Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






21 October 2009

Keajaiban Palau























Syurga skuba: Palau terkenal dan tersenarai sebagai satu daripada tujuh keajaiban marina di dunia

KIRA-KIRA empat bulan lalu, paparan televisyen menunjukkan sekumpulan lelaki Islam dari China yang bertahun-tahun ditahan di Teluk Guantanamo, turun dari kapal terbang dengan wajah terpinga-pinga menjejakkan kaki di negara bernama Palau.

Kebanyakan orang tentu tertanya-tanya di mana letaknya Palau dan kisah kumpulan lelaki berbangsa Uighur itu secara tidak langsung mempromosi kewujudan negara kecil di Lautan Pasifik berkenaan yang kaya dengan pusat peranginan tepi pantai.


Ketibaan kumpulan lelaki berjanggut itu di Palau kerana tiada negara lain mahu menerima mereka yang ditahan tentera Amerika Syarikat (AS) selepas dituduh militan yang cuba mendapat latihan di Pakistan dan Afghanistan.

Selepas lebih lapan tahun sengsara di Guantanamo, barulah Pentagon mengesahkan mereka bukan pengganas, lalu dihantar ke Palau kononnya atas dasar prihatin kerajaan AS.

Ini kerana, negara kuasa besar itu dilaporkan bimbang jika kumpulan itu dihantar pulang ke China, Beijing akan menahan mereka serta merta kerana pejuang pemisah Uighur memang dalam perhatian kerajaan dan tentera China.

Lalu bermastautinlah lelaki berketurunan Turki berasal dari Xinjiang di barat jauh China itu di Palau yang terletak kira-kira 800 kilometer ke timur Filipina dan 3,200 kilometer ke selatan Tokyo.

Disebut juga Belau, negara dibentuk daripada 300 pulau kecil ini ditadbir AS sejak 1947 sebelum merdeka pada 1 Oktober 1994 dan terus menggunakan mata wang dolar AS bersama bahasa rasmi, Inggeris dan Palauan.

Walaupun menjadi antara negara termuda dan terkecil di dunia, Palau terkenal di kalangan pelancong yang gemar aktiviti snorkling dan selam skuba sehingga tersenarai sebagai satu daripada tujuh keajaiban dalam air di dunia.

Negara ini yang diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 15 Disember 1994, dibahagikan kepada 16 daerah dan struktur muka buminya banyak berbatu-batu.

Pulau Babeldaob ialah yang terbesar dengan populasi 6,000 orang, manakala Koror yang terletak di Pulau Oreor, bandar terbesar dan pusat komersial selain pernah menjadi ibu negara Palau sebelum pusat pentadbiran berpindah ke Melekeok.

Kawasan tenggara yang antara lain menempatkan daerah Sonsorol dan Hatohobei mempunyai kira-kira 100 penduduk.

Di barat daya, ada pelbagai terumbu karang belum terusik sekitar Sonsorol, Fana, Meriil, Hatohobei dan Helen, tetapi pastikan anda membawa penyembur atau ubat nyamuk jika mahu melawat Meriil.

Hanya satu lapangan terbang beroperasi di kepulauan ini dan kebanyakan pelancong berkunjung melalui penerbangan dari Guam, selain penerbangan sewa khas secara terus dari Taipei, Korea Selatan dan Jepun.

Pengangkutan awam bukan masalah kerana banyak teksi yang sedia berkhidmat ke mana saja dan anda juga boleh menyewa kereta tetapi pastikan memandu perlahan kerana jalan di kepulauan ini banyak yang tidak rata.

Palau sememangnya syurga skuba, terutama di Blue Corner yang terletak kurang satu jam perjalanan dari pusat peranginan utama, selain German Channel, Ulong Channel dan Blue Holes.

Kesan sejarah juga ada di pulau ini, iaitu tapak pertempuran ketika Perang Dunia Kedua yang menempatkan banyak tinggalan seperti kubu, markas tentera Jepun, senjata lama serta sisa kenderaan perang.

Ada juga kisah menarik mengenai obor-obor di Palau, ia dikatakan sudah hilang bisa kerana kurangnya gangguan daripada pemangsa. Malah, ada satu tempat penuh dengan hidupan itu sehingga dinamakan Jellyfish Lake atau Tasik Obor-Obor.

Makanan mungkin bukan masalah besar kerana di Koror, ada restoran menyajikan masakan India, Jepun dan Cina, manakala kehidupan malam tidak membosankan kerana ada banyak pusat hiburan, termasuk pusat karaoke lengkap dengan gadis pelayan.

Jika berhasrat ke Palau, banyak tempat penginapan berkonsep butik disediakan, kebanyakan di kawasan Koror atau berhampiran dengan sewa dari serendah AS$50, begitu juga dengan resort mewah yang menawarkan kemudahan untuk penyelam.

FAKTA: Palau

Populasi kira-kira 21,000 orang
Agama utama Kristian
Keluasan 459 kilometer persegi