Jaga adab semasa kita ziarah menziarahi di Aidil Fitri-Gambar Hiasan
RAMADAN semakin berakhir, Syawal bakal menjelma akhir minggu ini. Tentunya kanak-kanak paling gembira kerana menerima duit raya. Selalunya mereka akan pergi ziarah raya dari rumah ke rumah bersama rakan-rakan. Tujuannya bukan untuk menziarah sangat, lebih bertumpu kepada duit raya yang diberi tuan rumah apabila bersalaman.
Duit raya yang dihulur mungkin suatu ’paksaan’ bersedekah. Sebenarnya syarat bersedekah ialah ia mesti diberi dengan ikhlas sekadar termampu. Ada ibu bapa yang memberi duit raya kerana orang lain memberikan duit raya kepada anak mereka. Jika tidak dibalas takut berkecil hati, lantas memberi kerana terpaksa atau menutup malu. Pemberian sedekah begini tentu kurang dari segi keikhlasannya.
Ada juga yang berniat untuk menunjuk-nunjuk ketika memberi duit raya kepada kanak-kanak. Niat perlu betul, jangan sampai hangus pahala sedekah yang diberi. Seeloknya dimasukkan di dalam sampul agar jumlah wang yang diberi tidak dapat dilihat orang lain.
Kanak-kanak juga harus diingatkan agar jangan hanya berhari raya di rumah orang kaya saja. Tujuan asal berziarah pada hari raya adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim sesama Islam. Oleh itu jangan dipinggirkan mereka yang miskin dan kurang berkemampuan untuk memberi duit raya. Didik anak agar tidak terlalu menjadi mata duitan. Walau macam mana daif pun tuan rumah, mereka tetap gembira menerima kunjungan anak-anak pada hari raya.
Anak perlu diberitahu adab ke rumah orang agar tidak cacat tujuan ziarah itu sendiri. Tujuan berziarah adalah untuk bermesra bersama jiran atau saudara-mara sambil bertanya khabar. Jangan pula tidak makan, tidak minum mahupun berbual, tetapi hanya duduk semata-mata menanti sampul duit raya. Ini tentunya bertentangan dengan semangat berziarah untuk bergaul dan mengeratkan lagi hubungan.
Seperkara lagi ada anak yang mengunjungi sesebuah rumah sehingga dua tiga kali semata-mata untuk menambah duit raya. Tuan rumah selalunya tidak menyedari kanak-kanak itu pernah singgah lantas memberikan duit raya sekali lagi. Jangan pula mengambil kesempatan kebaikan tuan rumah untuk membuat duit raya. Berilah peluang kepada orang lain pula untuk menerima duit raya .
Namun sejak akhir-akhir ini didapati semakin ramai yang tidak gemar membuka pintu kepada anak-anak yang datang beraya. Ramai yang ’tutup pagar’ takut dikunjungi kanak-kanak yang datang untuk beraya di rumah mereka. Ada yang pura-pura tiada di rumah atau ada yang sedang duduk di rumah tetapi hanya buat tidak tahu apabila kanak-kanak memberi salam dan hendak beraya.
Ada yang malas dan takut letih melayan kerenah mereka. Mungkin juga kerana takut ’terpaksa’ beri duit raya kepada kanak-kanak itu. Tetapi jika kita kurang bersedekah pada masa-masa lain, masa inilah paling sesuai untuk kita bersedekah kepada kanak-kanak yang datang berziarah. Masa inilah juga kita dapat berkenalan sekurang-kurangnya dengan bertanya “kamu ini anak siapa dan tinggal di mana?”
Luangkan sedikit masa untuk anak yang bertandang ke rumah kita. Tidak perlu tunggu ’rumah terbuka’ baru hendak melayan mereka. Pamerkan kemesraan dan sifat kasih sayang kepada anak-anak yang datang menziarah. Tetamu yang datang berkunjung ke rumah akan menghapuskan dosa tuan rumah. Apatah lagi apabila dia mendoakan kesejahteraan kita kerana melayannya dengan baik. Hidup kita akan dilimpahi keberkatan.
Jika kita tutup pintu kepada generasi muda ini, mereka akan bertambah jauh dari kita. Maka jangan pula mereka ini disalahkan jika mereka lebih gemar mendengar nasihat rakan sebaya, internet serta lebih banyak menghabiskan masa di depan kaca televisyen yang sememangnya banyak menyiarkan rancangan menarik ketika sambutan raya.
Harus diingat raya bukanlah hari untuk bersuka ria semata-semata, sebaliknya ia adalah perayaan keagamaan. Maka cara menyambutnya perlulah mengikut adab agar kita akan mendapat ganjaran-Nya.
Penulis ialah Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim)
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
15 September 2009
Kelebihan menerima tetamu, adab ziarah ketika Aidilfitri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment