Jangan biarkan ibu bapa rai lebaran sendirian
KITA sering mendengar kenyataan seorang ibu boleh menjaga anak yang ramai, tetapi anak yang ramai belum tentu berupaya menjaga seorang ibu pada hari tua si ibu kerana pelbagai alasan yang mungkin hanya diketahui oleh anak saja.
Justeru, ada ibu yang dihantar ke rumah kebajikan atau rumah penjagaan warga emas lantaran anak tidak mempunyai masa mengambil berat akan ibu yang pernah melahir dan membesarkan mereka daripada tapak kaki sebesar dua jari hinggalah mereka mampu berdikari melangkah jauh mengenali dunia luar.
Amat menyedihkan apabila membayangkan perkara begini berlaku dalam kehidupan kita hari ini walaupun yang tua wajar disanjung, manakala yang muda pula tentunya molek kalau menghormati yang tua kerana kalau tiada insan bergelar wanita yang bersusah payah mengandungkan mereka selama sembilan bulan dan melahirkan dengan penuh kesakitan, mereka tidak akan berpeluang melihat dunia hari ini.
Bagi Suriyati Mohd Nor, beliau seboleh-bolehnya ingin sentiasa berada di sisi ibu bapa, Hasmah Hassan dan Md Nor Jalil kerana berasakan betapa mahal pengorbanan yang dilakukan kedua ibu bapanya untuk membesarkan beliau dan lima adik beradik lain sehingga memperoleh kejayaan dalam hidup.
Lebih-lebih lagi pada musim perayaan yang pastinya wajar disambut bersama insan tersayang, hati sayu digamit kerinduan terhadap kedua-duanya walaupun beliau kerap pulang menjenguk mereka di Kampung Air Papan, Mersing, Johor.
“Saya berasa aneh apabila mendengar kisah ibu yang menunggu anak datang menjenguk mereka di pusat jagaan warga emas atau di mana saja mereka ditempatkan sedangkan pada usia demikian, insan bergelar ibu wajar dilimpahi kasih sayang dan penjagaan daripada anak-anak.
“Bahkan, saya sendiri menjadikan rutin balik kampung setiap dua bulan untuk menjenguk ibu dan ayah di sana. Sama ada mereka sihat atau tidak, saya tetap akan balik kerana rindu dan kasih sayang untuk mereka begitu menebal di dalam jiwa,” katanya ketika ditemui di Sri Gombak, baru-baru ini.
Bagi finalis Personaliti Pilihan Berita Harian 2009 itu, hari lebaran terutama adalah hari yang sangat bermakna untuk menumpahkan kasih sayang kepada kedua ibu bapa kerana selain saling bermaafan, beliau berpeluang untuk duduk semeja dan makan sambil melakukan perkara bermanfaat untuk seisi keluarga.
“Ketika inilah pelbagai perkara diperkatakan. Sama ada mengimbas cerita lama atau berbincang menyelesaikan masalah, saat itu adalah sangat bermakna. Antara yang manis, emak tetap membelikan kelengkapan raya walaupun sehelai selendang untuk saya.
“Lagipun, kita tidak tahu hayat kita selama mana. Tidak semestinya yang tua akan pergi dulu kerana hayat kita mungkin akan diambil Pencipta pada bila-bila masa saja. Atas sebab itulah saya sentiasa ingin menjenguk emak dan ayah, tetapi tuntutan kerja kadangkala membataskan niat yang ada,” katanya.
Sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata, Wan Irdina Hanania, 3, dan Wan Sharf Amsyar Wan Zuraihi, 2, beliau cuba mempamerkan contoh terbaik untuk dua anaknya supaya mengetahui nilai menghargai orang tua walaupun mereka masih kecil dan mungkin tidak mengerti maksud menyayangi ibu bapa.
“Saya tahu mereka masih kecil, tetapi saya adalah model kepada mereka untuk mempelajari nilai menghormati dan menziarah ibu bapa. Sehubungan itu, mereka akan melihat setiap gerak-geri saya apabila berhadapan dengan orang tua terutama ibu bapa dan mentua.
“Malah, saya beruntung kerana mentua, Ramthani Kassim, juga akrab dengan saya dan anak. Saya anggap mentua juga mempunyai darjat tertentu yang perlu dihormati seperti kita menghormati ibu bapa sendiri,” katanya.
Bagi Suriyati, pengorbanan kedua ibu bapa amat tidak ternilai terutama ketika beliau ingin mendirikan rumah tangga beberapa tahun lalu apabila ayahnya sanggup berusaha untuk melakukan yang terbaik bagi anak perempuannya yang akan menginjak ke alam rumah tangga.
“Saya terkesan dengan usaha ayah untuk menyediakan yang terbaik kepada saya. Walaupun pelbagai masalah dihadapi, ayah langsung tidak mengeluh. Jadi saya wajar menziarahi mereka sekiranya berpeluang dan selagi saya masih berdaya menjenguk mereka di kampung,” katanya.
Suriyati mengakui beliau beruntung kerana suami tidak berkira sekiranya beliau ingin menjenguk ibu bapa di kampung pada bila-bila masa walaupun tiada sebarang kejadian kecemasan.
“Ada juga rakan bercerita mengenai suami mereka yang setiap tahun ingin meraikan Aidilfitri bersama ibu mereka saja. Saya fikir hal ini tidak wajar berlaku kerana jika isteri masih mempunyai orang tua, mereka juga wajar diziarahi.
“Biarlah adil dan saksama dalam melaksana tanggungjawab kita terhadap orang tua kerana jika kita melakukan sedemikian kepada ibu bapa, tidak mustahil anak akan memperlakukan perkara sama terhadap kita yang bakal menjadi tua kelak sekiranya panjang umur,” katanya.
Dunia ini ibarat roda, justeru sama-samalah kita beringat, yang tua wajar dirai, yang muda pula dihargai kerana jika tiada yang tua, yang muda tidak akan wujud. Mungkin pepatah syurga di bawah tapak kaki ibu boleh diguna pakai sampai bila-bila kerana walau apa sekalipun tafsirannya, ia menjurus kepada perbuatan menghormati orang tua.
Pastinya anda juga ingin menikmati hari tua yang aman dan bahagia di samping suami, anak dan cucu sekiranya berpeluang, justeru perilaku anda hari ini adalah cermin kepada anak untuk melakukan perkara sama kepada anda kelak. Ziarah ibu bapa sekerap mungkin selagi hayat mereka masih ada kerana kasih sayang mereka tiada nilainya di dunia ini.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
22 September 2009
Kewajipan ziarah orang tua
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
betul betul betul.
Post a Comment