Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






22 October 2009

Tulang kuat
















MENDAPATKAN kalsium dan vitamin D yang cukup serta kerap bersenam dapat menjaga tahap kesihatan dan kekuatan tulang.

KENAPA nenek bongkok, ibu?" tanya seorang budak perempuan kepada ibunya.

"Itulah yang akan terjadi bila kita sudah tua, sayang," jelas ibunya.

Budak perempuan itu mengangguk dan menerima sahaja hakikat bahawa suatu hari dia juga akan bongkok seperti neneknya.

"Minumlah susu supaya kamu tidak mendapat osteoporosis," nasihat seorang isteri kepada suaminya.

"Jangan risaukan saya. Osteoporosis hanya berlaku kepada wanita," balas suaminya.

Seorang budak perempuan melihat papan iklan dengan kempen osteoporosis dan berlalu pergi tanpa menghiraukannya.

"Osteoporosis penyakit orang tua. Saya tidak perlu risau tentangnya sekarang," fikirnya.

Jika anda menerima atau tidak sedar akan masalah dengan senario-senario di atas, anda mungkin menyesal di kemudian hari. Kenapa? Kerana semua pandangan di atas adalah salah!

Kefahaman

Osteoporosis bukan hanya penyakit orang yang lanjut usia. Anda juga tidak perlu menerima hakikat bahawa menjadi bongkok adalah sebahagian dari kesan peningkatan umur. Dan walaupun wanita mempunyai tiga kali ganda kebarangkalian menghidap osteoporosis, lelaki juga boleh menghidapinya. Malah, masalah utama osteoporosis adalah pesakit hanya menyedarinya apabila sudah terlewat.

Menurut Presiden Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL), Dr. Lee Joon Kiong, osteoporosis adalah penyakit kemerosotan tulang yang meningkatkan risiko keretakan. Secara terusnya bermaksud tulang poros dan kebiasaannya hanya dikesan selepas kepatahan atau keretakan.

Satu lagi kesalahan tanggapan umum adalah tulang hanyalah seketul kalsium. Tulang sebenarnya adalah tisu hidup. Ia terus menerus memperbaiki strukturnya dalam proses yang dipanggil pembinaan semula tulang.

"Terdapat dua sel yang bertanggungjawab dalam proses ini iaitu osteoblast, yang bertanggungjawab membentuk jisim tulang dan menukarnya kepada mineral, dan osteoclast yang bertanggungjawab dalam penyerapan mineral tulang.

"Proses kemerosotan dan penggantian semula ini memastikan tulang kita dirawat dari kerosakan kecil akibat tekanan harian dan turut membantu membentuk tulang sepanjang proses pembesaran," terang Dr. Lee.

Tetapi, semakin kita membesar, semakin sukar untuk badan menggantikan tulang sepantas kita kehilangannya. Apabila penyerapan tulang berlaku lebih cepat dari pembentukannya, tulang kita menjadi semakin rapuh dan berlakulah osteoporosis.

Faktor

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko osteoporosis. Jika anda mempunyai ketumpatan mineral tulang (bone mineral density, BMD) yang rendah, risiko keretakan anda turut meningkat. Bagi wanita, risiko anda untuk menghidapi osteoporosis semakin meningkat selepas menopaus.

Faktor lain termasuklah sejarah keluarga, umur, pengambilan nutrisi yang tidak mencukupi, merokok dan pengambilan alkohol serta masalah pemakanan. Anda boleh mengira risiko anda sekarang dengan merujuk kepada Ujian Satu Minit Yayasan Osteoporosis Antarabangsa (IOF) melalui laman web www.iofbonehealth.org yang dapat membantu anda memahami status kesihatan tulang badan melalui 19 soalan mudah.

Jangan panik

Jika anda mendapati diri sendiri mempunyai risiko, jangan panik. Selagi anda mengambil langkah pencegahan dengan mengamalkan tabiat pemakanan yang baik dan bersenam secukupnya, risiko osteoporosis boleh dikurangkan. Jangan tunggu sehingga keretakan berlaku kerana pasti sudah terlambat nanti.

Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah memastikan anda mendapat kalsium dan vitamin D yang cukup setiap hari. Kalsium adalah mineral penting untuk pembentukan tulang manakala vitamin D mempertingkatkan penyerapan kalsium. Dan ya, susu adalah sumber kalsium yang baik tetapi anda juga boleh mendapatkannya dari makanan berasaskan soya, ikan bilis, tempe, makanan laut dan sesetengah jenis sayuran. Bagi vitamin D pula, badan anda akan menghasilkannya secara automatik melalui pendedahan kepada cahaya matahari. Sesetengah makanan seperti ikan berminyak, marjerin dan bijirin diperkaya juga mungkin mengandungi vitamin D.

Juga, jangan lupa untuk memastikan tulang anda bekerja! Senaman menahan berat paling bagus untuk mengelakkan osteoporosis. Tekanan yang dikenakan pada tulang akan merangsang proses pembinaan tulang. Jadi, apa juga senaman yang mengenakan tekanan kepada tulang sebenarnya menguatkannya. Tambahan pula, terdapat pelbagai pilihan senaman menahan berat dari berjalan, berjoging, mendaki, menari dan aerobik ke bermain tenis, bola keranjang, bola lisut malahan golf juga. Semua ini berkesan, selagi anda melakukannya dengan kerap dan berdisiplin.

Tanpa mengira usia, anda boleh melakukan perubahan dengan mengambil berat tentang tulang anda bermula dari sekarang. Penjagaan tulang yang baik bermula dari dalam kandungan hingga ke usia tua. Jadi, jagalah tulang anda dan elakkan dari penderitaan yang tidak perlu kelak.

* Artikel ini disumbangkan Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur (OASKL) dalam siri artikel sempena program Tulang Sihat Sepanjang Hayat (HBFL).


No comments: