Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






25 October 2009

Permainan lama



















Antara Permainan Tradisional Masa Lapang .

Jabatan Muzium perkenal semula suasana di kampung dengan acara 'Jom Main'

MENGIMBAU kembali kenangan zaman kanak-kanak pasti tiada yang lebih menggembirakan, selain waktu bermain yang seolah-olah tiada penghujung.

Keseronokan cuma terhenti seketika apabila lembayung senja mula kelihatan atau dikejar ibu dengan ranting kayu sebagai pengganti rotan kerana azan Maghrib sudah bergema.


Berbeza sekarang, ibu bapa tidak ragu-ragu melepaskan anak-anak bermain dengan rakan sebaya hingga ke hujung kampung. Sekadar berpesan kepada jiran yang sudah seperti saudara sendiri untuk sama-sama memerhatikan keselamatan anak sudah mencukupi.

Seperkara menarik mengenai permainan zaman dulu ialah kebanyakannya memerlukan pembabitan ramai pemain, sekali gus membentuk ikatan persahabatan erat dan pergaulan sihat berbanding aktiviti masa kini yang cukup dengan seorang jadi penggerak.

Justeru, pameran Permainan Tradisi Tradisional Masa Lapang 'Jom Main' anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) pada 10 hingga 25 lalu menggamit kenangan lalu dan menusuk minda dengan deretan aktiviti yang berkait rapat dengan suasana kampung seperti batu seremban, congkak, galah panjang dan tarik upih pinang.

















Heng dan Ibrahim (kiri) melakukan acara simbolik 'baling tin' pada Majlis Pelancaran Pameran Permainan Tradisional Masa Lapang.



Sempena pameran itu, JMM menganjurkan acara bermain congkak selama 36 jam tanpa henti untuk dimasukkan dalam Malaysia Book of Records mengatasi tempoh 31 jam yang dicatatkan oleh Persatuan Literasi Melayu, Universiti Multimedia.

Pameran yang dirasmikan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie itu bertujuan membawa orang ramai mengimbas kembali kemeriahan permainan tradisional yang semakin dilupakan generasi muda. Ia juga diharapkan dapat membantu usaha menyemai kembali rasa cinta terhadap permainan tradisi yang menjadi warisan budaya di kalangan seluruh masyarakat Malaysia sejak zaman berzaman.

Heng, dalam ucapannya, berkata permainan tradisi adalah antara identiti warisan negara yang menjadi kebanggaan walaupun sebahagiannya mempunyai sedikit persamaan dengan negara lain khususnya di rantau ini.

"Langkah mendokumentasikan dan memperkenalkan permainan ini ke semua peringkat, khususnya di sekolah, persatuan, kampung dan komuniti di kawasan perbandaran perlu dipertingkatkan.


Antara permainan yang terdapat di Pameran Permainan Tradisional Masa Lapang di Muzium Negara.

"Sekiranya langkah ini dapat dilaksanakan, saya percaya banyak masalah sosial dapat dikurangkan. Ini kerana antara faktor berlaku gejala sosial disebabkan kekurangan aktiviti serta program yang dapat mengisi masa lapang generasi muda terutama di bandar.

"Secara perbandingan, kita dapat lihat sebelum 1970-an ketika permainan ini menjadi tradisi di kampung dan bandar, golongan remaja dapat berinteraksi dengan bermain sesama mereka sekali gus mengurangkan masalah sosial," katanya.

Permainan tradisional secara umumnya memiliki kaedah dan corak permainan mudah, ringkas dan mempunyai unsur semula jadi.

Paling penting, ia boleh dimainkan oleh semua kanak-kanak tanpa mengira status dan kedudukan kerana tiada kos perlu dikeluarkan berbanding permainan zaman sekarang yang memerlukan belanja tinggi untuk membeli sesuatu mainan.


















Permainan tarik upih
Ia juga membabitkan banyak pergerakan fizikal yang membantu membentuk kecerdasan minda dan tubuh yang cergas. Sebahagian permainan tradisional ini memerlukan ketelitian strategi dan pemikiran kreatif serta ketepatan bertindak untuk muncul sebagai pemenang walaupun pada akhirnya ia sekadar satu keseronokan mengisi masa lapang.

Justeru, permainan tradisional ini wajar dipertahankan dan diteruskan kerana ia terserlah mempunyai 1,001 macam kelebihan berbanding pelbagai jenis permainan canggih zaman sekarang yang akhirnya membentuk kanak-kanak bersikap antisosial.

Ia tidak berlaku dalam permainan tradisi yang terbukti sudah berjaya memupuk konsep perpaduan dan setiakawan di kalangan pemain, khususnya kanak-kanak kerana falsafah permainan itu sendiri yang memerlukan jalinan kerjasama erat tanpa mengira kaum dan kedudukan jika ingin menjulang kejayaan.


No comments: