Pelajar-pelajar ini ternyata sangat teruja dengan penyertaan dalam menghapuskan lokasi-lokasi yang berpotensi menjana pembiakan nyamuk aedes.
LENGKAP memakai ves berwarna merah sambil tangan erat memegang sehelai kertas putih, sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat, Kuala Lumpur menyusun langkah bergerak dari satu rumah ke rumah di kawasan kediaman AU5 Lembah Keramat.
Mempunyai misi khas, kunjungan mereka disambut dengan aneka perasaan. Sesetengah tuan rumah berbesar hati menerima kunjungan pelajar itu manakala segelintir pula lebih selesa mengambil pendekatan berhati-hati.
Tindakan ini bersebab kerana bimbang akan kunjungan itu bermotifkan niat menjual sesuatu atau mengutip derma untuk kebajikan sekolah.
Namun, situasi itu tidak langsung melemahkan semangat 10 orang pelajar tersebut untuk meneruskan misi murni yang telah diamanahkan. Mereka sedar tanggungjawab yang dipikul itu adalah untuk kebaikan bersama iaitu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bahaya denggi. Lebih penting, mereka juga perlu mencari dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes yang merupakan vektor kepada penyakit demam denggi.
Demikianlah pengalaman yang dilalui oleh seorang pelajar sekolah terbabit, Sarah Alyaa Shahirah Mohd. Rashid, 17, sepanjang lima bulan menyertai pertandingan antiaedes menerusi program Renjer Ridsect sekolahnya. Program tersebut dianjurkan oleh syarikat Sara Lee dengan kerjasama Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dalam membanteras demam denggi.
Sebanyak 100 buah sekolah di sekitar Lembah Klang termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor itu mengambil bahagian dengan jumlah penyertaan sekitar 1,000 orang pelajar.
Sepanjang program itu berlangsung, setiap kumpulan dibekalkan dengan senarai semakan yang disediakan oleh KKM. Senarai itu berfungsi untuk membantu para peserta mengenal pasti kawasan-kawasan yang berisiko tinggi semasa mengadakan tinjauan dan pemeriksaan.
Ia dilihat sebagai serampang dua mata kerana selain perlu melaksanakan misi mencari dan menasihati penduduk di kawasan kejiranan, pelajar itu juga berpeluang memupuk semangat integrasi sesama mereka dan masyarakat. Malah, aktiviti ini secara tidak langsung turut membantu para pelajar beriadah dan mengeluarkan peluh untuk kesihatan.
Pelajar-pelajar ini ternyata sangat teruja dengan penyertaan dalam menghapuskan lokasi-lokasi yang berpotensi menjana pembiakan nyamuk aedes.
"Tindakan kami mungkin dapat membantu menyedarkan masyarakat tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan di sekitar kawasan perumahan mereka. Tindakan ini perlu bagi mewujudkan suasana yang lebih sihat dan bebas daripada denggi," terang Sarah Alyaa kepada Kosmo! sambil memberitahu mereka turut menjalankan lawatan susulan ke kawasan-kawasan terpilih.
Menurut statistik KKM, setakat 25 Julai 2010, sebanyak 27,415 kes denggi dilaporkan dengan sejumlah 91 kematian di seluruh negara. Angka itu jelas menunjukkan satu peningkatan memandangkan hanya sejumlah 26,974 kes dengan 66 kematian dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Sekitar 15 peratus atau 14 kes dari sejumlah kes kematian akibat denggi terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah dan institut pengajian tinggi.
"Penganjuran kempen sebegini secara langsung mendidik dan menggerakkan kami untuk memeriksa kawasan perumahan dan juga sekitar sekolah.
"Setiap minggu kami akan bergerak dan membuat pemeriksaan untuk mengawasi dan memastikan bekas makanan, botol atau tin minuman yang sudah digunakan dibuang di dalam tong sampah," jelas Nur Hanisah Hamdan, 17, seorang pelajar SMK Presint 18 (1).
Kerap berlaku di kawasan bandar, semburan kabus atau fogging lazimnya hanya mampu membunuh nyamuk dewasa dan tidak membunuh jentik-jentik aedes.
Justeru, saluran yang disediakan sebagai renjer ini menjadi perintis kepada pelajar untuk turut serta dalam membanteras nyamuk aedes.
Pelajar SMK Bukit Jelutong, Nur Aqeela Mohd. Yussof, 17, pula menyatakan penyertaannya dalam program itu membuatkannya lebih sensitif dan prihatin dalam memastikan kebersihan di sesuatu lokasi adalah menyeluruh.
"Sepanjang pemeriksaan, ramai yang tidak sedar dan mengambil kisah terhadap persekitaran di luar rumah mereka. Pasu bunga dan tempayan adalah antara kawasan yang paling kerap menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
"Lebih menyedihkan penduduk kawasan bandar memandang remeh soal penjagaan ini. Malah, ada segelintir mereka seolah-olah baru mengetahui mengenai kesilapan yang mereka lakukan," kongsi Nur Aqeela.
Tambahnya, jentik-jentik yang tidak dimusnahkan akan membesar menjadi nyamuk dalam tempoh masa seminggu sahaja.
Oleh itu, air perlu ditukar setiap minggu dan membasuh sehingga bersih sebelum mengisi air yang baru untuk keselamatan kita bersama.
Sementara itu, guru penyelaras SMK Putrajaya Presint 18 (1), Badariah Mohammed Zain menyatakan meskipun program tersebut lebih bercirikan pertandingan namun, maksud yang tersiratnya benar-benar memberikan kesan mendalam terhadap diri remaja.
"Mereka bukan sahaja menjadi ejen perubahan malah, memupuk semangat mengingati dan membantu rakan-rakan serta ahli keluarga dalam menghapuskan tempat pembiakan aedes. Ini bersesuaian dengan pepatah melentur buluh biar dari rebungnya.
"Menerusi program ini, kita mampu memupuk minat selain mendedahkan pelajar dengan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang penyelidikan," terangnya yang mengajar subjek sejarah.
Pertandingan antiaedes itu berjaya menyelidik sejumlah 75,834 buah rumah di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor. Angka tersebut jauh mengatasi sasaran awal sebanyak 50,000 buah rumah sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak penganjur.
SMK Taman Keramat yang berjaya memeriksa sebanyak 5,626 buah rumah telah dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM13,000. Jumlah wang tunai itu merupakan sebahagian daripada sejumlah RM100,000 yang ditawarkan oleh pihak penganjur.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
16 August 2010
Hapus aedes dari rumah ke rumah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment