Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






26 August 2010

Danial hafal satu dalil sehari











JIKA dilihat dari luaran, anak muda ini tiada bezanya dengan remaja lain tetapi apabila mulutnya mula berbicara, terserlah personaliti dan kepemimpinannya.

Bagi Muhammad Danial Mohd Zian, 17, keruntuhan moral yang berlaku di kalangan remaja kini berpunca daripada kurangnya ilmu agama dalam diri.


Katanya, mendalami ilmu agama tidak akan menjadikan seseorang itu tergolong dalam kumpulan fanatik agama jika mereka menggunakan saluran betul.


"Setiap manusia mempunyai kepercayaan masing-masing yang menjadi panduan hidup mereka, tetapi dalam masa sama kita juga perlu menerima kepercayaan dan agama orang lain.


"Kebebasan beragama yang diamalkan di negara ini memberi peluang kepada kita untuk mengenali dan mendekati agama yang diamalkan orang lain," katanya.


Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield ini berkata, minatnya untuk mendalami ilmu agama mendorongnya mewakili sekolah ke pertandingan syarahan agama.


Katanya, dia menyertai pertandingan itu setiap tahun sejak di tingkatan satu, namun ketika itu kejayaan agak 'liat' untuk menghampirinya.


"Namun saya tidak berputus asa dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri dan akhirnya penantian saya berbaloi apabila menjuarai Pertandingan Syarahan Bahasa Malaysia Majlis Tadarus Quran daerah Petaling Perdana 2010.


"Bagi saya, syarahan agama lebih mencabar kerana setiap hujahan perlu dikemukakan bersama dalil atau surah bersesuaian," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Danial berkata, setiap hari dia menghafal sekurang-kurangnya satu dalil baru bagi meningkatkan pengetahuan dan penguasaannya.


Katanya, dia juga mengaplikasikan dalil yang dipelajari dalam kehidupan sehariannya ketika berbual bersama rakan atau keluarganya.


"Walaupun kebanyakan rakan saya adalah pelajar bukan Islam, mereka dapat menerima dalil yang saya kemukakan kerana mereka beranggapan ia relevan dan sesuai.


"Dalam masa sama saya juga mendalami dan mempelajari agama lain kerana setiap agama pasti mempunyai nilai-nilai murni di dalamnya," katanya.


Selain menyertai syarahan dan cemerlang dalam akademik, dia bergiat aktif dalam bidang kokurikulum dan memegang jawatan Pengerusi Kadet Bomba.


Katanya, bidang akademik dan kokurikulum perlu seimbang kerana dua elemen itu penting untuk menjadikan seorang pelajar itu lebih berkemahiran dan berdaya saing.


"Jika sekadar cemerlang akademik semata-mata, ia tidak akan menjadikan pelajar itu cemerlang sepenuhnya kerana aspek insaniah dan kepemimpinan tidak boleh diperoleh di bilik darjah.


"Malah kebanyakan institusi pengajian tinggi juga menetapkan pencapaian kokurikulum sebagai syarat kemasukan," katanya.


Bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Oktober depan, dia berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam jurusan kejuruteraan mekanikal.


>PROFIL
NAMA: Muhammad Danial Mohd Zian
UMUR: 17 tahun
ASAL: Johor Bahru
KELUARGA: Anak tunggal
JAWATAN: Penolong Ketua Pengawas dan Pengerusi Kadet Bomba
SEKOLAH: Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield, USJ, Subang Jaya
PENCAPAIAN: Johan Syarahan Bahasa Malaysia Majlis Tadarus Quran daerah Petaling Perdana 2010 dan Johan Pertandingan Video Pendek Jerneh Insurans Nasional 2009

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ



No comments: