Mereka pernah dilarang menyertai silat kerana aktiviti itu dianggap tidak sesuai untuk wanita. Namun, dua gadis berhati waja ini tetap meneruskan minat dalam silat sehingga meraih kejayaan membanggakan.
KEBANYAKAN ibu bapa kurang gemar melihat anak gadis mereka melakukan aktiviti lasak seperti remaja lelaki, apatah lagi jika aktiviti itu melibatkan aksi seperti bergaduh.
Namun, jika dilihat pada satu sisi lain, ilmu mempertahankan diri yang 'kasar' itu merupakan satu warisan seni yang sungguh indah jika didalami dengan landasan yang betul.
Daripada 'bunga', 'langkah' dan 'buah,' kesemuanya menjadikan silat berbeza dengan seni mempertahankan diri yang lain, walaupun tujuannya sama iaitu mempertahankan diri dan mendidik pengamalnya agar lebih berdisiplin.
Hari ini, warisan peninggalan nenek moyang kita itu bukan sahaja dipraktikkan oleh masyarakat tempatan, malah telah berkembang ke luar negara.
Tidak dinafikan silat dan seni mempertahankan diri yang lain lebih sinonim dengan lelaki tetapi tidak bererti ia tidak boleh disertai oleh kaum wanita.
Bagi Nofal Sandra Sofyan, 26, dan Misra Helma Firdaus, 26, tidak ada salahnya wanita menyertai aktiviti itu. Walaupun ia dilihat kasar, namun ia masih lagi sesuai untuk diamalkan oleh golongan wanita.
Biasanya, jika kita mengenali wanita yang aktif dalam seni mempertahankan diri, tubuh mereka agak besar, tegap dan memiliki perlakuan serta tutur kata yang agak kasar. Namun, tidak bagi kedua-dua anak gadis tersebut.
Walaupun aktif bersilat sehingga membuatkan mereka kelihatan gagah dan kasar pada fizikal, namun apabila berbicara, mereka tidak ubah seperti gadis yang memiliki ciri-ciri feminin yang penuh kelembutan.
"Semasa saya kecil, ayah tidak benarkan saya menyertai silat kerana katanya silat tidak sesuai untuk kanak-kanak perempuan.
WALAUPUN nampak kasar, silat tidak mengubah keperibadian seseorang wanita
"Apabila saya menyambung pelajaran di Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Shah Alam, barulah saya berpeluang menyertai silat. Ketika tengok latihan silat di dewan kolej, saya terus ajak rakan-rakan menyertainya. Menariknya, semua rakan serumah saya mendaftar. Seramai 15 orang kesemuanya," kata Nofal sambil tersenyum.
Dia memberitahu, jurulatih silat yang mengajar di kolejnya ialah seorang wanita dan kerana itulah dia semakin terdorong untuk menyertainya. Kelab silat di kampusnya diberi nama Gayung Fatani Club (GFC).
Katanya, kesempatan untuk mempelajari seni silat tidak disia-siakan.
Misra pula menyertai GFC lewat sebulan daripada Nofal. Sejak menyertainya, dia menjadi rakan berlatih dan pasangan Nofal dalam pertandingan silat. Mereka pernah menyertai kategori Tempur dalam pertandingan-pertandingan yang disertai.
Motivasi diri
Menurutnya, silat bukan semata-mata mengajar pengamalnya seni mempertahankan diri, malah ia juga menerapkan pelbagai nilai positif yang lain.
"Silat mengajar seseorang menjadi lebih berdisiplin dan menambah keyakinan diri.
"Bukan itu sahaja, ia juga meningkatkan motivasi diri agar lebih maju termasuk mencabar diri melakukan sesuatu yang mungkin dianggap mustahil sebelum ini," katanya yang merupakan pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan di Universiti Pengurusan dan Sains (MSU) dan kini turut memikul tugas sebagai jurulatih silat di universiti tersebut.
Misra sebelum ini merupakan pelajar program Diploma Makmal Sains Perubatan di PTPL sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.
Kedua-dua gadis itu mempelajari silat sejak tahun 2005 dan sehingga hari ini, mereka telah menyertai pelbagai pertandingan. Ada di antara pertandingan yang disertai berakhir dengan kejayaan.
"Apa yang menarik, jurulatih kami mempercayai kami sepenuhnya dan memberi kami peluang untuk mencuba walaupun baru menyertainya.
"Pada tahun pertama menyertai silat, kami sudah didedahkan dengan beberapa pertandingan. Terkejut juga mendapat peluang walaupun baru menyertainya," kata Nofal
Nofal pernah menjadi johan Tempur Kebangsaan pada tahun 2005 dan tempat kedua kategori Silat Melayu, juga pada tahun yang sama.
Dia yang aktif bersukan sejak di bangku sekolah memberitahu, kali pertama menjejakkan kaki ke gelanggang pertandingan, hanya Tuhan yang tahu debaran di hatinya.
Adat bertanding
"Saya tidak mempunyai sebarang pengalaman untuk bertanding ketika itu. Begitu juga dengan Misra.
"Tetapi syukur, kami dapat melaluinya dengan tenang. Kalah dan menang, itu adat bertanding," kata Nofal.
Menurutnya, menyertai silat bukanlah satu perkara untuk dimegahkan tetapi hanya sebagai kemahiran untuk mempertahankan diri.
"Pertandingan silat yang disertai menjadi salah satu aktiviti tambahan dan kemenangan yang diraih memberi bonus kepada saya," tambahnya.
Misra pula berkata, bukanlah niatnya untuk menunjukkan kekuatan di khalayak, tetapi apa yang dilakukannya itu hanyalah sebagai nilai tambah dalam pencapaian diri sendiri.
"Sebagai seorang perempuan, kita perlu mengetahui sedikit sebanyak seni mempertahankan diri terutama pada zaman sekarang. Ia boleh dijadikan benteng keselamatan diri dan menghindari sebarang gangguan yang tidak diduga.
"Penjahat sentiasa menjadikan wanita sebagai mangsa, misalnya dalam kes ragut. Ini kerana mereka tahu wanita lemah dan tidak akan melawan.
"Tetapi dengan kemahiran seni mempertahankan diri, kita boleh menghalang perkara seperti itu terjadi
Ditanya apa makna Seni Gayung Fatani, Nofal memberitahu, perkataan seni membawa makna hasil ciptaan indah berteraskan budaya Melayu serantau yang berfaedah kepada fizikal, mental, rohani dan emosi untuk meningkatkan nilai kemanusiaan.
"Gayung pula bermakna silat ataupun pencak sebagai satu ilmu seni bela diri rumpun Melayu.
"Fatani membawa makna kebijaksanaan," katanya lagi.
Nofal juga berkata, selain menjalankan aktiviti silat, GFC turut memberi khidmat aerobik dan seni tari kepada para ahlinya.
"Ahli GFC bukan sahaja menitikberatkan soal latihan silat tetapi kami juga mementingkan pelajaran.
"Jika seorang ahli didapati merosot pelajarannya, latihan akan dikurangkan supaya mereka boleh menumpukan perhatian yang lebih kepada pelajaran," katanya.
Oleh JULIA ISMAIL
julia.ismail@kosmo.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
14 September 2009
Gadis Silat-Lebih berdisiplin dan yakin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
gadis mestilah belajar silat,kan perempuan lemah-lembut.nanti kalau perompak meragut beg nanti tepislah balik.
Post a Comment