Pembantu penerangan mestilah mampu menguasai bahasa asing dengan lancar terutama Mandarin.
"PANGGILAN terakhir untuk penumpang pesawat MH4 ke London. Semua penumpang dipersilakan ke balai berlepas di pintu C2 untuk penerbangan segera. Terima kasih."
Pengumuman yang keluar daripada corong-corong pembesar suara itu seakan-akan satu signatur penting di mana-mana lapangan terbang di dunia. Tidak terkecuali, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berlokasi di Sepang, Selangor.
Bagi memberi informasi penerbangan terkini kepada semua pengunjungnya, pengumuman tersebut akan dibaca dalam bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Arab.
Percaya atau tidak, pihak pengurusan KLIA sering menerima pujian kerana lontaran suara yang menyebut perkataan-perkataan asing itu bagaikan tiada cacat celanya. Harus diketahui bahawa latar suara pelbagai bahasa itu datang daripada individu yang sama iaitu pembantu penerangan.
Memegang jawatan itu memerlukan mereka memiliki kemahiran bertutur dalam bahasa Arab dan Mandarin yang cukup baik.
Tiada seorang pun orang Arab atau petugas berketerunan Cina di situ. Sebaliknya, ruang pejabat yang dilengkapi dengan mikrofon itu dihuni oleh pekerja-pekerja tempatan.
SELESAI waktu bekerja, Zeerella akan menggantung laporan kerjanya di papan informasi yang disediakan.
Zeerella Cartlez, 24, sudah bekerja sebagai pembantu penerangan di KLIA selama hampir dua tahun. Dia mengetahui mengenai kekosongan jawatan tersebut melalui notis yang dihantar melalui e-mel. Setelah meneliti kriteria yang diperlukan, Zeerella memberanikan diri untuk menghadiri sesi temuduga.
"Temuduga pada hari itu sangat cepat. Tidak sampai pun 10 minit. Walaupun berdebar, saya buat-buat yakin sahaja ketika disoal. Lagi pun, saya pernah bersekolah Cina di sekolah rendah dan menengah.
"Paling penting mereka mahu dengar saya pandai bertutur dalam bahasa Inggeris dan Mandarin," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Disiplin tinggi
Anak kedua daripada lima beradik itu memberitahu dia sangat menyukai kerjanya itu. Sebabnya, walaupun tidaklah popular seperti penyanyi 'graduan' rancangan realiti, tetapi suaranya tetap akan berkumandang di KLIA hampir setiap hari.
Wanita berambut lurus itu tahu bukan sedikit remaja tempatan mampu menguasai bahasa asing. Namun, mereka mungkin kurang berminat untuk bekerja di sana atas faktor jarak tempat kerja yang jauh atau mengikuti jadual kerja yang memerlukan disiplin tinggi.
Disiplin yang dimaksudkan oleh Zeerella adalah setiap pembantu penerangan tidak boleh mengaktifkan telefon bimbit ketika bertugas. Tempoh rehat yang diberikan juga pendek. Hanya 30 minit berbanding kerja-kerja lain yang waktu rehatnya mungkin lebih daripada satu jam
"Bukan itu sahaja, kami juga perlu mengikut jadual kerja yang sedikit pelik. Misalnya, masuk kerja pada pukul 7 pagi atau mula bertugas pada pukul 11 malam," jelasnya sambil tersenyum.
Meskipun perlu mematuhi peraturan sebegitu, Zeerella mengakui kerjanya itu cukup menyeronokkan. Malah, dia juga berpeluang memantapkan lagi kemahiran bahasanya.
"Kalau bekerja di tempat lain dan tidak dilatih, saya mungkin sudah lupa semua perkataan Mandarin. Akhirnya, kebolehan itu akan rugi macam itu sahaja," tambahnya lagi.
Pernah tertekan
Baru menjangkau usia 20 tahun, Mohd. Zaharizwan Zakaria menjelaskan pekerjaan itu mempunyai sisi positif dan negatifnya. Ketika di awal tempoh bekerja, Zaharizwan pernah mengalami sedikit tekanan.
Namun, ia bukanlah terlalu serius. Sebabnya, dia terpaksa mengingati lebih kurang 50 penerbangan. Tidak dinafikan bahawa setiap pembantu penerangan diberikan teks untuk dibaca, tetapi mereka juga perlu cekap untuk membaca monitor yang tertera berkaitan setiap penerbangan sama ada pelepasan atau ketibaan.
"Buat masa sekarang, saya masih membaca teks untuk membuat pengumuman. Mungkin kalau sudah ada pengalaman nanti, saya tidak perlukan teks lagi.
"Sebenarnya, ayat yang dibaca itu semunya sama sahaja. Apa yang membezakannya adalah nombor pintu dan penerbangan," jelasnya yang membuat sekurang-kurangnya 130 pengumuman pada setiap syif bekerja.
PERWATAKAN setiap pembantu penerangan mestilah ceria dan murah dengan senyuman
Menurut Zaharizwan, terdapat dua kumpulan pembantu penerangan yang akan bertugas pada setiap hari. Harus diingat bahawa tugas yang diamanahkan bukan sekadar mengumumkan informasi penerbangan semata-mata.
Sebaliknya, mereka juga bertanggungjawab membuat pengumuman sekiranya timbul masalah seperti kehilangan barang, anak dan sebagainya.
Selain itu, mereka sesekali tidak dibenarkan meninggalkan bilik operasi sewenang-wenangnya. Malah 15 minit sebelum memulakan tugas, setiap pekerja akan diberi taklimat oleh penyelia masing-masing.
Mereka perlu sentiasa bersiap sedia untuk menerima arahan daripada pengawal pintu untuk membuat panggilan terakhir.
Beritahunya lagi, sebelum memulakan sebarang pengumuman, setiap pekerja diwajibkan mengamalkan tiga proses iaitu tarik nafas, duduk dalam keadaan tegak dan senyum.
--------------------------------------------------------------------------------
"Proses ini memang kena ikut. Sesiapa yang tidak ikut, suara mereka mesti tak lancar. Senyuman pula menggambarkan suara seseorang itu dalam keadaan gembira," jelasnya ringkas.
Jamin masa depan
Memakai uniform berwarna oren dan hitam, seorang lagi pembantu penerangan iaitu Zahaizan Zakaria memilih untuk tidak meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi selepas tamat tingkatan lima. Tidak pernah menyesal dengan tindakannya itu, dia yang juga adik kepada Zaharizwan nyata yakin dengan hala tuju masa depannya.
Berbeza dengan remaja lain, dia berpegang kepada prinsip untuk tidak mahu menyusahkan keluarga. Jadi, Zahaizan memilih untuk bekerja sepenuh masa seawal usia 18 tahun kerana mahu meringankan beban orang tuanya.
Tidak dilahirkan dalam keluarga yang mewah, ibunya tidak bekerja manakala ayahnya pula seorang pemandu teksi. Justeru, anak bongsu daripada tujuh beradik itu mahu berdikari mencari rezeki dan menghulurkan sedikit pendapatannya kepada keluarga.
Siapa sangka, gadis bertubuh kecil itu sebenarnya mempunyai suara yang cukup matang apabila berhadapan dengan monitor dan pembesar suara untuk mengumumkan apa sahaja yang berlaku di sekitar KLIA.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
25 November 2009
Milik siapa suara itu?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment