Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






01 December 2009

Api bukan kawan


















Kanak-kanak perlu didedah cara selamatkan diri jika berlaku kebakaran .

SEJAK kebelakangan ini, kita jarang dapat melakukan aktiviti luar berikutan musim tengkujuh yang melanda. Hujan sepanjang hari bagaimanapun tidak bermakna kebakaran tidak boleh berlaku.

Walaupun anak-anak berada di rumah, keadaan ini masih membimbangkan terutama ketika ketiadaan ibu bapa kerana anak-anak mungkin terdedah dengan bahaya seperti kebakaran. Biarpun kediaman musnah sama sekali, namun tragedi itu pasti lebih menyayatkan hati sekiranya kehilangan anak tersayang dalam kebakaran.
Bak kata pepatah yang biasa didengari ‘sediakan payung sebelum hujan,’ ibu bapa seharusnya melakukan perancangan awal mempersiapkan keluarga terutama anak sekiranya berlaku kebakaran.

Lazimnya, aktiviti menyelamatkan diri dari kebakaran hanya dilakukan di pusat pengajian seperti di sekolah dan tempat kerja. Namun, hal itu masih lagi tidak dipraktikkan di rumah untuk keselamatan keluarga. Ini berikutan masyarakat masih lagi memandang remeh soal ini sebaliknya ia memberi kesan besar terhadap institusi kekeluargaan.

Pengerusi Persatuan Bomba dan Penyelamat Sukarela Malaysia (MVFRA), K Balasupramaniam, berkata ibu bapa perlu mempunyai perancangan untuk menghadapi kecemasan dan ia perlu dipraktikkan sentiasa. Setiap ahli keluarga juga harus memainkan peranan serta menjadi sebahagian daripada perancangan berkenaan. Anak kecil juga tidak ketinggalan sebaliknya mereka boleh berlatih secara mudah.















MENGAJAR kanak-kanak cara menyelamatkan diri dari kebakaran antara aktiviti MVFRA.

”Sebagai langkah awal, bawa ahli keluarga ke setiap ruang rumah dan ajar mereka cara untuk membolehkan mereka keluar dari sesuatu kawasan seperti pintu atau tingkap. Sediakan juga alat pemadam api di rumah dan mengajar mereka bagaimana cara menggunakan alat itu.

“Kanak-kanak perlu diberitahu supaya tidak menyembunyikan diri dari api seperti masuk ke dalam almari, bawah katil atau apa saja sebaliknya keluar terus dari rumah. Jika menetap di kediaman jenis pangsapuri, ajar si kecil mencari dan memahami tanda keluar serta tidak menggunakan lif,” katanya ketika ditemui di pejabat MVFRA di Taman Maluri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MVFRA adalah organisasi sukarelawan yang memberi bantuan dan didikan kepada masyarakat mengenai pencegahan menyelenggara kecemasan seperti kebakaran, kemalangan serta bencana alam. Organisasi itu juga turut menganjurkan program aktiviti pelbagai peringkat usia termasuk kanak-kanak mengenai kesedaran terhadap keselamatan.

Balasupramaniam berkata, kanak-kanak perlu didedahkan dengan perkara bahaya di samping mengetahui akibat bahaya berkenaan. Contohnya seperti mancis yang boleh menyebabkan kebakaran. Buktikan kepada mereka bahaya bermain mancis supaya ia boleh menyedarkan mereka.

“Terdapat 10 panduan mengenai keselamatan kanak-kanak ketika menghadapi kebakaran. Antaranya, jika mendengar penggera kebakaran, keluar dari rumah dengan cepat, jangan cuba untuk memadamkan api berkenaan selain jangan cuba menyelamatkan binatang kesayangan,” katanya.

Beliau berkata, jika asap banyak berkepul di dalam ruang rumah, jangan berjalan sebaliknya merangkak di lantai menuju ke pintu. Ketika hendak keluar dari rumah pula, terlebih dulu, rasa tahap kepanasan tombol pintu rumah sebelum membukanya. Jika panas atau ternampak asap, mereka boleh mencari jalan menuju ke tingkap.

“Ajar anak-anak supaya tidak masuk semula ke dalam rumah, tetapi terus dapatkan bantuan orang sekeliling untuk menghubungi talian kecemasan 994.

“Perkara penting yang perlu diketahui ialah sekiranya pakaian terbakar, jangan berlari sebaliknya berhenti dan rebahkan badan ke tanah. Kemudian gulingkan badan supaya api boleh padam sambil lindungi mata dan muka dengan tangan,” katanya.

Balasupramaniam berkata, ketika berlaku saat kecemasan kanak-kanak perlu tahu bagaimana untuk menyelamatkan diri. Namun, ibu bapa perlu mengawasi anak mereka dengan meningkatkan keyakinan diri apabila memerlukan pertolongan dengan cara berkesan.

Utamakan keselamatan si kecil

Keselamatan anak-anak perlu diutamakan. Oleh itu, pasang pengesan asap dan alat pemadam kebakaran di setiap tingkat rumah termasuk bilik tidur. Untuk memastikan peralatan berkenaan berfungsi dengan baik, uji dan bersihkan pengesan asap setiap bulan dengan menukar bateri sebanyak dua kali setahun.

Kecemasan berlaku tidak mengenal masa dan tempat. Sebagai persediaan pastikan anak-anak tahu nama penuh mereka, ibu bapa, alamat tempat tinggal (termasuk bandar dan negeri) dan juga nombor telefon (termasuk kod kawasan).

Selain itu, bincang dan terangkan kepada anak-anak mengenai peranan serta situasi yang berbeza bagi mengenal pasti keadaan kecemasan. Tidak ketinggalan juga, latih anak-anak mendail nombor talian kecemasan 911 atau 0 atau 994.

Balasupramaniam berkata, ibu bapa juga perlu pastikan anak tahu cara dan mudah menghubungi sepanjang masa selain paparkan nombor kecemasan bersebelahan dengan telefon, termasuk pekerjaan serta nombor telefon ibu bapa.

“Ajar anak-anak anda pergi ke tempat yang selamat berhampiran dengan rumah jika memerlukan bantuan segera. Di samping itu juga pesan kepada anak mencari tempat alternatif jika mereka tidak boleh balik ke rumah seperti sekolah, balai bomba atau cari tempat aman,” katanya.

MVFRA turut menyediakan kempen dan program membabitkan keselamatan serta pendidikan untuk anak-anak menerusi Kelab Bengkel Keselamatan Anak-Anak yang ditubuhkan pada 1999. Ia bertujuan mendidik generasi muda mengenai keselamatan dan mencegah kebakaran.

Antara program yang pernah dijalankan membabitkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dilatih cara menyelamatkan diri, merangkak meredah asap dan banyak lagi.

Orang ramai boleh menyertai kempen, bengkel dan aktiviti membabitkan aspek keselamatan untuk kanak-kanak yang dianjurkan MVFRA setiap tahun dengan mendaftarkan diri menerusi laman web mereka www.mvfra.org.

INFO
Panduan lain yang boleh dilakukan untuk mencegah kebakaran di rumah:

Tali dan Tangga:

- Jangan menggunakan terlalu banyak kabel plug pada satu soket. Pastikan si kecil memahami perkara itu apabila bermain permainan video, pengering rambut dan sebagainya membabitkan penggunaan plug.

- Jangan letakkan kabel wayar di bawah permaidani

- Pastikan lampu yang dibuka pada waktu malam tidak bersentuhan atau berhampiran dengan kain langsir atau tempat tidur.

- Hindari penggunaan alat pemanas elektrik mudah alih.

- Buang peralatan panas atau berasap dan berbau akibat percikan elektrik. Jauhkan peralatan itu dari anak kecil



Dalam rumah

- Jangan biarkan anak-anak menggunakan peralatan dapur tanpa pengawasan.

- Jangan meninggalkan makanan yang dimasak walaupun sementara ketika anda tiada di dapur.

- Awasi anak-anak jika mereka melakukan projek seni atau ilmu pengetahuan yang membabitkan api serta alat elektrik.

- Jangan menyalakan rokok di sekitar rumah atau merokok di tempat tidur. Jauhkan bahan seperti mancis dan pemetik api walaupun di dalam dompet atau laci.

- Jauhi mereka dari lilin. Letak di tempat yang tidak mudah dijumpa oleh mereka



Malam Keselamatan

- Tidur dengan pintu bilik tertutup bagi menahan asap dari masuk terus ke dalam bilik.

- Jangan gunakan bilik tanpa tingkap sebagai bilik tidur.

Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my

No comments: