara Safa dan Marwah maka Allah SWT menuang baginya kebaikan. Lalu ketika wukuf di Arafah dan gemuruh suara berdoa.

Maka Allah SWT membanggakan kepada malaikat dan berfirman yang bermaksud: Wahai malaikat dan penduduk langit, tidakkah kamu melihat hambaku yang datang dari seluruh pelosok alam yang jauh dalam keadaan yang terurai dan berdebu. Mereka telah mengorbankan harta dan benda, maka demi kemuliaan dan kemurahanku, aku akan memaafkan orang-orang yang berdosa dan melepaskan mereka dari dosa sebagaimana anak kecil yang baru lahir dari perut ibunya. Demikian pula apabila telah melontar jamrah dan mencukur rambut lalu Tawaf Ifadah iaitu ziarah. Maka ada seruan dari Arasy, kembalilah, kamu sudah diampunkan semua dosa-dosamu dan perbaharuilah amal perbuatanmu".

Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berdoa: "Ya Allah, ampunilah bagi orang-orang yang melakukan ibadat haji dan bagi orang yang dimintakan ampun oleh orang yang berhaji".

Kelebihan menziarah Haramain

Allah telah menetapkan bahawa sesuatu itu ada yang melebihi yang lainnya. Di samping Allah SWT menjadikan kelebihan di antara sesama manusia, Dialah juga yang menetapkan kelebihan yang tertentu pada tempat tertentu.

Allah SWT melimpahkan berkatnya terhadap Mekah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawarrah dari segala tempat yang lain di dunia ini seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Sekali sembahyang di masjidku (Masjid Madinah) lebih baik daripada 1,000 kali sembahyang di tempat lain kecuali di Masjidil Haram".

Kita lebih bercita-cita melawat tempat-tempat lain berbanding Mekah al-Mukarramah. Kita cukup selesa mengunjungi rumah-rumah manusia berbanding rumah-rumah Allah SWT. Wang dan harta yang kita kumpulkan kita habiskan bagi melancong di atas muka bumi Allah sedangkan Baitullah dan tanah haram Allah tidak dikunjungi. Adakah ini tandanya kita mensyukuri nikmat-nikmat Allah dan beradab sopan dengan Allah?

Kita tidak boleh terus mengambil sikap suka bertangguh dalam melakukan kebaikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan kalau Allah mengkehendaki nescaya ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu) tetapi ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumba lah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal saleh). Kepada Allah jua tempat kembali kamu semuanya, maka ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya. (al-Maidah: 48)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara: muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk, kaya sebelum miskin, sihat sebelum sakit, hidup sebelum mati." (riwayat Baihaqi)

Umat Islam hari ini banyak ketinggalan dalam segala hal kerana suka bertangguh.

Kita sering menangguhkan pelaksanaan perintah-perintah Allah untuk memastikan kesempurnaan pelaksanaannya hingga akhirnya kita langsung tidak melaksanakannya. Kita masih terus memohon penangguhan ajal di hadapan Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada kamu sebelum seorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat ini) akan merayu dengan katanya: "Wahai tuhanku! Alangkah baiknya kalau engkau lambatkan ajal matiku ke suatu masa sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang-orang soleh". (al-Munafiqun: 10)

Penutup

Sebagai umat Islam yang baik, mulakan langkah pertama dengan menabung di LTH dan segera berdaftar untuk menjadi tetamu Allah. Di samping itu, berusaha dan berdoalah agar dipanjangkan umur dan dikurniakan rezeki menjadi tetamu Allah kepada sebaik-baik tempat di muka bumi ini iaitu Baitullah, Tanah Suci Mekah.

lWAN NAJMIAH WAN MOHAMAD ALI ialah Penolong Pengarah Haji (1), Bahagian Haji di Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar), Jabatan Perdana Menteri


Read more...

26 October 2009

Rahsia anak pintar























“Aktiviti pendidikan perlu dijalankan dalam suasana ceria dan mampu menimbulkan perasaan ingin tahu di kalangan anak.

“KEBIJAKSANAAN bukan satu warisan, sebaliknya asuhan ibu bapa menentukan hala tuju masa depan anak masing-masing.” Demikian kata ibu kepada empat anak yang memiliki kepintaran luar biasa, Halimahton Yusof.

Ditemui di kediamannya di Sunway Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, ahli perniagaan berusia 53 tahun itu berkobar-kobar meluahkan hasratnya untuk berkongsi pengalamannya membesarkan Isaac, Aisha, Sufiah, Iskander dan Zuleikha hingga membolehkan mereka memasuki universiti di United Kingdom (UK) pada usia sangat muda.

“Saya bukan bijak dalam matematik, kimia atau fizik, sebaliknya hanya ibu biasa yang mahu melihat tumbesaran serta perkembangan anak menggunakan kaedah di luar kotak, tidak seperti biasa diamalkan.

“Kerana itu sejak kecil lagi saya asuh kelima-lima anak saya asuh untuk menjadi dan berfikir kreatif. Dalam masa sama, saya menggalak dan membimbing mereka berdasarkan apa yang mereka mahukan,” katanya yang berasal dari Muar, Johor.

Lima anak Halimahton iaitu Isaac Yusof, 27, Aisha, 26, Sufiah, 24, Iskander Ibrahim, 23, dan Sabrina Zuleikha, 15, memiliki kepintaran luar biasa, terutama dalam bidang matematik, sehingga digelar keluarga paling pintar di UK.

Isaac yang kini menjalankan perniagaan sendiri di UK mendapat tawaran memasuki universiti pada usia 15 tahun diikuti Aisha serta Iskander, memasuki Universiti Warwick pada usia 15 tahun dan 12 tahun, Sufiah ke Universiti Oxford pada usia 13 tahun manakala Zuleikha ditawarkan ke universiti pada usia 14 tahun.

Yakin pengalamannya boleh membantu ibu bapa selain anak, Halimahton kini membuka sebuah pusat tuisyen serta merangka ‘Program Bestari Pra Sekolah’ di Kota Damansara.

“Ia bukan saja untuk anak, malah ibu bapa juga akan menyertai kelas berkenaan. Penyertaan ibu bapa perlu kerana mereka bakal didedahkan kepada teknik pengajaran asas khusus bagi membentuk kepintaran anak bermula di peringkat bayi hingga berusia lima tahun.

“Dalam kelas sejam itu pelbagai perkara akan dilakukan menggunakan teknik tertentu seperti apa yang ada di sekeliling kita bagi membentuk keinginan anak berusia bawah lima tahun itu untuk membaca, menulis selain memiliki kemahiran dalam matematik,” katanya.

Menurut Halimahton, anak tidak boleh dipaksa melakukan sesuatu kerana ia bukan saja menyekat perkembangan mereka, malah menjadikan golongan cilik itu tidak boleh berfikir secara meluas selain tidak kreatif.

Katanya, yang penting ibu bapa tidak harus melakukan sekatan minda, sebaliknya membantu menajamkan lagi pemikiran anak mereka berdasarkan kecenderungan ditunjukkan.

“Aktiviti pendidikan perlu dijalankan dalam suasana ceria dan mampu menimbulkan perasaan ingin tahu di kalangan anak. Contohnya seperti apa yang saya lakukan iaitu membasuh pinggan mangkuk, saya akan minta anak membantu dengan menyusun dan mengkategorikannya mengikut jenis serta susunan.

“Mungkin ia kelihatan remeh, tetapi tanpa disedari penyusunan dan pengkategorian berkenaan ada unsur matematik manakala sabun basuh serta air membersihkannya pula berkaitan dengan kimia juga fizik,” katanya.

Berbalik kepada kelas tuisyen berkenaan, Halimahton memaklumkan, hanya enam keluarga dibenarkan ada dalam satu kelas pada satu-satu masa bagi memastikan teknik pengajaran asas khusus itu boleh dijayakan semaksimum mungkin.

Alat bantuan pengajaran juga ringkas tetapi ia boleh menarik perhatian anak selain memudahkan ibu bapa mendapatkannya di mana-mana.

Dalam masa sama, komunikasi antara anak serta ibu bapa juga dititikberatkan kerana proses pembelajaran menjadi tidak bermakna tanpa penyertaan kedua-dua pihak itu.

“Masalah dalam masyarakat kita ialah sering melabel anak sebagai malas, tidak berguna dan pelbagai lagi. Ibu bapa tidak boleh melabel anak mereka sebegitu rupa kerana ia hanya menyebabkan anak masing-masing lebih tidak terurus, sedangkan banyak potensi dalam diri mereka yang boleh dikembangkan.

“Kerana itu dalam kelas yang saya kendalikan, ibu bapa diminta melihat tingkah laku anak masing-masing dan menyertai apa saja aktiviti anak bagi mengeluarkan potensi sedia ada untuk dikembangkan lagi ke tahap optimum,” katanya.

Antara perkara lain yang diajar di dalam kelas tuisyen berkenaan ialah bagaimana mahu membantu anak menyelesaikan masalah membabitkan pelajaran dan sebagainya, selain mengasuh anak untuk menghargai sesuatu perkara atau objek seperti barangan permainan.

Menurut Halimahton, anak boleh menyelesaikan masalah dengan mudah tetapi ia perlukan panduan, dorongan selain disiplin dan di situlah kemahiran ibu bapa diperlukan.

“Jika kita menggalakkan serta menunjukkan anak cara menyimpan permainan secara tersusun selepas bermain dengannya, mereka pasti boleh melakukannya secara berterusan tetapi jika dibiarkan malah dimarahi, perkara berkenaan tidak akan berlaku.

“Selain itu, dalam kelas nanti ibu bapa juga akan diajar membuat jadual khusus untuk anak. Bagaimanapun, pastikan jadual dibuat itu penuh dengan aktiviti pembelajaran yang turut disertai ibu bapa dan bukan hanya anak melakukannya,” katanya.

Sementara itu Iskander berkata, dia membantu ibunya membuka kelas berkenaan kerana tahu apa yang dilakukan wanita berkenaan sepanjang mendidiknya berkesan.

“Kami lima beradik yakin dengan teknik digunakan ibu dalam pendidikan seharian dan kerana itu saya akan membantu ibu merealisasikan impian membantu ibu bapa lain mengasuh anak menggunakan kaedah uniknya.

“Dalam masa sama ada juga kaedah yang ibu guna untuk kami dulu kami perbaharui kerana hanya kami yang tahu sama ada ia berkesan atau cukup berkesan. Oleh itu saya yakin gandingan antara pengetahuan ibu serta pengalaman kami menerima didikan berteraskan teknik khas berkenaan mampu dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

Pelbagai lagi teknik akan diajar dalam kelas khusus berkenaan dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi Halimahton melalui e-mel classes@learnerade.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kelas akan dijalankan pada hujung minggu dan hari biasa membabitkan dua jam seminggu dengan bayaran RM55 sejam atau RM50 sejam jika membuat bayaran secara bulanan, manakala program dijalankan pula terbahagi dua iaitu tiga bulan dan enam bulan.

Setakat ini permintaan untuk mengikuti program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan mereka yang berminat diminta cepat membuat tempahan kerana tempat adalah terhad.

“Apa yang saya buat bukan untuk mendapatkan keuntungan, sebaliknya terbit daripada perasaan mahu membantu ibu bapa lain melihat anak mereka berjaya lebih daripada biasa,” kata Halimahton.


Oleh NAZARALI SAERIL
nazarali@hmetro.com.my


Read more...

Lidah keras?

















Pelajar juga mudah memahami ketika guru mengajar kerana perkataan yang digunakan pernah mereka gunakan di rumah.Gambar hiasan.

KADANGKALA kita tidak faham, apa susah sangat belajar dan menguasai bahasa Inggeris sama ada dalam pertuturan atau penulisan?

Pelajar sekolah sering mengeluh apabila mengikuti kelas bahasa Inggeris, seolah-olah ada 'hantu' yang menghalang mereka untuk memberi fokus terhadap pembelajaran berkenaan.

Di rumah, subjek bahasa Inggeris tidak dipedulikan. Ibu bapa pula tidak ambil tahu sama ada anak mereka belajar bahasa antarabangsa itu atau tidak.

Hasilnya, keputusan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu merudum. Apabila memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) keadaan bertambah lebih teruk.

Penguasaan bahasa Inggeris mereka 'hancus' padahal kebanyakan buku rujukan di IPT adalah dalam bahasa Inggeris.

Ketika pelajar bangsa lain sibuk menguasai bahasa Inggeris, pelajar Melayu seperti berpuas hati dengan apa yang ada.

Akibat kealpaan itu, apabila keluar dari IPT, mereka sukar mendapat kerja kerana tidak mahir berbahasa Inggeris. Dalam proses temuduga, pertuturan bahasa Inggeris anak Melayu tergagap-gagap seperti baru belajar bercakap.

Apakah pelajar Melayu masih dalam kepompong yang sama, malu untuk bertutur bahasa Inggeris atau menganggap bahasa itu tidak penting?

Jika alasan bahasa itu susah, mengapa pelajar Cina dan India boleh menguasainya dengan baik?

Tidak guna kerajaan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk meningkat penguasaan pelajar Melayu dalam bahasa Inggeris jika mereka sendiri tidak sedar kepentingan bahasa itu. Ia ibarat mencurah air di daun keladi.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata tidak semua pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris berbanding pelajar bukan Melayu.

Beliau berkata, ada juga pelajar bukan Melayu gagal menguasai bahasa Inggeris, namun ia tidak ketara kerana bilangan pelajar Melayu lebih ramai.

"Saya tidak bersetuju dakwaan pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris berbanding pelajar bukan Melayu.

"Dari segi akademik dan keputusan peperiksaan bahasa Inggeris, mereka cemerlang dan keputusan mereka baik," katanya.

Jika pelajar luar bandar dijadikan ukuran untuk melabelkan pelajar Melayu sukar untuk menguasai bahasa Inggeris, itu tidak adil.

"Sebagai pelajar luar bandar, kelengkapan pembelajaran mereka terutama bahasa Inggeris adalah terhad dan tidak secanggih pelajar di bandar.

"Selain itu, pergaulan serta persekitaran mereka juga sangat berbeza dengan pelajar di bandar," katanya.

Dalam usaha menggalakkan pelajar menguasai bahasa Inggeris, Dr Aini berkata, isu siapa lebih menguasai bahasa Inggeris jangan digembar-gemburkan.

"Jangan ungkit isu perbezaan sebaliknya beri pendedahan dan cara yang betul untuk melaksanakan kaedah itu.

"Dengan pendedahan yang betul menggunakan peralatan yang lengkap dan tenaga pengajar yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran, ia membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan," katanya.

Mengimbau sistem lama di sesetengah sekolah yang mendenda pelajar yang gagal bertutur bahasa Inggeris, Dr Aini berkata, cara itu mungkin boleh diamalkan semula.

"Pihak sekolah perlu kreatif dan berusaha untuk membantu serta menyediakan bahan yang sesuai dan lengkap.

"Pihak sekolah juga perlu menyediakan pelbagai bahan bacaan yang menarik dan terkini bagi menanam minat mereka untuk membaca buku bahasa Inggeris," katanya.

Di samping itu, penggunaan teknologi seperti televisyen dalam pembelajaran dapat membantu kerana ia lebih berkesan untuk menarik minat pelajar menguasai bahasa Inggeris.

"Apa yang paling penting, guru perlu menguasai bahasa itu serta menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mengajar. Ada sesetengah guru bahasa Inggeris mengajar menggunakan dwibahasa.

"Keadaan itu menyebabkan pelajar tidak punya inisiatif memperbaiki penguasaan bahasa Inggeris mereka," katanya.

Beliau setuju jika guru yang mengajar subjek itu dibawa dari luar negara.

"Ini boleh meningkatkan semangat pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahami apa yang diajar guru terbabit," katanya.

Sementara itu, guru bahasa Inggeris, Sapian Mamat, berkata pelajar Melayu sukar menguasai bahasa itu disebabkan latar belakang keluarga di samping cara pergaulan mereka.

Menurutnya, jika ibu bapa menggunakan bahasa Inggeris dalam komunikasi di rumah, masalah kegagalan menguasai bahasa berkenaan tidak timbul.

"Ibu bapa pelajar bukan Melayu, mereka berusaha bercakap bahasa Inggeris di rumah untuk membiasakan anak mereka dengan bahasa itu.

"Cara itu memberi pendedahan awal kepada anak terutama untuk bercakap menggunakan bahasa Inggeris walaupun tatabahasa yang digunakan tunggang terbalik.

"Pelajar juga mudah memahami ketika guru mengajar kerana perkataan yang digunakan pernah mereka gunakan di rumah," katanya.

Bagi pelajar Melayu, menurut Sapian, hanya segelintir ibu bapa menggunakan bahasa Inggeris di rumah.

"Keadaan ini memberi kesukaran memahami dan bertutur bahasa Inggeris kerana mereka tidak dapat mempraktikkan apa yang dipelajari di sekolah ketika berada di rumah.

"Mereka boleh menerima dan mempelajari bahasa Inggeris, tetapi tidak dapat menguasai sepenuhnya kerana orang di sekeliling tidak bertutur bahasa itu," katanya.

Satu lagi faktor menjadi punca pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris kerana mereka tidak melihat kepentingan bahasa itu.

"Ketika dalam kelas, pelajar bertutur bahasa Melayu. Jadi, mereka tidak melihat kepentingan bahasa itu kerana jika lulus bahasa Inggeris pun sudah memadai.

"Ia berlainan dengan pelajar bukan Melayu yang didedahkan kepentingan bahasa Inggeris bukan saja untuk peperiksaan, tetapi berkomunikasi," katanya.

Sementara itu, ibu kepada tiga anak, Siti Aminah Kassim, berkata pelajar Melayu sukar menguasai bahasa Inggeris kerana mereka malas berusaha dan menganggap bahasa itu tidak penting.

"Saban tahun, ada saja inisiatif baru yang dibuat kementerian pelajaran bagi membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris.

"Jika mereka menggunakan peluang itu, mereka mudah menguasainya kerana kebolehan pelajar Melayu tidak bezanya berbanding pelajar bangsa lain.

"Tetapi, jika malas berusaha, yang mudah pun menjadi susah," katanya.


Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Read more...

25 October 2009

Permainan lama



















Antara Permainan Tradisional Masa Lapang .

Jabatan Muzium perkenal semula suasana di kampung dengan acara 'Jom Main'

MENGIMBAU kembali kenangan zaman kanak-kanak pasti tiada yang lebih menggembirakan, selain waktu bermain yang seolah-olah tiada penghujung.

Keseronokan cuma terhenti seketika apabila lembayung senja mula kelihatan atau dikejar ibu dengan ranting kayu sebagai pengganti rotan kerana azan Maghrib sudah bergema.


Berbeza sekarang, ibu bapa tidak ragu-ragu melepaskan anak-anak bermain dengan rakan sebaya hingga ke hujung kampung. Sekadar berpesan kepada jiran yang sudah seperti saudara sendiri untuk sama-sama memerhatikan keselamatan anak sudah mencukupi.

Seperkara menarik mengenai permainan zaman dulu ialah kebanyakannya memerlukan pembabitan ramai pemain, sekali gus membentuk ikatan persahabatan erat dan pergaulan sihat berbanding aktiviti masa kini yang cukup dengan seorang jadi penggerak.

Justeru, pameran Permainan Tradisi Tradisional Masa Lapang 'Jom Main' anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) pada 10 hingga 25 lalu menggamit kenangan lalu dan menusuk minda dengan deretan aktiviti yang berkait rapat dengan suasana kampung seperti batu seremban, congkak, galah panjang dan tarik upih pinang.

















Heng dan Ibrahim (kiri) melakukan acara simbolik 'baling tin' pada Majlis Pelancaran Pameran Permainan Tradisional Masa Lapang.



Sempena pameran itu, JMM menganjurkan acara bermain congkak selama 36 jam tanpa henti untuk dimasukkan dalam Malaysia Book of Records mengatasi tempoh 31 jam yang dicatatkan oleh Persatuan Literasi Melayu, Universiti Multimedia.

Pameran yang dirasmikan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie itu bertujuan membawa orang ramai mengimbas kembali kemeriahan permainan tradisional yang semakin dilupakan generasi muda. Ia juga diharapkan dapat membantu usaha menyemai kembali rasa cinta terhadap permainan tradisi yang menjadi warisan budaya di kalangan seluruh masyarakat Malaysia sejak zaman berzaman.

Heng, dalam ucapannya, berkata permainan tradisi adalah antara identiti warisan negara yang menjadi kebanggaan walaupun sebahagiannya mempunyai sedikit persamaan dengan negara lain khususnya di rantau ini.

"Langkah mendokumentasikan dan memperkenalkan permainan ini ke semua peringkat, khususnya di sekolah, persatuan, kampung dan komuniti di kawasan perbandaran perlu dipertingkatkan.


Antara permainan yang terdapat di Pameran Permainan Tradisional Masa Lapang di Muzium Negara.

"Sekiranya langkah ini dapat dilaksanakan, saya percaya banyak masalah sosial dapat dikurangkan. Ini kerana antara faktor berlaku gejala sosial disebabkan kekurangan aktiviti serta program yang dapat mengisi masa lapang generasi muda terutama di bandar.

"Secara perbandingan, kita dapat lihat sebelum 1970-an ketika permainan ini menjadi tradisi di kampung dan bandar, golongan remaja dapat berinteraksi dengan bermain sesama mereka sekali gus mengurangkan masalah sosial," katanya.

Permainan tradisional secara umumnya memiliki kaedah dan corak permainan mudah, ringkas dan mempunyai unsur semula jadi.

Paling penting, ia boleh dimainkan oleh semua kanak-kanak tanpa mengira status dan kedudukan kerana tiada kos perlu dikeluarkan berbanding permainan zaman sekarang yang memerlukan belanja tinggi untuk membeli sesuatu mainan.


















Permainan tarik upih
Ia juga membabitkan banyak pergerakan fizikal yang membantu membentuk kecerdasan minda dan tubuh yang cergas. Sebahagian permainan tradisional ini memerlukan ketelitian strategi dan pemikiran kreatif serta ketepatan bertindak untuk muncul sebagai pemenang walaupun pada akhirnya ia sekadar satu keseronokan mengisi masa lapang.

Justeru, permainan tradisional ini wajar dipertahankan dan diteruskan kerana ia terserlah mempunyai 1,001 macam kelebihan berbanding pelbagai jenis permainan canggih zaman sekarang yang akhirnya membentuk kanak-kanak bersikap antisosial.

Ia tidak berlaku dalam permainan tradisi yang terbukti sudah berjaya memupuk konsep perpaduan dan setiakawan di kalangan pemain, khususnya kanak-kanak kerana falsafah permainan itu sendiri yang memerlukan jalinan kerjasama erat tanpa mengira kaum dan kedudukan jika ingin menjulang kejayaan.


Read more...

Kisah sejadah berdiri


















REAKSI orang ramai yang mudah percaya kepada perkara ajaib hanya menonjolkan mentaliti yang rendah

ADA yang percaya kisah sejadah berdiri dengan sendirinya dilakukan oleh kuasa ghaib. Tidak kurang juga yang melihatnya sebagai helah individu ‘nakal’ semata-mata.

Di sebuah rumah di Kampung Tok Sangkut, Repek, Pasir Mas, Kelantan, contohnya, sehelai sejadah milik Sharifah Nor Syed Agil, 61, disaksikannya dan anaknya, Mohd. Faizal Mohd. Zin, 27, berdiri dengan sendirinya. Menurut mereka, sebelum itu sejadah itu terlipat dan diletakkan di tempat yang lain.

Rupa bentuk sejadah itu digambarkan mereka seperti seorang lelaki atau wanita yang sedang menunaikan sembahyang dan berada dalam keadaan duduk di antara dua sujud.

Beberapa lagi insiden yang sama berlaku dalam skala besar di beberapa buah surau di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang melibatkan sehingga 35 helai sejadah pada satu masa.

Bagi mencari kebenaran insiden itu, krew Jurnal mencuba sendiri untuk membuat sehelai sejadah berukuran 110 sentimeter darab 70 sentimeter dan berketebalan 0.3 sentimeter berada dalam posisi berdiri.

Ternyata, dengan sedikit tenaga dan kreativiti untuk melipat sejadah itu, ia dapat berdiri sendiri dengan mudah dan stabil sehingga ketinggian lebih 50 sentimeter. Malah, bentuk seorang lelaki atau wanita duduk di antara dua sujud juga berjaya kami hasilkan dengan merujuk gambar yang pernah dirakam di tempat-tempat kejadian.

Menurut Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan merangkap Timbalan Dekan ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid, kisah yang menggemparkan Malaysia lewat seminggu itu hanyalah pembohongan semata-mata.

“Malang sekali masyarakat kita masih tebal dengan perkara tahyul dan khayalan seperti itu. Saya tidak melihat kepada sejadah itu, sebaliknya mentaliti masyarakat. Ia hanya menunjukkan kita terkebelakang berbanding taraf masyarakat berfikiran maju yang kononnya dipegang selama ini.
















SEHELAI sejadah berdiri di sebuah rumah di Taman Haji Mohd. Amin, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

--------------------------------------------------------------------------------



“Kalau dibandingkan dengan rakan-rakan negara jiran, kita sudah menunjukkan taraf pemikiran yang rendah dan mengecewakan.

“Nampaknya masyarakat kita masih belum bersedia untuk berdepan dengan situasi seperti itu. Saya juga benar-benar berharap para ulama cukup sensitif dan cepat memberi reaksi kepada perkara seperti itu,” ujarnya.

Merujuk kes sejadah berdiri di surau di beberapa negeri, Mahmood berpendapat ia hanyalah perbuatan kanak-kanak nakal. Silapnya, kata Mahmood, masyarakat terlalu cepat mempercayainya sebagai sesuatu yang ajaib.

“Apabila ia terlalu ‘dipopularkan’ maka individu yang bertanggungjawab tidak berani lagi untuk tampil ke depan dan mengakui tindakan mereka. Isu ini dapat dibandingkan dengan panggilan palsu yang mencecah 80 peratus setiap tahun.

“Bagi pihak yang mengatakan surau dikunci sebelum kejadian juga saya lihat sebagai ulasan yang dibuat tanpa usul periksa sekiranya dia tidak berbohong,” bidas Mahmood.

Islam, katanya, ialah agama realiti dan tidak bersandar kepada perkara ajaib.

“Allah tidak akan menunjukkan kuasanya menggunakan cara yang sebegitu remeh. Sesungguhnya mukjizat paling besar yang diturunkan kepada kita ialah kitab suci al-Quran, yang menguji akal dan minda. Malah, saya fikir, tujuan ia dilakukan juga lebih remeh daripada yang kita sangkakan.

“Tidak mustahil sejadah didirikan untuk menarik minat orang agar berkunjung ke surau itu atau dengan tujuan memperlekeh masjid yang dibina begitu hebat tetapi jarang sekali digunakan,” katanya.

Jika pun ia dilakukan untuk mensabotaj secara meluas dengan tujuan membuatkan anak-anak muda lali, Mahmood tidak menolak ia satu permainan yang sangat nakal.

“Tidak perlulah dipanjangkan isu ini. Ia lebih banyak memalukan agama dan bangsa kita,” tegasnya.


Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN
Read more...

24 October 2009

Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan Siri 6/2009





















Tarikh :24 Oktober 2009 (Sabtu)Masa :8.00 am - 2.00 pm Tempat :SK Sungai Buluh,Alor Gajah.Melaka.Penceramah Undangan :Tn.Ismail bin Mohd Noor dari Pusat Kokurikulum,Lancang,Merlimau.Melaka.



















Read more...

Coklat untuk kesihatan




























Koko bukan sahaja lazat dan berkhasiat malah baik untuk kesihatan kulit.

COKLAT boleh dikatakan tergolong dalam kategori makanan sihat. Ramai orang tahu bahawa coklat menghasilkan endorfin (protein) yang membuatkan kita lebih riang, ceria dan bersemangat.

Bagaimana pula dengan jantung? Penyelidikan terbaru membuktikan coklat adalah sumber anti-oksidan terbaik seperti wain merah.

Anti-oksidan dalam coklat dikenali sebagai phenol mampu mengelak kerosakan oksidasi lipoprotein rendah (LDL) dan perlahan-lahan mengurangkan kadar mendapan lemak dalam arteri juga radikal bebas.

Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM), Datuk Dr. Azhar Ismail berkata, persepsi negatif terhadap coklat menghalang masyarakat menikmati kebaikan khasiat semula jadi coklat yang sebenarnya.

"Secara purata rakyat Malaysia hanya mengambil 600 gram coklat setahun jika dibandingkan dengan penduduk Eropah dengan penggunaan koko perkapita sebanyak 1 hingga 6 kilogram setahun.

"Ini disebabkan salah tanggapan bahawa pemakanan coklat mengakibatkan kegemukan, sakit gigi, jerawat, kolesterol dan sebagainya," katanya.

Beliau berucap pada pelancaran program Inspirasi Koko Musim Keempat di Restoran Berputar Seri Angkasa, Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama, pengacara program berkenaan, selebriti terkenal tanah air Serena Redzuawan yang kekal bersama rancangan terbitan TV2 itu sejak tahun 2006.

Program bersiri selama 13 minggu itu kali ini bertumpu kepada penyebaran maklumat mengenai keistimewaan peranan koko dalam kesejahteraan dan kesihatan manusia secara keseluruhannya.

Segmen terbahagi kepada Bicara Koko dan Info Koko, Sajian Koko, Fakta dan Mitos, Kreatif Koko dan Kuiz Inspirasi Koko.

Kata Serena, segmen tip dan petua makanan berkhasiat dapat menangkis rasa takut kepada produk berasaskan koko.

"Malah ia juga menunjukkan bagaimana untuk menggunakan koko dalam masakan dan menambah rasa serta khasiat dalam setiap hidangan," tambah beliau.

Pada majlis yang sama, Dr. Azhar melancarkan produk inovatif berasaskan koko iaitu Beautecoa yang merupakan rangkaian produk kosmetik dan penjagaan peribadi berkualiti tinggi keluaran LKM.

Produk kecantikan berasaskan koko ini mengandungi bahan-bahan terpilih dan gabungan kebaikan khasiat koko serta teknologi pemprosesan terkini untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan.

Koleksi produk kecantikan Beautecoa terdiri daripada;

lCocoa Body Scrub - Formulasi khas daripada mentega koko boleh melembutkan kulit dengan bantuan lenggai sekam koko sebagai ejen eksfoliasi (pengelupasan) dan menjana sel kulit baru.

lPelembap Cocoa Butter - Pelembap semula jadi yang melembut dan melindungi kulit serta melegakan iritasi kulit.

lGincu Cocoa Butter - Melembapkan bibir dan menahan lembapan bagi merawat bibir kering.

lBedak asas Cocoa-Based Cream-To-Powder - Mengandungi fungsi tambahan sebagai bahan antipenuaan yang sukar ditemui dan mempunyai tekstur berkrim.

lBalsam bibir berasaskan koko - Lemak semula jadi mentega koko melegakan bibir pecah, mudah diserap dan melembutkan bibir.

Menurut Dr. Azhar, serbuk koko mengandungi kompaun phenolic yang mampu mengeluarkan radikal bebas lalu memberikannya khasiat antioksidan.

"Ujian menunjukkan tannin dalam serbuk koko mampu mengelak pertumbuhan bakteria yang mengakibatkan kerosakan gigi.

"Di samping itu ia juga mempunyai ejen antibakteria terhadap micrococcus luteus dan S. aureus yang terdapat pada kulit manusia," jelasnya.

Sementara mentega koko cair pada 37 darjah Celsius ke atas dan beku pada suhu bilik. Kandungan lebih 35 peratus terdiri daripada asid oleik yang memberi kelembapan, 33 peratus asid stearic (penghadang lembapan) dan Vitamin E sebagai antioksidan.

Justeru mentega koko merupakan pelembap semula jadi yang bukan sahaja melembut dan melindungi kulit kering malah melegakan iritasi dan menghapuskan kedutan dan tanda penuaan.

Malah lemak mentega koko yang mempunyai ejen menenang dan memulih juga digunakan pada zaman Aztec purba sebagai produk penjagaan bibir untuk memulihkan bibir kering sehingga ke hari ini.


Read more...