Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






26 September 2009

Tertib rumah terbuka





















SESEKALI bertemu dan bersua muka dengan saudara-mara dan teman lama, tentu ada banyak cerita yang ingin dikongsi bersama. - Gambar hiasan

HARI ini sudah tujuh hari umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri. Selepas gembira meraikan lebaran bersama sanak-saudara di kampung halaman, kini orang ramai mula sibuk memenuhi undangan rumah terbuka khususnya pada hujung minggu.

Kadangkala dalam sehari, anda perlu bijak membahagikan masa kerana mahu menghadiri lebih daripada tiga buah rumah terbuka. Jika salah perancangan, pasti akan tercicir salah sebuah rumah, sedangkan tuan rumah benar-benar menanti kedatangan anda.

Majlis rumah terbuka begitu sinonim pada musim perayaan. Para tetamu bukan sahaja disajikan dengan pelbagai juadah, malah berpeluang berjumpa dengan orang yang sudah lama tidak bertemu. Sememangnya penganjuran rumah terbuka dapat mengeratkan silaturahim dan menjalinkan hubungan mesra sesama insan.

Persoalannya, adakah pada hari ini masyarakat masih mempraktikkan amalan kunjung mengunjung dan menghadiri rumah terbuka? Jawapan yang pasti adalah ya. Masih ramai dalam kalangan kita sanggup meninggalkan seleksi program televisyen yang menarik semata-mata mahu menghadiri rumah terbuka.

Justeru, sempena Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini, ruangan Intim memaparkan beberapa tip agar anda dapat menikmati majlis rumah terbuka dengan senang hati. Antaranya adalah:

Lupakan seketika siaran televisyen

Seperti yang kita sedia maklum, sebelum dan selepas Aidilfitri, orang ramai disogokkan dengan pelbagai siaran dan program menarik. Boleh dikatakan dari siang sehingga ke malam, siaran televisyen tidak berhenti menayangkan sajian cerita sempena Aidilfitri.

Namun, janganlah kita terlalu obses menonton sehingga malas menghadiri undangan rumah terbuka anjuran saudara dan sahabat handai. Ini kerana kunjungan ke rumah terbuka merupakan langkah terbaik mengeratkan silaturahim.

Justeru, jangan terpengaruh dan lupakan seketika siaran televisyen. Sebaik-baiknya, luangkan masa untuk bertemu sanak-saudara ataupun rakan taulan di majlis rumah terbuka.

Berpakaian sopan

Menyentuh mengenai menghadiri majlis rumah terbuka, tetamu disaran memakai busana yang sopan seperti baju tradisional. Elak mengenakan pakaian menjolok mata kerana anda perlu menghormati para tetamu lain, khususnya golongan yang berusia.

Bagi golongan wanita, elak memakai baju-T sendat, seluar jean atau skirt pendek. Jika ingin menyarung seluar jean, padankan bersama blaus atau kaftan yang longgar.

















INGATKAN anak-anak supaya jangan nakal dan membuat bising. - Gambar hiasan
Kawal gelak tawa

Sesekali bertemu dan bersua muka dengan saudara-mara dan teman lama, tentu ada banyak cerita yang ingin dikongsi bersama. Namun begitu, tatkala asyik bercerita, pastikan suara dan gelak ketawa anda tidak mengganggu ketenteraman tetamu lain.

Anda masih boleh bergembira tetapi janganlah sampai melampaui batas susila orang Islam.

Buah tangan

Bagi membalas jemputan tuan rumah, bawa bingkisan atau buah tangan sebagai tanda terima kasih dan budi bahasa. Lagipun, tidak sukar untuk mencari hadiah yang bersesuaian kerana terdapat banyak pihak menjual hamper hari raya.

Nasihati anak-anak

Ibu bapa yang hadir bersama anak-anak, pastikan anda menasihati mereka sebelum keluar rumah atau keluar dari kenderaan. Ingatkan anak-anak supaya jangan nakal dan membuat bising.

Paling penting, jangan menyentuh barang dan perhiasan milik tuan rumah bagi mengelakkan kerosakan. Bukan itu sahaja, didik anak-anak supaya bersalam dan menghormati tetamu-tetamu yang hadir.

Ringan tulang

Menikmati juadah Aidilfitri yang disajikan memang mengujakan. Tetapi adalah lebih sopan sekiranya anda ringan tulang membantu tuan rumah meletakkan pinggan kotor di dapur atau dalam bekas yang disediakan.

Bantuan tersebut membolehkan tuan rumah dapat melayan para tetamu dengan lebih tenang daripada menghabiskan banyak masa mencuci pinggan kotor.


1 comment:

muhammad raihan said...

betul-betul hihihihi.....