SATU kelaziman pada Aidilfitri, umat Islam akan berpusu-pusu memenuhi tanah perkuburan untuk ziarah kubur ahli keluarga mereka.(Gambar Hiasan)
SATU kelaziman pada Aidilfitri, umat Islam akan berpusu-pusu memenuhi tanah perkuburan untuk ziarah kubur ahli keluarga mereka. Sesetengah tanah perkuburan berubah menjadi seperti kawasan perayaan yang meriah sehingga ada pihak mengambil kesempatan menjual makanan dan minuman.
Ada keluarga yang menjadikan amalan ziarah tanah perkuburan pada hari perayaan sebagai ‘wajib’ kepada setiap ahli keluarga. Selain membaca surah Yasin dan doa untuk disedekahkan pahalanya kepada arwah, kawasan tapak kubur turut dibersihkan.
Apa dilakukan lebih bersifat ritual iaitu amalan turun-temurun yang dikaitkan dengan agama. Hakikatnya, amalan itu tidak diamalkan Rasulullah SAW dan sahabat. Sikap terlalu menekankan ziarah kubur ditakuti terpengaruh dengan amalan penganut agama lain yang mengaitkan ‘wajib’ melakukan sembah roh ibu bapa dan nenek moyang untuk memohon restu dan mendapat kehidupan yang baik.
Memang ada suruhan Rasulullah agar orang Islam melawat kawasan perkuburan untuk melahirkan rasa keinsafan dan mengingati kematian. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Maka berziarah kuburlah kamu, kerana hal itu mengingatkan kita kepada kematian.” (Hadis riwayat Muslim)
Namun, tidak pula dijelaskan amalan ziarah kubur itu perlu dilakukan pada hari sambutan Aidilfitri. Tidak wujud satu hadis pun yang sabit mengenainya.
Menziarahi kubur pada hari raya akan melahirkan perasaan sedih dan hiba mengenangkan orang tersayang yang meninggalkan kita. Sepatutnya hari raya adalah untuk bergembira dan membina semangat untuk terus menjadi Muslim sejati selepas berjaya melaksanakan ibadat puasa.
Selain itu, pada hari raya juga sepatutnya diutamakan mengunjungi mereka yang masih hidup. Amalan itu amat dituntut dalam agama di mana Rasulullah ketika pergi dan balik menunaikan solat sunat Aidilfitri akan menggunakan laluan berbeza bagi memberi peluang bertemu dengan seramai mungkin umat Islam.
Kawasan perkuburan bukan tempat membaca al-Quran atau beribadat. Bagi kaum keluarga, khususnya anak arwah yang ingin sedekah pahala dan berdoa, ia boleh dilakukan di mana-mana saja dan bila-bila masa saja. Anak salih sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapanya yang masih hidup atau meninggal dunia.
Tambahan pula apa yang disunatkan untuk kita lakukan ketika menziarah kubur hanyalah mendoakan kesejahteraan 'penghuni' kawasan perkuburan itu. Sabda Rasulullah bermaksud: “Salam sejahtera hai penghuni kubur Mukminin dan Muslimin dan insya-Allah kami akan menyusulmu. Aku mohon keselamatan kepada Allah bagi kami dan kalian.” (Hadis riwayat Muslim).
Kubur dan rumah mempunyai perbezaan yang ketara antara keduanya biarpun kedua-duanya ada penghuni. Sebab itu Rasulullah menegaskan agar rumah tidak dijadikan seperti kubur.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Janganlah kamu jadikan rumah kamu itu sebagai kuburan. Sesungguhnya syaitan itu lari dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah.” (Hadis riwayat Muslim)
Jelas kali, Rasulullah menggalakkan kita melakukan ibadat seperti membaca al-Quran dan solat di rumah. Ia lebih selesa dan boleh dilakukan pada bila-bila masa. Ironinya, kawasan kubur pula tidak bolehlah disamakan dengan rumah sebagai tempat beribadat.
Rasulullah bersabda: “Janganlah kamu jadikan rumah kamu itu sebagai kuburan dan janganlah kamu jadikan kuburku tempat perayaan.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Maka haram hukumnya mengkhususkan Aidilfitri sebagai hari berkumpulnya manusia di kawasan perkuburan kerana ia menggambarkan seolah-olah kuburan dijadikan kawasan perayaan. Raikan Syawal dengan amalan kunjung mengunjung sesama manusia yang masih hidup. Jika ingin melawat kubur, lebih baik ia dilakukan pada waktu lain yang lebih sesuai dan tidak menjadikan ia sebagai ritual seperti meniru ajaran agama mereka.
Oleh Lokman Ismail
(Berita Harian)
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
22 September 2009
Jadikan perkuburan kawasan berkumpul pada Syawal haram
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment