"KITA merancang tetapi Tuhan yang menentukan..." belum sempat menoktahkan isi hati, air mata Rosnaidah (bukan nama sebenar) berlinangan membasahi pipi. Selama beberapa saat, lidahnya kelu dan dadanya tepu dengan perasaan hiba.
Penulis memahami dirinya sukar untuk membuka pekung di dada. Justeru, penulis memberi sedikit ruang kepadanya supaya keadaan kembali tenang. Sedetik kemudian, Rosnaidah menjelaskan bahawa dia tidak dapat menerima hakikat dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahan pecah amanah.
Sampai sekarang, dia tidak dapat membayangkan dirinya yang satu ketika dahulu dikenang sebagai idola dalam kalangan anak-anak saudara, kini dipandang serong. Dalam ramai adik beradik kandung, hanya seorang yang sudi menjenguknya di sebalik jeriji besi. Sejak 15 Disember 2008, saudara-maranya mengambil sikap tidak endah terhadapnya.
Semuanya gara-gara keterlanjuran Rosnaidah menggunakan duit syarikat untuk kepentingan diri sendiri. Jenayah itu memakan diri apabila reputasi yang dijaga selama 22 tahun di sebuah syarikat swasta tergadai begitu sahaja.
"Saya pohon maaf banyak-banyak sekiranya tindakan saya ini mencemarkan dan mengaibkan nama keluarga. Sebagai manusia, kita tidak pernah bersyukur dengan pemberianNya. Sikap tamak telah menghancurkan hidup saya dan akhirnya, saya merempat di dalam kurungan," luahnya sambil menundukkan kepala.
Rosnaidah yang mempunyai dua orang anak berusia 23 dan 22 tahun, berasa kesal kerana tidak kesampaian menyaksikan kedua-dua cahaya matanya itu menerima segulung ijazah dari universiti.
Seorang anaknya menamatkan pengajian dalam jurusan kejuruteraan elektrik dan seorang lagi dalam bidang perundangan. Dia turut melahirkan keinsafan kerana tidak menghargai pengorbanan seorang suami yang baik.
Sebagai seorang wanita yang berjawatan tinggi, Rosnaidah mengakui dia jarang menunjukkan kasih sayang yang setimpal terhadap suami yang begitu memahami dan mengasihinya. Malah, tanpa penat dan jemu, buah hatinya selama lebih dua dekad kerap mengunjunginya di penjara.
"Setiap tiga minggu sekali, dia dan anak-anak akan meluangkan masa untuk bersama saya selama 45 minit. Akhirnya, Tuhan telah membuka mata saya dengan seluas-luasnya dan menyedarkan saya bahawa seorang isteri tidak boleh mendahului suaminya."
"Walaupun bertuah mendapat seorang suami yang baik, namun saya tidak pandai menghargainya," katanya yang berdoa agar dosanya dimaafkan dan berjanji akan menjadi isteri yang baik apabila keluar dari penjara kelak.
Baru dua minggu lalu berkesempatan menemui mereka, Rosnaidah sebak apabila anak sulungnya bertanya cara-cara menyediakan rendang di pagi raya. Ia mengimbau kembali sambutan lebarannya sebelum ini yang mana mereka seisi keluarga membeli-belah lebih awal agar tidak terperangkap dalam kesesakan jalan raya mahupun di kedai pakaian.
Setiap kali pagi raya, sudah menjadi tradisi dalam keluarganya untuk bermaaf-maafan dan menjalinkan keakraban ikatan silaturahim. Selepas itu, barulah mereka pergi ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri sebelum mengunjungi pusara orang tua.
"Kali ini, perbezaan menyambut raya seperti antara bumi dan langit. Semuanya berlaku di luar jangkaan," ujarnya.
Di samping selalu mengingati nasihat anak bahawa setiap apa yang berlaku, adalah peringatan daripada Tuhan, Rosnaidah reda dan menguatkan imannya dengan menghadiri kelas-kelas agama. Pada bulan Ramadan, Rosnaidah aktif menyertai tadarus, solat tarawih dan membaca al-Quran.
Dia mengakui, sebelum masuk penjara, dia jarang berpuasa, menunaikan solat, membazir masa dan tidak bersyukur. Sekarang, dia belajar berpuasa walaupun mempunyai masalah gastrik. Dia cuma terpaksa mengalah apabila kesihatannya tidak mengizinkan.
Menjelang Aidilfitri, Rosnaidah mohon agar dirinya disatukan semula dengan keluarga secepat mungkin dan berhasrat tidak mahu lagi tinggal di kawasan perumahannya sekarang.
"Saya tidak tahu sama ada saya sanggup tinggal di situ lagi. Mungkin jiran tetangga akan mencerca perbuatan saya," ujarnya yang entah kali ke berapa menitiskan air mata dalam pertemuan singkat kami.
Dia bercadang untuk memulakan kehidupan baru dengan membuka sebuah restoran. Sesungguhnya, ucap Rosnaidah lagi, tidak ada apa yang akan dikejarnya lagi di dunia ini, melainkan keredaan Tuhan.
Sementara itu, Ketua Inspektor Penjara Wanita Kajang, Jalelah Ismail, bersetuju bahawa kelas-kelas kerohanian yang giat dijalankan pada bulan Ramadan, membantu mengubat kerinduan dan mengisi kekosongan ilmu keagamaan penghuni.
"Beberapa program seperti solat sunat Aidilfitri beramai-ramai, menyediakan menu khas dan aktiviti menghiburkan seperti bernyanyi diadakan pada sambutan Syawal tahun ini," katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penghuni di Penjara Kajang, Saputra (bukan nama sebenar) dari Surabaya, Indonesia mengakui begitu sedih apabila terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah. Biarpun, dia akan dibebaskan pada bulan Oktober ini, dia kecewa apabila ditipu agen yang dibayarnya sebanyak RM3,500 bagi urusan pengangkutan ke Malaysia.
"Jika di negara sendiri, saya tak pernah tahu di mana letaknya pintu masuk ke penjara, ini pula ditahan di negara asing," ujarnya dalam nada penuh kesal.
Merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik yang berusia lima hingga 12 tahun, Saputra yang berumur 23 tahun tiba di Malaysia untuk bekerja bagi mengurangkan beban orang tua. Adik-adiknya masih bersekolah. Sekalipun, impian tersebut kini berkecai, dia tetap ingin pulang ke pangkuan keluarga yang setia menunggunya di kampung.
Pengalaman perit berada di penjara cukup membuatkan dirinya terkesan betapa berharganya meraikan hari raya di kampung. Bukan bermaksud raya di sini hambar, tetapi hari raya tanpa keluarga di sisi dirasakan amat berlainan. Lagipun, sambutan raya di kampungnya diadakan selama tujuh hari berturut-turut.
Selain itu, Saputra berdoa agar keluarganya diberkati dengan nikmat Syawal tatkala menanti hari yang lebih cerah tiba buat dirinya.
Ghafar (bukan nama sebenar), 59, pula meluahkan perasaan betapa hatinya tidak akan tenang selagi belum mencium tangan isterinya memohon kemaafan. Menyimpan hasrat untuk memulakan ternakan ayam sebaik keluar nanti, sekarang warga emas itu mendekatkan diri dengan tuntutan ajaran agama Islam.
Pada usia muda, Ghafar mengakui dia melakukan perkara terlarang seperti menghisap dadah dan meminum arak. Sudah tiga kali, dia masuk dan keluar dari pusat pemulihan dadah, namun perangainya tetap tidak berubah.
Kelalaiannya untuk melapor diri di balai polis, akhirnya membawa padah apabila dia ditahan di penjara selama setahun. Akibatnya, Ghafar tidak dapat menyambut Syawal dengan keluarga terutama dengan tujuh orang cucu kesayangan.
"Walaupun isteri dan anak-anak tidak menghubungi atau menziarahi saya di sini, saya tetap mengambil berat dan menyayangi mereka. Cukuplah hukuman setimpal yang ditanggung ini," katanya yang kini belajar berpuasa penuh.
Mengakui berasa sedikit segan dan takut bersemuka dengan masyarakat luar, Ghafar akur dengan nasibnya tanpa menyalahkan sesiapa. Dia kini tekun mendalami hal-hal keagamaan di penjara. Dari bersahur seawal pukul 1 pagi sehinggalah mengikuti kelas mengaji beramai-ramai, dia seboleh-bolehnya berusaha tidak terlepas mana-mana program pembentukan jati diri yang dianjurkan oleh pihak penjara.
Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
23 September 2009
Keinsafan dari penjara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment