Selamat Datang Ke SK Pegoh Blogspot.Com

HEBAHAN

> Selamat Menyambut Maulidur Rasul
"Persefahaman Asas Perpaduan Ummah"
> 6 Februari 2012 -Cuti Sempena Maulidul Rasul.
> 13 Februari 2012 ,2.30 petang, Bilik Sains -Taklimat Profesional Guru-Guru SK Pegoh Kali ke-2.
>Agenda:
1. Celik Minda.
2. Taklimat Oleh Pn Norfaizah Ahmad,Guru Cemerlang SK Bukit Beringin Masjid Tanah, Melaka.
Tajuk- Pentaksiran Berasaskan Sekolah.






28 December 2009

Lahirkan pemandu utamakan ciri-ciri keselamatan.
















Umumnya, semua pihak bersetuju bahawa disiplin dan sikap para pengguna jalan raya adalah antara faktor yang penting yang menyumbang kepada kemalangan maut.

BEBERAPA kemalangan maut yang berlaku beberapa hari lalu memberikan satu mesej yang jelas iaitu usaha-usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita masih gagal.

Terbaru ialah kemalangan bas ekspres yang meragut sepuluh nyawa di Kilometer 272.8, Lebuh Raya Utara-Selatan. Kemudian, nahas jalan raya meragut empat nyawa di Kilometer 6.4, Jalan Parit Bunga-Tangkak, Tangkak, Johor.

Minggu lepas, tiga orang maut apabila sebuah lori melanggar dan mengheret sebuah kereta di Jitra, Kedah. Faktor kecuaian sama ada terlelap atau kerosakan brek menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kemalangan maut yang mengerikan.

Prasarana pengangkutan yang moden, kempen-kempen serta peraturan dan undang-undang sedia ada tidak banyak membantu mengurangkan nahas jalan raya.

Sudah jenuh pandangan serta idea diberikan oleh berbagai pihak. Apabila berlaku kemalangan maut, kita mula menuding jari mencari kesalahan. Sewajarnyalah semua agensi yang berkaitan berusaha meningkatkan keberkesanan fungsi masing-masing.

Umumnya, semua pihak bersetuju bahawa disiplin dan sikap para pengguna jalan raya adalah antara faktor yang penting yang menyumbang kepada kemalangan maut.

Biarpun begitu, tidak banyak yang telah dan sedang dilakukan untuk membentuk generasi pengguna jalan raya yang berhemah. Diakui bahawa usaha-usaha pembentukan disiplin dan sikap di kalangan pengguna jalan raya bukannya sesuatu yang mudah.

Disiplin yang tinggi dan sikap yang betul di kalangan pengguna jalan raya perlu dipupuk dan dibentuk sebelum seseorang itu memiliki lesen memandu lagi. Maknanya usaha-usaha bagi membentuk disiplin dan sikap seperti bertimbangrasa, mematuhi undang-undang jalan raya, budaya penyelenggaraan kenderaan dan menghormati pengguna-pengguna lain perlu dijalankan seawal mungkin iaitu di peringkat kanak-kanak dan remaja lagi.

Sesuai dengan sifat kanak-kanak dan remaja yang lebih mudah dibentuk dari segi sikap, sudah sampai masanya kerajaan memikirkan secara serius bagaimana aspek-aspek keselamatan jalan raya dapat dipupuk di kalangan generasi muda.

Adalah diharapkan dalam tempoh 10 atau 20 tahun dari sekarang, kita dapat melahirkan pemandu sama ada kenderaan persendirian, penumpang dan perdagangan yang membudayakan soal keselamatan.

Usaha untuk mengurangkan kemalangan jalan raya perlu dilihat secara menyeluruh dan jangka panjang. Isu ini tidak semestinya dibincangkan bila berlaku kemalangan yang meragut banyak nyawa. Ia perlu dianggap isu nasional yang memerlukan tindakan yang berbentuk jangka panjang.

Usaha diperlukan agar aspek keselamatan jalan raya dapat dimasukkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di sekolah.

Pihak sekolah tidak perlu rasa terbeban dengan saranan agar sekolah turut memainkan peranan untuk mendidik pelajar-pelajar tentang aspek keselamatan jalan raya.

Mendidik pelajar-pelajar untuk menjadi pengguna jalan raya yang berdisiplin adalah merupakan sebahagian daripada peranan yang boleh dimainkan dengan berkesan oleh guru dan ibu bapa.

Kementerian Pelajaran dengan kerjasama agensi berkaitan seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya perlu merangka mata pelajaran yang berkaitan dengan keselamatan jalan raya yang wajib untuk semua pelajar. Mata pelajaran tersebut pula perlu mempunyai kesinambungan agar sikap dan disiplin yang cuba dipupuk kekal selamanya.

Adalah lebih mudah mengubah sikap dan membentuk disiplin remaja dan kanak-kanak berbanding dengan pengguna jalan raya dewasa. Kekangan dari segi masa tidak sepatutnya membantutkan usaha-usaha pihak sekolah ke arah melahirkan generasi pelapis yang ditanam dengan sikap dan disiplin yang tinggi dari segi keselamatan jalan raya.

Seperti guru, ibu bapa juga berada pada kedudukan yang baik untuk mempengaruhi sikap dan disiplin anak-anak mereka. Ibu bapa perlu tegas mendidik anak-anak untuk menjadi pengguna jalan raya yang berdisiplin.

Jika ibu bapa dapat menjalankan tanggungjawab untuk menerap langkah-langkah pencegahan awal seperti menasihati dan memberi tunjuk ajar dari segi pemakaian tali pinggang keledar, memakai topi keledar, budaya menyelenggara kenderaan, memandu mengikut had laju, tidak memotong kenderaan lain dengan sewenang-wenangnya, menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak semasa memandu dan tidak membenarkan anak-anak memandu tanpa lesen, nescaya kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.

Beberapa kajian yang dijalankan telah membuktikan bahawa hubungan rapat yang diwujudkan oleh ibu bapa dengan anak-anak mereka dalam konteks pembentukan sikap dan disiplin sebagai pemandu dapat mengurangkan tingkah laku pemanduan yang negatif dan juga mengurangkan jumlah saman serta kemalangan.

DR. SHAIFUL ANNUAR KHALID

Universiti Teknologi Mara Perlis


No comments: