Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






11 November 2009

Kesan buruk diri pembuli

Kajian mendapati satu perempat daripada pembuli berisiko mempunyai rekod jenayah apabila berusia 30 tahun.




















PERBUATAN buli mendatangkan kesengsaraan kepada mangsa. - Gambar hiasan

PERISTIWA yang berlaku enam tahun lalu masih kekal dalam ingatan Hisham Malek. Ketika itu dia bersama sekumpulan pelajar di sebuah sekolah agama di selatan tanah air membelasah seorang pelajar tingkatan tiga dengan batang besi dan penyapu sehingga menyebabkan kematian.

Dia yang sepatutnya membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara. Cita-citanya untuk menjadi seorang pegawai tentera tidak kesampaian.

Harapan ibu bapanya menghantar Hisham ke sekolah agama supaya dia mendapat pendidikan dunia dan akhirat yang seimbang berkecai apabila dia 'bertukar' menjadi seorang pembunuh.

Itulah sebahagian daripada kisah yang berlaku akibat daripada perbuatan buli yang bukan sahaja mendatangkan kesengsaraan kepada mangsa, malah memberi akibat buruk kepada pelakunya.

Malah statistik yang pernah dikeluarkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat mendapati, kira-kira 71 peratus pelajar yang terlibat dalam insiden menembak di sekolah di negara itu pernah menjadi mangsa buli.


Pencegahan buli

Mengikut Deklarasi Kandersteg yang ditandatangani di Switzerland pada 2007, dianggarkan terdapat kira-kira 200 juta murid sekolah di seluruh dunia menjadi mangsa buli atau dera oleh rakan sebaya


Ekoran daripada penemuan tersebut, semua warga pendidik di seluruh dunia sepakat untuk memulakan usaha pencegahan buli seawal mungkin. Mereka menyasarkan kepada pelajar yang berisiko, memberikan perlindungan dan mempromosi hubungan sihat.

Di Malaysia, kajian rintis program Intervensi Buli yang dilakukan oleh Profesor Adjung di Kolej Universiti HELP, Prof. Dr. Noran Fauziah Yaakub bersama dengan Fatimah Haron yang juga pensyarah kanan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu mendapati satu perempat daripada pembuli berisiko mempunyai rekod jenayah apabila berusia 30 tahun.




--------------------------------------------------------------------------------



Kajian itu dijalankan bersama Dana Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Kementerian Pelajaran Malaysia dan Persatuan Psikologi Malaysia yang melibatkan enam buah sekolah di Kuala Lumpur dan 12 buah sekolah di Selangor pada tahun 2006.

Antara fakta lain yang diperoleh dalam kajian itu adalah pola membuli terbentuk pada minggu keenam persekolahan. Ia boleh berlaku di depan orang ramai, kejadian berulang setiap 25 minit di dalam kelas dan meninggalkan kesan negatif sepanjang hayat.

Noran memberikan definisi buli sebagai tingkah laku agresif sama ada fizikal atau psikologi yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa dan ia bertujuan mendatangkan perasaan tidak seronok.

Kesan kepada mangsa

Jelas beliau, ada pelajar yang tidak sedar perbuatan yang mereka lakukan adalah sebahagian daripada buli dalam bentuk fizikal, bahasa, isyarat, peras ugut dan dalam perhubungan seperti memulau, fitnah, mengumpat, tiru suara, enggan terima mangsa dalam aktiviti kumpulan dan menulis perkara buruk di tandas.

"Berdasarkan kajian, kita dapati 29.4 peratus kes buli berlaku di dalam kelas, 11.3 peratus sebelum guru masuk ke dalam kelas, 9.8 peratus di kantin, 6.7 peratus di tandas dan selebihnya di koridor, padang sekolah perhimpunan dan asrama," katanya.

Di luar sekolah pula, sebanyak 13.4 peratus kejadian berlaku ketika pulang dari sekolah, 8.7 peratus di perhentian bas dan 6.5 peratus ketika dalam perjalanan ke sekolah.

Apa yang dapat dirumuskan daripada kajian itu ialah kegiatan buli bermula di peringkat sekolah rendah lagi dan gejala tersebut memuncak sehingga ke sekolah menengah.

"Selalunya di peringkat menengah, mangsa buli terdiri daripada pelajar tingkatan satu dan pembuli pula kebanyakannya ialah pelajar tingkatan dua," jelas beliau.

Lebih mengejutkan, kesan yang berlaku kepada mangsa yang kerap dibuli menyebabkan mereka berniat untuk membunuh diri, menghadapi kemurungan, risau dan rendah harga diri termasuk mengalami masalah kesihatan dan kecederaan fizikal.

Mangsa juga mula membenci sekolah dan mengalami penurunan prestasi dalam akademik kerana mengalami kesan sosial seperti kesunyian, tidak ramai kawan dan rasa tersingkir.

Selaras dengan gesaan supaya gejala buli dibanteras Jawatankuasa Induk Menangani Gejala Disiplin yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong mencadangkan diwujudkan hampir 10,000 jawatan baru iaitu Guru Kanan Disiplin untuk ditugaskan di semua sekolah kebangsaan dan menengah tidak lama lagi.

Selain tugas hakiki mengajar, mereka mempunyai tanggungjawab lain iaitu menjaga disiplin 5.5 juta pelajar di 9,844 buah sekolah rendah dan menengah.

Hasil kajian yang dilakukan oleh Noran kini dijadikan sebagai rujukan dan latihan kepada guru-guru di negara ini untuk menangani masalah buli sekolah masing-masing.

Beliau berkongsi pengalaman dalam program Intervensi Buli anjuran Kolej Universiti HELP di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Nota: Cerita yang disiarkan dalam artikel ini diangkat daripada kisah sebenar tetapi nama sebenar pembuli dirahsiakan.- PENGARANG- JUNHAIRI ALYASA
junhairi.alyasa@kosmo.com.my

No comments: