Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






01 September 2009

Pendekatan berhemah ajak generasi muda ke masjid




















RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Daripada mafhum hadis di atas, sesungguhnya Allah memberi jaminan kepada hamba-Nya untuk mendapat perlindungan di bawah naungan-Nya di akhirat kelak kepada tujuh golongan tersebut.

Apa yang diambil perhatian di sini ialah sebagaimana disebut dalam hadis di atas tentang kemuliaan Allah terhadap hamba-Nya iaitu golongan pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya dan orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid.

Mengapa begitu tinggi kemuliaan diberikan kepada dua golongan ini?

Jika kita lihat senario dalam masyarakat Islam khususnya, sesungguhnya tidak ramai pemuda yang menghabiskan masa mudanya beribadat kepada Tuhan Yang Maha Mencipta, apa lagi melangkahkan kaki ke rumah Allah.

Mereka lebih banyak menghabiskan masa berhibur di pusat-pusat hiburan, merempit atau berfoya-foya bersama teman-teman, semata-mata untuk memuaskan jiwa mudanya yang sentiasa memberontak. Jika ditanya pada mereka ini, jawapan yang diberikan sama saja... "Muda hanya sekali..." dan "Nanti tua barulah bertaubat!"

Fungsi masjid sebagai nadi ummah semakin dilupai. Perubahan demi perubahan yang berlaku di sekeliling dengan gelombang globalisasi, kerancakan teknologi maklumat, pola komunikasi yang semakin mudah sedikit sebanyak telah mengikis perhubungan kejiwaan dalam diri sesetengah kita terutama generasi muda yang baru mengenal hidup yang serba mencabar.

Realiti yang berlaku hari ini juga bahawa, sebahagian generasi muda berhadapan dengan dilema untuk diterima sebagai ahli yang memakmurkan masjid kerana wujudnya persepsi dan penerimaan generasi lama terhadap mereka seolah-olah terdapat jurang yang membatasi antara dua kumpulan tersebut.

Paradigma

Peralihan paradigma kepada mereka yang terlibat dalam pengurusan masjid harus diusahakan agar persepsi ini diubah kepada sikap yang lebih positif terhadap generasi muda.

Inilah yang sangat ditakuti oleh para ulama hatta pemimpin negara kerana mereka merupakan harapan kepada kejayaan masa depan negara dan jaminan kesucian Islam dipelihara sepanjang zaman.

Menyedari hakikat itu, Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) menganjurkan Forum Silaturahim Kemakmuran Masjid Serantau (Forsimas) keempat Kuala Lumpur 2009 pada 7 hingga 9 Ogos lalu.

Penganjuran forum tersebut kali ini di Kuala Lumpur merupakan rentetan Forsimas ketiga di Jakarta tahun lalu. Ia memberi fokus kepada peranan generasi muda masjid di peringkat serantau dan memberi penekanan terhadap rehabilitasi generasi muda masjid.

Bertemakan 'Memperkasa Generasi Muda Masjid', perbincangan kali ini lebih terarah bagaimana untuk membina lebih ramai generasi pelapis masjid di kalangan muda mudi serantau bagi melahirkan usaha-usaha yang murni dalam membina masyarakat dalam negara mahupun di peringkat serantau.

Forum turut mendapat kerjasama sekretariat forum daripada Dewan Silaturahmi Kemakmuran Masjid Acheh, Pusat Islam Jakarta , Majlis Agama Islam Sabah dan Pusat Islam Bangkok itu turut melihat keperluan institusi masjid untuk mendominasi aspek komunikasi seiring dengan perkembangan teknologi maklumat yang begitu pesat hari ini. Apatah lagi, kemahiran tersebut dipelopori generasi muda.

Pada majlis perasmian forum yang dilakukan oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, turut hadir ialah Ketua Umum Pimpinan Pusat Dewan Kemakmuran Masjid Acheh, Drs. H. M. Hasan Basry.

Forum disertai 200 peserta terdiri daripada pengurus masjid terkemuka di Asia Tenggara termasuk pemerhati dari masjid-masjid atau Pusat Islam di luar Asia Tenggara serta barisan pimpinan masjid tempatan.

Menurut Hasan Basry, ada cara dan pendekatan berhemah untuk mengajak pemuda mendekati masjid supaya mereka tidak takut, rasa terhina atau terpinggir. Seperti di Aceh katanya, anak-anak kecil yang bermain-main atau pemuda yang tidur di masjid tidak dihalau.

"Lumrahnya, setiap orang yang selesai solat kemudian melelapkan mata, anak-anak muda terkadang membuat bising, anak-anak kecil ada ketikanya berteriakan, berlari-larian dan semua mereka ini akan diusir, maka masjid dibenci oleh semua orang.

Akrab masjid

"Oleh itu, kita kena ubah masjid supaya akrab dengan mereka," katanya.

Tambah Hasan Basry, di Indonesia, sebuah Badan Koordinasi dan Pemuda Remaja Masjid telah ditubuhkan yang berperanan menarik minat golongan remaja lelaki mahupun perempuan untuk mendekati masjid.

"Pertubuhan ini sangat aktif dalam mengatur aktiviti untuk pemuda supaya mereka akrab dengan masjid dan menyukai tempat suci ini, bukan satu tempat yang menakutkan," katanya.



Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz

--------------------------------------------------------------------------------



Dalam konteks itu, institusi masjid perlu merangka program-program yang kreatif dan dekat dengan hati golongan muda serta pendekatan berinovatif bagi memberi peluang kepada mereka terlibat secara langsung untuk memakmurkan dan memeriahkan aktiviti kemasyarakatan.

Sementara itu, Wan Mohamad turut mempersetujui pendekatan sebegitu iaitu pengendalian dan aktiviti di setiap masjid seharusnya berbeza mengikut kesesuaian dan keperluan jemaah dalam sesebuah organisasi.

"Sebagai contoh, pengendalian masjid yang berada dalam kampus harus berbeza dengan masjid di luar yang perlu disesuaikan mengikut keperluan jemaah.

Masjid pun ada pelanggan, jadi kita perlu mengutamakan pelanggan masjid atau jemaah masjid di situ," katanya.

Masjid di bandar dan di luar bandar juga harus ada pendekatan berbeza kerana kebanyakan masjid di bandar menjadi tumpuan pelancong, sama ada beragama Islam mahupun bukan Islam.

"Masjid di bandar mesti memperkenalkan aktiviti yang berbeza dengan masjid biasa, lebih-lebih lagi masjid yang menjadi destinasi pelancong luar dan domestik yang datang dengan pelbagai tujuan selain solat.

"Oleh itu, kita harus mengambil kesempatan untuk menceritakan keindahan Islam terutama kepada pelancong asing bukan Islam dengan mengatur program secara teratur," ujarnya.

Bagi tujuan itu katanya, Jakim akan mempertingkatkan program latihan kepada pegawai masjid tentang pengendalian pelanggan termasuk kemahiran bahasa kepada petugas di pusat bandar untuk memberi layanan awal kepada pelancong.

"Kita akan memanfaatkan golongan pesara yang mahir dalam bahasa asing untuk menjadi sukarelawan dengan sekadar melayan atau berbual dengan pelancong asing yang datang ke masjid.

Ubah cara berfikir

"Perbualan kosong itu sebenarnya adalah salah satu cara untuk berdakwah dan pegawai masjid perlu ubah cara berfikir masjid untuk semua dan bersikap mesra pengunjung demi menceritakan keindahan dan kesucian Islam," katanya.

Begitu juga dengan soal keselamatan di masjid. Menurut Wan Mohamad, ada prosedur tertentu untuk mengawal keselamatan di tempat suci itu iaitu tidak harus memiliki prejudis yang tinggi sehingga meragui orang yang ingin datang ke masjid.

"Ini bukan cara berfikir yang sesuai di zaman ini dan bercanggah dengan Islam sebenarnya," katanya.

Masjid tidak asing di dalam kehidupan umat Islam. Sejak dulu lagi kita biasa diperdengarkan dengan kelunakan suara azan dan ketukan beduk yang memanggil kita untuk menunaikan solat secara berjemaah.

Suara azan yang didengari sebanyak lima kali sehari dan 1,800 kali setahun bukanlah satu seruan yang hanya bertujuan untuk sedap didengar, malah ia mengandungi satu mesej kepada kunci kejayaan umat Islam pada hari ini supaya memulakan langkah dengan meletakkan masjid sebagai matlamat utama.

Kejayaan umat Islam terletak kepada sikap mereka yang membesarkan Allah SWT daripada segala-galanya serta berpaut kepada solat jemaah di masjid yang mampu menjadikan masjid sebagai institusi pembangunan ummah yang dinamik dan berdaya maju.

Institusi masjid juga seharusnya menjadi institusi sosial penting yang perlu diutamakan oleh pemerintah sebagai sebuah badan yang boleh mengawal institusi ini sentiasa suci atau tidak ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan di atas rumah Allah sebagai rumah peribadi.

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD. RAHIM

No comments: