JERUNG akan mendekati anda sekiranya tercium bau darah
SEBUT sahaja jerung, sudah tentu anda akan berasa takut untuk mendekatinya. Mungkin anda lebih berminat untuk melihat kelibatnya dari jauh sahaja.
Tetapi tahukah anda bahawa spesies hidupan marin itu tidak akan menyerang manusia sesuka hati, melainkan anda cuba mengganggunya.
Bukan senang untuk mendapat peluang melihat spesies jerung di depan mata. Namun begitu, peluang tetap ada sekiranya anda mengunjungi lokasi seperti zoo di luar negara atau di Aquaria KLCC, Kuala Lumpur.
Anda juga boleh menyaksikan kehidupan spesies jerung menerusi televisyen. Bagaimanapun, penyiaran dokumentari berhubung kehidupan jerung tidaklah sekerap mana, sedangkan ia perlu disiarkan untuk memberi pengetahuan kepada penonton.
"Banyak yang kita tidak tahu tentang jerung. Apabila sebut sahaja jerung, ramai antara kita berfikir bahawa haiwan ini begitu bahaya.
"Bagaimanapun, sekiranya kita meneliti dan mempelajari tentang kehidupan jerung, ia satu pengalaman yang cukup menyeronokkan.
"Ini kerana jerung mempunyai pelbagai ragam bergantung kepada spesiesnya," jelas Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Aquaria KLCC, Stephen Ronee Lau ketika ditemui Kosmo! di Aquaria KLCC Kuala Lumpur baru-baru ini.
37 ekor jerung
Program minggu jerung yang diadakan bersama Aquaria KLCC itu bermula dari 5 sehingga 11 Oktober ini. Program itu, pasti dapat menarik minat orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat hidupan marin itu di dasar akuarium Aquaria KLCC.
Di akuarium itu, terdapat himpunan 37 ekor jerung yang terdiri daripada beberapa spesies termasuklah Sand Tiger Shark, Tawny Nurse Shark, Black Tip Reef Shark, White Tip Reef Shark dan Bamboo Shark.
Sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang utama Aquaria, anda dapat melihat malah menyentuh Bamboo Shark yang diletakkan di dalam bekas sederhana besar. Bagaimanapun, untuk menikmati 'gaya hidup' jerung yang lebih menarik, laluan luas disediakan untuk memberi kebebasan kepada jerung berenang.
Lebih bermakna lagi, apabila sesi lawatan ke sana dibuat pada waktu jerung diberi makan oleh para pelatih profesional. Jadual makan bagi haiwan tersebut adalah pada setiap Isnin, Rabu dan Sabtu, tepat pukul 3 petang.
"Meskipun kita menetapkan waktu bagi jerung-jerung ini makan, tidak semestinya semua datang serentak. Ini kerana ada jerung yang tidak datang dan kami akan cuba memberi mereka makan di belakang akuarium," cerita penyelam Aquaria KLCC, Ahmad Khirmy Jamli, 32.
Jelas Khirmy lagi, jerung Sand Tiger Shark makan mengikut kuantiti berat badannya. Manakala diet yang diambil oleh jerung-jerung itu adalah ikan tuna dan jenahak.
"Sand Tiger Shark tidak makan banyak. Jerung ini hanya mengambil makanan dua peratus daripada berat badannya," katanya.
Ditanya, tidakkah dia berasa gugup setiap kali menjalankan tugasnya untuk memberi makan jerung tersebut, Khirmy berkata:
"Pada mulanya, memang agak takut. Tetapi berbekalkan pengalaman selama 10 tahun dalam dunia menyelam, saya yakin dan mampu melaksanakan tugas ini dengan baik.
"Lagipun, penyelam akan diberikan peralatan bantuan iaitu stick sebagai alat penahan diri sewaktu ingin memberi makan jerung."
Selain itu, Khirmy bukannya menjalankan tugas itu sendirian tetapi turut dibantu rakan-rakannya.
"Biasanya, kami masuk ke dalam akuarium berdua. Sebelum saya mahir memberi makan jerung, saya membawa stick sepanjang memberi makanan kepada jerung-jerung tersebut.
"Apabila sudah mahir dan biasa, saya kini tidak lagi menggunakan stick. Saya guna tangan sahaja untuk menyuap jerung makan," katanya yang menjadi penyelam di Aquaria KLCC sejak hampir lima tahun lalu.
Khirmy menjelaskan, orang ramai tidak perlu takut dengan jerung. Katanya, haiwan tersebut hanya akan mengganas apabila terhidu bau darah.
Sebab itulah, setiap penyelam tidak boleh mempunyai sebarang luka sebelum memasuki akuarium. Sebagai langkah keselamatan lain, Khirmy turut memakai sarung tangan besi bagi mengelak digigit jerung ketika memberi makanan.
"Saya pernah digigit tetapi tidak terlalu teruk. Sebabnya, ketika itu saya pakai sarung tangan besi. Cuma bengkak sahaja," ulasnya.
Justeru, memikirkan pentingnya pengetahuan terhadap jerung terutama bagi golongan kanak-kanak, siaran Discovery Channel menerusi saluran 551 mengambil inisiatif untuk mengetengahkan kehidupan jerung selama tujuh hari berturut-turut.
Setiap program televisyen yang bermula pada 5 sehingga 11 Oktober ini memberi fokus terhadap pelbagai tajuk berlainan. Ini bermakna anda dapat menyaksikan kehidupan sebenar jerung-jerung yang terdapat di seluruh dunia.
Antara intipati rancangan tersebut adalah mendedahkan kepada penonton bagaimana seekor jerung boleh mengganas secara tiba-tiba. Manusia pula perlu mempelajari cara mengelakkan diri daripada ancaman jerung.
Semua itu dapat disaksikan menerusi program rancangan Shark Attack Files. Dengan gambaran visual yang menarik, sudah tentu ia memberikan anda pengalaman dan pengetahuan baru sepanjang menonton.
Great White Appetite pula, menyajikan anda dengan penemuan baru yang dikongsi bersama para saintis. Mereka cuba untuk mengkaji populasi, cara jerung mengawan dan pemakanan yang diambilnya.
"Jerung putih mempunyai kisah misteri yang tersendiri dan berbeza dengan jerung-jerung lain. Jadi, apabila anda menonton Discovery Channel, ia akan mengupas aspek yang mempesonakan berhubung Great White Appetite yang dirakamkan di tiga lokasi.
"Pada masa yang sama, kita dapat menyingkap kehidupan jerung putih melalui jumlah makanan yang diambilnya. Apatah lagi spesies jerung ini agak misteri," ujarnya lagi.
Selain itu, menerusi rancangan Deadly Waters, ia memaparkan sedikit kelainan apabila seorang lelaki yang bernama Les Stroud memulakan perjalanan program tersebut di Florida Museum of Natural History.
Program itu memaparkan kawasan laut yang menjadi lokasi jerung berkumpul. Les juga akan menyenaraikan semua lokasi laut yang berbahaya di seluruh dunia. Anda dapat menyaksikan keberanian lelaki tersebut bersama pasukannya untuk mendapatkan pendedahan baru.
Jangan ketinggalan meluangkan masa menonton Shark After Dark dengan barisan para penyelam yang cuba membongkar kehidupan jerung pada sebelah malam.
Anda dapat menyaksikan cabaran para penyelam untuk mendapatkan sebaik mungkin aktiviti jerung pada waktu malam dengan menggunakan teknologi kamera pengesan haba infra merah.
Sementara itu, alihkan siaran anda pada program Sharkbite Summer dan Blood In The Water yang mengisahkan paparan menarik berhubung kejadian jerung yang menyerang mangsanya di dasar laut.
Ia merupakan inspirasi daripada filem terkenal Jaws. Turut mengisi slot itu adalah pengakuan beberapa orang mangsa yang pernah berhadapan dengan serangan haiwan ganas tersebut.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
07 October 2009
Minggu Dunia Jerung
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
besarnye jerung tu...
Post a Comment