Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






23 November 2009

Pelajar semakin geliga?

















SEMAKIN bijak! Itulah perkataan yang mungkin sesuai bagi pelajar generasi muda kini yang rata-rata berjaya meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

SEMAKIN bijak! Itulah perkataan yang mungkin sesuai bagi pelajar generasi muda kini yang rata-rata berjaya meraih kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Mana tidaknya, saban tahun apabila keputusan diumumkan, bilangan pelajar yang memperoleh A untuk semua mata pelajaran meningkat.

Bukan setakat 4A dan 5A, tetapi jumlah pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) yang memperoleh 7A juga meningkat.

Tahun ini saja, pencapaian calon UPSR lebih baik berbanding tahun sebelumnya apabila jumlah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang yang memperoleh semua A dalam mata pelajaran meningkat 0.32 peratus.

Seramai 48,171 atau 9.51 peratus murid mendapat keputusan cemerlang berbanding 46,641 atau 9.19 peratus pada 2008, manakala 319,336 (63.03 peratus) memperoleh minimum C dan 3,266 atau 0.64 peratus mendapat semua E.















Pencapaian itu diukur berdasarkan Gred Purata Nasional (GPN) menggunakan indikator cemerlang (A), baik (minimum gred C) dan lemah (semua E), menggambarkan tahap pendidikan di Malaysia berada di landasan yang baik.

Bagaimanapun, ketidakseimbangan antara bidang akademik dan seni serta sukan di kalangan murid terserlah selepas ujian potensi diri (aptitud) yang pertama kali dilaksanakan tahun lalu mendapati mereka lebih cenderung kepada akademik.

Ujian yang masih dalam projek perintis itu mendapati 39.21 peratus daripada 509,885 pelajar lebih cenderung kepada bidang akademik, berbanding teknik dan vokasional (29.25 peratus), bidang seni (19.26 peratus), budaya dan sosial (9.72 peratus) serta sukan (2.57 peratus).

Peningkatan keputusan UPSR itu membuktikan murid bertambah bijak, manakala sistem pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan di sekolah semakin berkesan, menurut Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

















Namun, benarkah murid sekarang semakin bijak atau mereka ini hanya terlalu menumpukan bidang akademik semata-mata seperti mana hasil ujian aptitud itu?

Mungkinkah juga timbulnya paksaan atau tekanan daripada ibu bapa supaya anak mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada akademik dan menghantar anak ke kelas tambahan demi memperoleh keputusan yang cemerlang?

Adakah kemungkinan soalan UPSR sangat senang berbanding soalan percubaan?

Ini kerana rata-rata yang memperoleh semua A ketika UPSR tidak secemerlang itu ketika percubaan.

Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon, berkata ketika keputusan peperiksaan diumumkan, tidak siapa yang akan bertanyakan peratusan peningkatan pelajar yang cemerlang, tetapi bilangan pelajar yang mendapat semua A itu yang dinilai.

Selain itu, murid sendiri akan sentiasa ditanyakan berapa bilangan A yang diperoleh.

Justeru, katanya, penumpuan kepada bidang akademik itu adalah sangat penting terutama kepada murid yang akan menduduki peperiksaan besar, tetapi bidang lain juga tetap diutamakan.

"Apabila mereka menaiki tahun enam, sudah kewajipan guru memberi tumpuan ke arah kecemerlangan murid. Ini kerana guru juga mahu anak murid mereka mendapat keputusan yang cemerlang dalam UPSR.

"Jadi, bagi mencapai matlamat itu, guru terpaksa memfokuskan kepada akademik dan meningkatkan pembelajaran supaya anak murid mereka berjaya memperoleh keputusan terbaik.

"Tetapi itu tidak bermakna bidang lain terus tidak dititikberatkan sebaliknya akan diseimbangkan. Bezanya cuma akademik dilebihkan sedikit kerana UPSR adalah peperiksaan besar buat pelajar sekolah rendah," katanya.

Peningkatan bilangan murid yang memperoleh semua A tahun ini bukan kerana terlalu memberi tumpuan kepada akademik semata-mata, tetapi ia membuktikan bahawa guru berjaya menyampaikan pembelajaran sebaik mungkin kepada murid.

Selain itu, katanya, sistem pendidikan yang digunakan sekarang ini nyata banyak membantu dalam pembelajaran di samping kesedaran daripada murid itu sendiri serta ibu bapa mereka.

Mengulas mengenai murid kini lebih pintar dan bijak kerana terlalu memfokuskan kepada akademik, Ruslan berkata itu semua tiada kaitan dengan melebihkan kepada akademik semata-mata sebaliknya ia datang daripada murid itu sendiri.

"Saya akui murid kini lebih bijak dan, pintar tetapi ia bukan disebabkan terlalu memberi tumpuan kepada akademik, sebaliknya mereka menggunakan kemudahan yang sediakan sebaiknya.

"Semua sekolah dilengkapi dengan kemudahan yang pelbagai termasuk pusat sumber, komputer dan Internet. Jadi, mereka ini akan menggunakan sepenuhnya kemudahan yang ada untuk mencari maklumat tambahan.

"Secara tidak langsung, mereka memperoleh ilmu tambahan yang mereka cari sendiri dan itu sudah cukup membuktikan murid sekarang bijak dalam semua perkara," katanya.

Daripada laporan akhbar, rata-rata murid tidak percaya mereka berjaya memperoleh cemerlang memandangkan ketika peperiksaan percubaan, keputusan mereka tidak cemerlang.

Justeru, adakah mungkin soalan peperiksaan sebenar yang disediakan Kementerian Pelajaran lebih senang berbanding soalan percubaan?

Menurut Ruslan, soalan peperiksaan sebenar dan percubaan tidak boleh dibuat perbandingan sama ada senang atau susah hanya disebabkan keputusan murid lebih cemerlang ketika UPSR berbanding peperiksaan percubaan.

"Murid biasanya tidak berjaya memperoleh semua A ketika percubaan, tetapi cemerlang ketika peperiksaan sebenar tidak ada kaitan langsung dengan soalan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran.

"Ini kerana soalan percubaan tidak sama di sekolah seluruh negara kerana soalan itu dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran setiap negeri manakala soalan peperiksaan sebenar pula adalah standard dan sama di seluruh negara.

"Jadi, kejayaan mereka memperoleh semua A ketika UPSR berbanding peperiksaan percubaan bukan disebabkan soalan, tetapi ia disebabkan kefahaman mereka terhadap pembelajaran yang disampaikan di sekolah," katanya.

Tambahnya, soalan peperiksaan sebenar adalah standard, tetapi corak pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas banyak membantu murid.

Walaupun peningkatan pelajar memperoleh semua A dalam mata pelajaran meningkat 0.32 peratus saja, menurut Ruslan, ia adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan.

Justeru, katanya, sebagai Yang Dipertua GMGBM, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua guru besar yang berjaya meningkatkan bilangan murid cemerlang UPSR di sekolah masing-masing.

"Bagi sekolah yang tidak cemerlang, teruskan usaha untuk mempertingkatkan bilangan murid cemerlang supaya sekolah di Malaysia setanding dengan sekolah di luar negara, sekali gus menjadikan pendidikan di Malaysia ini sebagai pendidikan bertaraf dunia," katanya.
Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


No comments: