Umat Islam seluruh dunia tidak pernah melepaskan peluang mencari Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. - Gambar hiasan
Malam Lailatul Qadar menjadi rebutan para aulia dan orang yang soleh kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk beroleh keberkatan dan rahmat yang tersembunyi di dalamnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.” (riwayat Ibnu Majah)
Dalam satu hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Ilahi, nescaya dia akan diampuni segala dosanya yang lampau. (riwayat Muslim)
Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul Qadar. Dan apa jalannya kamu dapat mengetahui apa dia kebesaran Lailatul Qadar? Lailatul Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).
Jelas daripada mafhum ayat suci di atas bahawa Lailatul Qadar akan muncul pada setiap Ramadan sebagai anugerah Ilahi dan rahmat Allah yang hanya dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Malam yang penuh bersejarah itu dinilai sebagai malam yang lebih baik dan lebih banyak ganjarannya daripada 1,000 bulan .
Ulama berselisih dalam menentukan malam berlaku Lailatul Qadar. Namun mereka berselisih pendapat mengenai malam ke berapa daripada 10 malam terakhir itu. Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27 Ramadan.
Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang ingin mendapatkan Lailatul Qadar, dia hendaklah mencari pada malam ke-27.” (riwayat Ahmad)
Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam al-Qadar itu berlaku pada malam-malam ganjil 10 hari terakhir.
Hadirnya malam penuh berkat itu akan dinantikan dan disambut dengan penuh keyakinan dan keimanannya oleh golongan yang beriman, sekali gus melayakkan dirinya termasuk dalam kelompok orang yang dilimpahi kenikmatan syurga dan kebahagiaan abadi.
Menurut sejarah Islam, Lailatul Qadar pertama kali menemui Rasulullah SAW, ketika baginda sedang khusyuk menyendiri di Gua Hira, bermuhasabah dan merenung diri sendiri dan masyarakat sekeliling.
Tidak berapa lama kemudiannya, datang al-Ruh al-Amin iaitu malaikat Jibril membawa bersama wahyu Ilahi untuk membimbing baginda sehingga berlakulah perubahan secara menyeluruh dalam setiap detik dan perjalanan hidupnya.
Selanjutnya, Lailatul Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah SAW dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya dan rahmat-Nya yang menyeluruh.
Justeru, amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan yang dilakukan selama 1,000 bulan. Lebih-lebih lagi, apabila dibanding dengan umur nabi dan umat terdahulu.
Usia baginda dan umatnya adalah pendek. Contohnya, Nabi Nuh dikurniakan Allah umur selama 950 tahun. Maka, Lailatul Qadar adalah kurniaan sangat besar nilainya bagi umat Nabi Muhammad SAW. Ini kerana lamanya waktu seribu bulan apabila dihitung dalam kiraan tahun ialah selama 83 tahun lebih. Tambahan pula, angka itu jauh lebih banyak berbanding dengan umur umat Nabi Muhammad SAW yang rata-ratanya dalam sekitar 60 tahun sahaja.
Kerana keutamaan inilah, Rasulullah SAW amat menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan Lailatul Qadar yang penuh keberkatan.
Selain itu, setiap Muslim dianjurkan agar bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
21 August 2010
Kebesaran Lailatul Qadar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment