Angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha
2007 menyaksikan kegemilangan negara apabila impian untuk meneroka angkasa lepas dicetuskan sejak 2003, menjadi realiti selepas kapal angkasa Soyuz 15-S yang membawa angkasawan pertama negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha (kini Datuk) tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober.
Pelancaran roket tepat jam 7.21 malam (9.21 malam waktu Malaysia), mencatat satu lagi kegemilangan dalam lipatan sejarah negara di peringkat antarabangsa selain turut melakar sejarah tersendiri apabila Dr Sheikh menjadi angkasawan Islam pertama berpuasa dan menyambut Aidilfitri di angkasa lepas.
Selain Dr Sheikh Muszaphar, misi kapal angkasa seberat 7,170 kilogram itu juga disertai Komander Peggy Whitson dari Amerika Syarikat dan jurutera penerbangan, Yuri Malenchenko (Russia). Soyuz yang digunakan untuk melancarkan angkasawan ke angkasa boleh membawa sehingga tiga kru termasuk menyediakan sokongan hidup untuk mereka selama kira-kira 30 hari.
Pengalaman ditempuh angkasawan kini berusia 37 tahun itu boleh dihayati jika berpeluang mencuba model kapal angkasa Soyuz di Planetarium Melaka.
Tarikan pelancongan terbaru negeri yang kaya dengan warisan sejarah itu kini dibuka untuk kunjungan orang awam di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka.
Selain model Soyuz, kebanyakan pengunjung terutama pelajar sekolah teruja dengan bahan pameran interaktif lain termasuk Simulator Kapal Angkasa.
Inilah masanya untuk merasai pengalaman angkasawan ketika melancar dan mengemudi kapal angkasa di luar orbit bumi di samping mempelajari rahsia dan misteri sebalik ciptaan alam semesta.
Planeterium itu terbahagi kepada beberapa ruang utama menempatkan tema tertentu.
Sejarah perkembangan astronomi berkait rapat dengan kemajuan tamadun manusia dapat dihayati apabila galeri terbabit turut menempatkan sejarah penemuan dan kajian ahli astronomi terkemuka dunia seperti Al-Biruni, Ptolemy, Gallileo, Aristotle, Copernicus dan Kepler.
Pengunjung juga dapat melihat peralatan astronomi terawal digunakan perintis dalam cabang ilmu astronomi seperti Jam Matahari Kuadran Khatulistiwa.
Jam dibuat daripada loyang diukir indah dengan ketinggian kira-kira 190 milimeter (mm) tinggi itu memberikan cara unik mempamerkan masa. Namun, ia hanya boleh digunakan dalam bangunan dengan bantuan cahaya matahari.
Jam Matahari Escorial Diptych pula adalah kompas ciptaan abad ke-16 dan direka seperti buku kecil supaya dapat disimpan dalam saku pemiliknya. Loyang Actagonal Kuadaran dengan kompas ini diperkenalkan pada kurun ke-15 adalah jam matahari mudah alih yang pertama. Zaman kegemilangan jam matahari bertahan bermula kurun ke-15 sehingga ke penghujung kurun ke-18.
Manakala, Teleskop Loyang Halus Tradisional Abad Ke- 18, adalah model terbaik dalam kelasnya.
Sebelum mengakhiri lawatan di Planetarium Melaka, pastikan anda singgah ke Teater Angkasa. Tempat duduk khas dengan sudut 120 darjah bakal membawa pengunjung menjelajah dunia baru menerusi visual angkasa lepas yang dipancarkan ke kubah.
Teater dengan kapasiti 200 tempat duduk itu adalah tercanggih di Asia Tenggara dengan enam projektor di layar selebar 15 meter.
>Info
>Ini adalah planetarium kedua dibina di Melaka selepas Planetarium Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara, Masjid Tanah. Bagaimanapun, Planetarium Melaka agak istimewa kerana mempunyai saiz kubah berukuran 15 meter berbanding sembilan meter di Tanjung Bidara, selain mampu menerima pengunjung sehingga 210 orang pada ruang teater pada satu-satu masa.
> Di samping itu, ia turut mempamerkan 20 peralatan pameran berteknologi tinggi bernilai RM2.4 juta kepada pengunjung selain dilengkapi pelbagai kemudahan lain termasuk galeri, ruang persembahan dan pameran, muzium astronomi, restoran dan kiosk.
>Harga tiket, RM15 (dewasa) dan RM8 (kanak-kanak). Maklumat lanjut, hubungi 006-2322122 atau layari http://melakaplanetarium.org
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
26 November 2009
Singkap rahsia di angkasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment