PEMINAT robot dapat bertukar fikiran dan mengasah minda dalam teknologi robotik.
Kakirobot kumpul peminat, pupuk potensi anak muda dalam dunia robotik
TEKNOLOGI robotik bukanlah bidang baru. Di kebanyakan negara maju, mereka yang bekerja dalam bidang robotik lazimnya berpendapatan tinggi. Lihat saja di Jepun, Korea Selatan atau Jerman yang mengalami pertumbuhan pesat dalam industri robotik. Tidak hairanlah, sebahagian besar proses dalam industri utama di negara terbabit dikendalikan robot.
Lain pula keadaannya di Malaysia. Biarpun sudah lama bertapak di negara ini, industri robot masih ketinggalan jika dibandingkan dengan negara maju. Jika di negara peneraju teknologi robot, kejayaan saintis mencipta robot canggih sering menjadi laporan utama media massa. Di Malaysia, aktiviti dunia robotik lebih banyak tertumpu pada pameran, pertandingan antara sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) atau projek penyelidikan di universiti.
Biarpun perkembangan industri robotik di Malaysia agak perlahan, namun ia tidak pernah menghalang penggiat dan peminat robot tempatan untuk terus memajukan bidang ini.
Antara kumpulan yang aktif menghidupkan bidang robotik di Malaysia ialah Kelab Kakirobot. Kakirobot ialah sebuah komuniti penggiat dan peminat robot yang aktif menganjurkan pelbagai aktiviti menarik membabitkan dunia robotik. Aktiviti seumpama ini bukan saja diadakan untuk peminat robot, sebaliknya mendedahkan dunia robotik kepada semua peringkat masyarakat.
Kelab Kakirobot yang ditubuhkan akhir tahun lalu sentiasa menganjurkan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat. Antaranya ialah pameran, pertandingan, lawatan, bengkel, seminar dan perjumpaan di kalangan individu yang memiliki minat yang tinggi terhadap teknologi robotik.
Penubuhan Kelab Kakirobot selaras perkembangan pesat bidang robotik yang menjadi antara aspek teknologi penting masa kini. Disebabkan itulah, persekitaran yang sesuai atau kondusif perlu menjadi asas kepada perkembangan industri robotik di Malaysia.
Sebelum melangkah ke aspek yang lebih besar, penggiat robotik yang bernaung di bawah Kakirobot berhasrat mewujudkan asas robotik yang merangkumi pelbagai aspek seperti sains, kejuruteraan, seni dan rekaan.
Bagi penggiat Kakirobot, limpahan ilmu dan maklumat hari ini memberi banyak kelebihan kepada mereka meningkatkan kemahiran dan mendalami lebih banyak ilmu mengenai robot. Golongan kreatif ini berkongsi setiap maklumat baru setiap kali bertemu baik dalam forum mingguan, bulanan dan tahunan yang dianjurkan kelab ini.
Apa yang menarik, aktiviti yang dianjurkan Kakirobot sesuai untuk peringkat usia daripada golongan muda hinggalah profesional. Fasilitator Kakirobot berusaha menganjurkan aktiviti bersifat interaktif dengan khayalak yang besar.
Misalnya, Februari lalu, Kakirobot menganjurkan Robofair 2009 iaitu program terbesar yang pernah dianjurkan kelab itu. Pelbagai aktiviti mengisi Robofair 2009 seperti tarian ala robot iaitu Robodance; pertarungan Robobattle; pertandingan mewarna untuk kanak-kanak; bengkel dan seminar. Acara ini diiktiraf Malaysia Book of Record bagi kategori pemasangan Robopets (robot kecil) terbanyak di negara ini.
Bulan lalu, Kakirobot menganjurkan pameran robot selama lebih sebulan di Pusat Sains Negara di Kuala Lumpur. Pada pameran ini, pelbagai jenis ciptaan robot termasuk robot yang dicipta penggiat robotik tempatan dipamerkan.
Pelbagai segmen mengisi pameran ini termasuk demonstrasi pemasangan robot ringkas. Paling menarik, kemunculan maskot robot bersaiz manusia yang berlegar di kawasan pameran dan beramah mesra dengan pengunjung.
Maskot robot ini adalah watak filem robot tempatan yang bakal ditayangkan, tidak lama lagi. Filem berjudul Ce1 itu adalah terbitan HezCOMM iaitu syarikat yang diterajui Hezle Mohd Helan, yang juga pengasas Kelab Kakirobot.
Mengenai Kakirobot, Setiausaha Agungnya, Afzazuliana Abdul Jalil berkata, pihaknya menerima lebih 600 penyertaan berdaftar daripada peminat robot merangkumi pelbagai peringkat usia dari seluruh negara.
Afzazuliana berkata, rata-rata mereka yang menyertai Kakirobot memberi maklum balas positif terhadap kewujudan Kakirobot yang menjadi landasan untuk menggiatkan hobi dan melakukan pelbagai aktiviti.
“Sekurang-kurangnya, aktiviti yang dianjurkan Kakirobot memberi pilihan dalam kalendar aktiviti robotik tempatan. Ia secara tidak langsung dapat mencungkil lebih banyak bakat dan ciptaan terkini anak tempatan.
“Melalui aktiviti yang dikendalikan Kakirobot, kita dapat mengesan sebenarnya ramai di kalangan rakyat Malaysia memiliki kemahiran tinggi dalam penciptaan robot malah ramai antara mereka sudah mencapai tahap artificial intelligence (AI).
“Sayangnya, individu berbakat besar ini tidak menemui ruang untuk mereka mempamerkan ciptaan dan memperkembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi sehinggalah menyertai Kakirobot,” katanya yang mengalukan lebih ramai rakyat Malaysia terutama generasi muda menyertai Kakirobot.
Mereka terutama remaja yang berminat menyertai atau mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai Kelab Kakirobot, bolehlah melayari laman www.kakirobot.com
Apa kata si fanatik robot...
"JIKA hendak dibandingkan perkembangan ciptaan robot Malaysia dengan negara maju seperti Jepun, memang jauh perbezaannya. Robot ciptaan kita rata-rata amat ringkas. Di negara seperti Jepun, ciptaan robot mereka sungguh canggih dan memiliki pelbagai fungsi. Banyak robot yang dicipta mereka membantu kehidupan harian manusia.
Di Malaysia, saya pasti ramai berminat dengan bidang robotik tetapi tidak tahu di mana mereka boleh mengembangkan minat dan bakat mereka.
Namun, akhir-akhir ini dapat melihat makin kerap aktiviti robot dianjurkan di Malaysia. Acara ini bukan hanya di peringkat sekolah ataupun institusi pengajian tetapi terbuka kepada orang ramai.
Bagi saya, jika berkemahiran mencipta robot untuk kegunaan sendiri, saya ingin mencipta robot yang boleh menjadi pembantu peribadi (PA) saya.”
Mohd Faizal Abu Hassan, 23
"MUNGKIN ramai seperti saya yang sebelum ini menyangka robot cuma permainan kanak-kanak. Sebenarnya, jika dilihat ada pelbagai bentuk dan fungsi robot.
Aktiviti seperti bengkel, pameran dan kelab seperti yang Kakirobot ini amat baik kerana dapat menjadi saluran bagi peminat bidang robotik mencurah bakat dan bertukar kemahiran. Ini secara tidak langsung dapat memajukan lagi industri robotik tempatan.
Aktiviti ini boleh menjadi pendedahan berguna kepada orang ramai untuk lebih mengenali bidang robotik. Tidak mustahil, satu hari nanti, bidang robotik akan menjadi industri utama di Malaysia dan semakin banyak anak tempatan mencipta robot canggih.”
Mohd Adli Shahar, 23.
"DENGAN adanya aktiviti ini, sekurang-kurangnya ia dapat memperluaskan lagi pemahaman masyarakat terutamanya golongan muda mengenai robot.
Bagi mereka yang tidak arif mengenai teknologi robotik, mungkin akan kagum dengan pelbagai rupa bentuk robot yang berbeza daripada apa yang sering dilihat.
Pada pendapat saya, lebih banyak aktiviti bidang robotik perlu dianjurkan di negara ini dan publisiti meluas wajar diberi supaya dapat menarik minat lebih ramai individu berpotensi... Ini tentu dapat memajukan industri robotik tempatan,”
Oleh Diyanah Anuar
diyanah@bharian.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
02 October 2009
Remaja siber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
banyak nye robot...
robot yg warna hitam tu gerak ke tak???
Post a Comment