Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






03 November 2009

Pendidikan berguna dalam Boo & Me

















Boo & Me itu memberi pengajaran kepada kanak-kanak mengenai pemuliharaan alam sekitar

"IMAN, kenapa asyik tengok kartun je ni. Dah tutup TV tu. Pergi buat kerja sekolah," rungut si ibu yang risau akan pelajaran dan tingkah laku anak dipengaruhi kartun animasi di kaca televisyen.

Sesetengah ibu bapa menganggap bahan tontonan seperti kartun memberi impak yang kurang baik. Namun, tanpa mereka sedari, kini terdapat banyak animasi yang memberi pendidikan dan pengajaran berguna kepada kanak-kanak.

Malah, perkembangan tersebut telah menarik perhatian syarikat-syarikat animasi tempatan untuk menghasilkan kartun animasi sebagai satu medium mendidik.

Terbaru, syarikat multimedia kreatif, Inspedia Malaysia telah menghasilkan siri animasi pendek 13 episod iaitu Boo & Me. Siri animasi pendidikan itu memaparkan orang utan dan dua orang sahabat iaitu Aiman dan Yasmin sebagai watak utamanya.

Ia bukan sahaja sesuai untuk tontonan kanak-kanak, malah buat orang dewasa bagi mempelajari tentang persahabatan, kesetiaan dan isu alam sekitar di Malaysia.

Inspedia bekerjasama dengan KidsCo Limited, satu rangkaian televisyen kanak-kanak antarabangsa yang berpusat di United Kingdom (UK) untuk menghasilkan siri animasi tersebut.

Menariknya, rangkaian televisyen kanak-kanak antarabangsa keempat terbesar di dunia itu telah memilih Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sabah sebagai tema untuk mengadakan siri animasi kanak-kanak Boo & Me.

"Animasi Boo & Me ini memfokuskan kepada isu alam sekitar yang berbeza dalam setiap episod. Ia tertumpu kepada kurikulum pemuliharaan alam sekitar yang dipanggil 5R iaitu Reduce (mengurang), Reuse (guna semula), Recycle (kitar semula), Renew (memperbaharui) dan Respect (menghormati).

"Ia mengajar kanak-kanak bagaimana untuk menjaga alam sekitar dengan melakukan sesuatu seperti menggunakan semula tayar lama, beg plastik sebagai beg sampah, mengitar semula tin aluminium, plastik dan banyak lagi," kata Pengarah Urusan KidsCo, Paul Robinson.

Jelasnya, animasi Boo & Me itu memberi pengajaran kepada kanak-kanak mengenai pemuliharaan alam sekitar.

Memandangkan kanak-kanak hari ini bakal mewarisi dunia di masa hadapan, pendidikan awal mengenai alam sekitar amat penting.

"Kami ingin membantu menyalurkan pengetahuan bagi membolehkan kanak-kanak membesar menjadi orang dewasa yang sentiasa peka dan prihatin terhadap alam sekitar," katanya.

Siri animasi itu telah dialih suara ke dalam 15 bahasa yang akan disiarkan di 58 buah negara. Antaranya ialah Jerman, Perancis, Rusia, Asia Barat, Korea Selatan, Hong Kong, Asia Tenggara dan Afrika.

Menurut Pengarah Urusan Inspedia, Andrew Ooi, dengan adanya siri animasi pendidikan tersebut, kanak-kanak di serata dunia mendapat pendedahan mengenai Malaysia.

"Rancangan animasi ini juga dapat membantu menyemai sikap cintakan alam sekitar di kalangan kanak-kanak," katanya.

Inspedia merupakan antara 11 buah syarikat multimedia kreatif yang dijemput oleh Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) untuk menyertai misi perdagangan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Perancis baru-baru ini.

Tujuannya untuk meningkatkan hubungan ekonomi Malaysia dalam industri kreatif dengan syarikat-syarikat digital di seluruh dunia.

Bercerita mengenai siri animasi Boo & Me, Robinson memberitahu beliau dan Pengerusi KidsCo, Doug Murphy telah mengadakan pertemuan Najib di Cannes, Perancis dua minggu lalu.

"Perdana Menteri amat tertarik dengan animasi ini dan berharap ia akan membantu usaha kerajaan membudayakan penjagaan alam sekitar, kitar semula dan teknologi hijau.

"Malah, ia dapat memberi pendedahan kepada kanak-kanak bukan sahaja mengenai orang utan tetapi juga cara pemuliharaan haiwan, penjagaan alam sekitar dan bagaimana hendak memastikan dunia terus mempunyai flora serta fauna yang menarik," katanya.

Jelasnya, orang utan hanya terdapat di negara Asia Tenggara terutama di Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia, orang utan begitu istimewa kerana ia dilindungi dan menjadi tumpuan para pencinta alam sekitar.

"Apabila program seperti pemulihan orang utan ini menjadi keutamaan sesebuah kerajaan, tentunya ia mempunyai nilai yang tinggi untuk diketengahkan bagi menarik kanak-kanak untuk menonton haiwan yang manja dengan manusia ini," katanya.

Pelbagai tema yang diutarakan itu bertujuan mendidik kanak-kanak mengenai tindakan yang sepatutnya diambil untuk menjaga alam sekitar.

Komitmen KidsCo terbukti apabila sebanyak 5,000 keping cakera padat digital (DVD) yang mengandungi dua episod pertama Boo & Me akan diedarkan di beberapa sekolah terpilih di seluruh negara di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran.

Robinson berharap DVD tersebut akan digunakan oleh para guru sebagai pembelajaran tambahan dalam mendidik kanak-kanak mengenai nilai dan perkara asas alam sekitar.

Siri animasi Boo & Me itu juga boleh ditonton menerusi laman web rasmi KidsCo di www.kidscotv.tv.


No comments: