Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






22 December 2009

Dilarang keluar rumah seminggu




















AZIMAH Bah Habis (dua dari kanan) dan pasangannya, Nazri Bah Cupoi masing-masing berumur 17 tahun pada majlis perkahwinan mereka baru-baru ini

Seperti masyarakat lain di Malaysia, kaum Orang Asli Semai juga mempunyai adat dan pantang larang yang perlu dipatuhi dalam urusan perkahwinan yang diwarisi sejak datuk nenek moyang mereka."BOLEHKAH kamu tinggalkan isteri di rumah sedangkan kamu pula merayap di luar? Bolehkah kamu laksanakan semua tugas yang saya beritahu kepada kamu tadi?"

Sambil menunjukkan beberapa peralatan seperti beliung, bubu ikan dan sumpit sebagai simbolik menggalas tanggungjawab sebagai suami, itulah soalan yang diajukan oleh penghulu kampung atau Tok Batin kepada pasangan bakal pengantin.

Sambil diapit oleh pengapit, jika ya jawapan si teruna daripada setiap soalan, Tok Batin itu dan pengantin perempuan juga menjawab ya, maka sahlah mereka sebagai pasangan suami isteri.

Soalan itu perlu diajukan di depan pengantin. Turut serta dalam upacara itu seorang wakil daripada pihak perempuan dan seorang wakil daripada pihak lelaki.

Begitulah serba sedikit gambaran awal mengenai adat perkahwinan kaum Semai yang disaksikan media di Kampung Sungai Rengsak, Batu 7, Tapah, Perak, baru-baru ini. Kaum Semai merupakan salah satu kaum Orang Asli yang terdapat di Malaysia. Kampung Sungai Rengsak ialah penempatan kaum Semai yang terbesar di Tapah, Perak.

Jelas Tok Batin, mengikut resam perkahwinan kaum Semai, mereka juga mempunyai adat merisik dan bertunang seperti kaum lain. Bertunang biasanya dilakukan dengan hanya percakapan dan persetujuan mulut sahaja.

"Terpulang kepada bakal pengantin. Jika mereka tidak ada duit, mereka boleh bertunang dahulu. Atau jika mereka sudah ada duit yang cukup perkahwinan boleh dijalankan serentak selepas majlis pertunangan," kata Tok Batin atau nama sebenarnya Bah Tamin.

Menurut Bah Tamin, 50, secara tradisinya, orang Semai akan berkahwin pada usia belasan tahun. Ini kerana kehidupan mereka hanya berlegar di persekitaran kampung yang tidak memungkinkan mereka hidup membujang dalam tempoh yang lama.

"Bagi lelaki yang ingin berkahwin, dia hanya perlu menyediakan wang belanja tubuh sebanyak RM25 untuk diberikan kepada bakal isteri serta sedia menggalas tanggungjawab memberi makan dan minum kepada isteri dan anak-anak," cerita Bah Tamin.

Jamuan ringan

Wang belanja tubuh itu seperti mas kahwin bagi masyarakat Melayu.

Namun, situasi berbeza sekiranya ada pemuda kampung yang berhasrat untuk mengahwini anak Tok Batin. Bezanya ialah wang belanja tubuh yang lebih tinggi iaitu RM60. Ia bagi menunjukkan martabat sebagai ketua penghulu dalam kampung itu sendiri.

Lazimnya, majlis perkahwinan kaum Semai dilangsungkan dalam sebuah pondok. Pondok itu merupakan balai untuk sebarang majlis keraian penduduk kampung.


























KEBANYAKAN perhiasan menggunakan tumbuhan semula jadi.

Apabila tiba hari perkahwinan, balai yang diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun nipah itu dihias indah dengan pelbagai bunga dan daun yang dipetik dari hutan.

Disaksikan oleh Tok Batin dan wakil keluarga kedua-dua belah pihak, barang-barang seperti beliung, bubu ikan dan sumpit menjadi simbolik sebagai tanda bermulanya kehidupan sebagai suami isteri.

Majlis itu biasanya disusuli dengan jamuan makan ringan khas buat tetamu yang hadir. Tetapi, tidak ada nasi minyak atau ayam masak merah, sebaliknya sekadar ubi kayu dan ulam-ulaman yang direbus.

Perhiasan

Untuk menunjukkan mereka adalah pasangan mempelai yang diraikan, kedua-dua pasangan tersebut akan dihias oleh seorang jurusolek. Dari segi pakaian, pengantin perempuan hanya memakai kain batik yang diikat pada paras dada, sementara pengantin lelaki pula hanya menyarung seluar pendek tanpa baju.

Perhiasan yang digunakan hanyalah rantai yang diperbuat daripada ubi kayu dan diwarnakan dengan pewarna merah.

Pengantin juga akan dihias dengan 'mahkota' yang dipakai di kepala. Mahkota yang diperbuat daripada daun nipah serta beberapa kuntum bunga menambahkan seri pada wajah pengantin. Selain mahkota di kepala, kedua-dua mempelai juga akan memakai daun di pinggang dan selimpang pada badan.


















KETUA Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Ibrahim Ismail sempat berkenalan dengan pengantin kaum Semai.

















DALAM upacara ini, bakal suami dan isteri hanya perlu menjawab 'ya' untuk disahkan sebagai suami isteri.

Sebagai raja sehari, wajah pengantin turut disolek. Menurut jurusolek pengantin, Minah, 27, tidak ada bahan kimia digunakan untuk menyolek wajah pengantin. Apa yang digunakan hanyalah pewarna merah yang terhasil daripada sejenis tumbuhan dari hutan dan tepung beras.

"Tepung beras digunakan untuk menghasilkan garisan putus-putus pada wajah pengantin. Saya gunakan sikat untuk hasilkan garisan putus-putus warna putih pada muka mereka. Tidak ada bedak dalam bekas.

"Kaum Semai dianggap cukup cantik apabila disolek menggunakan pewarna merah yang dicalit pada wajah pengantin lelaki dan perempuan," kata Minah yang merupakan satu-satunya jurusolek pengantin di kampung itu. Minah memberitahu, lazimnya dia akan menyiapkan bakal pengantin sebelum waktu malam.

Pantang larang selepas kahwin

Mengikut adat kaum Semai, pasangan baru berkahwin perlu mematuhi beberapa pantang larang. Selepas berkahwin, pengantin dilarang keluar rumah selama seminggu. Ia dipercayai untuk menghindar daripada gangguan makhluk halus kerana masing-masing berdarah manis.

Memandangkan pasangan yang baru berkahwin masih muda dan belum mampu memiliki rumah sendiri, mereka dikehendaki berlaku adil untuk tempat tinggal selepas berkahwin.

















TOK Batin menguji bakal pengantin dengan soalan-soalan mengenai kehidupan.
"Ini mesti dipatuhi. Selepas berkahwin, pasangan perlu bergilir-gilir menetap di rumah mertua. Kiraannya pula, setahun akan tinggal di rumah pengantin perempuan dan setahun kemudian tinggal di rumah pengantin lelaki.

"Selepas semua stabil mereka boleh membina rumah dan melayari kehidupan berumahtangga secara sendiri," cerita Bah Tamin.

Kaum Semai tidak mempunyai agama, kehidupan mereka seperti ekonomi, sosial dan kepercayaan banyak dipengaruhi daripada kepercayaan nenek moyang.

















ANTARA peralatan yang dibawa sebagai simbolik perkahwinan.
Justeru, kaum Semai tidak pernah mengehadkan lelaki untuk mempunyai lebih daripada seorang isteri.

"Datuk saya sendiri mempunyai tujuh orang isteri. Apa yang penting kemampuan untuk menggalas tanggungjawab sahaja," ujarnya.

Begitu juga dengan hal perceraian. Perceraian bagi kaum Semai adalah sesuatu yang tidak baik. Selain menjadi jurunikah, Tok Batin juga berperanan sebagai hakim untuk menyelesaikan masalah rumahtangga pasangan yang bermasalah.

"Pertama sekali kita nasihat, kedua pun kita nasihat, ketiga tidak ada lagi nasihat dan keempat jatuh talak kepada pasangan itu.

"Tidak habis di situ, jika jatuh talak, kita akan cari penawar untuk memulihkan semangat pasangan yang baru bercerai," jelasnya.


















WAJAH Azimah Bah Habis disolek dengan warna merah mengikut tradisi kaum Semai.

Pengalaman kahwin muda

Kuten, 24, adalah antara golongan wanita yang berkahwin muda di kampung itu. Pada usia itu dia kini mempunyai tiga orang cahaya mata bersama suami Bah Ong berumur 29 tahun.

"Saya nikah pada usia 19 tahun. Saya tidak sekolah, sebab itu saya pilih untuk berkahwin. Kini saya hanya membesarkan tiga orang anak," katanya ketika ditemui. Rutin harian Kuten hanya membesarkan tiga orang anaknya dan menuai tanaman seperti pucuk paku, pucuk ibu dan sebagainya di sekitar rumah untuk dimasak.

"Tidak ada apa yang hendak dibimbangkan apabila suami bekerja di hutan kerana itulah kehidupan kami. Malah, tanggungjawab memburu di hutan itu sendiri ialah tugas seorang suami," katanya.

Oleh NUR AISHAH MOHD AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my