PERIKSA kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan
UMAT Islam di seluruh Malaysia akan menyambut Aidilfitri pada hari esok. Jadi, hari ini adalah hari yang paling sibuk bagi warga kota yang mahu pulang ke kampung. Tradisinya, kita pulang ke kampung dengan memandu kereta.
Apabila tiba hari raya, lebuh raya akan berubah menjadi tapak pasar malam.
Maka kedengaranlah keluhan tentang fasiliti yang tidak cukup dan lebuh raya yang perlu ditambah lorongnya. Apa pun, lebuh raya tetap akan menghadapi masalah serupa jika kereta terus bertambah setiap hari.
Jadual perjalanan
Pengurus Besar Komunikasi Korporat Projek Lebuhraya Utara-Selatan Berhad (Plus), Khalilah Datuk Mohd. Talha memberitahu, pihak PLUS Expressways telah melaksanakan inisiatif Jadual Waktu Perjalanan (TTA) bagi melancarkan trafik di lebuh raya.
Diperkenalkan sejak tiga tahun lalu, TTA dibuat berdasarkan kajian PLUS tentang pola perjalanan orang ramai di lebuh raya pada musim-musim perayaan.
Jadual itu terdiri daripada cadangan perjalanan berperingkat mengikut masa dan destinasi tertentu bagi mengurangkan kesesakan.
"Menjelang hari raya, kami menjangkakan jumlah trafik di lebuh raya kendalian PLUS terutama Lebuh Raya Utara Selatan meningkat secara mendadak.
"Dianggarkan sebanyak 1.3 juta kenderaan akan memasuki lebuh raya pada waktu puncak, berbanding hanya satu juta kenderaan pada hari-hari biasa," katanya sewaktu dihubungi Kosmo!.
Bagi menghadapi peningkatan jumlah trafik tersebut, kira-kira 2,500 orang kakitangan PLUS dan 400 orang anggota pasukan keselamatan akan ditempatkan di lokasi seperti plaza-plaza tol serta kawasan Rawat dan Rehat sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan.
Namun begitu, PLUS turut menjangka aliran trafik yang lebih lancar pada musim perayaan kali ini berikutan pembukaan Laluan Terus Tanpa Henti Kuala Lumpur-Pulau Pinang sejak 14 Julai lalu. Para pengguna tidak lagi perlu berhenti di Plaza Tol Ipoh Selatan dan Jelapang. Ini akan mengurangkan masa perjalanan mereka hampir 30 minit.
Khalilah menyarankan pengguna lebuh raya supaya menggunakan kad PLUSMiles Touch 'n Go untuk melancarkan laluan di plaza tol.
Bagaimanapun, Khalilah menasihatkan pengguna supaya bersedia untuk tempoh perjalanan yang panjang. Periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Semak senarai periksa yang dicadangkan agar perjalanan lancar dan selamat.
Enjin
Enjin kereta merupakan bahagian terpenting yang menentukan sama ada anda beraya di kampung atau termenung menunggu trak tunda membawa kereta anda ke bengkel.
Sekiranya perbatuan dan jadual berada pada titik terhampir, jangan tunggu selepas pulang dari kampung untuk digantikan pelincirnya.
Ketika pulang ke kampung, kenderaan lebih banyak dalam keadaan statik atau bergerak perlahan. Enjin dan komponen yang bergerak menjadi lebih mudah panas dan bertekanan. Dengan pelincir baru, ia dapat mengimbangi tekanan enjin tersebut.
Selain enjin, radiator penyejuk juga perlu dipastikan berfungsi dengan baik. Pastikan tiada kebocoran dan tangki simpanan air radiator mencukupi. Jangan isi terlalu penuh. Ikut sukatan yang disyorkan. Jangan lupa sediakan air simpanan sekiranya berlaku kebocoran atau air tangki kering tiba-tiba dalam perjalanan
Pastikan kipas penyejuk radiator berputar dengan baik setiap kali suis auto berfungsi. Dengan membuka hud enjin, anda boleh menguji kipas tersebut dengan menekan suis penghawa dingin. Kipas enjin dan kipas penghawa dingin biasanya berputar serentak.
Periksa semua bekalan air pada tangki pengelap cermin, cecair kotak gear (tukar jika sudah sampai masanya) dan air bateri. Jika jadual penyelenggaraan tali sawat sudah atau hampir sampai, jangan tunggu lagi.
Akhir sekali, ambil masa untuk memeriksa sebarang kebocoran atau lelehan minyak pelincir. Kadangkala kebocoran kecil boleh mendatangkan masalah yang serius. Jika kebocoran di kawasan yang tidak sensitif, ia boleh dibiarkan. Tetapi awas jika kebocoran tersebut menyebabkan kandungan minyak pelincir berkurangan dengan ketara. Jika ragu-ragu, bawa bersama minyak pelincir tambahan.
Pastikan tayar mempunyai tekanan yang secukupnya seperti yang disarankan pengeluar. Pastikan juga tayar mempunyai bunga yang cukup. Jangan lupa tayar ganti serta peralatan untuk membukanya.
Pad brek
Jika pad brek sudah hampir habis, tukarkan saja. Percayalah, pada musim perayaan ini, adakalanya anda terpaksa menekan brek lebih kerap berbanding pedal minyak.
Bahagian yang paling jarang diperiksa oleh kebanyakan pemandu ialah lampu hadapan tinggi dan rendah. Sekiranya lampu rendah terlalu tinggi, laraskan kembali kerana anda mungkin mengganggu pemandu yang datang dari arah bertentangan.
Lampu isyarat membelok juga perlu diperiksa. Pastikan semuanya berkelip dengan baik. Seterusnya ialah lampu belakang, lampu brek dan brek ketiga. Lampu undur, lampu penunjuk nombor pendaftaran juga perlu berfungsi. Menjadi satu kesalahan jika lampu nombor pendaftaran anda tidak menyala pada waktu malam.
Ia mungkin nampak remeh, namun pengelap cermin yang rosak boleh menyebabkan penglihatan terganggu terutamanya ketika hujan dan waktu malam.
Kereta adalah satu perkara, namun yang lebih penting ialah pemandu. Kereta paling selamat dan paling canggih sekali pun tidak akan berguna tanpa pemandu yang tidak bersedia.
Berehatlah secukupnya sebelum memandu. Rancang perjalanan anda. Berhenti jika mengantuk dan jangan sekali-kali hilang pertimbangan di jalan raya
Oleh IRWAN ASRI MOHD. NOR
irwan@majalahkereta.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
19 September 2009
Selenggara kenderaan anda
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
periksa kereta tu betul-betul,tengok ade yang rosak ke tak de
Post a Comment