Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






31 July 2009

Murah tapi ada kualiti


















DI BookXcess, lambakan buku murah bukan saja menguntungkan penulis dan karyawan, malah kepada ulat buku.

TINGKAT dua, Blok A Dataran Harmodal, Petaling Jaya (PJ) pada hari itu terasa hangat seperti suasana di pasar borong. Dari jauh, kelibat pengunjung yang datang begitu jelas kedengaran.

Berpusu-pusu masuk ke ruang jualan, majoritinya hadir bersama kotak atau beg-beg plastik bersaiz besar.

Biarpun tiada aktiviti tawar-menawar, pelanggan begitu pantas membuat pilihan. Tanpa berfikir panjang, satu-persatu dicapai dan dicampak terus ke dalam kotak. Kotak yang penuh, bersilih ganti dengan yang baru. Belum sampai sejam, kotak-kotak tersebut sudah pun sarat menggunung.

Berkotak-kotak buku itu diangkat menuju ke kaunter kiraan. Ironinya, barang yang dibeli bukanlah bekalan makanan untuk stok sebulan. Apa yang ada, cuma buku pelbagai saiz dan genre, cukup untuk memuaskan nafsu membaca komuniti pembaca ini.

Buku kanak-kanak

Tanpa disedari, tindakan itu menarik perhatian. Dengan perasaan ingin tahu bercampur keliru, Alice Chong, 23, berfikir 'Banyaknya beli! Buka kedai buku ke?'. Sepanjang hidup Alice, dia belum pernah membeli buku sebanyak itu sekali gus.

"Sejak hari pertama lagi, saya nampak ramai yang beli sehingga mencecah ratusan ringgit. Ada yang datang dua tiga kali. Rupa-rupanya, mereka langsung tidak kisah pasal wang. Janji dapat stok buku yang banyak pada harga yang sangat murah," cerita Alice, saat mengenang pengalaman bekerja sambilan pada jualan buku Big Bad Wolf (BBW), dua bulan lalu.

Meskipun hanya berlangsung selama lima hari, jualan buku itu meninggalkan impak besar terhadap komuniti pembaca tempatan. Bayangkan, dengan wang RM1 pembaca boleh membawa pulang sebuah buku kanak-kanak. Malah, sebuah novel pemenang anugerah sastera boleh diperoleh pada harga RM8 sahaja. Sedangkan, pada hari-hari biasa, buku-buku itu mencecah harga lebih RM30 setiap satu.

Dalam diam, Alice mengaku dia terpengaruh. Tidak ingin ketinggalan, pada hari terakhir jualan, anak kelahiran Johor Bharu, Johor itu terus 'menyambar' kira-kira 20 buah buku untuk dirinya dan ahli keluarga yang lain.

"Harga menjadi faktor utama bagi pelajar seperti kami. Jadi, kalau nampak sahaja harga buku yang mahal, niat membaca terus terkubur.

"Bukan apa. Belum tahu cari wang, sudah membazir. Walaupun tahu beli buku itu berbaloi, tetapi jika harganya mahal, ia jadi tidak praktikal. Sebaliknya, satu bebanan," jelasnya kepada Kosmo! bersungguh-sungguh.

Budaya membaca

Sebab itulah apabila harga buku murah, tiada yang teragak-agak untuk membuat pembelian. Malah, setakat ini, Alice telah membaca buku ketiga daripada sejumlah buku yang dibelinya tempoh hari.
















BOOKXCESS menawarkan pelbagai seleksi buku pada harga murah.
Seperti Alice, Benzemine Hoh, 23, berpendapat, budaya membaca hanya boleh ditingkatkan sekiranya harga buku tidak membebankan.






"Apabila membeli buku yang mahal dan tebal, pembaca mungkin ragu-ragu sama ada dapat menghabiskannya atau tidak. Dalam kes saya, kalau bukan sebab harga buku yang murah, agaknya saya tidak akan mencuba bahan bacaan berbahasa Inggeris," katanya yang hanya membelanjakan lebih RM60 untuk 14 buah buku.
Biarpun faham bahawa faktor harga buku yang mahal sebagai pembunuh niat membaca, seorang pembaca tegar, Hafiz Hamzah, 27, sedar berhubung nilai estetika sesebuah buku.

Jelasnya, penurunan harga buku juga dapat menggandakan kuasa pembelian bilangan buku oleh pembaca. Tindakan ini, kata Hafiz, 'jauh lebih baik daripada segala macam retorik yang berselindung di sebalik kempen membaca.'

"Ini (harga buku mahal) tidak dapat dielakkan. Tetapi, kalau kita ingin meningkatkan budaya membaca, fikirkan satu mekanisme bagi membolehkan industri menawarkan harga buku lebih rendah. Selain menambah bilangan pembaca, ia juga boleh membanyakkan bahan bacaan berkualiti, termasuklah judul yang jarang mendapat perhatian.

"Jika subsidi saja alternatif yang tinggal, apa salahnya diusulkan kepada kerajaan. Desak jika perlu. Ini soal melahirkan masyarakat yang ada otak, bukan hal main-main," tambahnya.

Buku tersadai

Tanpa bebanan untuk memiliki buku, golongan pembaca dan bakal pembaca diyakini akan memburu lebih banyak buku. Kaedah ini dilihat jauh lebih berkesan daripada membiarkan buku tersadai di rak-rak kedai.

Dalam usaha membudayakan amalan membaca pula, Hafiz berharap kerajaan tidak melahirkan masyarakat yang lemah intelek menerusi 'bahan bacaan kontang idea'. Novel-novel cinta tempatan dan import yang berselerak bukan sajian murah terbaik untuk membentuk minda masyarakat.
Sebaliknya, buku-buku yang 'berisi' dan berunsur ilmiah diyakini mampu menggerakkan kesedaran dan pandangan sosial seseorang pembaca. Turut mencari buku dari pelbagai sumber alternatif, Hafiz mengakui salinan fotokopi mungkin satu-satunya jalan demi memenuhi keperluan pembacaan berkos rendah.

"Jika buku-buku itu benar-benar sukar didapati dan mahal, apakah alternatif yang lebih baik, selain menggunakan salinan fotokopi walaupun tidak 'dihalalkan'.

Bagi pengusaha kedai buku lebihan, BookXcess, Jacqueline Ng pula, lambakan buku murah juga menguntungkan golongan penulis. Buku yang diturunkan harganya secara tidak langsung memberi peluang kedua kepada karyawan.

"Bila harga buku murah, pembaca akan terdedah kepada penulis-penulis baru atau tidak dikenali. Jika mereka sukakan karya tersebut, pembaca akan dapatkan judul buku lain daripada penulis yang sama dari kedai buku perdana. Bukankah itu satu berita baik?" tanyanya kepada Kosmo!.



Read more...

30 July 2009

Awas, virus H1N1 ada di sekeliling kita!
















virus H1N1














Seorang wanita berusia 20 tahun meninggal dunia di Hospital Melaka semalam, disahkan akibat Influenza A (H1N1). Dengan kematian terbaru itu, bilangan yang maut di seluruh negara akibat wabak babi setakat petang semalam ialah empat.

Marilah kita sama-sama berdoa bilangan kematian akibat virus berbahaya itu tidak meningkat lagi. Tetapi, kemungkinan untuk bilangan itu terus meningkat memang ada. Hakikatnya ialah setakat pagi semalam mereka yang disahkan positif H1N1 di seluruh negara ialah 1,219 orang.

Ternyata wabak ini semakin serius. Tidak sahaja di negara kita, di seluruh dunia pun virus ini sudah semacam tidak dapat dikawal, sehingga Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak berupaya mengesan bilangan sebenar yang telah dijangkiti. Sehingga pagi semalam 163,715 kes dengan 1,025 dilaporkan di 159 negara.

Di negara kita wabak ini sudah semakin menjadi-jadi. Kemungkinan jiran, rakan sekerja, sanak saudara, atau kita sendiri untuk tidak bernasib baik dan terkena kuman maut itu, memang ada. Malah, kemungkinan untuk kita mati kerana si kuman babi itu pun ada juga. H1N1 bila-bila masa boleh hinggap dan masuk ke tubuh kita.

Pendek kata udara yang kita sedut sudah tidak selamat. Sama ada di dalam rumah, apa lagi di tempat-tempat awam seperti pasar raya, taman awam, stesen LRT, pawagam, kantin pejabat, disko, kawasan jual durian, pasar lambak, hatta tandas awam mungkin ada virus itu di udara.

Tetapi, kita masih seperti tidak berbuat apa-apa. Kita melihat satu demi satu sekolah, kolej dan universiti ditutup di seluruh negara. Kita membaca angka-angka pesakit baru yang terus naik. Dan, setakat semalam sudah empat nyawa melayang kerana penyakit ini. Kita terus lega berjalan ke sana-sini.

Tentu kita masih ingat jerebu teruk yang memalapkan udara kita awal satu ketika dahulu. Semua orang memakai topeng muka sebab kualiti udara yang rendah. Topeng penutup hidung dan mulut naik mendadak. Orang rela tidak makan roti canai sebab duit makanan kegemaran ramai itu digunakan untuk membeli topeng.

Walaupun tidak ada yang mati akibat jerebu, orang ramai, terutama di KL, menutup muka dengan topeng tanpa sebarang arahan dari mana-mana pihak. Mereka takut mati akibat menyedut udara berjerebu. Demikian prihatinnya kita ketika itu.

Sekarang lebih seribu telah disahkan terhidu atau tersentuh virus Influenza A, empat telah maut kerananya, tetapi orang tidak membeli topeng seperti serangan jerebu dulu. Apakah kita beranggapan virus baru lebih seribu nyawa di seluruh dunia itu tidak berbahaya? Atau, apakah kita hendak menunggu lebih ramai lagi maut, baru kita hendak membeli topeng?

Kerajaan tidak mahu menimbulkan suasana panik dalam kalangan orang ramai. Dari semasa ke semasa rakyat diberitahu bahawa keadaan di bawah kawalan. Dalam keadaan bawah kawalan itulah bilangan meningkat setiap hari. Jangan tunggu sehingga keadaan sudah tidak terkawal baru kita hendak dikejutkan.

Pada hemat saya keselamatan diri adalah hal kita sendiri. Walaupun keadaan dijamin di bawah kawalan, tidak ada jaminan bahawa kita akan terhindar dari wabak maut itu. Sebab itu kita kena menjaga diri kita dan keluarga kita, juga orang-orang di sekeliling kita dari jangkitan H1N1.

Langkah-langkah ini perlu ditimbangkan: Pertama, pakai topeng ketika berada di tempat-tempat awam. Beli topeng sekarang sebab harganya belum naik. Apabila ada arahan semua orang kena bertopeng nanti, pasti harga penutup hidung dan mulut ini akan naik berkali-kali ganda. Biasalah peniaga selalu mengaut untung dalam keadaan begini.

Kedua, mereka yang dikenakan perintah ‘berkurung’ mesti mematuhi perintah tersebut. Kalau dikenakan kuarantin seminggu, ertinya seminggu tidak boleh keluar. Ada orang degil, sudah disenaraikan berkurung masih juga mahu ke disko atau mencari durian di luar rumah. Orang seperti ini tidak bertanggungjawab, dan perlu dikenakan hukuman.

Ketiga, mereka yang baru pulang dari luar hendaklah membuat pemeriksaan rapi mengenai kesihatan. Walaupun saringan di lapangan terbang mengesahkan mereka bebas virus maut itu, ada baiknya mereka sekali lagi mendapatkan pengesahan di klinik dan hospital.

Keempat, peraturan kebersihan diri perlu dipatuhi setiap masa, di mana sahaja. Pastikan kita mencuci tangan sebelum dan selepas makan. Sekiranya ada batuk atau selesema, segerakan mendapat rawatan doktor. Tidak perlu jumpa bomoh, sebab H1N1 bukan perbuatan makhluk halus, tidak juga angkara jin tanah atau penunggu pohon beringin.

Kelima, sentiasa ada perasaan takut pada H1N1. Sekiranya kita takut pada wabak ini kita akan menjaga diri setiap masa. Malangnya sekarang tidak ramai yang takut wabak baru H1N1, tetapi lebih ramai yang takut wabak lama B1N1.


Read more...

Selesema babi semakin bahaya






















H1N1 catat kematian keempat

Oleh THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 29 Julai - Malaysia mencatatkan kes kematian keempat akibat selesema babi atau influenza A (H1N1) dengan mangsa terbaru seorang perempuan dari Melaka berusia 20 tahun.

Sehubungan itu, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran angka kematian akibat H1N1 di negara ini mungkin meningkat pada kadar yang membimbangkan sekiranya usaha berjaga-jaga tidak diambil oleh semua pihak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, mangsa H1N1 keempat yang meninggal dunia semalam telah mengalami tanda-tanda influenza sejak 16 Julai lalu tetapi hanya mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada 26 Julai.

''Imbasan sinar X seterusnya mendapati pesakit ini mengalami pneumonia yang serius, dia dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan alat bantuan pernafasan.

''Pesakit didapati mengalami pelbagai komplikasi klinikal pada 27 Julai, dia disahkan menghidap H1N1 semalam dan meninggal dunia pada hari yang sama disebabkan pneumonia yang serius," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa teknikal wabak influenza A (H1N1) di sini hari ini.

Mohd. Ismail kecewa dengan sikap sesetengah pegawai perubatan dan pesakit yang kurang kesedaran mengenai penularan dan bahaya H1N1.

''Terdapat pesakit yang enggan mendapatkan rawatan walaupun dipujuk oleh ahli keluarga mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka terlambat untuk menerima rawatan sehingga membawa kepada kematian,'' katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan para doktor perlu mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan mengesyaki seseorang itu dijangkiti H1N1 sekiranya mengalami tanda-tanda pneumonia.

Beliau berkata, jangkitan H1N1 boleh mengakibatkan pneumonia yang teruk khasnya ke atas pesakit yang mempunyai masalah kegemukan, diabetes, penyakit pernafasan serta imuniti yang rendah seperti penghidap HIV dan kanser.

''Pegawai perubatan justeru perlu mengambil sampel tekak pesakit yang menunjukkan tanda-tanda pneumonia serius dan rawatan antiviral perlu dimulakan dengan segera.

''Kita juga memutuskan untuk menggandakan dos antiviral ke atas pesakit pneumonia yang disyaki dijangkiti virus H1N1," katanya.

Mohd. Ismail berkata, Kementerian Kesihatan pada masa yang sama memutuskan supaya ujian makmal ke atas virus H1N1 diperluaskan ke semua hospital negeri untuk mempercepatkan proses pengesahan pesakit.

''Sebanyak 21 buah hospital swasta juga akan dibekalkan dengan ubat antiviral influenza, ini bermakna tidak timbul alasan untuk mereka menolak pesakit yang disyaki mengalami H1N1," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Ismail bekata, sebanyak 47 kes baru H1N1 disahkan menjadikan kini sebanyak 1,266 kes terkumpul dengan empat kematian di negara ini.

''Daripada jumlah itu, 55 peratus merupakan kes jangkitan tempatan iaitu mengatasi kes import.

''Kes jangkitan di dunia juga terus meningkat sebanyak 169,753 kes terkumpul dan 1,125 kes kematian," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, WHO memuji Malaysia kerana telah menjalankan segala langkah pencegahan penularan wabak yang sepatutnya.

''Wakil WHO bagaimanapun menjangkakan jumlah kematian akibat H1N1 di negara ini akan terus meningkat pada satu angka yang membimbangkan jika kita tidak berjaga-jaga dengan penularan wabak ini," katanya.


Read more...

29 July 2009

Didik anak di meja makan




















-Gambar Hiasan.

MASALAH ibu bapa kurang berkomunikasi dengan anak bukan fenomena baru. Bahkan, ada ibu bapa kurang memberi tumpuan dan berbual dengan anak sehingga berasa mereka diabaikan.

Mendasari cara hidup Islam, waktu makan sekeluarga sepatutnya dijadikan ruang tazkirah atau membina peribadi anak. Ini kerana waktu makan adalah program bersahaja yang besar kesannya dalam hidup.

Adakalanya anak hilang rasa hormat terhadap orang tua kerana wujud jurang pendapat, masalah dan pandangan yang menjadikan sempadan antara dua generasi.

Mungkin meja makan boleh mengendurkan perbezaan antara anak dengan ibu bapa jika keluarga tahu cara menangani masalah.

Barangkali cara didikan terhadap anak berbeza dengan cara lama apabila ibu bapa perlu menguasai banyak ilmu.


Antara caranya ialah sikap mesra atau berkomunikasi di meja makan. Mungkin petua berikut dapat membantu ibu bapa mencari jalan penyelesaian ketika bersama anak di meja makan, antaranya:



1. Tunggu orang paling tua

Jika ada ayah, suapan pertama hendaklah dimulakannya. Jika tiada ayah, emak dulu. Rahsia di sebaliknya, apabila dikekalkan begitu selama tiga bulan akan tumbuh di hati anak rasa hormat kepada yang lebih tua walaupun di luar pandangan anda. Jadi, kalau hendak tahu eadaan anak di luar pandangan anda, tengok cara dan keadaannya ketika waktu makan.



2. Baca Bismillah dan guna tangan kanan

Anak tidak akan sanggup untuk memasukkan makanan ke mulut atau memegang sesuatu yang bukan haknya. Biasakan ambil masuk ke mulut dengan nama Allah dan biasakan memegang yang halal guna tangan kanan.

Melalui amalan mudah ini, roh diawasi atau dimulai syariat. Amalan ini tidak perlukan tenaga dan wang yang banyak, tetapi perlukan kesabaran serta istiqamah.



3. Ambil lauk terdekat dulu

Bagi cubitan lauk pertama, ambil yang paling dekat dengan diri masing-masing. Ini kerana ia melatih anak sikap sabar.

Untuk kali kedua, tidak kisah jika hendak ambil yang jauh. Itu dikira ikhtiar untuk dapat yang lebih baik, ia mempengaruhi corak kehidupan dan bekerja.

Jika ayah atau ibu hendak membina sifat penyayang, ambil lauk pertama dan letak di pinggan anak. Memang anak akan rasa lain apabila orang tuanya berbuat begitu. Tidak mengapa jika dia tidak mahu lauk itu, tetapi apa yang penting adalah pemberian itu.

Jika anda berbuat demikian, anak juga akan mempelajari cara berkenaan dan berbuat perkara sama kepada orang lain. Sebagai ibu bapa, anda membina masyarakat penyayang di dalam rumah sendiri.

Malah untuk latih anak cintakan saudaranya yang lain, itulah waktunya yang paling tepat untuk dia belajar mengenai sesuatu yang baik mengenai cara hidup.



4. Kawal suapan

Apabila mengambil makanan untuk disuap ke mulut, jangan diangkat suapan seterusnya selagi yang di dalam mulut belum ditelan.

Sesudah ditelan, baru angkat suapan seterusnya masuk ke mulut. Ia bertujuan melatih supaya mengelak daripada sifat tamak. Mencukupi apa yang ada atau lebih tepat, melatih sifat syukur atas kurniaan Allah.

Jika benar-benar dilatih, ia akan menumbuhkan sifat mulia dalam diri. Sebab makan adalah perkara yang benar-benar dilakukan dengan hati, lantas ia turut mempengaruhi roh.


Read more...

28 July 2009

Penggerak budaya membaca






















Fenomena kejayaan luar biasa Oprah Winfrey ini akhirnya menjadi bahan kajian seorang profesor bahasa Inggeris dan kesusasteraan di College of St. Catherine, Cecilia Konchar Farr
















Siapakah yang tidak kenal Oprah Winfrey? Beliau ialah salah seorang selebriti terkaya dunia yang cukup berpengaruh melalui rancangan televisyennya, The Oprah Winfrey Talk Show, yang ditonton oleh kira-kira 20 juta orang dan telah memenangi lebih daripada 20 kali Anugerah Emmy (penghargaan tertinggi televisyen Amerika). Kekuatan besar Oprah bukan terletak kepada daya cipta perbicaraannya tetapi kekuatan pengaruhnya melariskan buku-buku yang dibicarakannya dalam rancangan tersebut melalui Oprah Book Club.

Oprah Book Club menemui penonton pada tahun 1996 hingga 1999 dan beliau berjaya melariskan purata 1.4 juta naskhah buku. Setiap buku yang dibicarakannya akan dengan sendirinya menjadi buku terlaris dan secara puratanya akan berada selama 17 minggu dalam senarai buku terlaris New York Times. Pada Jun 2003, Oprah berjaya melariskan novel klasik bertajuk East of Eden, karya John Steinbeck yang jarang dibaca orang ke senarai buku terlaris. Pada tahun yang sama, Oprah turut melariskan buku memoir oleh Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton.

Toni Morrison, pemenang Hadiah Nobel untuk sastera pada tahun 1993 menyifatkan Oprah sebagai 'fenomena revolusi membaca' di Amerika Syarikat. Morrison sendiri turut berasa sentuhan Oprah apabila novelnya, Song of Solomon berjaya dijual sebanyak 730,000 naskhah dalam masa sebulan selepas menjadi tetamu rancangan Oprah. Sejak 10 tahun novel itu diterbitkan, ia hanya mampu terjual sebanyak 360,000 naskhah. Begitu juga Oprah turut mengangkat nama penulis baru, Jacquelyn Mitchard dengan novelnya The Deep End of Ocean yang hanya terjual sebanyak 100,000 naskhah. Tetapi setelah diundang Oprah dalam rancangannya, jualan novel itu telah melonjak kepada 850,000 naskhah. Bahkan novel itu berada pada tahap yang lebih tinggi jualannya daripada novel-novel penulis terkenal seperti Mary Higgins Clark dan Stephen King. Begitu hebatnya sentuhan bicara Oprah, sehinggakan para penerbit di Amerika kebingungan memikirkan bagaimana fenomena sedemikian mampu terjadi.

Fenomena kejayaan luar biasa Oprah Winfrey ini akhirnya menjadi bahan kajian Cecilia Konchar Farr, seorang profesor bahasa Inggeris dan kesusasteraan di College of St. Catherine. Farr menulis kajiannya dalam buku Reading Oprah: How Oprah's Book Club Changed the Way American Reads. Menurut Farr, kejayaan hebat Oprah adalah beliau bukan sahaja mampu menarik golongan terpelajar dan pertengahan untuk membaca dan membeli buku tetapi berjaya mempengaruhi golongan penonton yang sudah lama meninggalkan 'alam bacaan' atau paling akhir membaca secara serius hanya di zaman persekolahan dan di universiti untuk kembali membaca. Paling menarik lagi, Oprah berjaya 'memotivasikan' mereka untuk membaca novel-novel yang berbentuk serius dan bukannya novel-novel popular.

Menurut Farr lagi, dia berminat untuk mengkaji tentang fenomena Oprah setelah sekian lama memperhatikan bahawa Oprah berjaya menarik minat orang terhadap buku, bahkan mengajak pembaca untuk menjadi 'pemikir' dalam pengertian membaca bahan-bahan sastera yang serius. Sebelum ini dalam bukunya, Farr mengakui bahawa para profesor di universiti sendiri tidak mampu menggerakkan para pelajarnya untuk membaca novel-novel yang serius, bahkan memandang rendah terhadap pengaruh Oprah. Ini membuatkan Farr sendiri menawarkan kursus di universiti tentang Oprah dan buku-buku yang dibacanya kepada orang ramai dan para pelajarnya. Farr turut mendapati selama ini tulisan-tulisan tentang Oprah di media-media lebih fokus kepada Oprah sebagai selebriti dan usahawan tetapi tidak ada tulisan mahupun kajian yang melihat Oprah sebagai penggerak budaya membaca.

Menurut Farr, setiap buku yang dipilih untuk dibicarakan Oprah telah ditentukan oleh sebuah jawatankuasa, tetapi pemilihan akhir buku ditentukan oleh Oprah. Bagi Oprah, buku yang dipilihnya itu tidak semestinya yang baru tetapi juga yang klasik dan telah lama berada di pasaran serta jarang diketahui orang atau tidak begitu dipedulikan. Bagaimanapun, kajian Farr ini hanya meliputi buku-buku yang dibicarakan Oprah dari tahun 1996 hingga 2002. Senarai buku-buku ini turut dilampirkan di dalam buku tersebut dan tempoh atau jangka masa lama ia berada dalam senarai best seller akhbar The New York Times.

Dalam kajian Farr, beliau mendapati kejayaan Oprah bukan sahaja terletak pada sentuhan bicaranya, tetapi yang paling penting adalah Oprah merupakan seorang yang amat kuat membaca dan mencintai buku sekali gus seorang intelektual. Oprah pernah berkata kepada Publishers Weekly: "Saya amat kuat merasakan bahawa sesiapa sahaja, tidak kira kedudukannya, perlu membaca untuk membuka dunia mereka, mencerdaskan mereka dan memberi ruang untuk mengeksplorasi sesuatu yang lebih bermakna dalam kehidupan, sesuatu yang tidak dapat diberikan oleh bentuk media yang lain. Saya mahukan buku menjadi sebahagian daripada gaya hidup para penonton rancangan saya dan membaca adalah sesuatu yang semula jadi dengan diri mereka." Dan Oprah berjaya membuktikannya.

Read more...

27 July 2009

Persekitaran tidak kondusif ganggu proses pembelajaran













BILANGAN murid yang padat dalam kelas menjejaskan tumpuan pengajaran dan pembelajaran.

PERSEKITARAN sekolah yang tidak kondusif akibat masalah kesesakan boleh mewujudkan kecenderungan pelajar untuk melakukan kesalahan disiplin.

Ketua Jabatan Pendidikan Kaunseling dan Psikologi Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Rusnani Abdul Kadir, berkata kecenderungan ke arah pelakuan negatif wujud kerana dipengaruhi unsur rangsangan di sekeliling mereka.

Katanya, kesan sekolah sesak membawa kepada fizikal kelas padat menyebabkan situasi tidak selesa kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

“Malah, lebih ketara jika wujud segelintir pelajar nakal yang berperanan sebagai pengganggu bagi menarik perhatian rakan lain yang akhirnya menjejaskan fokus terhadap pembelajaran.

“Kelompok kecil ini mampu merangsang rakan sebaya lain untuk turut melakukan perbuatan sama dan kita khuatir jika tiada pengawalan baik, unsur negatif akan terus meresap serta sebati dalam diri pelajar yang boleh menjurus perlakuan masalah disiplin yang lebih serius,” katanya kepada Berita Harian.

Berdasarkan pengalaman menyelia kaunselor pelatihnya di sebuah sekolah menengah di Negeri Sembilan, Rusnani berkata, beliau mendapati gejala ponteng ketara berlaku di sekolah itu yang mempunyai jumlah pelajar terlalu ramai.

Katanya, sekolah itu mengalami kesukaran menangani masalah berkenaan sehingga sampai ke satu tahap kehadiran pelajar bermasalah tidak dialu-alukan kerana jelas mengganggu proses pembelajaran, selain menyebabkan gejala negatif terus menular kepada pelajar lain.

“Masalah kesesakan juga turut memberi kesan pencapaian pelajar apabila guru sukar menyampaikan pembelajaran dengan berkesan apabila jumlahnya terlalu ramai dalam satu kelas.

“Guru sukar menguruskan masa dengan baik bagi memantau perkembangan setiap pelajar dan mangsanya adalah mereka juga. Bayangkan jika satu kelas ada 45 murid, berapa banyak masa boleh diperuntukkan guru untuk setiap pelajar dan apakah guru mampu memastikan setiap seorang mendapat manfaat,” katanya.

Sebagai kaunselor, katanya, beliau melihat kepentingan faktor rangsangan persekitaran kondusif dan selamat di sekolah khususnya di dalam kelas bagi membolehkan pelajar mempamerkan keseluruhan potensi mereka dalam pelajaran.

“Kita tidak boleh menidakkan kepentingan faktor itu dan ia sewajarnya diambil kira jika mahu terus membina kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.


Read more...

26 July 2009

Perasmian Penutup Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Kali Ke-15/2009





















Tarikh :23 Julai 2009 Tempat :Klana Resort,Seremban.Perasmian Penutup oleh :Y.BHG Dato' Hjh. Noor Rezan binti Bapoo Hashim,Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia,Sektor Operasi Pendidikan.















Read more...

Kursus Latihan Dalam Perkhidmatan Siri 5/2009





















Tarikh :25 Julai 2009 Masa :8.00am-2.00pm Tempat :SK Pegoh 78000 Alor Gajah,Melaka.
Penceramah Jemputan:En.Ahmed Nasir bin Abdul Muthalif,IPGM (Kampus Perempuan Melayu Melaka)dan En.Bakri Mat Drus,Guru Besar, SK Pegoh.










Read more...

25 July 2009

Majlis Perasmian Konvensyen Pendidikan Guru Besar Malaysia Ke-15/2009





















Tarikh :20-23 Julai 2009 Tempat :Klana Resort,Seremban.
Perasmian oleh :YAB Tan Sri Muhyiddin Hj.Md. Yassin,Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
















Read more...

23 July 2009

Gerhana pukau penduduk Asia


















URUTAN gambar yang menunjukkan gerhana matahari di Baihata yang terletak 30 kilometer dari ibu negeri Assam, Guwahati, India semalam.

VARANASI, India - Gerhana matahari paling panjang dalam abad ke-21 menyebabkan puluhan juta penduduk benua Asia terpaksa bergelap seketika semalam.

Gerhana matahari penuh lazimnya berlaku seketika setiap kitaran 18 bulan tetapi fenomena kelmarin disifatkan luar biasa kerana tempohnya yang panjang iaitu selama enam minit 39 saat matahari terlindung sepenuhnya di sebalik bulan.













SEORANG guru Sains, Bibi Nasratjahan Gulab Khan (tengah) bersama pelajarnya menggunakan bekas berisi air untuk melihat gerhana matahari di Kuala Lumpur semalam.

Lebih istimewa, gerhana semalam dipercayai mencatat paling ramai penonton berikutan laluannya di benua Asia yang memiliki penduduk paling ramai di dunia.














KANAK-KANAK menyaksikan gerhana matahari menerusi cermin mata khas dan teleskop di pinggir Osaka, Jepun semalam.
Gerhana matahari penuh semalam dapat disaksikan dengan jelas di beberapa buah negara iaitu India, Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar dan China.





















KEADAAN di Shanghai sebelum (atas) dan selepas gerhana penuh.
Kali kedua gerhana matahari seperti itu diramal berlaku ialah pada tahun 2132.

Read more...