Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






17 August 2010

Bayaran cecah RM17,000











Kehadiran jemaah untuk menunaikan solat tarawih sangat menggalakkan hingga ada yang terpaksa bersembahyang di pekarangan masjid.

ALUNAN suara merdu lengkap dengan taranum Sheikh Mohd. Idris Mohd. Al-Mashrafi, 48, yang berasal dari Mekah membaca ayat-ayat suci al-Quran kedengaran semasa mengimamkan solat sunat tarawih di Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Untuk seketika, suasana di sekitar Kampung Baru ibarat Tanah Suci. Sheikh Mohd. Idris sebenarnya telah 14 kali Ramadan dijemput oleh pengurusan masjid berkenaan untuk menjadi imam solat tarawih.

Jadi, tidak hairanlah jika imam sebuah masjid di pinggir Mekah itu boleh berbahasa Melayu serba sedikit dan mendapat nikmat berpuasa di Malaysia.

"Makanan di sini banyak yang pedas-pedas," katanya dalam bahasa Melayu pelat Arab.

Beliau yang sudah menghafal al-Quran sejak usia 11 tahun malah menganggap negara ini sebagai rumah keduanya selain Mekah.

"Di masjid ini, kehadiran jemaah untuk menunaikan solat tarawih sangat menggalakkan hingga ada yang terpaksa bersembahyang di pekarangan masjid.

"Namun, jika dibandingkan dengan Mekah, suasananya tentulah berbeza kerana di situ tempat umat Islam dari seluruh dunia berhimpun selain tapak perjuangan Rasulullah S.A.W. menegakkan Islam," katanya.

Tahfiz

Berdasarkan pemerhatiannya, suasana Ramadan di Malaysia cukup meriah dengan bazar Ramadan selain amalan mengagihkan bubur lambuk yang menjadi tradisi Masjid Kampung Baru.
















SHEIKH Mohd. Idris telah 14 kali dijemput menjadi imam solat tarawih di Masjid Jamek Kampung Baru.

--------------------------------------------------------------------------------


"Jika berkesempatan saya akan berbuka puasa bersama jemaah masjid yang lain tetapi saya lebih gemar berbuka dengan isteri saya," katanya.

Sheikh Mohd. Idris ialah salah seorang imam jemputan dari negara Arab untuk solat tarawih di ibu kota Kuala Lumpur.

Beberapa masjid utama lain termasuk Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya turut menggunakan khidmat imam jemputan dari Mesir dan Syria.

Selain imam-imam tahfiz tersebut, pelajar-pelajar sekolah tahfiz di negara ini juga menjadi rebutan untuk dijemput menjadi imam solat tarawih di surau dan masjid.

Trend menggunakan khidmat imam-imam tahfiz itu nampaknya sudah menjadi budaya setiap kali bulan Ramadan.

Sebagai imam tarawih jemputan, Sheikh Mohd. Idris dan isteri disediakan makanan dan penginapan berhampiran Masjid Kampung Baru oleh pihak pengurusan masjid sepanjang 40 hari berada di negara ini.

Berbicara mengenai solat tarawih, Sheikh Mohd Idris memberitahu, beliau menjadi imam untuk solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan tiga rakaat solat witir.

Bagaimanapun, Masjid Kampung Baru turut menjemput seorang lagi imam tahfiz tempatan berusia 20-an.

"Sehari satu juzuk al-Quran akan dibacakan dalam tempoh lebih kurang dua jam solat tarawih.

"Syukur kerana saya dibesarkan oleh keluarga yang menitikberatkan agama.

"Pada umur 11 tahun lagi saya telah hafaz al-Quran selain menjadi imam dan guru agama di sebuah masjid di Mekah," katanya.

Menurut beliau, untuk mudah menghafal al-Quran, ia perlu sentiasa dibaca dan bukan digantung di dinding atau dijadikan cenderamata semata-mata.

"Kita juga perlu menjaga makan iaitu tidak makan makanan ringan selain sumbernya perlu dikenal pasti sebaiknya.

"Selain itu, jangan melakukan maksiat seperti tidak melihat wanita yang tidak menutup aurat, menjaga percakapan dan tidak menonton program televisyen berunsur maksiat," katanya.



Pengerusi Masjid Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris, 68, memberitahu, kerana suara yang merdu dan sudah menjadi tradisi, menyebabkan pihak masjid itu menjemput Sheikh Mohd. Idris sejak tahun 1997 lagi.

Bayaran

Ujar Idris Shaari, pihaknya menyediakan sejumlah lebih RM20,000 untuk menjemput Sheikh Mohd. Idris.

"Bayaran untuknya sahaja RM17,000 tetapi itu tidak termasuk sagu hati, perbelanjaan tiket kapal terbang pergi balik, makanan dan kemudahan tempat tinggal yang mencecah lebih RM20,000.

"Namun, semua perbelanjaan ditanggung hasil sumbangan pihak tertentu dan juga orang ramai," katanya.

Bagi memastikan Sheikh Mohd. Idris tidak kesunyian, beliau dibenarkan membawa isterinya bersama.

Katanya lagi, pihak masjid juga menyediakan makanan bagi Sheikh Mohd. Idris.

"Beliau jarang keluar kerana perlu berehat. Menjadi imam solat tarawih merupakan tugas berat selain perlu menghafal keseluruhan al-Quran," kata Idris Shaari.

Idris Shaari memberitahu, imam tahfiz tempatan pula diberikan bayaran RM7,000 sebagai sagu hati kerana menjadi imam solat tarawih semasa Sheikh Mohd. Idris memenuhi jemputan lain.

"Sebenarnya, soal bayaran bukan satu isu. Ini kerana bukan mudah untuk menghafal 30 juzuk al-Quran dan usaha golongan ini perlu kita hormati.

"Lagipun dengan kehadiran mereka, bilangan jemaah masjid meningkat daripada hari biasa.

"Begitu juga pihak syarikat dan individu lebih mudah membuat sumbangan," ujarnya.

Katanya lagi, bagi menjemput imam tahfiz dari luar negara, pihaknya perlu menghantar surat permohonan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Walaupun Sheikh Mohd. Idris telah menjadi imam jemputan di Masjid Kampung Baru sebanyak 14 kali, kami masih perlu menghantar surat permohonan setiap tahun.

"Malah, pihak Jakim akan menguji bacaannya. Kami pula dapat belajar bahasa Arab daripada imam terbabit," katanya ketawa.

Keropok lekor

Bagi Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad, tahun ini buat julung-julung kali Masjid Negara menjemput imam tahfiz dari Mesir iaitu Sheikh Abdul Rahman Taha Radwan untuk menjadi imam solat tarawih.

"Kita cuba buat kelainan kerana kebiasaannya surah yang dibaca ialah ayat-ayat lazim dan pendek. Kali ini, satu juzuk al-Quran setiap kali solat tarawih," katanya.

Tambah beliau, dengan adanya imam dari Mesir itu, kehadiran jemaah semakin meningkat selain pertambahan bilangan mereka yang berbuka puasa dan bersahur di Masjid Negara.

"Malah, selepas lapan rakaat sekali pun masih ramai yang belum balik dan ini merupakan satu perkembangan positif," ujarnya.















KAUM wanita tidak ketinggalan menunaikan solat sunat tarawih di masjid kerana ganjaran pahala berkali ganda semasa bulan Ramadan.

--------------------------------------------------------------------------------


Kata Syaikh Ismail lagi, beliau telah lama mengenali Sheikh Abdul Rahman kerana imam tahfiz itu merupakan seorang guru agama di Terengganu sebelum ini.

"Dia merupakan rakan saya dan telah lama pulang ke Mesir. Tetapi saya jemput dia kembali untuk menjadi imam solat tarawih di Masjid Negara.

"Lagipun dia dah rindu dengan keropok lekor dan laksa kerana sudah lama tidak kembali ke negara ini," katanya tersenyum.

Seorang jemaah Masjid Kampung Baru, Sydina Abidin Abdullah, 50, berkata pengalaman menjadi makmum kepada imam tahfiz dari Asia Barat merupakan perkara yang sangat menarik.

"Kita rasa seperti solat di Mesir atau Mekah, selain mendatangkan keinsafan dalam diri.

"Walaupun tidak faham makna ayat-ayat al-Quran itu, lantunan suara imam itu cukup membekas di dalam diri ini," kata pegawai kerajaan di Kota Bharu, Kelantan ini yang sanggup menunaikan solat tarawih di Masjid Kampung Baru jika mempunyai tugasan di Kuala Lumpur.

Bagi Ahmad Marzuki, 84, penduduk asal Kampung Baru, sama ada imam tahfiz luar negara mahupun tempatan beliau tetap menerimanya dengan baik.

"Islam itu tidak mengenal bangsa mahupun keturunan sebaliknya takwa yang lebih penting.

"Tetapi jika imam tahfiz luar negara ada, masjid ini juga dipenuhi oleh pelbagai bangsa termasuk dari Iran, Mesir, Syria dan India yang jarang dilihat sebelum ini," katanya.


No comments: