RAMADAN seharusnya mendidik kita menginsafi kesukaran mereka yang kurang bernasib baik.
RAMADAN, bulan untuk umat Islam meningkatkan ketakwaan kepada Yang Maha Esa bagai tetamu yang sering dinanti-nantikan. Pada bulan yang mulia ini juga umat Islam diharap dapat menginsafi kesusahan hidup yang ditanggung oleh mereka yang kurang bernasib termasuk dari segi makanan dan minuman.
Justeru bersikap sederhana dalam soal makan dan minum amat digalakkan pada bulan ini dan semoga menjadi amalan pada bulan-bulan seterusnya.
Langkah bijak ini juga sudah tentunya dapat mengurangkan kos perbelanjaan di tengah-tengah kenaikan harga bahan bakar dan barangan keperluan lain.
Di sebalik kesucian Ramadan, tidak kurang juga ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menjadikan bulan ini sebagai komoditi perdagangan untuk meraih keuntungan sebanyak yang boleh.
Pelbagai taktik licik digunakan untuk menjerat pengguna yang beragama Islam khasnya. Bagi mereka yang dibelenggu hawa nafsu, maka mereka tewas dengan berbelanja sakan. Tidak cukup wang tunai, wang plastik yakni kad kredit dilayang untuk membayar pembelian.
Mohd. Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memberitahu, sudah menjadi lumrah bagi sesetengah pihak mengambil kesempatan apabila menjelangnya bulan Ramadan.
Setiap kali datang Ramadan, setiap kali jugalah umat Islam diingatkan betapa mereka perlu mengawal nafsu dan ia bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga.
Bulan mendidik sahsiah
Cuma amanat dan peringatan itu tidak melekat di hati sesetengah orang lantas kos perbelanjaan mereka pada bulan Ramadan lebih banyak daripada kebiasaannya.
Perhatikan sahaja mereka yang berbondong-bondong membanjiri gedung beli-belah atau bazar Ramadan yang tumbuh bagaikan cendawan setiap kali menjelang Ramadan.
Ada yang sudah membeli-belah sehingga berhelai-helai pakaian dan barangan lain di samping menukar langsir dan perabot rumah.
Malah ada yang berkunjung ke kedai menjual kereta untuk membeli kereta baru balik kampung.
Ketika berkunjung ke bazar menjual juadah berbuka puasa pula, ada yang nafsu makan seakan membuak-buak. Apabila pulang ke rumah, berbungkus-bungkus juadah dijinjing yang akhirnya menjadi habuan bakul sampah.
“Walaupun Ramadan mendidik umat Islam untuk bersikap sederhana dalam segala bentuk amalan seperti makanan, namun tabiat berbelanja secara berlebihan masih sukar dikikis,” demikian komen Mohd. Yusof.
Di premis beli-belah, sebelum kedatangan bulan Ramadan kebanyakan premis sudah mula membuat pelbagai gimik jualan.
Bulan Ramadan seakan-akan bulan pesta menjual dan membeli-belah. Pelbagai slogan digunakan untuk menarik perhatian pengguna dengan pelbagai potongan harga dan hadiah.
“Peniaga mengadakan pelbagai jualan murah dan jualan mega kerana sikap pengguna yang suka berbelanja. Pelbagai taktik digunakan untuk menarik perhatian pengguna supaya membeli barang jualan mereka.
“Berdasarkan Akta Perihal Dagangan 1972 iaitu di bawah Peraturan Perihal Dagangan (Jualan Murah) 1997, pusat beli-belah dikehendaki memaklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui notis untuk mengadakan jualan murah.
“Setiap tahun, sebanyak lima jualan murah dibenarkan untuk pusat beli-belah iaitu tiga kali mengikut tarikh dan jangka masa yang ditetapkan oleh Pengawal Perihal Dagangan dan dua kali ditentukan oleh pusat beli-belah itu sendiri,” jelasnya.
Menurut Mohd. Yusof, semasa jualan murah, 70 peratus daripada keseluruhan barang yang dijual di pusat beli-belah hendaklah diberikan potongan harga.
“Biarpun begitu, banyak aduan yang diterima daripada pengguna tentang pusat beli-belah yang melakukan penyelewengan semasa jualan murah, antaranya harga yang sama sebelum dan semasa jualan murah.
“Peniaga menaikkan harga semasa jualan murah dan memberikan diskaun tertentu yang akhirnya didapati harga barang selepas diskaun ialah sama sebelum jualan murah diadakan,” tambahnya.
Pengarah Komunikasi Kumpulan Fomca itu berkata, ada juga pusat beli-belah yang menukar kualiti barang yang menunjukkan apabila diberikan diskaun harga barang adalah rendah.
“Sebenarnya harga rendah tetapi kualiti barang juga rendah. Disebabkan pelbagai unsur penipuan yang berlaku semasa jualan murah, maka KPDNKK akan meminda Akta Perihal Dagangan bagi mengetatkan peraturan jualan murah.
“Dalam pindaan yang baru ini, peniaga yang ingin mengadakan jualan murah diwajibkan menyenaraikan harga lama dan bagi barang yang ingin diadakan jualan murah, sebelum lesen jualan murah dikeluarkan,” katanya.
Bufet ramadan dan isu halal
Lazimnya bila datang bulan Ramadan, hotel dan restoran berlumba-lumba menawarkan bufet Ramadan dengan senarai menu makanan yang berjela-jela.
Ada promosi berbuka puasa menawarkan 99 jenis makanan, ada juga yang mengiklankan 100 hingga 200 juadah.
Harga bufet pula berbeza-beza mengikut premis. Ada yang serendah RM50 hingga melebihi RM100 seorang dewasa dan untuk kanak-kanak pula sekitar serendah RM25 hingga RM50 seorang.
Realitinya berbuka puasa di hotel umpama satu trend pada hari ini. Banyak syarikat korporat mengadakan majlis berbuka puasa di hotel termasuk menjemput mereka yang kurang bernasib baik antaranya anak-anak yatim.
Isu yang sering dikaitkan dengan berbuka puasa di hotel, di samping bayaran yang mahal ialah status halal juadah yang dihidangkan.
Nisbah hotel di negara ini yang memiliki Sijil Halal Malaysia dilaporkan terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel yang ada.
Sehubungan itu, amat wajar sekali untuk umat Islam lebih berhati-hati sekiranya mahu berbuka puasa di mana-mana premis termasuk di hotel sepanjang Ramadan.
Mohd. Yusof berkata, pengguna Islam perlu menjadikan bulan Ramadan sebagai masa untuk berjimat-cermat dalam setiap perbelanjaan dan mengamalkan gaya hidup lestari.
“Wang yang dapat dijimatkan itu digunakan sebagai perbelanjaan musim perayaan seperti menampung kos minyak kenderaan untuk balik kampung, membeli pakaian dan sebagainya.
“Jika boleh, sediakan dana dari awal tahun lagi untuk menyambut perayaan dengan menetapkan jumlah wang yang diperlukan.
Dengan cara demikian pengguna tidak terbeban untuk perbelanjaan pada musim perayaan.
Ramai pengguna yang menggunakan pendapatan bulanan mereka untuk berbelanja ketika musim perayaan tidak dapat menampung perbelanjaan pada bulan itu.
“Akhirnya mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar hutang semasa, seperti hutang kad kredit, ansuran kereta, rumah dan sebagainya.
“Malah ramai juga yang terpaksa berhutang untuk perbelanjaan pada hari raya.
Sehubungan itu, amalan menyimpan wang untuk kegunaan musim perayaan perlu dijadikan satu kebiasaan agar tidak mengalami masalah kewangan,” katanya. – Bernama
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
12 August 2010
Kehadiran Ramadan bukan bulan melayan nafsu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment