DICK Smith menayangkan hadiah wang tunai RM2.8 juta untuk mereka yang memberi idea terbaik bagi menangani masalah kepadatan penduduk dunia.
JIKA kita melihat kepada jumlah penduduk dunia sekarang, adalah suatu mengejutkan apabila dunia mampu menampung hampir tujuh bilion orang.
Angka ini merupakan sesuatu yang luar jangkaan memandangkan pada tahun 1980 jumlah penduduk dunia hanya sekitar 4.5 bilion orang.
Peningkatan mendadak ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dielakkan apatah lagi sejak tamatnya Perang Dunia Kedua yang telah mengorbankan jutaan nyawa.
Melihat semula jumlah penduduk dunia sejak tahun 1950, purata pertambahan meningkat dalam lingkungan 700 juta orang dalam tempoh sedekad.
Jika kita melihat lebih mendalam, kira-kira pada kurun ke 1000, dianggarkan jumlah penduduk dunia ketika itu hanya sekitar 275 juta.
Jumlah itu terus meningkat kepada 450 juta pada tahun 1500 dan buat pertama kali jumlah penduduk dunia mencecah ke angka satu bilion pada 1804.
Kurun ke-19 menyaksikan jumlah penduduk dunia bertambah dengan nyata bermula pada tahun 1900 apabila meningkat kepada 1.6 bilion.
Jumlah itu terus naik dengan drastik apabila hanya dalam tempoh 100 tahun ia meningkat kepada lebih enam bilion.
Lebih mengejutkan pertambahan ini seolah-oleh tiada tanda-tanda untuk berkurangan dengan dijangka jumlah penduduk dunia akan bertambah kepada lapan bilion pada tahun 2025.
Ia dijangka mencecah ke angka 9.4 bilion pada tahun 2050.
Melihat kepada angka sebenar jumlah penduduk dunia mungkin kita boleh membuat telahan mengapa keadaan dunia kini semakin tenat berbanding dahulu.
Apatah lagi hanya dalam tempoh satu abad iaitu antara kurun ke 19 hingga ke kurun ke 20 manusia bertambah menjadi 4.4 bilion dari hanya 1.6 bilion, satu peningkatan yang terlalu besar bagi bumi untuk menampungnya.
Memang tidak dinafikan 100 tahun terakhir ini adalah zaman kemuncak bagi manusia dalam mengeksploitasi kebolehan dan pemikiran mereka dalam usaha menjadikan bumi ini sebagai tempat terbaik untuk hidup.
Oleh itu pelbagai kemajuan dan penciptaan terhasil yang sememangnya terbukti memudahkan hidup manusia.
Zaman ini juga telah membuktikan manusia sebagai ciptaan Tuhan paling sempurna akhirnya dapat hidup lebih baik daripada sebelumnya dengan bebas dari penindasan, kekejaman, perhambaan, kemiskinan dan pelbagai lagi.
Semua ini adalah hasil dari usaha manusia itu sendiri yang semakin prihatin akan nasib manusia lain walaupun hakikatnya perkara ini masih boleh dipertikaikan.
Namun harga yang perlu dibayar atas keupayaan manusia yang semakin tidak terbatas adalah terlalu mahal jika dibandingkan dengan jasa bumi selama ini.
Eksploitasi yang berterusan dan menakutkan mengakibatkan bumi kini semakin tenat dan uzur.
Lihat sahaja malapetaka yang melanda dari kemusnahan hutan dan alam sekitar, pencemaran sama ada udara, air dan sebagainya semakin menyesakkan membuatkan manusia itu sendiri menerima tempiasnya yang bukan sedikit.
Isu mengenai alam sekitar bukanlah sesuatu yang baru. Semua kita sedia maklum kesan perubahan iklim kepada dunia.
Banyak telah diperkatakan tentang isu ini namun masih belum terdapat satu langkah tepat dan drastik untuk menyelamatkan bumi. Apatah lagi dengan pertambahan manusia yang semakin ramai pastinya jumlah kemusnahan juga semakin teruk, jika kita melihat kepada sifat manusia itu yang mudah lupa kepada jasa bumi.
Maka atas alasan inilah seorang hartawan terkenal di Australia bertindak menganugerahkan A$1 juta (RM2.8 juta) bagi sesiapa yang berjaya mengemukakan jalan terbaik bagi menyelesaikan masalah peningkatan penduduk dunia.
Menayangkan
Majlis sidang media mengenai projek terbaru hartawan bernama Richard Harold Smith atau lebih dikenali sebagai Dick Smith yang dinamakan Wilburforce Award diadakan secara meriah dengan dikelilingi para model seksi yang menayangkan beg yang penuh berisi wang.
Lagaknya lebih kepada seorang yang cuba mencari publisiti murahan sambil dikelilingi model cantik dan tinggi lampai.
Padahal anugerah yang cuba diketengahkan mempunyai mesej tentang bagaimana untuk menyelamatkan alam dan dunia.
Tapi sekurang-kurangnya beliau berusaha dengan caranya yang sendiri untuk menangani masalah yang semakin membimbangkan.
Masalah tentang dunia yang semakin padat akibat jumlah manusia yang semakin ramai merupakan satu perkara yang menarik untuk dibincangkan.
Ada yang berpandangan kenapa harus disekat manusia dari terus berkembang kerana bumi dijadikan untuk mereka.
Memang benar namun masalah yang timbul juga amat besar dan menakutkan. Kepadatan manusia mengakibatkan sumber alam yang satu ketika banyak kini semakin terhad.
Alam sekitar termasuklah flora dan fauna terpaksa dimusnahkan demi membina penempatan dan bandar-bandar baru akibat pertambahan manusia.
Namun semua ini berlaku kesan dari penambahbaikan yang dilakukan manusia itu sendiri.
Dalam tempoh 100 tahun juga keadaan ekonomi dunia jauh lebih baik berbanding sebelumnya memberi ruang untuk kita semua bersaing bagi mendapatkan kehidupan dan kemewahan yang setara.
Kemampuan peningkatan sektor pertanian yang menjadi nadi kepada sumber makanan manusia juga antara sebab kenapa jumlah manusia menjadi lebih ramai berbanding sebelumnya.
Begitu juga dalam bidang perubatan, revolusi yang berlaku telah membolehkan manusia mampu menerima rawatan kesihatan yang lebih baik serta memungkinkan mereka hidup lebih lama.
Berdasarkan anggaran inilah yang memungkinkan dalam sehari, 200 juta pasangan melakukan hubungan seks dan 400,000 bayi dilahirkan. Namun jumlah manusia yang meninggal dunia hanya sekitar 140,00 sehari.
Jika kita pergi lebih jauh lagi setiap saat lima bayi dilahirkan dengan hanya dua orang manusia akan mati dalam tempoh yang sama. Maknanya dunia mendapat tiga penduduk baru dalam tempoh sedemikian.
Akibatnya semua manusia kini semakin tertumpu di bandar yang akhirnya mengakibatkan lebih 400 bandar di dunia kini mempunyai penduduk lebih sejuta orang.
Masalah pengurusan yang timbul akibat kepadatan di bandar besar ini merupakan masalah paling besar yang perlu diuruskan pada abad ini.
Selain dari bagaimana untuk menguruskan 1001 kerenah manusia, masalah menguruskan sumber atau lebih tepat lagi bagaimana melakukan pembahagian adil sumber yang terdapat di bumi ini kepada semua adalah satu lagi masalah yang semakin sukar ditangani.
Mungkin bagi orang seperti Dick Smith dengan mengeluarkan hadiah wang tunai ia mampu mencari seseorang yang boleh memberikan idea bagi menyelesaikan masalah ini.
Apatah lagi Dick Smith semua yang berlaku sekarang adalah akibat dari ketamakan golongan sepertinya, kapitalis yang hanya melihat pertambahan penduduk sebagai satu jalan untuk meraih keuntungan yang lebih lumayan.
Memang dari sudut perniagaan pertumbuhan penggunaan adalah menguntungkan dan "menggiurkan".
Bayangkan jika 50 tahun lepas hanya sekitar sejuta pengguna menggunakan susu keluaran sesebuah syarikat namun kini ia meningkat kepada 100 juta pengguna.
Pastinya keuntungan itu membenarkan kesan sampingan lain kepada manusia seperti menambah dan membayar lebih banyak gaji pekerja dan pelbagai lagi. Tapi akhirnya impaknya pembangunan turut terkesan kepada bumi itu sendiri.
Usaha menyelamatkan perlu dilakukan tanpa perlu menyalahkan siapa yang lebih bersalah penduduk di negara besar yang mempunyai anak yang sikit atau negara miskin dan membangun tetapi memiliki anak yang ramai.
Ini kerana kedua-dua tetap menyumbang kepada apa yang berlaku sekarang kerana jika dilihat negara berpenduduk ramai mampu memberi kesan dalam jangka masa panjang tetapi negara maju walaupun mempunyai anak yang sedikit tetapi merupakan penyumbang utama kepada kemusnahan dan kerosakan alam sekitar.
Oleh itu walaupun mungkin ramai yang memandang sinis usaha yang dilakukan Dick Smith ini namun yang pasti ia sedikit sebanyak mampu memberi kesedaran bagaimana untuk memanjangkan jangka hayat bumi ini dari terus "ditindas".
Oleh Hafizahril Hamid
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
15 August 2010
Apabila dunia semakin padat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment