SEGALA bencana ditimpa Allah sepatutnya menambah keimanan umat Islam.
Al-Quran beri peringatan, petanda agar manusia mengimani hari akhirat
ANTARA Rukun Iman enam perkara ialah percaya hari akhirat seperti disabdakan Baginda SAW ketika menjawab pertanyaan Malaikat Jibril AS mengenai iman yang bermaksud: "Iman ialah engkau beriman kepada Allah dan malaikat-Nya dan segala kitab-Nya dan rasul-Nya dan hari kemudian dan engkau beriman kepada takdir baiknya dan buruk." (Hadis riwayat Muslim)
Lima daripada enam Rukun Iman sudah, sedang dan akan dilalui seorang mukmin bahkan dirasakan kenikmatannya bagi sesiapa yang beruntung.
Satu lagi rukun kekal menjadi rahsia Allah SWT iaitu hari akhirat. Dalam sambungan hadis di atas disebutkan maksudnya: "Khabarkan kepadaku perihal hari kiamat." Rasulullah menjawab: "Tidaklah yang ditanya mengenainya lebih tahu daripada orang yang bertanya." Nabi SAW pun tidak mengetahuinya.
Sebagai orang beriman kita beriman kepada hari kiamat dengan penuh keyakinan dan kebenaran (al-tashdiq), beriman kepada apa yang Allah SWT khabarkan mengenai hari kiamat dalam Kitab-Nya dan apa yang dikhabarkan Rasulullah SAW mengenai segala hal yang akan terjadi selepas mati sehingga penghuni syurga masuk syurga dan penghuni neraka masuk neraka.
Sesungguhnya Allah SWT berulang kali hari kiamat dalam kitab-Nya, menjelaskannya di banyak tempat, memperingatkan kepadanya dalam setiap kesempatan, menegaskan kejadiannya dan sering menyebutkannya, bahkan mengaitkan keimanan kepada-Nya dengan hari kiamat. Allah merahsiakan waktu berlaku kiamat kepada hamba-Nya, tetapi memberikan tanda kejadian itu.
Kita beriman kepada segala yang akan berlaku daripada tanda hari kiamat sama ada tanda kecil (alamat al-shughra) atau besar (al-kubra). Tanda itu ialah isyarat akan berlaku hari kiamat kerana ia termasuk dalam cakupan iman terhadapnya.
Dalam buku Al-Wajiz fi Akidah al-Salaf al-Salih Ahli al-Sunnah wa al-Jama'ah (Intisari Akidah Ahli Sunnah Waljama'ah) tulisan Abdullah Abdulhamid al-Atsri dibincangkan mengenai tanda kecil hari akhir yang mempunyai landasan dalil syarak muktamad antaranya: "Banyak berlaku pembunuhan, mengharapkan mati kerana musibah yang dahsyat, keinginan agar dirinya seperti orang yang mati dan berandai dia sudah mati kerana dahsyatnya petaka yang dihadapi, ramai meninggal dunia tiba-tiba, maut kerana gempa atau wabak, lelaki sedikit daripada perempuan, wanita berpakaian tetapi telanjang, melebarnya pelacuran di jalan dan munculnya penyokong orang zalim daripada kalangan petugas keselamatan yang mendera manusia.
Tandanya kiamat lain ialah munculnya alat muzik, arak, perzinaan, riba, pemakaian sutera halal bagi lelaki, terbenamnya sebahagian bumi dengan segala di atasnya, muncul perubahan bentuk tubuh dan bermaharajalela fitnah.
Gempa ialah kejadian yang luar biasa dahsyatnya. Bayangkan ketika anda dalam ketenangan, ketenteraman dan kedamaian hidup tiba-tiba bumi yang anda pijak bergetar, goyang dan hancur memporak-perandakan segala di sekitar anda. Betapa menderitanya jika anda ditakdirkan terus hidup.
Dalam mengilustrasikan kejadian hari kiamat, Allah menggunakan contoh gempa bumi dalam kitab suci-Nya kerana ia menunjukkan sesuatu yang sangat dahsyat dan kehebatan kekuasaan-Nya.
Firman Allah dalam Surah al-Hajj ayat 1 dan 2 yang bermaksud: "Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu sesuatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa yang mengerikan) itu, setiap ibu melupakan anak yang disusukannya, dan perempuan mengandung gugurkan anaknya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, pada hal mereka tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan."
Peringatan ayat di atas adalah untuk semua umat manusia bukan kepada kafir atau orang jahat saja.
Pada era nabi dan rasul dulu, Allah membinasakan pembangkang mereka dengan kejadian mengerikan seperti hujan batu, gempa dan ditelan bumi.
Al-Quran menerangkannya yang bermaksud: "Masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya iaitu antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri." (Surah al-'Ankabut: 40)
Pada hari ini, sudah tidak ada lagi era kenabian mahupun kerasulan. Kejadian gempa tidak ada kena-mengena dengan penderhakaan kepada nabi dan rasul. Di samping sebagai peringatan Allah, bencana alam gempa ialah hukum alam semula jadi dengan Allah menjadikan kawasan tertentu sebagai pusat gempa seperti persekitaran api akan merasakan kepanasan api dan persekitaran ais akan merasakan kesejukan.
Gempa bumi yang dalam bahasa Arabnya zilzal mempunyai konotasi mengerikan dan mendukacitakan. Oleh kerana dahsyat gempa itulah, Allah menamakan salah satu surah al-Quran yang berjumlah 114 dengan Surah al-Zalzalah (Gegaran), surah nombor 99 bersamaan jumlah Asmaul Husna. Surah ini juga bercerita mengenai hari kiamat.
Imam al-Suyuti dalam Asrar Tartib al-Quran (Rahsia Urutan Surah al-Quran) berkata: "Aku berpendapat: "Apabila pada akhir surah Lam yakun (al-Bayyinah) disebutkan balasan orang kafir ialah neraka dan ganjaran orang mukmin adalah syurga seolah-olah ditanyakan bila ia berlaku? Maka jawapannya ialah 'apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya' yakni ketika berlaku gempa bumi."
Sambungan surah ini ialah: "Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya. Berkatalah manusia (dengan perasaan gerun): "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?" (Ayat 2-3)
Selain dua tempat yang disebutkan di atas, kata 'zilzal' disebut tiga kali lagi dalam al-Baqarah ayat 214 dan al-Ahzab ayat 11 dengan pengertian gegaran jiwa bukan gegaran fizikal. Orang beriman ketika mendengar dan melihat tanda kebesaran Allah termasuk tanda kecil hari kiamat termasuk kejadian gempa akan bertambah iman mereka.
"Sesungguhnya orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-Nya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan jualah mereka berserah." (Surah al-Anfal: 2). Tawakkalnaalallah!
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
11 October 2009
Gempa sekadar bandingan kecil kedahsyatan kiamat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment