REPLIKA bola sepak Adidas yang pernah digunakan dalam saingan Piala Dunia sebelum ini bermula 1970 diletakkan di bandar Cape Town, Afrika Selatan.
SUDAH menjadi tradisi, setiap saingan Piala Dunia bermula 1970 di Mexico pengeluar barangan sukan antarabangsa Adidas akan mengeluarkan bola rasmi yang bakal digunakan oleh 32 pasukan di kejohanan tersebut.
Jumaat lalu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) buat pertama kali telah memperkenalkan bola rasmi yang akan digunakan di Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan yang dikenali dengan nama 'Jabulani'.
Apa yang menarik bola yang diterapkan dengan unsur negara Afrika Selatan dan penekanan teknologi terbaru itu dikatakan lebih tepat dan bola berbentuk bulat yang paling sempurna.
Jabulani yang bermaksud 'untuk diraikan' dalam bahasa Zulu mempunyai bonggol aerodinamik bagi membolehkan bola tersebut meluncur dengan lebih stabil ketika disepak dan konsisten dalam apa jua jenis cuaca.
Presiden FIFA, Sepp Blatter dan beberapa pemain terkemuka, memuji penghasilan bola tersebut yang menggunakan 11 warna mewakili 11 pemain di bagi setiap pasukan dan 11 bahasa rasmi yang diguna pakai di Afrika Selatan.
Selain itu juga Jabulani juga merupakan bola yang ke-11 telah dihasilkan oleh Adidas untuk saingan Piala Dunia dengan reka bentuk dan warna menggabungkan keharmonian penduduk berbilang bangsa negara tersebut.
"Bagi saya keserasian dengan bola amat dititikberatkan dan bola ini sangat mengagumkan," kata penyerang Brazil, Kaka dalam satu kenyataan sebelum ini.
Ia telah dirasmikan sejam sebelum undian Piala Dunia dilakukan di Cape Town yang menyaksikan 32 pasukan yang layak telah dibahagikan kepada lapan kumpulan.
Kajian yang dilakukan oleh Adidas, altitud di Afrika Selatan akan memberi impak dengan penambahan lima peratus kepada kelajuan bola tersebut.
Sepakan percuma dari jarak 20 meter di Stadium City yang terletak di kawasan altitud tinggi di Johannesburg akan meluru ke garisan gol lima peratus lebih laju berbanding di Stadium Moses Mabhida yang berada di paras laut di Durban.
Kelajuan akan mencecah 126 kilometer per jam ketika sepakan percuma dilakukan di kawasan tinggi manakala kawasan paras laut hanya 120 kilometer per jam sahaja.
Ini bermakna penjaga gol yang akan beraksi di Piala Dunia nanti perlu mengambil kira dari sudut geografi sebelum beraksi.
Kebanyakkan sembilan bandar yang menjadi tuan rumah, Stadium Soccer City memiliki ketinggian 1,694 meter dari paras laut berbanding Stadium Moses Mabhida yang terletak bersebelahan pantai lapan meter dari paras laut.
Stadium lain yang berkedudukan lebih dari 1,000 meter paras laut ialah Bloemfontein (1,351) Pretoria (1,330) Polokwane (1,230) dan Rustenburg (1,153).
Penciptaan bola rasmi Piala Dunia yang dihasilkan Adidas sering menjadikan bola bertambah laju dengan penggunaan teknologi baru yang langsung tidak memberi kelebihan buat penjaga gol.
Penjaga gol sering merungut bola tersebut tidak boleh dibaca apabila pemain melakukan percubaan dari jarak jauh dan menunjukkan mereka seolah-olah diperbodohkan dengan beberapa jaringan mudah.
Bekas ketua pasukan dan jurulatih Jerman, Franz Beckenbauer berkata, dia masih ingat lagi apabila bola sebelum ini dibuat dengan kulit dan akan menyerap air apabila hujan.
"Anda terpaksa mengerah tenaga kerana bola tersebut terlalu berat," katanya.
Masalah penggunaan bola telah berlaku sejak Piala Dunia pertama 1930 dalam perlawanan akhir antara Argentina dan Uruguay apabila masing-masing tidak bersetuju dengan bola yang digunakan dan mereka menggunakan bola yang berlainan pada setiap separuh masa.
Menggunakan bola sendiri Argentina berjaya mendahului pada separuh masa pertama 2-1 tetapi Uruguay kembali di depan dengan menggunakan bola mereka sendiri sebelum menang 4-2.
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com
HEBAHAN
19 December 2009
Lebih tepat, laju
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment