Persiapan Ramadan
MARHABAN ya Ramadan - Selamat datang Ramadan diucapkan untuk bulan yang suci serta mengharapkan agar jiwa raga kita serta keluarga dan anak-anak dan umat Muslim seluruhnya diasah dan diasuh bagi melanjutkan perjalanan menuju Allah SWT. Kita perlu mempersiapkan bekal bagi tujuan menyelusuri jalan itu.
Tahukah saudara apakah bekal itu? Benih-benih kebajikan yang harus kita tabur di dalam jiwa keluarga Muslim seluruhnya. Tekad kita yang membaja untuk memerangi nafsu, agar kita mampu menghidupkan malam Ramadan dengan solat dan tadarus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama, bangsa dan negara.
Sebagai keluarga Muslim kita seharusnya gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan dan menghadapi dengan dada yang sangat lega; dengan jiwa yang tenang, dengan hati yang tenteram. Bagi orang Islam yang beriman mereka menerima kehadiran bulan yang barakah ini dengan penuh kegembiraan. Ini kerana pengembaraan Ramadan yang begitu lama sudah kembali semula menemui kita.
Sesungguhnya Allah mewajibkan puasa adalah untuk membersihkan jiwa dari sifat-sifat yang hina dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang mulia serta menjauhkannya daripada setiap sifat yang tercela. Kita dianjurkan banyak bersabar dan berjihad melawan hawa nafsu. Dengan puasa juga iman seseorang Muslim akan bertambah kuat dan bersih.
Ramadan menawarkan pelbagai tawaran dan ganjaran untuk keluarga Muslim yang beriman. Sebab itu juga bulan ini dikenali sebagai bulan ibadah. Iaitu bulan di mana orang-orang yang beriman berebut-rebut mengerjakan amalan soleh.
Orang-orang yang beriman sahaja yang tahu menghargai Ramadan. Sebab itu mereka mempertingkatkan amalan baik seperti bersedekah, terawih, qiamullail, membaca al-Quran, berzikir dan bermacam-macam amalan baik yang lain pada bulan yang mulia.
Banyak kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan dibandingkan dengan bulan-bulan lain dalam Islam. Kitab suci al-Quran yang menjadi panduan hidup kita diturunkan di dalam bulan mulia ini. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang berbunyi: Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatul Qadar. (al-Qadr: 1)
Umat Islam harus menghayati keagungan bulan Ramadan ini. Bulan di mana Allah telah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Ini adalah bulan kembali dan taubat, bulan pengampunan dan rahmat, bulan kebebasan dari api neraka dan kemenangan berupa syurga.
Menghadapi bulan Ramadan memerlukan persiapan mental dan spiritual khususnya dari segi semangat dan ketahanan. Ini sangat penting untuk mendapatkan hasil yang maksimum daripada kegiatan puasa itu.
Ada sesetengah orang bersiap sedia dari segi mental tetapi tidak mempunyai nawaitu (niat). Manakala sesetengahnya sempurna dari segi niat tetapi tidak pula mempunyai semangat dan ketahanan dalam menghadapi puasa di bulan Ramadan.
Kurang daripada segi penghayatan atau pendidikan Ramadan barangkali menjadikan sesetengah orang tidak bersemangat. Kalau bersemangat pun tidak tahan lama, bersifat sementara dan 'hangat-hangat tahi ayam'.
Sebab itu, orang yang berpuasa tanpa persiapan mental dianggap sia-sia seperti sabda Nabi yang bermaksud: "Betapa banyak orang yang berpuasa tetapi tidak mendapatkan sesuatu dari puasa itu selain lapar dan dahaga."
Dalam setahun di mana terdapat 12 bulan hanya ada satu bulan Ramadan. Ia tidak sampai 10 peratus. Tetapi dengan melihat nilai kualitatif dan kepadatan ibadah yang ada di dalamnya, maka bulan Ramadan menjadi sangat signifikan jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan sebelas bulan lainnya. Justeru, alangkah naifnya kalau kita menghadapinya secara biasa-biasa sahaja, lesu dan tidak bersemangat.
Mari kita persiapkan diri serta keluarga dan bersiap sedialah lebih awal untuk ke masjid. Jangan ambil mudah dengan mengatakan bahawa solat berjemaah dan solat terawih hukumnya cuma sunat.
Demikian juga solat Subuh, usahakan untuk bersedia sebelum waktu Imsak, pastikan semua urusan dapur sudah selesai. Lebih penting segala-galanya perlu siap sebelum azan dan kita sudah berada di masjid. Anda sudah tentu tidak kehilangan kesempatan untuk solat tahiyatul masjid dan solat sunat rawatib - yang nilainya lebih mulia daripada dunia berserta isinya.
Puasa juga mendidik kita untuk belajar bangun awal. Sesetengah daripada kita menganggap kerana hukumnya sunat maka sahur ditinggalkan. Kalau kita sudah biasakan diri untuk bangun lebih cepat selama sebulan Ramadan maka ini bererti kita sebenarnya sudah mampu untuk melakukannya di luar bulan Ramadan. Di mana lagi kita dapat miliki peluang seperti itu kalau tidak di bulan Ramadan selama sebulan terus-menerus.
Persiapan kita bukan sekadar menghadapi lapar dan dahaga tetapi bersedia untuk memahami dan menghayati makna-makna falsafah yang terdapat di dalamnya.
Tidak tahan mengantuk juga menjadi masalah besar di kalangan orang kita pada bulan Ramadan. Memang ada hadis yang menyatakan bahawa tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadah. Tetapi itu bukan perintah untuk memperbanyakkan tidur di bulan Ramadan. Tidak ada contoh daripada Nabi, sahabat dan orang-orang soleh mengenai hal ini. Malah Nabi mengurangi tidurnya pada malam-malam bulan Ramadan hingga batas yang paling minimum. Mereka banyak membaca al-Quran, zikir dan sembahyang.
Sepintas lalu amalan-amalan seperti ini amat berat tetapi ia bukan terletak pada sesuatu amalan melainkan pada cara kita memikirkan amalan itu. Kalau kita memikirkan sesuatu itu berat maka ia dengan sendirinya menjadi berat, tetapi kalau kita memikirkannya mudah maka dengan sendirinya ia akan mudah.
Di samping persiapan dari segi spiritual, ingatlah Ramadan adalah bulan maghfirah (pengampunan) dan rahmah (kasih sayang). Persiapan dari segi rohani diperlukan untuk membetulkan niat, membersihkan hati, membangun tekad dan bersiap untuk menerima bimbingan serta petunjuk Allah SWT.
Sebaik-baiknya sebelum puasa tiba, sesuaikanlah diri dengan amalan seperti solat wajib kerana sesetengah orang berpuasa tetapi tidak melaksanakan solat. Kemudian hidupkan solat-solat rawatib, sembahyang tahajud, berpuasa setiap Isnin dan Khamis, perbanyakkan sedekah, zikir, baca al-Quran, berdoa, dan hindari dosa-dosa kecil.
Sesungguhnya graf puasa nabi dan sahabat-sahabat meningkat berterusan sejak puasa pertama hingga hari puasa terakhir. Dan graf itu mengalami peningkatan yang amat tajam pada saat-saat akhir bulan Ramadan.
Tetapi bukan sedikit di antara kita yang grafnya terbalik. Semakin menjelang Ramadan, semakin banyak masa dihabiskan dengan perkara-perkara yang tidak ada hubungan sama sekali dengan kesucian bulan Ramadan.
Oleh AZIZ JAMALUDIN MHD. TAHIR
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
11 August 2010
Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1431H
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Sir, tahun ni dah 1431H. Harap Maklum..........
TK Syasya atas ingatan dan teguran.
U r wellcome....Selamat berpuasa, Sir.
Post a Comment