Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






30 October 2009

Pengalaman saintis teroka Artik




















BERUANG kutub mungkin pupus jika bongkah ais di Artik terus mencair

Saintis-saintis Malaysia yang pernah ke Artik untuk penyelidikan mereka tiga tahun lalu menyaksikan bongkah-bongkah ais di Artik semakin mengecil dan suhunya juga semakin panas.

SAAT melabuhkan punggung di tempat duduk kapal terbang, perasaan Profesor Madya Dr. Siti Aisah Alias bercampur baur.

Keterujaan saintis dari Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur itu tidak dapat digambarkan apabila buat pertama kalinya beliau menjejakkan kaki ke Lautan Artik. Lautan yang dipenuhi bongkah-bongkah ais dan beruang polar.

Biarpun kedatangannya ke lautan yang terkecil dan tercetek antara empat lautan di dunia iaitu Lautan Atlantik, Lautan Hindi, Lautan Pasifik dan Lautan Selatan itu atas urusan penyelidikan, namun Siti benar-benar tidak sabar.

Pensyarah Institut Biologikal Sains, Fakulti Sains UM itu sudah membuat persediaan rapi apatah lagi suhu di Artik dikatakan mencecah bawah 10 darjah Celsius.

Perjalanan yang mengambil masa 20 jam dari Malaysia itu memaksa beliau dan dua rakan saintis yang lain iaitu Profesor Madya Dr. Irene Tan Kit Ping dan Profesor Dr. Phang Siew Moi menempuh perjalanan ke Amsterdam, Belanda; Oslo, Norway; Longyearbyen dan Svalbard Arctic sebelum sampai ke Lautan Artik.


















SITI AISAH mengumpul beberapa sampel kulat untuk penyelidikan.

--------------------------------------------------------------------------------


Tiga saintis itu mencipta sejarah dalam kalangan penyelidik serantau apabila menjadi kumpulan pertama ke Artik bagi menjalankan kajian bakteria, alga dan kulat tiga tahun lalu.

Apabila kapal terbang merentasi Lautan Artik yang berkeluasan kira-kira 14,090,000 kilometer persegi iaitu 1.5 kecil sedikit berbanding saiz Amerika Syarikat (AS) itu, Siti segera merapatkan mukanya ke cermin kapal terbang untuk melihat pemandangan Lautan Artik dari atas.

Ternyata apa yang dilihatnya mengejutkan. Lautan yang disangkanya penuh dengan ais itu kini dipenuhi air. Bongkah-bongkah ais telah cair.

"Sebelum ini Artik dikenali sebagai sebuah lautan ais. Namun, pertama kali menjejakkan kaki ke sana pada 17 hingga 24 Julai 2006, ia berbeza dengan apa yang saya sangkakan.

"Banyak bongkah ais yang mula mengecil berikutan kesan pemanasan global. Paling mengejutkan saya ialah apabila suhu yang dijangka terlalu sejuk bertukar menjadi panas mencecah sehingga 18 darjah Celsius," katanya yang berasa panas ketika berada di Artik kerana memakai pakaian tebal.


Bercerita lanjut, Siti yang ditugaskan membuat kajian mengenai kulat di Artik terkejut kerana pertumbuhan kulatnya begitu subur.

Ketika itu, terdapat sebanyak 78 spesies kulat ditemui di Artik. Suhu adalah faktor penting dalam mempengaruhi pertumbuhan kulat.


"Disebabkan suhu di Artik semakin panas, pertumbuhan kulat menjadi sempurna. Jika tidak kulat tidak boleh tumbuh pada suhu yang begitu rendah," katanya yang menjalani sesi pertama kajian selama lapan hari dengan kerjasama Institut Penyelidikan Polar Korea (Kopri).

Habitat

Memikirkan kesan yang berlaku ke atas Lautan Artik, Siti mula memikirkan bagaimana nasib beruang polar yang hidupnya bergantung pada bongkah-bongkah ais tersebut.

Apabila suhu semakin panas, ais akan mula mencair. Ketika itu, habitat beruang polar dan lain-lain haiwan akan menerima kesan buruk sekali gus hidupan-hidupan di sana juga bakal terancam.

Agensi berita AFP baru-baru ini melaporkan bahawa ais di Artik dijangka cair sepenuhnya menjelang musim panas dalam tempoh dua hingga tiga dekad akan datang.


Itulah antara penemuan terbaru satu pasukan penyelidikan di kutub utara yang diketuai oleh pengembara, Pen Hadow. Hadow memberitahu, kemungkinan besar Kutub Utara tidak akan mempunyai ais semasa musim panas dalam tempoh sedekad.

Hadow dan dua lagi rakyat Britain yang menjelajah Kutub Utara selama 73 hari dalam musim bunga mengambil lebih 6,000 ukuran dan pemantauan ais di sana.

Data yang diperoleh dari Mac hingga Mei lalu memberikan ramalan mengenai keadaan bongkah ais.

"Liputan ais musim panas akan hilang sepenuhnya dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun. Tetapi dalam masa kurang dari itu, jumlah ais akan berkurangan dengan banyak.

"Dalam masa sedekad, kawasan Artik akan menjadi laut lepas," kata ketua kumpulan fizik lautan polar dari Universiti Cambridge, Profesor Peter Wadhams.

Krisis

Penemuan itu sangat menakutkan. Terdapat kemungkinan manusia akan berdepan dengan krisis bekalan makanan dan air bersih yang kronik. Malah, udara akan menjadi sangat panas dan kering, selain hidupan lain juga pasti terjejas.

Lautan Artik meliputi hidupan seperti oleh manusia, tumbuh-tumbuhan tundra Kutub Utara seperti rumput rampai, herba-herba dan sebagainya. Oleh kerana ia berada begitu jauh di utara, maka adalah terlalu sukar untuk pokok-pokok tumbuh.

Antara haiwan yang hidup di Artik terdiri daripada beruang kutub, wolverin (sebahagian daripada keluarga musang), rubah Artik, ptarmigan (sejenis burung yang membuat sarang dalam gunung-gunung bersalji) dan ikan paus beluga iaitu sejenis ikan paus berwarna putih.

"Apabila Artik pupus, paras air laut akan meningkat. Pada masa itu juga, iklim dunia akan menjadi tidak stabil. Hidupan di laut akan mati dan manusia akan berdepan dengan kekurangan sumber makanan dan air bersih," kata Wadhams.

Namun Siti memberitahu, banyak usaha telah dijalankan di Artik selain penyelidikan terperinci oleh Kanada, Amerika Syarikat (Alaska), Rusia dan lain-lain negara yang terletak berdekatan dengan Lautan Artik.

Sebenarnya, bukan mudah untuk Siti dan rakan-rakan saintis yang lain memasuki lautan tersebut. Mereka perlu mendapat permit atau mendapat jemputan khas untuk ke Artik. Itupun bukan semua kawasan dibenarkan untuk membuat penyelidikan.

Tujuannya agar kawasan tersebut dilindungi daripada ancaman manusia. Malah, kehadiran tiga saintis wanita itu juga dikawal ketat.

"Cabaran yang kami hadapi bukan sedikit. Bayangkan semasa membuat penyelidikan, kami dibawa dan dikawal oleh Pembantu Kerja Lapangan Artik bersenjata kerana bimbang kami terdedah dengan ancaman binatang buas.

"Malah, jika cuaca berubah buruk seperti angin kencang, penyelidikan juga perlu perlu dihentikan," katanya yang menjadi pensyarah sejak tujuh tahun lalu.

Sementara itu, Prof. Madya Dr. Irene Tan Kit Ping berkata, penyelidikan yang dijalankan di Artik itu bertujuan mengambil sampel-sampel tumbuhan yang terdapat di Artik untuk dibandingkan dengan sampel sedia ada dari Antartika.

"Kami ambil sampel seperti cendawan, air, lumut, rumpai laut, glasier dan beberapa sampel lain untuk dijadikan bahan kajian," katanya.

Hidupan liar

Jelas Irene, sepanjang berada di sana beliau berpeluang melihat pelbagai hidupan liar yang menarik seperti angsa teritip, burung camar artik, musang artik, rusa kutub Svalbard dan banyak lagi. Amat menyedihkan jika hidupan-hidupan itu pupus disebabkan ais di Artik mulai cair.

Irene berkongsi pengalaman memakai sut kering sebelum berdepan dengan ais yang cair.

"Sut kering itu akan memastikan kami terapung semasa keluar daripada bot membuat penyelidikan," katanya.

Ketiga-tiga saintis itu membuat penyelidikan di kawasan Artik menggunakan Stesen Dasan di Ny-Alesund, Norway, dengan kerjasama stesen penyelidikan dari Korea, China, Jepun dan India.


Sementara itu, menurut Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia (ASM), Tan Sri Salleh Mohd. Nor, penyelidikannya di Artik bersama Ketua Jabatan Geografi, UM, Datuk Dr. Azizan Abu Samah empat tahun lalu menimbulkan rasa kesal dan sedih terhadap masalah kecairan ais di Artik.

"Pemanasan global menyebabkan jumlah air tawar di Laut Utara meningkat. Ini kerana air tawar lebih ringan daripada air laut.

"Kewujudan air tawar ini menyebabkan air laut yang sampai di daerah kutub diserap oleh kepanasan atmosfera. Penyerapan itu menyebabkan bongkah-bongkah ais menjadi cair," katanya.

Ujarnya, usaha bersama daripada semua pihak amat penting untuk menstabilkan cuaca dunia.

Ais sangat penting. Jika ais cair ia akan membahayakan kehidupan bukan sahaja di Artik tetapi juga di kawasan bumi yang lain. Ia turut mengakibatkan sumber pemakanan manusia mahupun binatang akan terjejas.

"Perairan Malaysia tidak terkecuali menerima ancaman kemusnahan. Sebahagian besarnya disebabkan manusia dan selebihnya oleh kesan semula jadi" katanya yang pernah memenangi anugerah Langkawi pada tahun 1957 berikutan usahanya memelihara alam sekitar.

Jelas Salleh, pengalaman berada di Artik menyuntik kesedaran pada dirinya. Hidup di dunia ibarat seperti sebuah keluarga.

Apa jua tindakan seperti pencemaran dan tidak menjaga alam sekitar dengan baik akan memberi implikasi kepada yang lain.

Kini, penduduk dunia sudah mula merasai kesan hasil daripada kerakusan sejak berpuluh tahun lamanya.

Paling malang kerosakan bukan hanya dirasakan oleh hidupan di darat, malah menjejaskan di laut.

1 comment:

muhammad raihan said...

comelnye beruang kutub tu...