Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






28 November 2009

Banyak dugaan bila popular



















Menjadi seorang penceramah popular bukan sahaja menuntut kesabaran tinggi bahkan pengorbanan luar biasa apabila mereka juga hilang privasi sama seperti penyanyi dan pelakon

LAZIMNYA, masyarakat memandang tinggi golongan cerdik pandai agama yang membawa gelaran ulama, ustaz, ustazah, imam atau paling tidak pun penceramah yang latar belakangnya didukung oleh ilmu Islam. Apatah lagi jika ustaz atau penceramah itu antara barisan penceramah terkenal tanah air yang sering muncul di kaca televisyen, radio dan saluran media yang lain.

Ini kerana jalur kerjaya mereka cukup murni dalam mengembang syiar Islam serta mendidik masyarakat supaya menjadi seorang manusia yang lebih baik.

Namun, tahukah anda kerjaya mereka sebenarnya bukan mudah meskipun hanya meluahkan kata-kata positif sebagai bimbingan kepada masyarakat.

Oleh kerana gelaran yang dipikul mereka dipandang 'suci' dan ada sesetengah orang menganggap mereka seperti 'malaikat' seharusnya mereka tidak boleh melakukan sebarang kesilapan yang mengundang pandangan negatif.

Mereka juga dianggap individu contoh yang harus mengekalkan imej baik bukan sahaja di depan kaca TV atau tempat ceramah bahkan sewaktu berada di luar.

Terlalu banyak yang harus diharungi penceramah kerana bukan mudah untuk menarik minat penonton atau pendengar seterusnya mengamalkan apa yang disarankan. Banyak perkara yang dikorbankan mereka demi kerjaya dan menyebarkan syiar Islam.

Saya bukan jual air liur!

Siapa di Malaysia yang tidak kenal dengan Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah yang boleh dianggap antara penceramah bebas paling senior di Malaysia.

Memulakan kerjaya sebagai penceramah pada usia 27 tahun atau lebih tepat pada tahun 1977, ini bermakna sudah 32 tahun Fadzilah berkecimpung dalam bidang motivasi. Malah, beliau juga sudah menerbitkan beberapa buah buku motivasi sebagai panduan kepada masyarakat.

Namun, sepanjang tempoh itu ramai yang tidak tahu suka duka beliau sebagai penceramah. Apa yang orang tahu hanyalah senyuman dan gurauannya ketika melontarkan kata-kata.

Menyelak cerita di sebalik nama besarnya, Fadzilah memberitahu pekerjaan sebagai penceramah bukanlah semudah yang disangka ramai kerana ia disertakan dengan pengorbanan besar.

"Kerja sebagai penceramah memang berat, paling saya sedih kawan saya dan orang awam mengatakan pekerjaan saya senang hanya guna modal air liur untuk mewah. Tahu sepatah dua ayat al-Quran sudah boleh buat duit.

"Kalau boleh jual air liur, saya kata pada mereka kita sama-samalah jual air liur tetapi mereka tidak berani dan mengatakan tidak pandai bercakap. Tahu pula susah.

"Ini termasuk berpuluh tahun mencari ilmu dan membuat kajian analisis. Saya beli tiga buah buku seminggu dan lebih kurang 10 buah buku sebulan termasuk kaset. Saya selalu berdoa kepada Allah agar memberi saya kefahaman luar biasa untuk saya sebarkan kepada orang ramai," katanya tentang rutin persediaan sebagai seorang penceramah motivasi.


















FADZILAH memberikan ceramah motivasi kepada skuad futsal kebangsaan.

--------------------------------------------------------------------------------


Luah penceramah berusia 58 tahun itu lagi, secara umum pengorbanan yang paling berat baginya adalah keikhlasan niat sebagai penceramah yang cakap serupa bikin.

Selain itu, beliau juga harus membentuk jiwa seorang sukarelawan kerana sebagai penceramah beliau harus ada jiwa untuk membantu masyarakat dengan ikhlas dan keikhlasan itu hanya Allah yang tahu.

"Walaupun saya dididik secara sekular tetapi saya harus bentuk jiwa pendakwah yang secara automatik terpanggil untuk memberi nasihat serta menegur benda tak betul.

"Contohnya orang buang sampah dari kereta dan budak sekolah beli rokok. Saya wajib tegur kerana menganggap anak orang macam anak saya walaupun akan dikata sibuk jaga tepi kain orang (ketawa).

"Saya sering beri motivasi bagai nak rak di televisyen, tak kan saya buat tidak tahu bila nampak benda yang salah di depan mata. Saya boleh buat tidak tahu dan tetap popular tetapi mampukah saya tidur dengan nyenyak selepas itu," soalnya.

Terangnya lagi, sebagai penceramah beliau tidak hanya menegur tetapi juga memuji jika melihat sesuatu yang baik. Semasa temuramah ini dijalankan, beliau mengatakan baru sahaja menonton lakonan aktor Rosyam Nor dalam drama berjudul Salam Terakhir dan memuji lakonan berkesan serta jalan cerita drama tersebut.

Drama tersebut membuatkan beliau menangis dan beliau berusaha untuk mencari nombor telefon aktor tersebut semata-mata untuk mengucapkan tahniah.

Amalan memuji itu mungkin nampak kecil tetapi besar kesannya. Kata Fadzilah lagi, beliau juga memberi ucapan tahniah kepada pemimpin jika mereka melakukan tindakan yang betul dan menegur jika pemimpin bertelagah. Satu perkara yang tidak pernah didedahkannya sebelum ini.

Tambahnya dalam kesibukan ke sana sini memberi motivasi beliau harus pastikan keluarga beliau hidup dalam rukun dan damai. Bukan itu sahaja, beliau juga harus mengimbangkan kehidupannya. Jika ingin menjadi penceramah yang hebat beliau menilai diri sendiri adakah beliau seorang suami, ayah, abang, anak dan jiran yang baik?

"Saya kena pastikan keluarga saya harmoni, nanti orang kata diri sendiri tak betul nak beri nasihat pada orang lain pula. Apa yang saya pesan pada orang saya kena lakukan juga. Ada juga orang tanya pada isteri saya, saya buat atau tidak perkara yang saya cakap di televisyen (ketawa).

"Jika di tempat awam saya menjaga segalanya termasuk penampilan, watak dan juga pergaulan. Saya tidak boleh bermasam muka, tidak boleh marah anak di tempat awam. Bayangkan seorang penceramah marah anak di pasar malam dan jentik telinga apa pula pandangan orang?" tuturnya.

















ANTARA buku nukilan Fadzilah.

--------------------------------------------------------------------------------


Sebagai penceramah jelas Fadzilah, beliau tidak boleh statik kerana kini orang makin bijak dan beliau harus sentiasa perbaiki diri.

Malah, sebelum memberi ceramah beliau memperuntukkan empat hingga lima jam persediaan dan membuat penyelidikan forum yang dihadirinya. Itu pengorbanan yang orang tidak tahu kerana segalanya tampak mudah apabila beliau memulakan bicaranya.

"Sesetengah orang akan tahu apabila penceramah itu cetek pengetahuan dan asyik buat lawak bodoh. Jika penceramah itu hadir dengan hadis dan fakta orang akan tahu penceramah ini tidak cakap kosong. Boleh berlawak tetapi dengan syarat untuk mendidik.

"Lagi sukar jika saya hanya diberi tiga minit untuk bercakap, dalam masa yang singkat bagaimana saya mahu meyakinkan orang untuk berubah," ujarnya.

Tugasnya tidak tamat di situ sahaja tetapi membawa sehingga ke rumah apabila setiap malam Fadzilah menjawab 10 hingga 15 e-mel.

"Selalunya sampai 1 pagi saya balas e-mel. Ada masalah ringan dan berat. Ada penghantar e-mel kata mereka nak bunuh diri, ingin murtad dan nak berzina, ada yang homoseksual, tak kan saya nak diamkan, saya kena bantu.

"Saya bernasib baik kerana dapat isteri yang faham rutin harian setiap hari harus duduk depan komputer dan selesai masalah orang lain mudah-mudahan saya dapat bantu mereka," ucapnya yang pulang ke Klang, Selangor, menyambut Hari Raya Aidiladha esok.

Hilang privasi - Prof Izzi

Bagi penceramah, Profesor Madya Md Izuddin Ali atau Prof. Izzi, 45, yang cukup dikenali dengan tagline 'renung-renungkan dan selamat beramal' di radio swasta Hot FM, beliau turut tidak menafikan pengorbanan besar harus diberikan apabila memikul gelaran penceramah bebas.

Beliau yang juga seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu merupakan bekas graduan California State University Fresno, Amerika Syarikat terjun dalam bidang motivasi sejak berusia 18 tahun. Pengorbanan paling besar sebagai penceramah bagi Izzi adalah menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat tidak kira usia.

"Bukan mudah sebenarnya untuk menyampaikan ceramah dengan berkesan. Seperti remaja mereka sukakan konsep santai dan tidak mahu cerita yang menakutkan. Orang yang tinggi ilmu agamanya lain pula caranya, begitu juga dengan orang yang agak jahil dengan ilmu agama," terangnya.

Selain itu, penceramah juga berkorban mencari bahan yang sesuai seperti membeli buku, juga berkorban dari segi masa, tenaga dan wang.

















PROF. IZZI

--------------------------------------------------------------------------------


Bukan itu sahaja, sebagai seorang penceramah mereka juga manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan sebarang kesilapan bagaimanapun persepsi masyarakat terhadap penceramah, mereka bak malaikat yang turun dari langit.

"Ingin saya tekankan kami orang biasa tetapi saya akui menjadi penceramah yang sering beri nasihat pada orang ramai, saya juga harus berkelakuan baik dari segala segi. Saya harus amalkan apa yang saya cakap.

"Ada terjadi dulu, saya makan di kedai pada waktu Maghrib, orang melihat saya mula memandang serong tetapi mereka tidak tahu saya sedang berbuka puasa atau musafir.

"Kadang-kadang orang salah anggap, hampir setiap tempat saya pergi ada orang kenal dan mereka terpandang atau buat-buat pandang. Saya senyum, kalau tidak senyum orang kata di televisyen nampak baik tetapi di luar tidak. Itu cabaran untuk saya menjadi lebih baik," tuturnya.

Tambahnya lagi, beliau juga cuba mengelak perkara yang tidak patut dilakukan seperti memarahi orang di khalayak kerana perkara sebegitu mudah diambil negatif oleh orang yang memandang walaupun mereka tidak tahu perkara yang sebenarnya.

"Itu antara risiko yang saya harus ambil, walaupun ada kelemahan, saya tidak boleh asyik buat silap kerana saya harus praktik nasihat saya terlebih dahulu sebelum menyuruh orang lain mengikutinya," ujarnya.
















IZZI (duduk) dikerumuni peminatnya yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuklah remaja.

--------------------------------------------------------------------------------


Izzi yang memulakan kerjayanya sebagai penceramah pada tahun 1992 di radio Terengganu dan siaran televisyen pertamanya adalah pada 22 November 1997 di RTM menegaskan kerjayanya nampak mudah tetapi untuk radio Hot FM sahaja beliau harus menyediakan 20 buah tajuk setiap bulan meskipun hanya muncul beberapa minit dalam program tazkirah radio berkenaan.

"Saya juga berkorban masa untuk keluarga jadi saya kena imbangkan antara keluarga, kerjaya dan jiran tetangga. Saya lakukan apa yang termampu," katanya.

Ramai yang menyangka Izzi menetap di Kuala Lumpur kerana kekerapannya muncul dalam program-program di televisyen. Hakikat sebenarnya beliau menetap di Dungun, Terengganu dan harinya akan mula sibuk pada hari Khamis sehingga Sabtu.

"Cabaran besar buat saya pernah satu hari, dua kali saya ke Kuala Lumpur sehingga ada orang ingat saya tinggal di Kuala Lumpur. Bila ada orang nampak saya di Terengganu mereka akan tanya bila balik? Sedang cuti ke? Walhal saya memang tinggal di Terengganu," ungkapnya dalam tawa.

Menjadi orang terkenal kadangkala merimaskan meskipun dalam bidang motivasi. Begitu juga hal yang terjadi kepada Izzi yang tidak menyangka dengan tagline ringkasnya itu beliau diingati sehingga hari ini.

Bercerita tentang Hari Raya Aidiladha beliau menjelaskan ia hari yang amat penting dan berasa sedih kerana Aidiladha tidak diraikan seperti Hari Raya Aidilfitri.

"Kita boleh lihat hanya segelintir masyarakat yang menyambut Aidiladha dengan penuh kemeriahan sedangkan di televisyen dan media lain nampak lesu seharusnya sambutannya sama seperti Hari Raya Aidilfitri," katanya yang akan muncul dalam drama Tersungkur Di Pintu Syurga malam ini pukul 10 malam di Astro Prima.

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my

1 comment:

Ahmad Saufi said...

Salam...

Memang benar, apabila sudah menjadi penceramah terkenal, setiap gerak geri mereka akan menjadi pertimbangan setiap orang yang melihat. Ituah cabaran yang harus di hadapi oleh penceramah-penceramah bebas ini. Semoga mereka diberikan keteguhan iman dan kekuatan jiwa oleh Allah s.w.t..
namun begitu, disebalik cabaran-cabaran itu, di harap penceramah-penceramah ini dapatlah memberikan contoh yang elok kepada masyarkat. benarlah, pandanglah apa yg di kata, bukan siapa yang berkata dlm menuntut ilmu. tetapi apabila sudah melibatkan hal-hal berkaitan akidah, ibadah dan fekah, diharapkan penceramah ini dapatlah memberikan sedikit penerangan atau sumber yg soheh, kerana dikuatiri akan ada sebilangan pendengar akan mempertikaikan kata-kata seorang ustaz dengan berlandaskan petikan kata-kata penceremah ini. Ini telah pun berlaku yang mana seorang kawan saya mempetikaikan saranan seorang ustaz dgn menjadikan salah seorang prof. motivasi kita sebagai rujukan.
akhir kata semoga dapatlah ilmu2 yang di kongsi oleh pakar2 motivasi kita ini dapat membantu untuk pembangunan Ummah disamping membentuk akidah berlandaskan Islam.