Demonstrasi cara membasuh tangan yang betul
MEMBASUH tangan satu kemestian bagi semua orang yang ingin menjamah makanan atau setelah melakukan kerja-kerja yang mengotorkan. Bagaimanapun, mencuci tangan dengan hanya menggunakan air tidak mungkin akan menghilangkan kuman-kuman yang melekat kerana ia sekadar membasahkan tangan sahaja.
Sebaik-baiknya, gunakan sabun. Itupun belum betul-betul bersih kerana tanpa teknik dan tempoh yang betul, tangan tidak benar-benar bersih.
Sekiranya seseorang itu menggunakan sabun, mengikut teknik dan tempoh tertentu, maka risiko mendapat penyakit seperti cirit birit, penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) serta jangkitan Sindrom Pernafasan Akut Teruk boleh dielakkan.
Jangkitan paling lazim berlaku menerusi tangan, justeru itu amalan mencuci tangan amat penting bagi kanak-kanak supaya mereka sihat dan boleh makan dengan betul, seronok bermain dengan rakan-rakan dan hadir ke sekolah di samping bagi orang dewasa sihat untuk bekerja dan sekali gus negara mempunyai masyarakat yang cergas.
Justeru itu, dalam usaha mempromosikan amalan membasuh tangan menggunakan sabun bagi mengelakkan risiko wabak penyakit, Hari Membasuh Tangan Sedunia telah diwujudkan.
Diwartakan pada 15 Oktober 2008, Hari Membasuh Tangan Sedunia disambut buat kali keduanya tahun ini bertujuan memotivasikan jutaan manusia di seluruh dunia agar membasuh tangan menggunakan sabun.
Di Malaysia, usaha tersebut dilaksanakan oleh pihak Unilever (M) Holdings Sdn. Bhd. menerusi produknya, Lifebuoy dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan, Yellow House Society.
Pengurus Jenama Unilever (M) Holdings Sdn. Bhd., Lenny Chuah berkata, pendidikan membasuh tangan harus dimulakan sejak usia muda.
Ia merupakan suatu yang agak jarang dipraktikkan dan sukar dipromosi.
Sehubungan itu, Lifebuoy ingin menyahut cabaran mendidik masyarakat agar mengetahui bahawa kebersihan bermula dengan amalan membasuh tangan dengan aktiviti yang menghiburkan dan memberi inspirasi supaya kanak-kanak boleh menghargai dan mengamalkannya.
''Antara aktiviti yang akan dijalankan ialah sesi lukisan kanvas untuk kanak-kanak di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang dan Lembah Pantai pada 24 Oktober dan 31 Oktober ini.
''Temanya ialah 'Tangan Bersih untuk Kesihatan yang Baik'. Seramai 160 orang kanak-kanak dijangka menyertainya.
''Selain itu, demonstrasi cara membasuh tangan untuk kanak-kanak, ibu bapa dan penjaga yang melawat pusat-pusat itu turut diadakan,'' katanya ketika melancarkan Hari Membasuh Tangan Sedunia baru-baru ini.
Pada hari itu, seramai 25 orang kanak-kanak kurang upaya, anak yatim dan anak dari keluarga kurang mampu di kawasan Selayang telah dijemput bagi memeriahkan hari pelancaran di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Selayang.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
21 October 2009
Didik kanak-kanak basuh tangan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment