ANAK yang pemarah perlu memperoleh bantuan daripada ahli keluarga. - Gambar hiasan
EMOSI anak yang ceria ada kalanya boleh bertukar menjadi mendung dan garang. Berdepan dengan anak yang pemarah seperti itu sememangnya mencabar ibu bapa.
Perasaan marah boleh terjadi akibat daripada satu tindak balas normal kepada satu kekecewaan atau rasa geram. Bagi sesetengah kanak-kanak pula, perasaan itu berakar umbi daripada perilaku yang suka mencederakan diri sendiri atau orang lain secara fizikal mahupun mental.
Kemarahan yang sukar dikawal seperti menggunakan bahasa kasar atau merosakkan barangan permainan adalah satu situasi genting. Namun, masalah yang memerlukan perhatian segera itu ada jalan penyelesaiannya.
Pakar psikologi dari Amerika Syarikat, Dr. Tim Murphy dalam buku tulisannya, The Angry Child, mendedahkan punca berlakunya kemarahan dan bagaimana ibu bapa boleh membantu anak mereka.
Bercerita melalui kisah dan pengalaman peribadi, The Angry Child membawa pembaca mendalami isu itu menerusi dua aspek penting iaitu memahami kemarahan dan strategi menangani serta mencegah perasaan marah.
Menurut Dr. Tim, langkah pertama adalah memahami perasaan marah si anak. Katanya, bukan semua anak yang mempunyai perasaan marah adalah seorang 'pemarah'.
"Terdapat beberapa cara untuk memahami punca berlakunya perasaan marah. Cara untuk menanganinya ada di sebalik definisi-definisi kemarahan.
"Misalnya, kemarahan dirangsang oleh sesuatu. Perasaan marah bukan satu emosi semata-mata. Ia mungkin dirangsang oleh ketakutan, cemburu, kekecewaan ataupun kesunyian," jelasnya seperti yang dipetik daripada buku setebal 256 muka surat itu.
Keupayaan untuk mengesan rangsangan terhadap perasaan marah diyakini dapat membantu anak memperbaiki kawalan dirinya. Malah, ibu bapa juga tidak perlu menghabiskan masa memberi jalan penyelesaian yang salah kepada anak.
Dalam bab pertama, Dr. Tim mengingatkan kita agar mengetepikan persepsi bahawa semua jenis kemarahan semestinya sesuatu yang buruk.
Tanggapan itu salah memandangkan kemarahan ada kalanya memberi kita motivasi untuk mengambil tindakan sepatutnya. Sebagai contoh, untuk menghentikan sesuatu kesakitan.
Terdapat 10 sifat dalam diri seseorang anak yang pemarah. Antaranya kegagalan menganalisis sesuatu masalah, penyebab kesengsaraan sendiri, menggunakan kemarahan untuk mendapatkan kuasa dan kecenderungan menyerang orang lain berbanding menyelesaikan masalah.
Andainya anak anda gagal menganalisis sesuatu masalah, kini tiba masanya untuk anda berbuat sesuatu. Ibu bapa seharusnya mengelak daripada bercerita tentang situasi-situasi pencetus kemarahan anak.
Sebaliknya, Dr. Tim menyatakan topik perbualan anak seperti bola sepak mungkin boleh dijadikan satu analogi bagi mendidik anak cara menganalisis sesuatu situasi.
PERASAAN marah mungkin dirangsang oleh ketakutan, cemburu, kekecewaan atau kesunyian. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------
"Satu lagi cara yang berkesan adalah ketika menonton wayang ibu bapa boleh memberi komen tentang watak-watak atau lakonan di dalamnya.
"Berikan anak peluang untuk meneka perkembangan cerita seterusnya. Penggunaan permainan papan seperti catur juga dapat mendidik anak bagaimana menyelesaikan masalah secara logik serta mengelakkan kesilapan," jelasnya.
Apa yang penting ialah anak pemarah perlu memperoleh bantuan daripada ahli keluarga. Dalam mendisiplinkan anak yang mudah melenting, Dr. Tim menekankan satu formula penting yang dinamakannya 4R.
* Request (buat permintaan)
Jadikan contoh bagaimana untuk berkomunikasi atau meminta anak melakukan sesuatu dengan rasa hormat.
* Reason (berikan sebab)
Jika perlu, berikan sebab. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan sesuatu peraturan baru.
* Remind (berikan peringatan)
Sekiranya si anak tidak memberi kerjasama dalam masa yang ditetapkan, maka anda perlu memberi peringatan kepadanya. Setiap orang memerlukan peringatan apabila perlu.
* Respond (berikan maklum balas)
Jika anak memberikan kerjasama seiring dengan permintaan anda, jangan lupa memberinya pujian atau tepukan di bahu.
Ingatlah bahawa usaha menangani dan membentuk semula emosi anak yang pemarah bukanlah inisiatif sehari dua. Ia memerlukan usaha semua pihak dan buku The Angry Child pasti boleh menjadi satu panduan terbaik.
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
23 November 2009
Anak anda pemarah?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment