Tugas utama murid hadir ke sekolah -Gambar hiasan
FOBIA ke sekolah bukan perkara baru yang dihadapi segelintir anak akibat masalah atau sebab tertentu yang menghalang mereka.
Perasaan cemas yang amat tinggi terhadap sekolah ditandai keluhan dan helah yang melanda anak terbabit memeningkan ibu bapa.
Fobia sekolah boleh dialami oleh kanak-kanak berusia lima hingga 14 tahun iaitu saat dirinya mulai bersekolah di sekolah baru atau menghadapi lingkungan baru mahupun ketika menghadapi suatu pengalaman yang tidak menyenangkan. Sikap penolakan itu boleh dialami lebih setahun, bahkan selama anak bersekolah di tempat berkenaan.
Antara tanda fobia sekolah atau penolakan terhadap sekolah ialah enggan pergi ke sekolah, mahu datang ke sekolah, tetapi tidak lama kemudian meminta pulang, malas ke sekolah, pergi ke sekolah dengan menangis dan 'berkepit' terus dengan ibu atau bapa atau penjaganya.
Ada juga yang menunjukkan ekspresi atau raut wajah seperti untuk meminta belas kasih guru supaya dibenarkan pulang dan sebagainya.
Alasan lain, anak berpura-pura memberikan pelbagai alasan mengenai masalah kesihatan supaya diberi 'cuti', tidak masuk sekolah selama beberapa hari dan dibenarkan tinggal di rumah.
Berapa lama tempoh fobia sekolah pada anak, bergantung kepada pendekatan yang diambil ibu bapa.
Semakin lama anak dibiarkan tidak masuk sekolah (tanpa mengambil sebarang pendekatan), semakin lama masalah itu tidak akan selesai dan anak sering memberikan alasan yang pada ibu bapa amat tidak meyakinkan.
Bagaimanapun, jika cepat ditangani biasanya masalah itu akan pulih dalam tempoh satu atau dua minggu.
Ikuti panduan berikut:
Berusahalah untuk tegas dan konsisten dalam memberi reaksi dan tingkah laku anak yang negatif.
Ibu bapa sepatutnya tidak melayani sikap tolak ansur jika anak keterlaluan. Ibu bapa juga perlu menghindari sikap menjanjikan hadiah jika anak ke sekolah kerana ia akan menjadi pola kebiasaan yang tidak baik malah, anak langsung tiada kesedaran sendiri.
Dapatkan khidmat runding doktor mengenai masalah kesihatan anak
Jika ibu tidak yakin akan kesihatan anak, bawalah segera ke doktor untuk mendapatkan kepastian mengenai kesihatan anak.
Bekerjasama dengan guru di sekolah
Umumnya, guru sudah biasa menangani masalah fobia sekolah. Justeru, dapatkan bantuan guru untuk menenangkan anak dengan berbincang dan menggunakan pendekatan yang sesuai
Luangkan masa untuk berbincang dengan anak
Luangkan waktu yang intensif dan tidak tergesa-gesa apabila berbincang supaya anak tidak berasa takut, cemas atau enggan pergi ke sekolah. Hindarkan sikap mendesak atau tidak mempercayai kata-kata anak kerana cara itu hanya akan membuatkannya makin tertutup untuk berkongsi masalah.
Lepaskan anak secara bertahap
Pengalaman pertama bersekolah tentu menimbulkan perasaan resah kepada anak kerana suasana yang masih asing baginya. Oleh itu, lepaskan anak secara bertahap, misalnya pada hari pertama, ibu bapa boleh menemani seharian manakala keesokannya separuh hari dan begitulah seterusnya sehingga anak ada keyakinan diri untuk pergi sendirian.
Dapatkan runding nasihat psikologi atau kaunselor jika masalah berlarutan.
Jika anak tidak dapat mengatasi fobia sekolahnya hingga jangka waktu yang panjang, itu menandakan adanya masalah psikologi dan perlu ditangani secara profesional oleh ahlinya. Apatah lagi, jika fobia sekolah mengakibatkan anak ketinggalan pelajaran, prestasinya menurun dan hambatan penyesuaian diri yang serius. Oleh itu dapatkan khidmat nasihat pakar psikologi atau kaunselor secepat mungkin.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
09 September 2009
Fobia pergi sekolah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment