Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






14 November 2009

Membaca selama 2,009 saat


















Kempen Read2009 anjuran Scholastic itu untuk memupuk tabiat membaca di kalangan pelajar sekolah.

MEMBACA secara riadah selama 2,009 saat atau hampir 33 minit. Pelajar boleh membaca aneka buku pilihan secara bersendirian, bersama rakan-rakan atau dengan guru-guru kesayangan. Konsep itu cukup menarik bukan?

Dianjurkan oleh penerbit dan pengedar buku-buku cerita kanak-kanak terbesar di dunia Scholastic, ia satu merupakan kempen membaca besar-besaran.

Diberi nama Read2009: One Nation Reading Together (Satu Negara Membaca Bersama), inisiatif itu bersempena Kempen Membaca 1Malaysia.

Kempen Read2009 yang disokong oleh Kementerian Pelajaran Malaysia itu mendapat sambutan hebat daripada 160,144 orang pelajar daripada 221 buah sekolah seluruh negara.

Bilangan pelajar dan sekolah yang menyertai kempen pada tahun ini meningkat berlipat kali ganda berbanding tahun lalu yang hanya disertai oleh 75 buah sekolah dan 29,036 orang pelajar.

"Kami cukup terharu dengan peningkatan bilangan sekolah dan murid yang mengambil bahagian. Ia membuktikan semangat dan kerjasama daripada guru besar dan guru-guru yang sanggup menyumbangkan masa peribadi untuk membaca bersama anak murid mereka," kata Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Kewangan Scholastic Asia, Maggie Tan.





Pendidikan

Jelasnya, objektif Read2009 ialah untuk memupukkan minat membaca dalam kalangan murid sekolah. Pihak Scholastic mengadakan acara tersebut untuk memberi pendedahan kepada pelajar bahawa membaca sebenarnya menyeronokkan, bukannya membebankan.

Scholastic merupakan syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan bahan pendidikan dan hiburan yang berkualiti, selain produk kegunaan di rumah dan sekolah. Ini termasuklah buku kanak-kanak, majalah, produk berasaskan teknologi, program televisyen, filem, video dan alat mainan kanak-kanak.

Syarikat itu mengedarkan produk dan perkhidmatannya melalui pelbagai saluran. Misalnya, kelab buku dan pesta buku di sekolah, program bersama sekolah, terus ke rumah, kedai, perpustakaan, saluran televisyen serta menerusi laman web syarikat, www.scholastic.com.my.

Read2009 ialah komponen utama dalam kempen pelaburan sosial Scholastic yang dijalankan secara berterusan untuk memupuk tabiat membaca. Tidak terkecuali memberi ganjaran kebajikan kepada generasi muda dalam bentuk buku.

Melalui program Read2009, 44,200 buah buku telah berjaya disumbangkan pada tahun ini. Sebanyak 200 buah sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pelajaran akan menerima buku-buku hasil sumbangan daripada kempen Read2009 tersebut.

Program Read2009 dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong di Sekolah Kebangsaan Taman Megah, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ka Siong yang juga gemar membaca percaya tabiat membaca ialah kemahiran terpenting yang harus diasah sejak di bangku sekolah.

"Pelajar perlu menguasai kemahiran membaca supaya boleh meneruskan pembelajaran serta menimba ilmu yang diberikan oleh guru.

"Kini terdapat banyak jenis buku dalam pelbagai topik. Apa sahaja informasi yang diperlukan boleh diperoleh kerana ia telah diabadikan dalam bentuk buku," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kempen Read2009 di sekolah tersebut.

Pilihan bacaan

Ka Siong meluahkan rasa gembira kerana syarikat swasta seperti Scholastic mengambil inisiatif untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan pelajar.

Beliau juga berharap untuk tahun-tahun yang akan datang, lebih banyak sekolah dan pelajar akan mengambil bahagian.

Selain itu, Wee menggalakkan para pelajar supaya memperluaskan pilihan bahan bacaan seperti akhbar, majalah dan novel.

Kempen Read2009 turut mendapat perhatian personaliti tempatan seperti Low Ngai Yuen (3R), pelakon Vanidah Imran, Rashidi Ishak, Deborah Henry, Ruth Liew dan Amanda Amani.

Sementara itu, seorang pelajar SK Taman Megah, Ariff Azlan, 12, berkata kempen Read2009 menyedarkannya bahawa membaca sebenarnya menyeronokkan.

Dia yang gemar membaca buku-buku berkaitan haiwan dan dokumentari biasanya memperuntukkan sebanyak 28 buah buku untuk dibaca dalam tempoh sebulan.

"Kempen ini secara tidak langsung dapat meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah.

"Saya sendiri memperoleh banyak pengetahuan baru yang ditimba melalui pengalaman membaca buku pelbagai jenis dan topik," katanya yang fasih bertutur dalam bahasa Inggeris.


Bagi Alaynna Jean Sta Maria, 12, kempen Read2009 yang dilaksanakan di sekolahnya memberi pengalaman yang berguna buat dirinya dan rakan-rakan lain.

Pelajar berketurunan Serani itu mengakui dia kurang membaca. Dalam sebulan Alaynna cuma membaca sebanyak sepuluh buah buku sahaja.

Namun melalui kempen Read2009, dia yang gemar membaca buku-buku hasil nukilan Nancy Drew itu akan memastikan dirinya membaca lebih banyak buku pelbagai jenis dan topik untuk memperluaskan pengetahuan.

Safia Esham, 12, memberitahu, dengan adanya kempen Read2009 itu, minat pelajar untuk membaca buku akan bertambah.

"Pelajar tidak harus menumpukan perhatian terhadap buku-buku teks sahaja. Mereka boleh membaca pelbagai jenis buku dan topik untuk memperkayakan perbendaharaan kata, membaiki komunikasi selain menambah ilmu di dada," katanya yang suka membaca buku-buku cerita berkenaan remaja hasil karya Jaclyn Wilson.