Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






15 December 2009

Tulang kuat untuk kanak-kanak hebat















AKTIVITI fizikal di luar rumah bukan sahaja membantu menguatkan tulang, malahan meningkatkan penghasilan vitamin D melalui pendedahan kepada cahaya matahari.

BERIKAN anak anda tulang yang kuat untuk melengkapi minda cerdas mereka. Para ibu sentiasa mahukan yang terbaik buat anak-anak.

Walaupun perkembangan otak adalah penting, para ibu tidak seharusnya mengabaikan kesihatan tulang anak mereka.

Tambahan pula, membina tulang yang kuat bukan sahaja menyumbang kepada keseluruhan perkembangan anak anda malah ianya juga penting untuk mencegah osteoporosis di masa hadapan.

Bermula awal

Penjagaan tulang perlu bermula sejak awal lagi! Dan zaman kanak-kanak adalah waktu yang paling sempurna untuk memulakannya kerana ketika inilah tulang terbentuk dengan pantas.

Lebih banyak jisim tulang yang berjaya dikumpulkan, lebih kuatlah tulang apabila ia membesar.

Tanpa tulang, anak anda tidak mungkin dapat melakukan semua aktiviti yang digemarinya. Mereka tidak mungkin dapat berlari, melompat atau bermain.

Tulang bukan sekadar menyokong tetapi juga melindungi organ-organ yang lain. Ia juga membolehkan anak anda bergerak dan berperanan sebagai tempat penyimpanan mineral seperti kalsium dan fosforus, selain bertindak sebagai persekitaran di mana sel darah dihasilkan.

Anak anda memerlukan pemakanan yang betul dan senaman yang secukupnya untuk memastikan tulang yang sihat dan kuat.

Perkara pertama yang perlu anda pastikan adalah anak anda mendapat kalsium secukupnya untuk keperluan hariannya.

Saranan Pengambilan Nutrien untuk warganegara Malaysia adalah 500 miligram (mg) bagi kalsium untuk kanak-kanak berumur setahun hingga tiga tahun, 600 mg untuk kanak-kanak berumur empat hingga enam tahun dan 700 mg untuk yang berumur antara tujuh hingga sembilan tahun.

Kalsium

Segelas susu boleh memberikan anak anda kira-kira 250 mg ke 500 mg kalsium. Jadi, pastikan anak anda meminum dua gelas susu sehari untuk memberikan mereka kalsium yang mencukupi setiap hari.

Janganlah susah hati jika anak anda tidak sukakan susu. Walaupun ia sumber kalsium yang terbaik, terdapat pelbagai pilihan untuk mendapatkan kalsium bagi anak anda.

Sebagai contoh, keju, tairu, aiskrim, susu soya dan sesetengah jenis minuman (seperti minuman koko dan malt) mungkin mengandungi kalsium yang hampir sama dengan segelas susu.

Kebanyakan makanan lain seperti bijirin sarapan dan biskut juga kini diperkaya dengan kalsium. Jadi, ingatlah untuk membaca label makanan untuk mengenalpasti kandungan kalsiumnya.

Bermain & vitamin D

Bermain di luar merupakan sebahagian dari proses membesar dan ini merupakan senaman yang baik untuk anak anda.

Senaman menahan berat yang memaksa badan memikul beratnya sendiri seperti berjalan, berlari, bermain tenis atau badminton boleh merangsang pertumbuhan tulang.

Hasilnya, tulang akan menjadi lebih kuat dan tumpat. Jadi, bergembiralah jika anak anda suka bermain bola sepak lewat petang di padang.

Itu baik untuk tulangnya!

Paling tidak pun, bermain di luar lebih baik dari hanya terperap di dalam rumah. Zaman teknologi kini boleh membahayakan tulang anak anda kerana lebih ramai kanak-kanak kini memilih berhibur dengan televisyen, internet dan permainan video berbanding bermain di luar untuk menggerakkan tulang dan badan mereka.

Cubalah galakkan anak anda untuk menjadi lebih aktif dan tetapkan had masa untuk aktiviti pasif di rumah.

Satu lagi keburukan bermain di dalam rumah adalah kekurangan vitamin D. Anak anda memerlukan vitamin ini kerana ia membantu dalam penyerapan kalsium.

Vitamin D boleh diperolehi dari makanan diperkaya seperti susu, keju, mentega dan marjerin tetapi badan kita boleh menghasilkannya sendiri apabila terdedah kepada cahaya matahari.

Jadi, biarkanlah anak anda bermain di bawah cahaya matahari untuk 10 hingga 20 minit setiap hari.

Mereka bukan hanya sekadar dapat bersenam malahan akan mendapat vitamin D juga.

Walaupun begitu, cara terbaik untuk kanak-kanak belajar adalah apabila ibubapa memberikan contoh yang baik kepada mereka.

Anak anda menganggap anda sebagai contoh yang perlu diikuti dan sudah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan mereka mempelajari tabiat yang baik dari anda.

Berikut adalah beberapa cara untuk anda memupuk penjagaan tulang yang baik bagi anak anda di rumah:

l Menyediakan snek yang kaya dengan kalsium

l Menghidangkan makanan sekali dengan susu

l Mengelakkan dari memberi minuman ringan kepada anak-anak

l Keluar bersiar-siar atau bersukan dengan anak anda apabila ada masa lapang

Setiap ibu mahukan anak-anak mereka bijak dan sihat. Walaubagaimanapun, ada yang terlalu menekankan perkembangan otak sehinggakan mereka lupa tentang kepentingan badan yang sihat.

Lagipun, kanak-kanak yang sihat belajar dengan lebih baik daripada mereka yang kurang sihat. Kesihatan tulang paling penting pada usia ini.

Mereka memerlukan tulang yang kuat bukan sahaja untuk menikmati zaman kanak-kanak mereka malahan untuk manfaat di masa hadapan.

Semuanya dalam Gen

Osteoporosis adalah penyakit yang boleh diwarisi. Jika salah seorang dari ahli keluarga anda menghidapi osteoporosis, besar kemungkinan anda dan anak-anak anda juga berisiko menghidapinya.

Osteoporosis adalah penyakit kemerosotan tulang yang menjadikan tulang lebih nipis dan cenderung kepada keretakan.

Dan walaupun tulang kanak-kanak kembali pulih selepas keretakan, ianya tidak sama jika anda berusia lebih 50 tahun.

Anda perlu hidup dengan keretakan itu dan inilah kesan osteoporosis ke atas anda. Jadi anda perlu mengambil langkah untuk mencegahnya dari berlaku.

Penjagaan tulang yang baik bermula dari zaman kanak-kanak, jadi anda perlu memastikan bahawa anak-anak anda mengambil hidangan yang sihat dan seimbang serta kaya dengan kalsium dan mendapat senaman secukupnya di bawah cahaya matahari.

Mulakan sekarang, dan buatlah perubahan dalam hidup anak anda!

Artikel Tulang Sihat Sepanjang Hayat oleh Persatuan Kesedaran Osteoporosis Kuala Lumpur ini disokong oleh geran pendidikan daripada Fonterra Brands (Malaysia) Sdn Bhd dan Rottapharm Madaus.


No comments: