SEJARAH Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapati jumlah mata pelajaran yang perlu diambil pelajar sentiasa tidak konsisten, diubah dari semasa ke semasa.
Sejak sistem pensijilan terbuka dilaksanakan bermula 2000, ia tidak mengehadkan jumlah mata pelajaran calon SPM menyebabkan ada pelajar mengambil sehingga 20 subjek.
Bagaimanapun, bagi mengelak sebarang masalah dengan keputusan A1 yang tidak konsisten dalam kalangan pelajar cemerlang selain memudahkan Kementerian Pelajaran membuat perbandingan, jumlah subjek calon SPM dihadkan kepada 10 subjek saja bermula tahun depan.
Bagaimanapun, di atas permintaan banyak pihak, Kabinet bersetuju membenarkan calon SPM mengambil tambahan dua subjek, tetapi keputusan keseluruhan hanya dikira berdasarkan 10 mata pelajaran utama.
Ini memberi pilihan kepada pelajar sama ada mahu mengambil Bahasa Cina atau Tamil, Kesusasteraan Cina atau Kesusasteraan Tamil.
Persoalannya, berapakah subjek sebenarnya yang paling sesuai diambil pelajar? Adakah dengan memaksimumkan subjek untuk calon SPM ini adalah jalan terbaik?
Atau sistem pembelajaran sekolah menengah perlu dirombak dan berteraskan kepada pembelajaran di universiti supaya pelajar tidak tertekan dengan subjek yang banyak?
Bekas pengetua sebuah sekolah kerajaan, Yahya Tahrin, berkata keputusan memaksimumkan 10 subjek diambil calon SPM memadai dan penambahan dua subjek itu tidak memberi tekanan kepada pelajar.
Beliau yang mempunyai 32 tahun pengalaman dalam bidang pendidikan mengakui sistem pembelajaran terbaik selain menjamin masa depan pelajar ialah melalui sistem pengkhususan.
"Saya menyokong sistem pengkhususan kerana ia memudahkan pelajar membuat pilihan ketika memohon memasuki menara gading kelak.
"Kebanyakan pelajar di universiti mengikuti sesuatu program bukan berlandaskan minat, tetapi kerana mendapat tawaran dan keliru ketika membuat pilihan kursus.
"Ini memberi impak kepada masa depan pelajar kerana ramai mungkin gagal atau mendapat keputusan kurang cemerlang kerana mereka belajar kursus yang mereka tidak minat," katanya.
Justeru, melalui sistem pengkhususan yang diterapkan bermula di tingkatan empat, pelajar tahu hala tuju dan memberi fokus untuk mencapai cita-cita apabila memasuki universiti nanti.
"Apabila pelajar mempunyai hala tuju pasti proses pembelajaran menjadi mudah serta berjalan lancar selain mereka sendiri berusaha meneroka bidang itu," katanya.
Pengkhususan dalam sesuatu bidang, katanya sudah lama diamalkan di luar negara dan buktinya, lahir tokoh terkenal seperti Tiger Woods.
"Di Malaysia, pelajar tidak diberi peluang membuat pengkhususan sebaliknya perlu belajar pelbagai ilmu.
"Sistem pelbagai ilmu yang diterapkan dalam pendidikan negara bukan tidak bagus, tetapi pelajar kadangkala tertekan dan tidak fokus," katanya.
Pengalamannya ketika di sekolah menengah mendapati pelajar yang hanya mengambil tujuh subjek untuk SPM pun tidak mampu menghadapinya.
Pelajar yang tertekan dengan pembelajaran dan tidak minat dengan subjek yang diambil lebih rela ponteng sekolah.
"Syarat wajib masuk universiti hanya mengambil kira lima subjek, tetapi kita memaksa pelajar mengambil antara 10 dan 12 mata pelajaran.
"Tidak hairan jika ada pelajar yang cemerlang turut gagal dan tersalah pilih kursus, akhirnya masa depan mereka terjejas," katanya.
Mengenai sistem peperiksaan SPM terbuka yang memberi kebebasan pelajar memilih subjek elektif, katanya sistem itu sedikit kelam-kabut pelaksanaannya.
"Saya mendapati pelajar tidak mempunyai arah tuju.
"Jika di tingkatan tiga, pelajar tidak minat belajar, jangan paksa mereka menumpukan kepada akademik sebaliknya beri galakan ke sekolah vokasional atau teknik," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional, Profesor Madya Datuk Mohd Ali Hassan berkata jumlah subjek yang ditetapkan kementerian itu paling wajar dan tidak membebankan pelajar.
Beliau berkata, pelajar boleh mengambil seberapa banyak subjek dalam peperiksaan, namun ia dihadkan kepada 12 subjek bagi melahirkan pelajar berkualiti.
"Sekarang ini, ramai pelajar yang berlumba-lumba untuk mengumpul gred A, tetapi dalam sistem pendidikan apa yang kita mahu adalah kualiti bukannya kuantiti.
"Kita mahu pelajar lebih mendalami dan memahami, bukan belajar untuk gred A atau lulus peperiksaan," katanya.
Selain itu, langkah memaksimumkan 12 subjek itu bertujuan memberi peluang pelajar menikmati waktu muda mereka.
"Jika pada usia remaja, mereka terlalu menumpukan kepada akademik, bila pula pelajar dapat menikmati keseronokan usia muda bersama rakan-rakan.
"Paling penting, keputusan ini untuk meringankan beban ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tambahan," katanya.
Apabila ditanya mengenai kewajaran sistem pembelajaran sekolah menengah dirombak dan dilaksanakan seperti di pusat pengajian tinggi (IPT), katanya langkah itu masih terlalu awal.
"Di IPT, mereka mengamalkan sistem pengkhususan, tetapi kita mahu pelajar di sekolah mengutip sebanyak mungkin ilmu pengetahuan, bukannya mengkhusus dalam satu bidang.
"Selepas SPM, mereka boleh membuat pengkhususan bidang mana yang sesuai untuk diterokai," katanya.
Katanya, pelajar tidak akan keliru atau tersalah pilih program selepas SPM kerana di di sekolah, mereka dibekalkan dengan pelbagai ilmu.
SEJARAH Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapati jumlah mata pelajaran yang perlu diambil pelajar sentiasa tidak konsisten, diubah dari semasa ke semasa.Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
14 December 2009
Beban pelajar kita
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment