Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






30 December 2009

Terbang tinggi di langit

KERJAYA sebagai juruterbang memerlukan kewibawaan dan keyakinan diri yang tinggi



















NORASHIKIN adalah kapten wanita pertama dalam AirAsia.
KERJAYA sebagai juruterbang memerlukan kewibawaan dan keyakinan diri yang tinggi.

Ada yang menyamakan kerjaya seorang juruterbang dengan pemandu bas atau lori. Namun, pemandu tersebut tidak berhadapan dengan pengemudian sebuah pengangkutan bernilai berjuta-juta ringgit dan memerlukan kefahaman teknikal yang tinggi.
DARI kanak-kanak hingga ke alam remaja, kita selalu ditebak dengan soalan 'hendak jadi apa bila dewasa?'. Guru-guru di sekolah pun kerap mengedarkan borang untuk diisi oleh anak-anak murid mengenai tiga cita-cita yang subur dalam diri mereka.

Ramai yang mengidam untuk menjadi seorang doktor, jurutera, arkitek, guru, pensyarah, peguam, wartawan dan sebagainya. Sejujurnya, selain kelayakan akademik, ada sesetengah kerjaya itu memerlukan kewibawaan dan keyakinan yang tinggi. Dalam erti kata sebenar, ia merangkumi jenis pekerjaan yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang di luar jangkauan.

Bergelar juruterbang muda sejak pertengahan tahun lalu, Syamim Shahabuddin, 25, terpaksa mengharung liku-liku hidup yang mencabar semasa dan selepas menjalani sesi pembelajaran dan latihan penerbangan.

Namun, pengorbanannya diraikan dengan balasan yang setimpal apabila Syamim berpeluang menikmati salah satu kelebihan yang jarang dinikmati dalam kerjaya lain. Pada setiap hari, pemandangan di sekeliling 'pejabat bergerak' Syamim sentiasa bertukar wajah mengikut lokasi yang dituju. Sudah tentu, kelebihan itu akan membuatkan seseorang berasa seronok dan tidak lagi muak berada sepanjang hari di pejabat.

"Memang betul pun. Saya seronok setiap kali menerbangkan sebuah pesawat terutama semasa mendarat di lapangan terbang di Bali yang berdekatan dengan pantai Kuta.

"Walaupun sudah lebih 10 kali terbang ke situ, setiap penerbangan ke Bali meninggalkan pengalaman yang menarik, bersulamkan pemandangan bumi yang menghijau dan laut membiru," ujarnya dalam keterujaan.



Apa yang dialaminya tidak mungkin dapat dirasai sekiranya dia duduk di kabin bersama penumpang lain. Memandangkan Syamim suka melancong dan kagum melihat salah seorang anggota keluarganya berkhidmat dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dia secara automatik mahu menjadi seorang juruterbang bertauliah apabila dewasa nanti.

Sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), percubaan kali pertama Syamim memohon mendapatkan lesen penerbangan berakhir dengan kehampaan.

Bagaimanapun, setelah dia mengikuti kursus diploma dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) selama tiga tahun, tanpa diduga Syamim dihubungi oleh pihak AirAsia.

Dia diminta menghadirkan diri untuk sesi temuduga bagi menentukan kelayakan menerima tawaran biasiswa dalam kursus penerbangan.

"Peringkat temu duga ini merangkumi tiga tahap penting di mana setiap satu menguji aspek konsentrasi dan kemampuan yang berlainan," jelas Syamim yang menduduki ujian penulisan, ujian lisan dan ujian psikomotor.

Dalam ujian penulisan, dia diuji menerusi subjek Matematik, Fizik, Bahasa Inggeris dan IQ. Seterusnya dalam ujian lisan pula, Syamim dikehendaki menjawab beberapa soalan yang menguji tahap keyakinan dalam mengawal tekanan yang dihadapi.

"Ujian psikomotor bertujuan melihat koordinasi antara mata dan pergerakan tangan secara serentak," ujarnya.


KERJAYA sebagai juruterbang memerlukan kewibawaan dan keyakinan diri yang tinggi. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------


Syamim berjaya mempamerkan karakter dan sifat yang baik sekali gus lulus untuk menyertai Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) di Melaka pada hujung tahun 2005. Sekalipun kursus permohonan Lesen Juruterbang Komersial dengan Rating Instrumen (CPL/IR) termaktub untuk tempoh 18 bulan, proses itu rata-ratanya bergantung kepada keadaan cuaca semasa.

Latihannya terbahagi kepada dua kategori iaitu teori (darat) dan praktikal (udara). Seorang juruterbang kadet dikehendaki menamatkan 200 jam penerbangan termasuk 165 jam menaiki pesawat berenjin satu manakala 35 jam diperuntukkan bagi pesawat berenjin dua. Syamim menjalani latihan penerbangan solo dan berpasangan dengan menggunakan pesawat Piper Warrior dan Piper Seneca.

"Mula-mula memang gementar tetapi lama-kelamaan teringin nak terbang seorang," selorohnya yang bersyukur kerana tidak berdepan dengan sebarang masalah teknikal atau kemalangan.

Dalam pada itu, MFA menyediakan 860 jam kuliah atau kelas teori yang berasaskan kepada subjek teknikal DCA dan Badan Berkuasa Penerbangan Awam UK (UKCAA). Pada penghujung setiap bulan, Syamim menduduki peperiksaan di Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Putrajaya dan diwajibkan lulus 75 peratus.

"Peperiksaan ini memang susah tetapi seboleh-bolehnya saya berusaha untuk lulus dengan cemerlang memandangkan kos untuk menduduki setiap subjek tersebut mahal dalam mata wang asing," ujar Syamim yang menerima biasiswa berjumlah hampir RM250,000.


NORASHIKIN ONN (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Syamim Shahabuddin.

--------------------------------------------------------------------------------


Sejurus selepas menyempurnakan CPL/IR, Syamim kemudian mengikuti sesi latihan simulasi di Akademi AirAsia, Sepang. Kira-kira dua bulan atau selama 40 jam, dia didedahkan dengan latihan-latihan kecemasan di atas pesawat Airbus A320.

Pada Jun 2008, Syamim buat pertama kali dihantar ke terminal penerbangan tambang murah LCCT, Sepang. Begitupun, dia diletakkan di bawah pemantauan seorang jurulatih bagi penerbangan domestik dan antarabangsa. Tempoh masa yang diambil sebelum 'dilepaskan' bergantung kepada budi bicara jurulatih.

Dalam kes Syamim, dia bertuah kerana jurulatihnya meluluskan kedudukannya setelah berasa puas dengan persembahan dan kewibawaan yang ditunjukkan dalam tempoh masa sebulan sahaja.

"Kalau ditanya apakah memori yang paling indah dalam hidup saya sebagai seorang juruterbang, pasti ia saat sebaik 'dilepaskan' secara rasmi.

"Satu lagi memori indah adalah ketika ayah saya menelefon sejurus selepas menyaksikan pendaratan saya di hujung landasan di lapangan terbang Langkawi," ujarnya.


SYAMIM seronok dapat menerbangkan pesawat terutama semasa mendarat di lapangan terbang di Bali,Indonesia.

--------------------------------------------------------------------------------


Bagi Norashikin Onn, 40-an, idamannya adalah menerbangkan pesawat. Itupun khususnya bersama syarikat penerbangan AirAsia yang sudi menerimanya tanpa diskriminasi jantina pada tahun 2005.

Sebagai Kapten Wanita Pertama AirAsia mulai tahun 2009, Shikin yang mengikuti kelas penerbangan di Florida, Amerika Syarikat (AS), memandang tinggi pada kemampuan wanita pertama yang pernah menerbangkan pesawat menyeberangi Lautan Atlantik, Amelia Earhart pada tahun 1928.

"Bagi saya, seorang juruterbang memerlukan kefahaman dan kearifan yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh dedikasi. Dalam masa-masa getir, dia perlu bertindak dengan tenang, tidak panik dan mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya yang pernah berhadapan dengan cuaca buruk dalam perjalanan pulang dari China ke Malaysia.

Sebelum berkhidmat di AirAsia, Shikin menyertai Pelangi Air pada tahun 1996. Empat tahun kemudian, dia dinaikkan pangkat menjadi kapten. Selepas lapan tahun bersama syarikat tersebut, Shikin mengundurkan diri buat seketika untuk melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah Sarjana dalam bidang pengurusan Teknologi Maklumat.

Sebelum itu, dia menerima ijazah Sarjana Muda dalam bidang Seni Persembahan dan Pengurusan di AS.

Wanita cekal itu juga menubuhkan 4B Kelab Penerbangan Belia pada tahun 1993 yang masih beroperasi di Melaka. "Saya tidak pernah merancang untuk bersara dari bidang ini kecuali kesihatan saya tidak mengizinkan," katanya.


NORASHIKIN adalah kapten wanita pertama dalam AirAsia.

--------------------------------------------------------------------------------


"Sebelum bersara, saya mahu menerbangkan pesawat ke New York dan berjumpa semula dengan kawan-kawan lama. Lagipun, saya gemar mendarat dan berlepas dari lapangan terbang sibuk seperti di Chicago,"tambah Shikin yang kini dalam peringkat mendapatkan ijazah doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang pengurusan Teknologi Maklumat.

Namun, jangan sangka bahawa kehidupannya hanya tertakluk kepada kerjaya tanpa masa untuk berehat. Selepas 28 hari bekerja selama 100 jam, Shikin dan Syamim diberi waktu rehat yang cukup sebelum kembali bekerja. Mereka juga ditawarkan tiket dan baucar penerbangan menarik dalam setahun.

"Saya masih ada banyak masa untuk melakukan aktiviti riadah seperti selam skuba, mendaki gunung dan bermain piano," kata Shikin sambil menutup tirai perbicaraan kami pada petang itu.
Oleh SUBASHINI RAJANDRA
subashini.rajandra@kosmo.com.my

No comments: