Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






12 November 2009

Diabetes bak pembunuh






















KUDIS lambat sembuh adalah antara gejala diabetes.

MENURUT laporan Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) pada tahun 2007, hampir 1.2 juta rakyat Malaysia menghidap kencing manis. Bagi statistik untuk tahun 2008, jumlah itu meningkat sebanyak 650,000 orang dan dijangka terus bertambah bagi tahun 2009.

Diabetes atau kencing manis merupakan sejenis penyakit kronik yang boleh menyebabkan kematian dan ramai pesakit diabetes hanya menyedari mereka menghidap penyakit itu apabila timbul komplikasi.

"Sebenarnya diabetes adalah sejenis penyakit yang boleh dielakkan, melainkan ia berpunca daripada genetik. Namun, gaya hidup di zaman moden ini menyebabkan penyakit ini semakin senang dihidapi," menurut seorang pakar pemakanan di sebuah institusi kesihatan awam di Kuala Lumpur yang tidak mahu dikenali.

Kandungan tinggi gula dalam darah

"Adakah anda pernah terfikir jika setiap hari anda menikmati makanan dan minuman manis yang berlebihan, mungkin satu hari ia akan menyebabkan kandungan gula dalam darah menjadi terlampau tinggi sehingga menyebabkan anda mendapat diabetes?"

Itulah pertanyaan yang sering diutarakan pakar endokrinologi terhadap pesakit diabetes yang mereka rawat.

Menurut pakar endokrinologi dan pakar nutrisi/pemakanan, diabetes terjadi bukan dalam sekelip mata. Ia muncul dalam jangka masa yang agak panjang setelah pesakit mempunyai kandungan gula di dalam darah yang tinggi secara berterusan.

Ia boleh terjadi akibat pengambilan makanan yang mengandungi gula tanpa kawalan, diet tidak seimbang serta amalan gaya hidup tidak sihat seperti kurang senaman dan aktiviti fizikal.

"Diabetes ibarat pembunuh yang bersembunyi dan akan muncul apabila keadaan sudah menjadi tidak terkawal," kata seorang doktor endokrinologi, Dr. S. Menon.

Bagaimanapun, katanya, diabetes bukan hanya berpunca daripada faktor nutrisi, bahkan genetik.

Kisah Azhar

Menon berkongsi kisah Azhar (bukan nama sebenar) tentang bagaimana diabetes boleh berpunca daripada faktor genetik.

Azhar yang berasal dari kawasan pedalaman di sebuah negeri di Pantai Timur, tidak mengetahui bahawa kedua-dua ibu bapanya menghidap diabetes sehinggalah dia dewasa. Begitu juga dengan ibu bapanya.

Sejak berusia awal belasan tahun, Azhar sudah mula mengalami tanda-tanda diabetes seperti tahap kehausan yang amat sangat, cepat letih, kerap buang air kecil pada waktu malam dan juga keletihan.

"Saya tidak pergi mendapatkan rawatan kerana menganggap ia hanya perkara biasa sehinggalah saya datang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan pelajaran di universiti," cerita Azhar.

Menurut Azhar, apabila dia mengalami bisul bernanah di belakang kepalanya, barulah dia mengetahui yang dia menghidap kencing manis.

Ibu bapanya serta abang-abangnya meninggal dunia kerana miokardial infark (tisu jantung tidak mendapat cukup bekalan oksigen) iaitu satu daripada komplikasi diabetes.
























RAMAI dalam kalangan masyarakat kita tidak mengambil kisah tentang penyakit sehinggalah mereka mula mengalami komplikasi. - Gambar hiasan

Kandungan karbohidrat yang tinggi

Bagi seorang lagi pesakit diabetes, gaya hidup dan diet yang tidak sihat menyebabkannya menghidap kencing manis.

"Sejak kecil, saya memang mengambil diet yang mengandungi kandungan karbohidrat yang tinggi. Sarapan saya adalah nasi, makan tengah hari pun nasi, makan malam sudah tentulah juga nasi dan kalau keluar minum lewat malam, pun nasi.

"Kalau nak buat senaman, memang jauh sekali dan memang tidak pernah saya lakukan," katanya.

Bagi Manan (bukan nama sebenar), ketika di universiti, dia mula ketagih minum air berkarbonat.

"Setiap malam, saya ambil minuman berkarbonat sehinggalah saya mengalami komplikasi kegagalan buah pinggang kerana diabetes," tambahnya.


Diabetes Type 1 dan Type 11

Menurut Dr. Menon, kalau kencing manis diwarisi melalui faktor genetik iaitu daripada ibu bapa, biasanya seseorang itu akan mendapat diabetes sejak kecil dan ia dikenali sebagai diabetes juvenil atau diabetes Type I.

Bagi mereka yang menghidap diabetes ketika umur sudah meningkat, diabetes itu dikenali sebagai diabetes Type II atau maturity onset dan ia terjadi akibat faktor pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Dr. Menon berkata, walaupun komplikasi diabetes yang selalu diceritakan menakutkan, namun masih ramai tidak peka terhadap masalah itu sehinggalah keadaan mereka berada pada satu tahap yang agak terlambat.

Komplikasi diabetes memang bahaya dan tidak hairanlah apabila diabetes juga digelar sebagai ibu kepada segala penyakit.

Antara organ yang akan terjejas akibat diabetes adalah mata seperti katarak, glaukoma dan retinopati; kegagalan buah pinggang; saraf neuropati; jantung dan salur darah; penyakit kardiovaskular; gusi; penyakit periodontal dan kaki serta saluran darah terganggu menyebabkan gangren dan amputasi.





















PENTING bagi mereka mematuhi pengurusan penyakit kencing manis mengikut apa yang dinasihatkan doktor.

--------------------------------------------------------------------------------


Amalan hidup sihat

Bagi Dr. Menon, amalan hidup sihat dan diet yang seimbang memang selalu dipertuturkan oleh fraterniti perubatan bagi mencegah diabetes.

"Tetapi adakah mesej tentang perkara ini memberikan kesedaran kepada umum sebelum terlambat?" tanya Dr. Menon.

Menurutnya, ramai dalam kalangan masyarakat tidak mengambil kisah tentang penyakit sehinggalah mereka mula mengalami komplikasi.

Ini adalah nasihat Dr. Menon.

"Diabetes mengambil masa yang agak lama sebelum terjadi. Kadang-kadang langsung tidak ada tanda dan gejala sebelum kita sedar yang kita ada kencing manis.

"Jadikan kebiasaan untuk menjalani pemeriksaan setiap tiga atau enam bulan setidak-tidaknya. Bagi mereka yang sudah ada diabetes, adalah penting bagi mereka mematuhi pengurusan penyakit kencing manis mengikut apa yang dinasihatkan doktor.

"Ambillah makanan seimbang dan selalu amalkan senaman, elakkan merokok dan mengambil minuman beralkohol.

"Pada asasnya, kurangkan pengambilan gula. Hidup mungkin 'manis' sekarang tetapi mungkin 'terseksa' kemudian," katanya. - Bernama



No comments: