DAPATKAN pandangan pakar perubatan mengenai penyakit anda kerana ia boleh membantu anda menunaikan ibadah puasa dengan lebih baik.
MENJELANG tengah hari, Siti Farah Dollah tidak dapat menahan diri daripada godaan makanan. Dia segera mencapai dua paket mi segera berperisa tom yam dan berbuka puasa pada hari itu.
Penyakit gastrik yang dialami sejak beberapa bulan lalu menyebabkan Siti Farah tidak dapat menahan diri daripada makan lebih-lebih lagi jika perutnya mula terasa pedih dan berasid.
Fikir anak keenam daripada tujuh beradik itu, sesudah berbuka puasa sakit perut yang dialami akan berhenti, namun sangkaannya silap. Sakit perutnya menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan Siti Farah terbaring dan merengek kesakitan.
"Itulah pengalaman saya semasa mula-mula mengalami sakit gastrik ketika berumur 18 tahun. Waktu itu, saya masih menuntut di Institut Profesional Baitulmal (IPB), Kuala Lumpur. Punca saya mendapat gastrik pun disebabkan cara pemakanan yang tidak teratur semasa belajar di asrama.
"Masa mula-mula kena gastrik, walaupun saya cuba berpuasa penuh pada bulan Ramadan, saya tidak mampu lakukannya. Silap saya juga sebab tidak pergi berjumpa doktor untuk minta nasihat dan pandangan berhubung penyakit ini," katanya yang bersyukur kerana dapat berpuasa penuh pada tahun lepas.
Siti Farah yang telah menjangkau usia 21 tahun kini sudah tahu bagaimana menangani penyakitnya selepas berjumpa dengan doktor.
"Orang yang mengalami sakit gastrik sebenarnya mampu berpuasa penuh. Cuma, mereka perlu makan sahur lewat dan tidak mengambil sebarang minuman bersusu.
"Selain itu, jika berbuka saya akan pastikan tidak berbuka dengan nasi, mengambil minuman berais dan makan makanan yang pedas. Cukup sekadar berbuka dengan air suam, kurma atau kuih-muih. Selepas beberapa jam baru saya akan menjamah nasi pula.
"Saya pernah makan terlalu banyak ketika berbuka. Natijahnya, ketika solat terawih perut saya terasa amat sakit," katanya yang berharap dapat berpuasa penuh pada Ramadan tahun ini.
Minta pandangan doktor
"Kebanyakan pesakit boleh berpuasa penuh melainkan penyakit-penyakit kronik yang sukar untuk dirawat. Misalnya, pesakit kanser terminal yang memerlukan mereka mengambil ubat yang kerap, pesakit diabetes yang memerlukan suntikan dari semasa ke semasa, serangan jantung dan strok.
"Tidak ketinggalan mereka yang mempunyai penyakit akut yang serius seperti infeksi (septisemia), lelah dan dehidrasi yang memerlukan rawatan segera," kata Pakar Perunding dan Gastroenterologi Hospital Pakar Al-Islam, Kuala Lumpur, Dr. Ishak Mas'ud.
Jelas Ishak, sempena bulan Ramadan ini, pesakit yang menghidap penyakit lain seperti gastrik harus berjumpa dengan doktor terutamanya doktor Muslim untuk mendapat pemeriksaan dan pandangan sama ada mereka boleh berpuasa atau tidak.
"Dengan itu, mereka boleh menukar cara pengambilan ubat atau mengubah diet makanan yang betul bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah puasa.
"Sebagai contoh, jika sebelum ini mereka perlu mengambil ubat tiga atau empat kali dalam sehari, mereka boleh mengambil ubat hanya dua kali sehari. Doktor akan memberi mereka ubat yang sama tetapi mempunyai kesan berpanjangan," katanya.
Dalam isu yang lebih perspektif, Ishak memberitahu, pesakit yang mengalami sakit perut perlu mengenal pasti punca sakit itu terlebih dahulu.
"Istilah gastrik sebenarnya terlalu umum. Sakit perut boleh berpunca disebabkan ulser peptik, batu karang di dalam hempedu (gallstone) dan pankreatitis yang biasanya disebabkan sindrom usus rengsa (IBS).
"Walaubagaimanapun, ada beberapa gejala lain yang memberi indikasi memungkinkan pesakit gastrik memerlukan rawatan segera.
"Antaranya sakit perut yang berpanjangan, muntah berterusan atau berdarah, najis berwarna hitam yang berkemungkinan najis berdarah, selera makan dan berat badan yang semakin berkurang serta sakit perut yang semakin teruk selepas makan," katanya mengenai rawatan yang memungkinkan pesakit tersebut menjalani beberapa ujian seperti endoskopi atau ujian ultrasound pada bahagian perut.
Wajib ganti puasa
Sementara itu, menurut Pegawai Hal Ehwal Khas Agama sebuah pusat perubatan, Ismat Nazirin Mat Isa, mengikut surah al-Baqarah ayat 183 sehingga 188, terdapat tiga golongan individu yang tidak dibenarkan berpuasa iaitu orang yang sakit, musafir dan wanita yang kedatangan haid.
"Walaupun tiga golongan ini tidak diwajibkan berpuasa tetapi mereka wajib untuk menggantikan puasa. Jika mereka masih tidak mampu untuk menggantikan puasa terutama bagi individu yang menghidap penyakit yang sukar sembuh seperti kanser, mereka perlu menggantikan puasa dengan cara yang lain.
"Mereka perlu menggantikan puasa yang tertinggal dengan membayar fidyah kepada fakir miskin. Sehari puasa yang ditinggalkan bersamaan dengan 700 gram beras yang perlu diberikan.
"Malah, mereka perlu membayar fidyah mengikut jenis beras yang dimakan," katanya mengenai amalan berpuasa yang diperintah Allah sebagai ujian untuk menguji ketakwaan umatnya.
Jelas Ismat, terdapat dua kategori orang berpenyakit iaitu pesakit yang yakin dia boleh berpuasa dan tidak memudaratkan diri, wajib untuk berpuasa.
Golongan kedua pula, pesakit yang tidak dapat menentukan tahap kemudaratan kesihatannya. Jika doktor kata tidak boleh berpuasa, pesakit itu wajib untuk berbuka.
Prosedur perubatan
Dalam pada itu, Ismat memberitahu, banyak persoalan timbul dalam kalangan orang ramai mengenai prosedur-prosedur perubatan sama ada mereka boleh berpuasa atau tidak.
"Banyak perkara yang telah diputuskan oleh Majlis Perhimpunan Fiqh Islam Antarabangsa dalam persidangan ke-10 di Jeddah Arab Saudi baru-baru ini.
"Ada enam prosedur perubatan yang tidak membatalkan puasa. Pertama, menitiskan ubat ke dalam mata, hidung dan telinga. Dengan syarat ubat tersebut tidak sampai ke tekak.
"Kedua, menderma atau menerima pemindahan darah. Ketiga, mengambil ujian darah. Keempat, menjalani rawatan pergigian seperti mencabut, menampal dan mencuci gigi. Kelima, menjalani rawatan hemodialisis atau dialisis peritoneal (PD) dan terakhir menjalani ujian endoskopi bagi tujuan diagnosis dengan syarat tidak memasukkan apa-apa cecair ke dalam perut," katanya lagi.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
10 August 2010
Kenal penyakit sebelum berpuasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment