Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






27 August 2010

Merdeka! Merdeka! Merdeka!











1Malaysia Menjana Transformasi.

LAUNGAN Merdeka! Merdeka! Merdeka! acap kali kita dengar setiap kali tibanya tanggal 31 Ogos. Tahun ini, laungan itu menandakan, Malaysia sudah merdeka selama 53 tahun dengan tema tahun ini, 1Malaysia Menjana Transformasi.

Seiring dengan peredaran masa sepanjang 53 tahun merdeka, banyak kemajuan telah dicapai negara namun, pengertian kemerdekaan itu sendiri semakin pudar ditelan waktu.

Pendapat itu diluahkan oleh pelakon veteran Datuk Aziz Satar yang hidup pada zaman penjajahan dan zaman moden yang serba canggih kini ketika sesi fotografi yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) baru-baru ini.

Meskipun ketika sesi fotografi dijalankan Datuk Aziz yang mesra disapa dengan Pak Ajis tidak sihat namun semangat patriotiknya jelas kelihatan.

Katanya yang kini berusia 85 tahun, dia cukup teruja dan seronok setiap kali bercerita mengenai zaman kesengsaraan Tanah Melayu kepada sesiapa sahaja walaupun mengulangi cerita yang sama sebanyak 1,000 kali demi menyedarkan orang ramai tentang kemerdekaan.

"Saya suka bercerita tentang kemerdekaan negara kerana saya melalui zaman itu tidak seperti generasi muda sekarang.

"Jadi ia menjadi tanggungjawab saya untuk menyebarkan kesengsaraan datuk nenek mereka supaya mereka sedar dan pelihara kemerdekaan yang kita miliki hari ini," katanya yang terpaksa mencuri beras untuk terus hidup pada zaman Jepun.

Tambahnya penuh bangga, tidak berlaku sebarang pertumpahan darah ketika proses kemerdekaan, hanya menggunakan sebatang pen, pemimpin ketika itu iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berjaya memperoleh kemerdekaan daripada pihak British tidak seperti negara lain.

Nilai RM10


Menceritakan pengalaman melalui detik-detik sebelum kemerdekaan, Pak Ajis yang mula aktif dalam bidang seni di Singapura pada tahun 1953 telah membantu pemimpin menyebarkan berita menuntut kemerdekaan menerusi persembahan bersama rakan-rakannya di seluruh pelosok kampung Tanah Melayu dan Singapura.

"Saya ingat lagi, saya bersama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan beberapa rakan artis yang lain naik kereta sewa dengan harga satu jam RM1.50. Kami pun redahlah setiap kampung untuk buat persembahan. Tujuannya untuk kutip sumbangan kemerdekaan, sambil kami hiburkan orang, tabung sumbangan berjalan daripada satu tangan ke satu tangan.

"Bayaran persembahan paling kurang RM10. Tetapi kami buat bukan untuk duit tetapi kerana minat dan tanggungjawab. Itu juga prinsip seni yang dipegang P. Ramlee sebab itu dia dikenang dan terus popular sampai hari ini," tuturnya sambil Dafi yang duduk di sebelahnya mendengar dengan penuh tekun.

Beritahunya lagi, kekecohan kemerdekaan sudah bermula pada tahun 1952 lagi dan pada tahun 1955, Pak Ajis bersama P. Ramlee dan Allahyarhamah Norizan terbang dari Singapura ke Kuala Lumpur demi melakukan persembahan di Pulau Pinang.

"Itu kali pertama saya naik kapal terbang dan kali pertama datang Kuala Lumpur. Kemudian dari Kuala Lumpur kami ke Pulau Pinang. Buat pertama kali saya dan semua artis yang buat persembahan menggigil.

"Mana tidaknya persembahan yang dianjurkan oleh UMNO Pulau Pinang itu dihadiri oleh semua tokoh pemimpin termasuk Tunku Abdul Rahman dan sembilan orang sultan negeri-negeri. Persembahan itu juga bertujuan mengutip derma untuk merdeka.

"Memang malam itu sumbangan yang kita dapat agak banyak kerana tauke-tauke syarikat datang menderma. Itu juga kali pertama saya dapat duit persembahan sebanyak RM50," ujarnya penuh semangat.

Tanggal 31 Ogos 1957 pula, Pak Ajis dan Allayarhamah seniwati Normadiah berada di panggung Capital Kuala Lumpur membuat persembahan sempena kemerdekaan.

"Rasa bangga dan bersyukur bila merdeka Allah sahaja yang tahu. Jadi saya harap generasi sekarang harus sedar dan pelihara apa yang mereka miliki hari ini.

"Apa yang saya lihat kesedaran dan nilai patriotik dalam diri orang muda hari ini amat kurang. Ini kerana mereka kurang didedahkan dengan kisah sebalik kemerdekaan negara kalau didedahkan pun penghayatan mereka kurang.

"Sebab itu perasaan antara orang veteran seperti saya dengan orang muda bila tiba Hari Kemerdekaan amat berbeza. Sebagai orang tua, saya ingin nasihati jangan biar fikiran, diri serta negara kita dijajah sekali lagi," luahnya bersungguh-sungguh.

Nyanyian kemerdekaan Alyah

Penyanyi wanita yang semakin dikenali Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan juga tidak ketinggalan menyambut kemerdekaan negara saban tahun.

Namun, anak kelahiran Johor Bahru itu tidak pergi ke acara perbarisan yang lazimnya diadakan di bandar-bandar besar setiap negeri.


Sebaliknya, Alyah lebih senang berada di rumah menonton televisyen pada pagi 31 Ogos setiap tahun. Katanya, meskipun dia tidak berhimpun di mana-mana lokasi apa yang penting adalah semangat dalam dirinya sebagai anak Malaysia.

"Bapa saya garang, jadi saya tidak berani keluar ke bandar. Cuma saya tidak akan terlepas untuk tonton acara perbarisan di televisyen setiap kali merdeka.

"Berbeza apabila saya sudah dewasa dan hidup sendiri, setiap kali ada sambutan kemerdekaan, maka muka sayalah yang ada atas pentas untuk menyanyi sempena pertandingan nyanyian kemerdekaan. Itu satu perkara rutin sebelum saya bergelar penyanyi," ucapnya sambil tertawa kecil.

Apabila ditanya tentang pengertian merdeka kepada gadis berusia 29 tahun ini, lantas dia menjawab kebebasan menyuarakan hak sebagai rakyat Malaysia.

"Saya bebas nak lakukan apa yang kita rasa betul bukan bebas sesuka hati, negara kita masih ada batas-batas dan sensitiviti yang perlu dijaga," katanya yang menjadikan Tunku Abdul Rahman sebagai idolanya.

Sambung Alyah, dia cukup bertuah dapat hidup dalam negara yang aman damai tidak seperti waktu penjajahan yang sering diceritakan oleh neneknya.

"Dulu arwah nenek selalu cerita seksaan hidup pada zaman Jepun. Semua benda tidak boleh buat, radio tidak boleh dengar, makanan dicatu dan seksaan yang Jepun lakukan memang teruk. Ada yang kena minum air sabun sampai mati dan kena pancung.

"Itu baru dengar cerita pun kita rasa sedih, apa lagi datuk nenek kita yang hidup pada zaman itu. Jadi saya amat bersyukur dengan apa yang Malaysia miliki hari ini," luahnya platun lagu Tak Mungkin Kerana Sayang itu lagi.

Meskipun hidup pada zaman moden, Alyah tidak kekok untuk melakukan sumbangan kepada negara. Sebagai penyanyi, dia bersama Reza dan Shamrin Fotograf pernah menghasilkan lagu patriotik berjudul Kita Adalah Kita pada tahun 2001.

"Walaupun sumbangan saya kecil, saya berpuas hati. Selain itu saya juga bangga meletakkan bendera di kereta dan di rumah. Saya harap orang ramai juga lakukan hal saya yang sama," ucapnya.

Patriotisme Dafi

Menjadi penyanyi, pelakon dan anak kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, nilai patriotik sudah lama diterapkan dalam dirinya.

Memiliki bapa yang merupakan orang politik secara tidak langsung menyebabkan dirinya didedahkan dengan nilai-nilai patriotik sejak kecil lagi.

Katanya, sebelum bapanya menjadi menteri lagi, apabila tibanya Hari Kemerdekaan, satu keluarganya akan ke lokasi sambutan kemerdekaan seperti Dataran Merdeka dan Bukit Bintang.

Itu masa belum jadi penyanyi, seronok sangat sebab selain dapat tengok bunga api, kita juga berkumpul ramai-ramai tidak kira kaum di satu lokasi sambil menanti pukul 12 malam.

"Bila saya meningkat remaja, saya suka ke konsert-konsert sambutan kemerdekaan dan tidak sangka sekarang saya pula yang turut serta dalam konsert seperti itu. Cuma tahun ini kita lebih sederhana kerana bulan Ramadan," terang pelakon filem Sayang You Can Dance itu lagi.

Dafi yang cukup kagum dengan semangat seni dan patriotik Pak Ajis menjelaskan, Pak Ajis banyak memberi inspirasi kepadanya.

Pernah bekerjasama bersama Pak Ajis dalam sebuah telefilem sempena raya, Dafi mengatakan Pak Ajis cukup profesional dan komited terhadap kerja walaupun sudah berusia 85 tahun.

"Dia (Pak Ajis) memberikan saya inspirasi apabila dia bercerita mengenai pengalamannya terutama pada zaman Jepun, saya seolah-olah menonton sebuah filem lama mengenai kemerdekaan.

"Saya amat bertuah kerana hidup pada zaman lepas merdeka. Saya bebas lakukan apa yang saya mahu termasuk dalam berkarya. Bayangkan kalau kita masih dijajah, tidak mungkin Menara Berkembar Petronas wujud. Itu antara contoh kejayaan Malaysia yang saya bangga," tuturnya.

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

No comments: