Anak-anak perlu diajar sifat untuk memberi bagi mengimbangi budaya meminta duit raya ini.
JIKA diingat kembali zaman kanak-kanak dulu, penulis tidak pernah merungut begitu juga dengan kawan-kawan lain, malah kami senyum dengan ikhlas apabila dihulur duit raya lima sen atau 10 sen oleh tuan-tuan rumah yang kami ziarahi.
Duit raya paling banyak yang penulis dapat waktu itu ialah 50 sen yang disedekahkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Hormat Rafiee, yang kebetulan tinggal sekampung dengan penulis.
Sehinggalah di penghujung hari, setelah seharian puas berhari raya dari satu rumah ke rumah yang lain, di tangan hanya ada RM1 atau paling banyak RM1.50. Dengan jumlah itu pun penulis sudah senyum lebar kerana seperti beroleh 'kekayaan'!
Sebenarnya duit raya bukanlah motif utama penulis dan rakan-rakan lain seharian meredah tidak sahaja rumah jiran tetangga tetapi sehingga ke hujung kampung. Sebaliknya, ia semata-mata kerana seronok hendak berhari raya di rumah rakan-rakan sedarjah, terutama sekali guru-guru sekolah, malah ketua kampung, imam masjid sehinggalah rumah mak bidan.
Ketika itu duit raya bukan soalnya, jika tidak diberi pun tidak mengapa. Asal sahaja terhidang air dan pelbagai jenis kuih muih untuk dijamah.
Berbeza pula pada hari ini apabila pemberian duit raya itu semakin subur dibudayakan di kalangan masyarakat setiap kali tibanya Aidilfitri.
Daripada sekadar untuk 'suka-suka,' ia kini seolah-olah menjadi satu kemestian yang kadang kala membebankan kerana jumlahnya bukan lagi lima atau 10 sen sebaliknya paling rendah RM2 sehinggalah yang paling tinggi RM10 sehinggalah RM50 bagi seorang budak.
Malah kadang kala tanpa perlu 'merayap' atau pergi ke mana-mana, sekadar memerap duduk di rumah kerana ralit dengan pelbagai rancangan istimewa di televisyen, mudah-mudah sahaja mereka menerima 'angpau' raya itu.
Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis, Mohammad Ismail berkata, penyediaan duit raya itu kini menjadi satu 'kemestian' oleh masyarakat Melayu setiap kali hari raya.
Ini sebagaimana mereka menyediakan pelbagai keperluan-keperluan lain seperti kasut, baju raya dan juadah-juadah raya.
Semua ini bagi memastikan hari raya dapat disambut tanpa sebarang cacat cela dan kekurangan.
"Malah untuk matlamat 'besar' seperti itu, ada di antara kita yang sanggup bergolok bergadai sedangkan kebanyakannya bukanlah yang wajib dan dituntut oleh Islam," katanya.
Beliau tidak menafikan bahawa fenomena duit raya itu mampu mencetuskan satu isu dan polemik yang menarik untuk dibicarakan.
"Ini apabila ada di antara kita yang menganggap pemberian duit raya sebagai satu 'pelaburan', dengan harapan orang lain pula akan memberi duit raya untuk anak-anak mereka pula.
"Kononnya untuk tujuan simpanan atau menabung yang hendak digunakan di kala sesak dan susah tetapi lazimnya sering berakhir dengan perkara-perkara yang menyimpang daripada tujuan yang murni," katanya.
Ini termasuklah duit itu dibelanjakan sesuka hati, membazir dan sebagainya.
"Namun banyak perkara kita perlu perhatikan dan ambil berat fenomena memburu duit raya di kalangan anak-anak," kata beliau.
Lazimnya jika di kampung-kampung, kata Mohammad, kanak-kanak akan berkumpul beramai-ramai selepas sembahyang sunat hari raya dan mereka akan berbincang sesama mereka untuk memilih rumah-rumah siapa yang akan menjadi 'sasaran'.
"Ini menjadikan tradisi kunjung mengunjung untuk berkenal-kenalan, mengeratkan silaturrahim, bermaaf-maafan sebagaimana yang dituntut oleh agama sudah agak tercemar.
"Kanak-kanak itu tidak lagi mempunyai pemahaman yang baik mengenai kewajipan menziarahi di musim raya itu. Kebanyakan mereka akan bergerak dari satu rumah ke satu rumah yang lain semata-mata hanya kerana duit raya.
"Sehinggakan untuk menjamah sepotong kek atau kuih serta meneguk segelas sirap pun tidak sempat kerana mengejar masa untuk mengumpul duit raya," katanya.
Kononnya lebih banyak rumah yang mereka 'redah' lebih banyak duit raya bakal diperoleh.
Malahan ada di antara mereka yang sanggup berkata: "Kami tak mahu minum, kami tak mahu makan, kami hanya nak duit raya aje."
Lebih teruk lagi apabila ada tanpa ditunggu-tunggu lagi, mereka terus membuka sampul duit raya.
Kanak-kanak ini kemudiannya terus mencemuh apabila habuan yang diberi tidak setimpal atau tidak seperti yang diharapkan,
"Takkan RM1 aje pakcik, rumah sebelah bagi RM2. Pakcik ni kedekutlah. Pakai kereta besar-besar tapi bagi duit raya, RM1 sahaja". Antara kata-kata sinis yang 'menghiris' kita mendengarnya.
Ada juga di kalangan kanak-kanak ini yang bargain dengan tuan rumah yang mereka kunjungi dengan berkata: "Raya tahun lepas, pakcik dah bagi RM1, takkan raya tahun ini RM1 juga lagi?"
Sebenarnya terdapat pelbagai lagi kerenah yang kurang menyenangkan apabila 'pemburuan' duit raya di kalangan kanak-kanak ini tidak dikawal.
Sedangkan kata Mohammad, fenomena duit raya cukup berbeza apabila melibatkan generasi dahulu dengan sekarang.
"Kanak-kanak pada zaman 60-an dan 70-an agak berbeza lagaknya, kalau bertandang untuk berhari raya mereka tidak mementingkan duit raya tetapi kata-kata dan tingkah laku mereka adalah lebih berlapik.
"Mereka akan minum dan menjamah sedikit makanan yang dihidangkan, kemudian barulah bersalaman dengan tuan rumah sebelum beredar.
"Dan sekiranya duit raya yang diberi 20 sen atau pun 50 sen, kita tidak pernah merungut sebaliknya berterima kasih kepada tuan rumah dan terus berkunjung ke rumah yang lain pula," katanya.
Mengulas lanjut mengenai duit raya ini kata Mohammad, lazimnya niat memberi duit raya adalah ikhlas. Sebabnya, suka melihat yang menerimanya terutama golongan kanak-kanak ini gembira dan ceria bagi menjadikan suasana Hari Raya bertambah meriah.
"Namun niat yang sedemikian murni itu kini perlu dinilai semula apabila kita perlu merenung kesannya untuk jangka masa yang panjang.
"Ini kerana kita tidak mahu generasi muda yang menjadi pewaris bangsa itu menjadi 'peminta sedekah terhormat' walaupun berapa sangat jumlah wang yang kita berikan kepada mereka," katanya.
Ini kerana Mohammad berpendapat, jika budaya ini tidak dibendung dikhuatiri ia akan menjadi sebati dalam hidup mereka dan menjadi amalan dalam hidup mereka kelak untuk meminta-minta.
"Kita juga bimbang sekiranya generasi pelapis ini tidak lagi memahami maksud berhari raya dan kunjung mengunjung antara satu sama lain," katanya.
Justeru katanya, sebagai ibu bapa dan golongan dewasa kita perlulah mendidik dan sentiasa mengingatkan anak-anak kita supaya tidak meminta-minta.
"Malah banyak yang perlu kita terapkan dalam minda anak-anak iaitu bahawa hari raya itu tidak semestinya baju baru, hari raya itu bukannya mercun, hari raya itu bukanlah duit raya semata-mata," jelas Mohammad.
Begitu pun kita semua setuju bahawa amalan memberi duit raya tidak salah untuk dilakukan asalkan tidak menyalahi hukum dan batas-batas agama dan budaya serta tidak disertakan dengan sifat riak, ego, menunjuk-nunjuk dan sebagainya.
"Mungkin agak sukar untuk kita membiasakan yang betul tetapi jika tidak kita sebagai ibu bapa yang mulakan, siapa lagi? Jika tidak mulai sekarang, bila lagi?," tegas beliau.
Kata Mohammad, biarlah raya kali ini dijadikan satu titik permulaan yang lebih baik, ke arah satu perubahan menyambut hari raya mengikut ajaran Islam yang sebenar.
"Lebih-lebih lagi kita yang berkemampuan amatlah dituntut untuk membantu yang kurang berkemampuan dengan memberi duit raya, iaitu dengan lain perkataan jika hendak memberi, memberilah kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Sementara itu, Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abdul Rahman berkata, menghulur duit raya merupakan satu amalan mulia, yang mengajar supaya kita bersifat murah hati dengan orang lain.
Namun apabila ia terlalu dibudayakan kata Ahmad Husni, amalan ini boleh membebankan tuan rumah, seolah-olah terpaksa sedangkan amalan seperti ini tidak dijumpai atau diamalkan pun di zaman Nabi Muhammad.
"Walaupun digalakkan bersedekah bagi menggembirakan orang lain tetapi sehingga menjadi beban dan mudarat kepada tuan rumah, maka ini ditegah dalam Islam," katanya.
Beliau juga turut sependapat dengan Mohammad bahawa anak-anak perlu diajar sifat untuk memberi bagi mengimbangi budaya meminta duit raya ini.
"Kita bimbang sehingga mereka dewasa kelak, mereka terbiasa dengan budaya 'subsidi', tanpa perlu kuat berusaha kecuali menunggu dan meminta segala macam bentuk bantuan,
"Kita mesti latih mereka untuk turut memberi dengan menerapkan amalan tangan di atas (memberi) adalah lebih baik dari tangan yang di bawah (menerima)," katanya.
Budaya duit raya kata Ahmad Husni sebenarnya perlu mempunyai kaitan rapat dengan amalan zakat.
"Jika kita hendak memberi duit raya, seafdalnya atau sebaik-baiknya berilah kepada yang benar-benar memerlukan, iaitu anak-anak yang miskin dari keluarga yang susah, anak yatim dan sebagainya.
"Itu lebih menjanjikan pahala dan ganjaran dan fokus pemberian duit raya itu lebih menepati sasaran" katanya.
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
01 October 2009
Duit raya, ikhlas atau terpaksa?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment