Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






20 October 2009

Makanan tambahan untuk si kecil



















Ramai ibu bapa anggap anak perlu diberi vitamin bagi tingkatkan kesihatan.Gambar hiasan.

KANAK-KANAK yang cergas adalah kanak-kanak yang sihat, bebas daripada sebarang penyakit dan hidup penuh ceria. Jika dulu, ibu bapa disaran memberikan anak pemakanan seimbang supaya menyokong proses pembesaran berlaku secara semula jadi, kini mereka digalakkan membekalkan si kecil sejumlah vitamin atau suplemen dengan alasan apa yang diberi akan membantu si kecil membesar dengan sempurna.

Malah, sejak kebelakangan ini kebanyakan syarikat farmaseutikal berlumba-lumba menghasilkan suplemen yang dikatakan makanan tambahan dengan pelbagai fungsi termasuk membekalkan khasiat tertentu untuk meningkatkan kesihatan si kecil.

Persoalannya, benarkah kanak-kanak perlu dibekalkan dengan makanan tambahan? Tidak cukupkah pemakanan yang diambil setiap hari sehingga memerlukan mereka diberi makanan tambahan?

Ketua Pakar Pemakanan dan Pusat Modifikasi Gaya Hidup, Pusat Perubatan Prince Court, Datin Farah Diba Khan, berkata tidak salah memberi makanan tambahan kepada anak, tetapi ibu bapa perlu tahu fungsi setiap makanan tambahan atau vitamin yang diberikan supaya anak tidak mengalami sebarang masalah selepas mengambil makanan berkenaan.

"Kebanyakan ibu bapa hari ini mengambil berat mengenai keadaan kesihatan anak mereka. Jadi, mereka memberi pelbagai jenis pil dan vitamin yang ada dijual di pasaran walaupun tidak mengetahui dengan tepat adakah anak mereka benar-benar memerlukan makanan tambahan itu.

"Sewajarnya, apa yang perlu dilakukan ialah bertanya kepada doktor terlebih dulu apakah yang diperlukan oleh anak mereka untuk memastikan anak membesar dengan baik dan sempurna," katanya ketika ditemui di Bangsar, baru-baru ini.

Beliau berkata, mungkin ada ibu bapa yang mengeluh kerana anak mereka sering menolak makanan yang dihidangkan, tetapi berupaya pula menghabiskan makanan ringan yang tidak berzat bahkan mungkin tidak mempunyai kebaikan untuk tubuh badan si anak.

"Jika diperhatikan, kanak-kanak memang susah untuk menghabiskan makanan yang diberi kepada mereka. Pelbagai alasan diberikan untuk menolak makanan yang disediakan si ibu, tetapi mereka akan makan dengan cepat jika diberikan makanan ringan.

"Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui kebaikan makanan yang boleh dimanfaatkan untuk anak mereka. Merujuk kepada carta makanan, pengambilan bijirin, tenusu dan buah-buahan sangat digalakkan. Kreativiti ibu bapa diperlukan dalam menyajikan makanan untuk anak," katanya.

Farah Diba berkata, sekiranya ibu bapa mengetahui keperluan makanan anak untuk membantu mereka membesar, kemungkinan ibu bapa tidak perlu lagi memberi anak makanan tambahan kerana zat dan vitamin yang terkandung dalam makanan harian dikira sudah memadai dengan keperluan gizi anak.

"Untuk pengambilan buah-buahan misalnya, setiap buah mempunyai vitamin berbeza. Begitu juga dengan khasiat yang dikeluarkan oleh setiap buah-buahan.

"Jika diperhatikan, ada buah berwarna hijau, merah, oren dan kuning. Warna buah melambangkan vitamin dan zat yang berbeza serta mempunyai kebaikan masing-masing terhadap badan manusia. Begitu juga dengan sayur-sayuran yang terdapat di pasaran," katanya.

Lazimnya, alasan diberikan ibu bapa mengenai tindakan mereka memberi anak makanan tambahan ialah untuk menambah selera makan anak, membantu daya fikiran anak supaya lebih cergas, menjadikan kulit anak lebih cantik mahupun mengelakkan anak diserang demam atau batuk.

"Bukan tidak boleh memberi anak makanan tambahan, vitamin mahupun ubat-ubatan untuk membantu mutu kesihatan anak, tetapi wajar diketahui jika anak sudah mendapat cukup vitamin dan zat melalui pengambilan makanan harian, ibu apa tidak perlu menyogok anak dengan lebih banyak makanan tambahan.

"Begitupun, jika ibu bapa ingin memberi juga anak mereka makanan tambahan, elok dirujuk kepada doktor terlebih dulu," katanya.

Tidak salah bagi ibu bapa untuk membekalkan anak mereka dengan pelbagai jenis pil dan vitamin, tetapi sebaik-baiknya biarlah anak mendapat zat dan sumber galian daripada bahan semula jadi dan bukannya dalam bentuk pil atau makanan tambahan yang sudah diproses.

Bagi pasangan Sharma Eliana Shafie dan Mahmud Sabri Daud, yang mempunyai sepasang cahaya mata bagai melengkap kehidupan mereka, mengakui seperti sesetengah ibu bapa, mereka agak berhati-hati membesarkan anak bongsu yang sering diserang selsema, deman dan batuk.

"Anak sulung saya, Najla Amani, 4, tidak mempunyai masalah kesihatan berbanding adiknya, Mohd Shakir Adli, 2, yang sering mengalami asma dan batuk apabila hari sejuk atau hujan.

"Saya ada membawa dia berjumpa doktor pakar dan dinasihatkan memberi makanan tambahan yang mengandungi vitamin tertentu supaya dapat mengelakkan selsema dan batuk berpanjangan," katanya.

Sehubungan itu, Eliana memilih beberapa jenis vitamin yang disyorkan doktor untuk diberikan kepada anak bongsu yang kerap demam serta pada masa sama mengambil kira mutu makanan yang akan diberikan kepada kedua-dua anak bagi memastikan mereka sihat.

"Saya tidaklah begitu terperinci mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dimakan oleh anak, tetapi sebagai ibu kadangkala berasa tidak sampai hati apabila melihat mereka merengek mahukan ais krim atau gula-gula.

"Lebih-lebih lagi apabila mereka bertemu sepupu, ketika itulah semua makanan ada termasuk makanan ringan yang menjadi kegemaran kanak-kanak. Saya benarkan mereka mengambilnya, tetapi mengawal jumlah pengambilan dan jenis makanan supaya tidak mendatangkan mudarat," katanya.

Eliana dan Mahmud sepakat memberikan anak mereka makanan tambahan dalam bentuk cecair kerana lebih mudah dikendalikan berbanding pil memandangkan sifat kanak-kanak susah untuk menelan ubat.

"Untuk Shakir, saya masukkan ke dalam susu yang diminum, manakala untuk kakaknya, dia sudah tahu membezakan ubat dan vitamin, jadi saya bekalkan dia makanan dalam bentuk pil. Kadangkala kedua-duanya mahukan vitamin dalam bentuk pil kerana menganggap vitamin itu adalah gula-gula yang boleh dikunyah," katanya.

Oleh Shaidah Shafie

No comments: