Kedatangan Ramadan kali ini membawa seribu pengertian kepada Shintaro Misawa, 30, yang berasal dari Machida, Tokyo, Jepun.
KEDATANGAN bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan sentiasa dinanti umat Islam di seluruh dunia. Bahkan, Ramadan merupakan bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh.
Bagaimanapun, kedatangan Ramadan kali ini membawa seribu pengertian kepada seorang jejaka Jepun, Shintaro Misawa, 30, yang berasal dari Machida, Tokyo, Jepun. Jejaka kacak yang pendiam itu sanggup mengembara selama hampir tujuh jam dari Tokyo ke Kuala Lumpur dengan satu harapan.
Mempunyai rakan-rakan Muslim di Kuala Lumpur, Misawa tertarik hati untuk merasai pengalaman dan penghayatan suasana berpuasa di negara ini. Menyorot latar belakang lelaki itu, ternyata Misawa bukanlah calang-calang jejaka di Jepun. Ini kerana dia diiktiraf sebagai salah seorang daripada 10 atlet profesional terbaik BMX Flatland di peringkat antarabangsa.
Semenjak berkecimpung dalam sukan BMX pada tahun 1996 dia telah memasuki pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat, Belanda, Kanada, Australia, Monte Carlo, Jerman, Perancis, Malaysia dan banyak lagi.
Kejayaan memahat nama dalam sukan BMX turut mendapat perhatian jenama antarabangsa yang menaja anak sulung daripada dua beradik itu.
Antara jenama yang menjadi label atlet antarabangsa itu ialah ColonyBMX, SEV-sports, Coopervison, Zerofit, Sequence.
Mungkin agak pelik tindakan seorang jejaka bukan Islam mengembara ribuan kilometer semata-mata untuk berpuasa di perantauan selama beberapa hari. Namun begitu, Misawa mempunyai sebab tersendiri mengapa dia memilih Malaysia sebagai destinasi penghayatan bulan Ramadan.
"Saya sangat tertarik dengan gaya kehidupan seorang Muslim Malaysia. Mereka sentiasa patuh kepada undang-undang ditetapkan ajaran Islam," katanya yang ditemui Kosmo! di Bukit Mahkota, Kajang, Selangor baru-baru ini ketika memenuhi jemputan berbuka puasa di rumah rakannya, Mohd. Yusri Yusoff, 26.
Dalam nada bersahaja, Misawa memberitahu, salah satu faktor utama dia terpanggil ingin mengetahui lebih mendalam mengenai Islam apabila melihat tingkah laku atlet BMX Malaysia semasa bersama-sama menyertai kejohanan sukan ekstrem itu.
"Setiap kali kejohanan besar di luar negara, saya memerhatikan atlet Malaysia tidak pernah menyentuh minuman keras. Ketika ditanya mengapa tidak mengambil arak mereka hanya menjawab ringkas: Muslim tidak boleh meneguk arak kerana ia undang-undang Islam," katanya.
Bermula dari situ, dia mula membuat kajian di laman web sekali gus membuka pintu hatinya untuk terus mempelajari agama Islam. Walaupun belum bergelar Muslim, dia bertegas tentang keseriusannya untuk memeluk agama Islam pada satu hari nanti.
"Mungkin ramai beranggapan saya hanya bermain-main untuk memeluk agama Islam dan menjalani ibadah puasa. Bagaimanapun, saya sangat serius kerana ia melibatkan prinsip dan pegangan hidup.
SEDAPNYA. Mungkin itulah yang difikirkan Misawa apabila melihat kuih-muih yang sudah siap dihidang di atas meja.
--------------------------------------------------------------------------------
"Sebab itu saya datang ke Malaysia semata-mata untuk berpuasa dan mengenali Islam kerana sukar mendapat suasana begini di Jepun," ujarnya yang sempat menjalani ibadah puasa selama seminggu sebelum pulang ke Tokyo minggu lalu.
Dugaan berpuasa
Jejaka yang sudah dua kali menjejak kaki ke Malaysia itu turut berkesempatan mengunjungi bazar Ramadan di Bukit Mahkota, Kajang, Selangor.
Sambil berjalan-jalan, kelihatan dia acap kali teruja mungkin disebabkan terdapat pelbagai juadah enak dengan bauan menyelerakan di bazar berkenaan. Lebih mencuit hati, setiap kali mendekati makanan, dia pasti menelan air liur kerana tidak dapat menahan dugaan di depan mata.
Diajak berkongsi dugaan dihadapi sepanjang berpuasa di negara ini, sambil tersenyum, dia memberitahu 30 minit terakhir pada hari pertama merupakan dugaan paling getir kerana terdapat pelbagai jenis juadah menanti di depan mata untuk dimakan.
BERPUASA buat kali pertama, Misawa mengakui pelbagai sajian enak ketika berkunjung ke bazar Ramadan bersama Mohd. Yusri baru-baru ini mencabar kesabarannya dalam menjalani puasa.
--------------------------------------------------------------------------------
"Keenakan makanan yang terhidang begitu menyelerakan sehingga membuatkan perut saya semakin lapar. Selain itu, bulan Ramadan banyak mengajar erti kesabaran dan bekerjasama antara satu sama lain," katanya.
Seruan azan berkumandang turut menyentuh hati Misawa kerana sukar mendengar kemerduan azan di negara Matahari Terbit.
"Di Malaysia, saya dapat mendengar azan lima kali sehari dan ia begitu menusuk jiwa. Saya turut mencatat waktu azan dalam diari untuk mengetahui waktu solat," katanya sambil berbuka puasa dengan menyuap nasi tomato ke dalam mulut.
Setiap gerak-geri jejaka Jepun itu menjadi perhatian ahli keluarga rakannya kerana Misawa kelihatan agak janggal menggunakan tangan menikmati nasi tomato.
Dalam sedang asyik menikmati juadah berbuka, Misawa berkata, wanita-wanita di Malaysia sangat ayu dengan berpakaian sopan apatah lagi bertudung.
"Di Jepun terlalu banyak wanita seksi dan pergaulan kami juga agak bebas. Saya tidak kurang menyukai wanita seksi tetapi lebih gemar wanita sopan serta bertudung seperti di Malaysia," senyumnya.
Sudah berkhatan
MISAWA menunjukkan kemahiran menggoreng karipap pada bulan Ramadan.
Misawa menambah apabila kembali ke Tokyo kelak, dia ingin mempelajari mengenai agama Islam secara lebih mendalam.
"Bukan tidak mahu mempelajari agama Islam di Malaysia tetapi kesukaran memahami bahasa Melayu melambatkan proses pembelajaran. Lebih mudah sekiranya saya mempelajari Islam di Jepun kerana terdapat kelas agama di sana dalam bahasa Jepun," ujar Misawa.
Sementara itu, rakannya Mohd. Yusri berkata, dia pada mulanya menyangka Misawa bermain-main semasa memberitahu hendak memeluk agama Islam.
"Bagaimanapun, kesungguhan mendalami dan mempelajari agama Islam menyakinkan kami bahawa dia serius mahu mengenali Islam. Saya mengajar serba sedikit tentang Islam kepada dia malah, rakan-rakan lain juga akan bersama-sama membantu memberi panduan kepadanya," kata Mohd. Yusri.
Ahmad Shaiful Azis, 31, yang lebih dikenali Mat Dagu dalam arena sukan BMX, menambah, sepanjang Misawa menetap dengannya di Taman Medan, Petaling Jaya Misawa banyak bertanya tentang agama Islam.
"Saya ada menunjukkan cara-cara mengerjakan solat, malah, membantu dia berpuasa dan bersahur," ujarnya lagi.
Sebagaimana janjinya untuk terus berpuasa walaupun sudah menjejak ke negara Matahari Terbit, Misawa bukan sahaja belum meninggalkan puasanya, bahkan dia juga turut berkhatan beberapa hari yang lalu.
Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
28 August 2010
Puasa Jagoan BMX Jepun
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment