Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






03 October 2009

Puas berbasikal hujung minggu






















PADA asalnya aktiviti-aktiviti berbasikal yang dijalankan di daerah Masjid Tanah, Melaka lebih kepada aktiviti secara solo dan bukannya dalam satu kumpulan.

Namun, sejak ia mendapat sambutan menggalakkan daripada penggemar aktiviti berbasikal lasak, maka wujudlah Mastanamtb.

Mastanamtb ialah singkatan nama kelab Masjid Tanah Mountain Bike yang berpangkalan di Masjid Tanah dan diasaskan oleh Abd. Rahim Abd. Jamil, 47.

Menurut penaung kumpulan itu, Jaffridin Musa yang lebih dikenali sebagai Jeffry Dean, 42, kelab itu secara rasminya ditubuhkan pada perjumpaan hari raya tahun lalu.

Ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai golongan dan latar belakang pekerjaan. Ada yang bekerja kerajaan dan selebihnya berkhidmat di sektor swasta.

Selain penaung, kelab itu turut disertai oleh seorang pemilik kedai basikal, Ling Yoong Sing, 29, atau Ah Ling. Dia bertindak selaku penasihat kepada ahli untuk mendapatkan basikal yang terbaik bagi aktiviti lasak.

Ah Ling juga berperanan sebagai seorang mekanik yang bertanggungjawab menyelenggara basikal ahli. Terutama sewaktu mengikuti ekspedisi agar 'jentera' itu sentiasa berada dalam keadaan baik.














AHLI kelab berkumpul sebelum memulakan kayuhan.

--------------------------------------------------------------------------------


Menurutnya, ahli lain seperti Jamaludin biasanya berfungsi sebagai transporter (menguruskan hal pengangkutan). Kamarudin Katon iaitu blogger bagi kelab itu turut bertindak sebagai setiausaha kelab.

Menurut Kamarudin, aktiviti diadakan pada setiap hujung minggu bermula pukul 7.30 pagi. Jarak kayuhan ialah sekitar 45 kilometer (km) merentasi jalan off-road.

Kayuhan pada waktu malam biasanya bermula pada pukul 9 malam, hari Jumaat dan jarak kayuhan pula sekitar 35km. Ahli-ahli kelab itu akan berkumpul di tempat biasa sebelum memulakan aktiviti mengayuh basikal.

"Tempat biasa ahli-ahli berkumpul ialah di padang Taman Masjid Tanah Ria. Lokasi ini akan bertukar di hadapan kedai basikal Ah Ling kalau kayuhan bermula pada waktu malam.

"Biasanya, kalau hari bekerja, kami akan bergerak sekurang-kurangnya seramai lapan orang. Jika hari tidak bekerja, kira-kira 20 orang akan menyertai ekspedisi ini," jelasnya.

Para peserta yang terlibat dalam ekspedisi itu terdiri daripada gabungan mereka yang baru hendak mengenal hendal basikal lasak dan selebihnya sudah berpengalaman. Percaya atau tidak, penyertaan kadang-kadang mencecah sehingga 100 orang dalam satu ekspedisi.

Penyertaan seramai itu berlaku sekiranya kelab dari luar daerah datang untuk memeriahkan acara. Antaranya ahli-ahli Kelab ECC dari Bandar Melaka, MCC dari Muar serta kelab basikal dari daerah Jasin, Melaka dan Tampin, Negeri Sembilan.

Tujuannya adalah untuk bertukar-tukar trek laluan berbasikal dan pengalaman sesama ahli. Apa yang pasti, setiap aktiviti yang dianjurkan itu memberi kepuasan dan pengalaman tersendiri.

Selain itu, jambori berbasikal yang pernah disertai oleh ahli-ahli Mastanamtb ialah Melaka Heritage Mountain Bike Jamboree 2008 yang kayuhannya mencecah jarak sejauh 50km. 10km di atas jalan raya dan 40km melibatkan laluan off-road.

Antara acara mengayuh basikal yang mencabar pernah mereka sertai ialah Sahara Ride. Ia satu laluan sukar kerana bentuk muka buminya yang terbuka. Kayuhan Warisan Taiping 2008 pula memerlukan peserta mengayuh sejauh 55km dengan menempuh tiga check point. Ia merupakan jambori yang santai kerana kebanyakan laluannya landai.













AH LING membaiki basikal seorang ahli kelab.

--------------------------------------------------------------------------------


"Kulim Hi-Tech MTB Exploration 2009 dengan jarak 60km pula mempunyai lima check point. Merentasi kayuhan di sana membuatkan ramai antara kami terpaksa menolak basikal kerana laluan yang berbukit.

"Bak kata orang utara, ini baru betul MTB - mai tolak basikal," seloroh Kamarudin.

Aktiviti terakhir kelab itu adalah Nibong Tebal Jamboree 2009 yang diadakan pada 21 Jun lalu. Dalam jambori tersebut, Mastanamtb telah menghantar empat orang ahlinya.

"Riders Mastana (pengayuh basikal) terdiri daripada Jeffry, Jamaludin, Ah Ling dan saya. Jarak kayuhan ialah sejauh 60km (10km on-road dan 50km off-road).

"Terdapat empat check point yang perlu ditempuhi untuk menghabiskan kayuhan. Walaupun trek yang dilalui mencabar, kami tetap enjoy," kata Kamarudin.

Antara perkara yang biasa berlaku ketika berbasikal ialah rantai putus dan pedal tercabut. Itu belum dicampur dengan jatuh dan terhumban dari basikal yang sudah menjadi perkara biasa.

Apa yang menariknya, kelompok penunggang basikal itu saling bantu-membantu walaupun mereka tidak pernah kenal antara satu sama lain sebelum ini.

Menurut Kamarudin, walaupun jambori MTB tidak menjanjikan imbuhan yang besar, tetapi bagi mereka cukuplah dapat menamatkan kayuhan dan melepasi semua check point. Itu sudah memberi kepuasan buat mereka.

"Tipu kalau kata imbuhan tidak penting. Tetapi itulah hakikat bagi peminat sukan berbasikal yang sanggup menyertainya walaupun dengan duit sendiri," katanya lagi.













AKTIVITI lasak sebegini menuntut para peminatnya untuk mempunyai tahap stamina yang tinggi.

--------------------------------------------------------------------------------


Dalam pada itu, di sebalik keseronokan dan kepuasan, ada peristiwa sedih yang tidak dapat dilupakan oleh ahli dan rakan-rakan yang menyertai kayuhan malam di antara Masjid Tanah - Brisau - Masjid Tanah pada 27 Mac 2009.

"Rahim yang juga pengasas kelab ini telah menghembuskan nafas terakhir di hadapan semua ahli semasa berkayuh pada malam itu.

"Waktu itu, kami berehat seketika bagi menanti ketibaan slow riders sebelum kembali memulakan kayuhan," katanya sambil mendoakan kesejahteraan roh Rahim yang meninggal dunia akibat diserang penyakit jantung ketika itu.

Sementara itu, 'orang kuat' di sebalik aktiviti ekspedisi menceritakan pengalamannya ketika berkayuh.

"Saya akan memastikan seluruh fungsi basikal dalam keadaan baik. Sebabnya, saya mahu perjalanan selesa dan penunggang dapat mengelak daripada bahaya," kata Ah Ling.

Menurutnya, apa yang penting sebelum memulakan ekspedisi mengayuh, peserta perlu memastikan brek dan gear basikal boleh berfungsi dengan sempurna termasuk rim basikal dan sebagainya.

Dia juga akan membawa spanar, tiub tayar simpanan dan pam untuk digunakan pada waktu kecemasan. Disebabkan kepakarannya, boleh dikatakan semua ahli kelab Mastanamtb membawa basikal masing-masing ke kedai Ah Ling untuk dibaiki.

"Saya harap sukan ini akan mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak-pihak berkaitan. Ini kerana kosnya bukanlah murah. Lagipun, sejak kebelakangan ini, aktiviti berbasikal berjaya menarik perhatian ramai wanita untuk menyertainya," kata Ah Ling.
Oleh NUR AISHAH MOHD AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my



No comments: