Bermain boleh MERANGSANG MINDA kanak-kanak.
KITA mungkin pernah mendengar aduan dari rakan-rakan bahawa anak mereka agak lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusia mereka.
Ibu atau bapa tersebut melahirkan kerisauan kerana khuatir sesuatu berlaku mungkin pada sistem tumbesaran anak mereka yang menyebabkan proses tersebut tidak berlaku mengikut waktu yang sepatutnya.
Pengarah dan penasihat linguistik dari pusat peningkatan dan stimulasi bahasa, Urban Ethos Sdn. Bhd., Dr. Norizan Rajak berkongsi tentang apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa demi memastikan mereka menjadi ibu bapa yang proaktif terutama berkaitan dengan proses tumbesaran anak-anak.
"Ibu bapa yang proaktif perlu mengetahui tentang peringkat tumbesaran anak mereka.
Selain itu, ibu bapa yang proaktif juga perlu mengambil inisiatif untuk merangsang kebijaksanaan bayi mereka menerusi komunikasi dan tingkah laku.
Ibu bapa yang proaktif mestilah menjadi role model atau contoh terbaik bagi anak-anak mereka. Perlu mengambil tahu tentang apa informasi serta pengetahuan terkini yang ada di sekeliling dan jika tidak tahu jangan malu untuk bertanya.
Cara lain boleh dilakukan dengan menerusi pembacaan, berjumpa pakar kanak-kanak atau ahli psikologi, menghadiri bengkel atau berkongsi pengalaman dengan mereka yang terlibat secara langsung dengan dunia kanak-kanak, seperti pengasuh dan penjaga di taska dan sebagainya.
Secara umumnya, bayi mempelajari cara percakapan menerusi orang yang berada di sekeliling mereka. Sekiranya anda mendapati anak anda lambat bercakap berbanding kanak-kanak seusianya maka anda tahu akan perkara ini; tumbesaran anak-anak adalah satu proses yang berterusan dan ia nya adalah mengikut turutan. Tetapi penilaian untuk setiap tumbesaran tersebut adalah pelbagai dan berbeza bagi setiap kanak-kanak.
Apa yang diperlukan untuk mendapatkan kanak-kanak yang membesar dengan baik secara holistik?
Ibu bapa perlu pastikan peluang untuk anak-anak berkembang mempelajari dan mempraktikkan apa yang telah mereka pelajari. Persekitaran juga memainkan peranan penting, persekitaran ini merangkumi pemakanan yang betul dan keperluan nutrisi mengikut peringkat umur mereka.
Di bawah usia 12 bulan, bayi menggunakan suara mereka untuk mengaitkan dengan suasana. Pada usia di bawah lingkungan ini, ibu bapa boleh membantu bayi mereka dengan mencipta satu ikatan menerusi sentuhan, pelukan dan ciuman. Mimik muka juga boleh menjadi pengantara komunikasi antara anda dan bayi anda. Jika bayi menangis, ibu bapa boleh menggunakan suara dalam bentuk nyanyian lembut seterusnya memastikan bayi rasa selamat dan bahagia.
Bagi ibu bapa yang telah mempunyai pengalaman membesarkan bayi sebelum ini pasti perasan akan bunyi-bunyian yang dikeluarkan oleh bayi mereka pada setiap tahap pembesaran.
Sebagai contoh, peringkat pertama semua bayi yang lahir ke dunia ini akan menangis dan apabila memasuki peringkat kedua bayi akan mula pandai menghasilkan bunyi seperti "uhhh...ahh," kemudian mereka cuba meniru perkataan mudah seperti "mama, nak" dan peringkat keempat mereka akan mula bercakap dengan pertuturan yang kita tidak akan fahami.
"Seorang anak diajar menerusi bahasa dan anak-anak juga belajar dengan bahasa. Sebelum mereka pandai bertutur, mereka sebenarnya telah mula berkomunikasi sebagai contoh menangis memberitahu bahawa mereka lapar dan tersenyum apabila gembira," jelasnya.
Di peringkat anak berusia empat bulan, ibu bapa perlu banyak berinteraksi dengan bayi mereka.
"Pada tahap ini, tip yang boleh anda ibu bapa lakukan ialah dengan mengulang kembali apa yang disebutkan oleh anak. Sebagai contoh jika anak menyebut 'bah,' maka ibu atau bapa boleh menyebut perkataan yang betul seperti abah," ujarnya.
Menurut Norizan, ketika bayi memasuki usia enam ke tujuh bulan, penglibatan ibu bapa dalam interaksi bersama anak-anak menjadi semakin penting.
"Kita akan dapat perhatikan di tahap ini, bayi gemar mengulang sebut sesuatu perkataan sepanjang hari sebelum mencuba menyebut perkataan yang baru pula. Ibu bapa boleh mengambil inisiatif dengan mengajar anak menyebut 'mama' atau 'dada' kerana bayi di bawah usia setahun sebenarnya sudah boleh memahami kebanyakan maksud perkataan.
Awas jika anak masih tidak boleh meniru sebarang bunyi apabila usia mereka mencecah tujuh bulan.
"Jika anak yang memasuki usia tujuh bulan masih tidak boleh meniru apa-apa perkataan yang keluar dari mulut anda, anda perlulah pastikan bahawa tiada masalah lain pada anak sebagai contoh masalah pendengaran ataupun pada pertuturan mereka.
"Ini kerana bayi yang baru mempunyai masalah pendengaran boleh terkejut kerana mendengar bunyi bising atau namanya dipanggil tetapi mereka berhadapan dengan kesukaran untuk bertutur.
"Sepatutnya pada usia bayi enam hingga 12 bulan, mereka sudah boleh bereksperimen dengan pelbagai jenis bunyi, tetapi jika anak anda masih belum boleh maka lebih baik merujuk kepada pakar kanak-kanak untuk ujian selanjutnya," jelasnya.
Pada peringkat usia 18 bulan, ibu bapa perlu awasi perkara ini; sekiranya anak tidak memahami arahan mudah, tidak berminat untuk meneroka, tidak boleh menyebut sesuatu perkataan dan tidak boleh memberi respons kepada dunia. Itu merupakan petanda amaran bagi ibu bapa untuk mengenalpasti sekiranya ada kelainan pada proses tumbesaran anak mereka.
Pada usia kanak-kanak dua tahun, pula dia sepatutnya sudah boleh 200 hingga 300 patah perkataan. Selain itu mereka boleh menyebut dua gabungan perkataan seperti "baby nangis."
Menjelang usia tiga tahun pula, mereka boleh menguasai 900 hingga 1,000 perkataan dan boleh menyebut beberapa baris ayat ringkas. Mereka juga boleh bermain dengan bunyi dan perkataan dan boleh menerima arahan seperti "tolong ambilkan bola itu" atau "habiskan susu."
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
31 October 2009
Membantu anak berkomunikasi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
comelnye bayi tu!!!
Post a Comment